Followers

Wednesday, April 14, 2010

Mitos Cinta Suria : 5

 Dia menyua batang aiskrim di mulutnya sambil sibuk memandang orang ramai yang bersesak-sesak di kawasan Petaling Street itu. Sesekali matanya melilau mengerling kenderaan-kenderaan bersimpang siur yang lalu di hadapannya. Namun bayang Umaira tidak jua muncul padahal gadis itu sudah berjanji mahu menjemputnya di situ.

“Isk mana minah ni? Dah dekat sejam dah aku jadi model tak bergaji kat depan taxi stand ni.” Keluh Suria resah.

Selepas habis waktu pejabat tadi, dia sengaja keluar mengikut Umaira menaiki kereta apabila tahu gadis itu ada hal di kawasan itu. Lagipun dia mahu membeli jeans di sebuah kedai di Plaza berhadapan dengan Jalan Petaling. Kalau tahu begini, baik aku tak payah ikut. Kalau tidak, dah tentu sekarang ni aku dah sampai rumah sambil baring-baring menonton televisyen, bisik hati kecil Suria.

Tiba-tiba pandangan Suria tertarik pada sebuah kenderaan yang masuk ke laluan teksi. Wow Nissan 370Z! Hatinya disimbah rasa kagum melihat kereta itu. Entah bilalah aku mampu nak pakai kereta macam tu! Bisik hati kecil Suria sambil menjilat aiskrim yang dipegangnya.

Tak disangka-sangka, kereta Nissan 370Z berwarna silver itu berhenti betul-betul di hadapannya. Suria tercengang. Dah gila ke orang ni, masuk kawasan laluan teksi?

Cermin kereta itu diturunkan. Suria ragu-ragu mahu menyuluh wajah si pemandu kereta mewah itu. Sudahnya dia pura-pura memandang ke arah lain. Beberapa ketika, telinganya menyapa bunyi hon yang membingitkan telinga. Dia berpaling. Satu wajah menjenguk keluar dari dalam kereta. Suria terpana. Matanya tak berkelip menatap lelaki yang sedang melontarkan senyuman ke arahnya. Hatinya mula mencair. Alamak! Kereta lawa, orang pun lawa jugak!

“Cik, tumpang tanya? Macamana nak pergi ke….” Lelaki itu bertanya separuh menjerit. Bunyi bingit kenderaan yang tersusun di jalan raya, sama kuat dengan bunyi muzik yang terpasang di dalam kereta lelaki itu. Suria tercengang.

“Tak dengarlah encik. Bunyi radio tu kuat sangat.” Suria turut menjerit. Lelaki itu mengangkat tangannya, bagaikan tidak faham apa-apa. Suria segera membuat isyarat sambil jari telunjuknya dipusing-pusing mengarah ke telinganya.

“What?”

“Boleh slow down kan radio tu? Saya tak dengarlah.” Jerit Suria sekali lagi. Lelaki itu segera memperlahankan bunyi muzik yang terpasang di dalam keretanya. Namun belum sempat dia mahu melanjutkan pertanyaan, bunyi hon dari arah belakang pula singgah. Dia segera mengintai cermin hadapan. Suria turut berpaling. Beberapa buah teksi kelihatan sudah berbaris di belakang kereta itu.

Lelaki itu seakan tidak ambil pusing. Dia memandang Suria yang nampak serba salah. “Cik, tahu tak macamana saya boleh ke Jalan Loke Yew? I have to go there, this is very urgent.” Pintanya.

Suria mahu menjelaskan, tapi entah kenapa bunyi hon demi hon yang ditala ke arah pemilik kereta itu, turut sama membingitkan telinganya. Dia mula serba salah. Lagipun pertanyaan lelaki itu benar-benar tidak jelas. Bukankah lebih baik jika lelaki itu menyatakan lebih detail ke mana arah tujuannya. Hendak ditanya, dia bimbang akan memakan masa, tentu akan menyebabkan pemandu-pemandu teksi itu naik marah.

Tanpa berfikir panjang, Suria terus membuka pintu kereta lalu melangkah masuk. Lelaki itu tergaman. Bulat matanya memandang ke arah Suria. Suria melirik lelaki di sampingnya.

“Okey drive.” Arah Suria.

“Ke mana?”Lelaki itu mengerutkan dahinya. Hairan mendengar kata-kata Suria.

Suria membeliakkan matanya. Alamak dia ni, takkan tak faham-faham lagi, keluh Suria. “Encik, tolong keluar dari kawasan laluan teksi ni. Awak tak tahu ke yang kereta mana boleh sesuka hati masuk ke laluan teksi? Salah besar tu.” Bebel Suria separuh geram. Sudah naik sebal mukanya menahan malu apabila lelaki itu buat-buat tidak faham dengan bunyi hon itu. Padahal hampir semua orang di kawasan itu menjadi penonton setia ke arahnya, bagaikan dia pula yang salah.

Lelaki itu tersenyum. Barulah dia faham kedudukan sebenar. Rupa-rupanya gadis itu sedang membantunya. Dia ketawa kecil, antara dengar dengan tidak. Suria berpaling.

“Nak ke mana tadi? Jalan Loke Yew kan?”

“Yup,” lelaki itu mengangguk.

“Hmm dah dekatlah dengan pejabat saya. Awak jalan lurus saja, nanti saya bagi tahu kat mana patut awak belok. Jalan Loke Yew ni dekat Cheras. Kita ikut Pandan Indah, kurang sikit sesaknya.” Ujar Suria bagai lagak pemandu pelancong. Lelaki itu mengangguk tanpa banyak soal. Keretanya terus dipandu keluar sedikit demi sedikit dari kawasan itu mengarah ke jalan besar.

“Awak kerja kat mana?” Lelaki itu bertanya.

“KZM.” Jawab Suria acuh tak acuh.

“KZM? Syarikat apa tu? Jual tayar?”

Suria tersentak. Biar betul mamat ni! Apa dah gila ke dia ingat aku kerja jual tayar? Apa muka aku ni muka minah jual tayar ke? Suria mengomel sendirian. Panas hatinya mendengar perkataan tanpa usul periksa itu.

“Dah berapa tahun awak tak balik Malaysia” Sindir Suria geram. Lelaki itu menoleh ke arahnya dengan wajah keliru.

“Macamana awak tahu saya baru balik dari oversea?”

Giliran Suria pula yang terkedu. Serentak dia tersengih sendiri dalam hati. Serkap jarangnya mengena pula kali ini. Patutlah lelaki itu tidak tahu apa-apa tentang KZM. Rupa-rupanya dia baru balik ke mari. Tapi tak mungkin kalau dia langsung tak tahu apa-apa, sedangkan stesyen KZM sudah wujud sejak dua puluh tahun yang lalu, fikir Suria.

Dia menjeling lelaki itu diam-diam. Orangnya kacak biarpun hanya berkemeja biasa. Kulitnya boleh tahan cerah, barangkali sebab sudah lama tinggal di luar negara. Rambutnya pendek kemas menampakkan telinga yang bercuping tinggi dari sisinya. Lelaki itu tiba-tiba berpaling, lalu menyapa sepasang matanya yang merenung tanpa izin.

Suria terkedu. Dia tidak sempat melarikan wajahnya. Perasaan malu mula timbul apabila lelaki itu memandangnya sambil tersenyum.

“Kenapa tak jawab pertanyaan saya?” Soal lelaki itu.

“Yang mana satu?” Suria membalas.

“Soalan yang paling baru.”

“Paling baru?” Suria mengerutkan dahinya. Hairan dengan kata-kata lelaki itu. Apa sebenarnya yang dimaksudkannya.

“Maksud saya, bagaimana awak boleh seberani ini masuk ke dalam kereta lelaki yang baru awak kenal? Awak tak rasa sangsi dengan saya?” Soal lelaki itu.

Suria tergaman. Dia baru menyedari hakikat itu. Aduh malunya! Dia melontarkan pandangan ke luar tingkap sambil mengetapkan bibirnya. Jelas di telinganya tawa lelaki itu meletus. Suria semakin segan.

“Maaf, saya tak…”

“Tak mengapa. Salah saya sebab malukan awak tadi.” Pintas lelaki itu sebelum sempat Suria menghabiskan kata-katanya. “Tapi saya akan berterima kasih kalau awak sudi bantu saya ke tempat yang saya nak pergi ni.” Sambung lelaki itu lagi.

Suria terdiam. Dah terlanjur dia masuk ke dalam kereta lelaki itu, tentu dia yang malu sendiri kalau menolaknya. Tiba-tiba muncul rasa kesal dalam dirinya kerana membabi buta mengikut lelaki itu. Bagaimana kalau lelaki itu orang jahat atau perogol bersiri yang sering dibacanya di dada akhbar? Diam-diam dia melirik lelaki itu dengan hujung mata. Mungkinkah?

“Jangan bimbang, saya bukan perogol seperti yang awak sangkakan.” Celah suara itu memintas. Dan untuk beberapa ketika lidah Suria jadi kelu. Lelaki itu bagaikan dapat membaca isi hatinya. Siapa dia ni? Pandai pulak menilik fikirannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!