Followers

Sunday, November 30, 2008

Vendetta 15

2 Bulan 13 hari selepas…..

Ayam sudah lama berkokok saling sahut menyahut. Dia mendengus geram. Bising punya ayam, aku nak tidur pun tak senang! Dia menutup telinganya dengan bantal peluk. Namun ayam-ayam di Kampung Sirih Pinang bagaikan berkomplot mahu menentangnya. Apa? Nak tubuh kerajaan ayam yang baru ke? Tak cukup-cukup lagi ke reban ayam yang ayah aku bina untuk korang semua? Dia membebel sendirian.
“Diammmmlah ayammmmmm!” Dia menjerit sekuat hati. Habis bergegar satu rumah disebabkan jeritannya yang berkumandang di subuh hari. Sebentar kemudian dia memasang telinga. Aikk? Berkesan ke? Kenapa semua ayam-ayam dah berhenti berkokok? Hehehhe. Dia tersengih seraya berkira-kira mahu menyambung tidur. Namun belum sempat matanya dipejamkan, satu senduk kayu terbang melayang ke arah kepalanya. Anabella terkejut. Dia cuba mengelak tapi tidak berjaya apabila hulu senduk itu mengena tepat ke arah dahinya. Serta-merta bibirnya mengaduh kesakitan.. Dia bingkas bangun. Matanya tergaman melihat wajah ibunya yang sudah merah padam memandang ke arahnya.
“Mak..apasal mak lempar senduk ni pada Ana?” Dia merungut sambil mengosok-gosokkan kepalanya.
“Kenapa? Tak boleh? Habis yang kamu menjerit macam nak runtuh rumah ni boleh pulak!” Mak Tun memulangkan paku buah keras. Geram betul dia dengan kerenah Anabella yang boleh membuatkan kepalanya pusing.
“Ala Ana bukannya sengaja mak. Ana tension aje dengar bunyi si Jalak tu berkokok dengan kawan-kawan dia.” Dia meletakkan kesalahan sepenuhnya pada si Jalak Lenteng kesayangan ayahnya.
“Habis, kamu ingat aku ni tak tensen tengok kamu dua puluh empat jam kat rumah ni?” Mak Tun menjerkah.
“Mak ni….macam tak suka aje Ana balik ke mari.” Dia pura-pura merajuk. Selimut di tubuhnya ditarik lebih tinggi. Sampai hati mak…
“Dah kalau kamu asyik duduk rumah, tak buat satu kerja apa pun…mana aku tak tensen. Cuba-cubalah tolong aku kat dapur tu, atau tolong ayah kamu beri makan si Jalak tu ada juga faedahnya. Ini kerja kamu Ana sejak balik ke mari…makan tidur…makan tidur. Dagu tu pun dah berlapis kalau berbulan-bulan macam ni.” Rungut Mak Tun.
Dia segera meraba di bawah dagunya. Issy mana ada berlapis. Saja aje lah mak ni.
“Mana ada dagu Ana ni berlapis mak…..dagu mak tu yang dah bertambah lapis.” Bulat matanya memerhatikan ke arah ibunya. Wanita itu memandangnya sambil mengetapkan kedua belah bibirnya. “Grrr….geramnya aku tengok budak ni! Lain yang aku kata, lain pulak yang dia faham.” Marah Mak Tun.
Dia segera memusingkan tubuhnya ingin beredar. Anabella terkelip-kelip memerhatikan ibunya. Sempat telinganya mendengar ibunya menyebut perkataan ‘tensen’ berkali-kali.
“Salah tu mak. Tension la, baru betul.” Dia membetulkan kata-kata ibunya. Namun Mak Tun langsung tidak memberi sebarang reaksi. Sebentar sahaja tubuh wanita itu menghilang dari biliknya. Anabella hanya tersenyum. Mak…mak, suka betul berleter macam mak nenek.
* * * *
Tanpa mandi dan membasuh muka, Anabella segera melangkah menuju ke arah dapur. Dia melihat ayahnya Ibrahim sedang duduk bersarapan dengan ubi rebus dan air kopi o pekat buatan tangan ibunya. Adik-adiknya Syasya dan Fifi pula sedang ralit menyuap mee ke dalam mulut. Dia sekadar ternganga memandang ke arah hidangan yang cukup menyelerakan di meja makan. Tanpa dipelawa Anabella segera menempati kerusi kosong berhadapan dengan ayahnya. Pinggan mee Syasya yang baru separuh disentuh segera ditarik. Syasya tergaman.
“Kak Ana!” Jerit Syasya dengan mulut dipenuhi mee goreng. Namun Anabella seakan tidak peduli. Laju mulutnya menyuap mee ke mulutnya sendiri. Dia mengunyah agak rakus. Sesudah itu cawan air kopi Fifi pula menjadi mangsa. Sesudah mengisi perutnya dia bingkas bangun lalu menghilang ke dalam bilik. Pak Him dan Mak Tun saling berpandangan. Begitu juga dengan Syasya dan Fifi.
“Awak tengoklah perangai anak dara awak tu. Makin lama makin menjadi-jadi. Sejak dia balik dari Kuala Lumpur, macam tu lah perangai dia. Pelik saya tengok!” Rungut Mak Tun.
“Ala tak ada apa-apalah tu. Dah dia lapar, dia keluarlah makan.” Sahut Pak Him acuh tak acuh. Dia memang tidak pernah mahu ambil kisah setiap perkara yang berlaku di dalam rumah itu. Dunianya hanyalah kebun sayurnya serta Jalak Lenteng yang menjadi kesayangannya.
“Takkan awak tak perasan dia dah lama sangat duduk kat sini. Kerja satu apa pun tak buat. Tiap-tiap hari kerjanya hanya membuta sahaja. Bila saya tanya, dia diam. Pening kepala saya memikirkan budak tu.” Keluh Mak Tun.
“Yang awak susahkan sangat ni kenapa? Kan dia dah beritahu kita yang dia ambil cuti lama. Awak ni kalau dia balik salah, tak balik pun salah.” Jerkah Pak Hin.
“Kalau betul bercuti tak apa. Tapi cuti apa ke bendanya sampai selama ini. Jangan-jangan Ana dah berhenti kerja tak.” Dia meneka sebarangan. Leher Pak Hin memanjang sebaik mendengar kata-kata isterinya. Dia hanya mampu menggelengkan kepala. Isterinya itu sejak dari muda sehingga ke tua suka benar menaruh prasangka yang bukan-bukan.
“Kamu Syasya..Fifi..takkan Kak Ana kamu tak pernah cakap apa-apa?” Mata Mak Tun beralih arah. Kedua anak gadisnya itu hanya menggelengkan kepala.
“Tak tahulah mak, Kak Ana tu bukannya nak cakap kalau ada apa-apa hal. Dia buat hal sendiri saja.” Balas Syasya. Fifi turut mengangguk.
Mak Tun termenung panjang. Puas dia memikirkan persoalan mengenai Anabella. Entah kenapa dia merasakan andaiannya benar-benar berasas. Ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh anak gadis itu dari pengetahuannya. Tapi apa dia?
* * * *
Anabella mencampakkan ranting kayu yang dipegangnya ke arah lopak air yang terletak di belakang rumah. Percikan itu sedikit sebanyak membuatkan air itu terpercik pula ke wajahnya, Dia lekas-lekas menyapunya dengan tangan. Sesudah itu dia kembali termenung.
Sejak dia balik dari Cherating tempohari, kerjanya hanyalah termenung…dan termenung, tidak pernah tahu habis. Kadangkala kalau dia tidak termenung, dia akan mengusik alat-alat make up Syasya…atau mengusik Fifi membuat kerja sekolah. Anak gadis yang baru belasan tahun itu pasti akan menjerit-jerit jika dia masuk. Gadis itu sudah faham benar dengan niatnya.
Sampai bila aku harus begini? Takkan nak berpeluk tubuh saja menanti kerja? Sudah berpuluh-puluh surat permohonan dihantarnya. Sudah berpuluh-puluh ringgit juga duitnya berhabis untuk kertas dan setem. Sesekali jika ada posmen singgah di halaman rumah, dia akan tertinjau-tinjau jikalau ada surat untuknya. Tapi posmen itu hanya tersengih memandangnya seolah memerli.
Ah tension!!! Jerit Anabella sekuat hati. Duit di sakunya semakin habis. Kesabarannya juga semakin menipis. Dia mengeluh panjang. Lagi lama aku kat sini, lagi panjang bebelan mak pada aku. Hendak balik ke Kuala Lumpur, dia terasa malu dengan Nora. Walaupun rumah sewanya dengan Nora masih mempunyai cagaran selama beberapa bulan.
Saat itu tiba-tiba dia terkenangkan Kojie. Apa khabar lelaki itu sekarang? Sihat atau masih gila-gila seperti dulu? Maaf Kojie, sebab aku pergi tinggalkan kau macam tu aje! Keluh Anabella.
Peristiwa 2 bulan yang lalu masih segar dalam ingatannya. Semua orang menyangka dia pergi meninggalkan tempat itu bersama Iqbal. Malah Iqbal sendiri bertegas mahu memutuskan tali pertunangan dengan Mira.
“Bella ikut Ib pergi ya. Kalau Bella tunggu kat sini, Mira akan buat kecoh. Kasihan Bella nanti.” Putus Iqbal. Dia hanya terpinga-pinga mendengar kata-kata Iqbal. Lelaki itu memang benar-benar baik terhadapnya.
“Kojie macamana?” Dia teringatkan Kojie yang masih belum sedar dari pengsan. Hatinya memang risaukan Kojie, apatah lagi kecederaan lelaki itu berpunca darinya.
“Makcik Kamariah boleh jaga Kojie. Bella tak perlu risau. Yang Bella perlu risaukan hanyalah soal kita.”
Dia tergaman. Matanya mencari-cari wajah Iqbal yang kelihatan serius.
“Ib nak kita sambung semula hubungan kita yang tak jadi dulu. Ib nak Bella balik ke pangkuan Ib.” Desak Iqbal. Dia terasa darah panas menyerbu ke mukanya. Dan seperti dipukau, dia sendiri tidak tahu kenapa dia mengikut Iqbal pergi tempohari dan meninggalkan Kojie yang masih pengsan.
Tapi cakap memang senang, nak melaksanakan itu yang sukar. Tiba-tiba sahaja dia berubah fikiran dalam sekelip mata. Belum satu pertiga perjalanan, dia sudah meminta Iqbal menghentikan kereta.
“Kenapa?” Lelaki itu memandangnya satu macam.
Dia terpisat-pisat memandang ke arah Iqbal. Rasa serba-salah cukup besar untuk lelaki itu. Tapi apakan daya, dia tidak mahu menyesal seumur hidup nanti. “Ib tinggalkan Bella kat sini boleh tak?” Pintanya. Iqbal tergaman. Kelopak mata lelaki itu berkelip-kelip memandang ke arahnya.
“Maaf Ib, Bella tak boleh ikut Ib kali ini. Bella minta maaf.” Ucapnya.
“Tapi kenapa?”
“Bella belum sedia Ib. Lagipun semua ini berlaku terlalu mendadak. Bella perlukan masa untuk berfikir.” Keluhnya. Wajah Iqbal bertukar riak. Kekecewaan jelas bermain di wajah itu.
“Bella nak balik pada Kojie?” Tanya Iqbal akhirnya.
Dia menggelengkan kepala. “Bella terasa nak balik kampung. Bella nak tenangkan diri kat situ.” Ujarnya. Iqbal menarik nafas panjang. Seketika kemudian, enjin kereta Iqbal dihidupkan kembali.
“Kalau macam tu Ib hantar Bella kat stesyen teksi atau bas yang terdekat.” Balas Iqbal tanpa memandang ke arahnya.
Anabella meraup wajah. Betulkah apa yang aku buat ni? Kenapa aku memilih untuk menghindari diri dari Iqbal jika lelaki itu yang sering bermain di fikiranku sejak 7 tahun yang lalu. Apa sebabnya? Dia sendiri keliru. Sukar mahu mempercayai tindakannya yang jelas nyata bodoh dan bodoh!
“Kak Ana….ada orang telefon!” Jerit Syasya sambil membuka jendela ruang dapur yang menghadap betul-betul di belakang rumah. Dia menoleh. Dahinya berkerut seribu. Siapa yang telefon?
* * * *
“Susahnya nak contact kau. Macam nak gila aku cari kau tau tak.” Rungut Zana di dalam telefon. Anabella hanya mampu tersenyum. Yang kau sibuk-sibuk naki cari aku, siapa suruh? Dia mengerling ke arah Syasya yang kelihatan berminat mahu mendengar sama panggilan yang diterimanya. Biji matanya dijegilkan ke arah anak gadis itu. Syasya mencebik lalu beredar ke dalam bilik.
“Tak sangka ada juga orang yang beria-ria nak cari aku sampai naik gila.” Anabella ketawa kecil. Sengaja mahu mengusik gadis yang pernah bekerja satu pejabat dengannya dulu. Namun terbit juga rasa hairan di hatinya. Angin tak ada, ribut tak ada…alih-alih hari ini dia mendengar suara Zana pula, penyambut tetamu di Trans-Trading.
“Bukan aku seorang yang gila. Encik Hafiz pun dah gila sebab kau!” Balas Zana seraya mengeluh. Mata Anabella terbuka luas. Encik Hafiz cari aku? Mahu apa lagi dia?
“Encik Hafiz suruh kau balik pejabat.” Sambung Zana.
Dia tergaman. Kepala lututnya terasa bagaikan mahu tanggal mendengar kata-kata-kata Zana. Biar betul ni!
“Dia nak apa? Kan aku dah kena pecat dari syarikat tu.”
“Helo kawan, siapa pulak yang pecat kau? Bukankah kau yang tulis surat letak jawatan dan tinggalkan pejabat macam tu aje?” Zana memintas kata-katanya. Anabella tercengang. I am? Dia memegang kepala yang mula terasa pusing.
“Dan untuk pengetahuan kau, Encik Hafiz tak pernah pun serahkan surat letak jawatan kau tu pada orang atasan. Itu bermaksud, kau masih lagi pekerja Trans-Trading.” Ujar Zana.
“Kau gurau ni kan Zana?” Dia tidak percaya.
“Kau ingat aku ni tak ada kerja lain dah sampai nak buat gurauan macam ni sekali? Dahlah Bella, baliklah semula ke sini. Cakap sendiri dengan Encik Hafiz.”
“No way! Kau nak suruh aku balik semula lepas semua orang tuduh aku mencuri?” Dia membidas kata-kata Zana. Gadis itu terdiam agak lama. Barangkali sudah kalah mahu menukas kata-katanya.
“Letak kau kat tempat aku. Macamana kau rasa kalau orang tuduh kau pencuri?” Dia menyambung rasa tidak puas hatinya. Masih terbayang-bayang lagi di matanya saat-saat dia dimalukan tempohari. Macamana dia nak berhadapan dengan rakan-rakan sekerjanya kalau begini?
“Bella…” Panggil Zana.
“Apa?” Pantas dia meningkah. Panas hatinya masih berbahang.
“Beberapa minggu yang lepas, kejadian kecurian yang sama berlaku lagi. Kali ni pencuri tu angkut peti deposit yang sama di bilik Encik Hafiz.” Cerita Zana.
Anabella tercengang. Mak oi, angkut dengan peti sekali?
“Masa dia nak bawa turun peti tu, kakinya tergelincir dan tersadung pada tali yang terikat pada peti tu. Dia jatuh tangga dengan peti tu sekali menghempap badan dia. Teruk juga kecederaan dia. Kami terpaksa panggil ahli bomba untuk angkatkan peti besi tu.” Ujar Zana. Anabella ternganga. Kalau si luncai boleh terjun dengan labu-labunya, tak mustahil si pencuri juga boleh terjun dengan peti besinya!
“Siapa sebenarnya yang punya angkara?” Anabella sudah tidak sabar ingin tahu.
“Kalau aku cakap, kau mesti tak caya punyalah.”
“Zana, cakap ajelah.” Dia mengetapkan bibir. Geram! Tadi beria-ria bercerita, tapi bila sampai masa tak mahu pula beritahu aku siapa yang punya kerja!
“Baik kau cakap Zana sebelum angin aku ni datang. Kau belum tengok lagi kalau aku naik angin. Bagitahu aku siapa yang punya angkara sampai aku yang dituduh mencuri!” Herdik Anabella di dalam telefon.
“Kak Mun….” Jawab Zana perlahan.
Mata Anabella membulat. “Kak Mun mana ni?”
“Kak Mun, tukang cuci pejabat kita tu lah.”
“Kau biar betul ni….” Barannya datang semula. Dia menyangka Zana sengaja mahu mempermainkannya. Takkan wanita berusia 40an itu yang punya angkara. Dia masih ingat lagi dengan Maimun, wanita pendiam yang tidak banyak cakap itu.
“Kau dengan Encik Hafiz ni memang sama-sama dah gila. Ada ke korang tuduh Kak Mun tu. Dia dah tua, takkan dia boleh mencuri. Lagipun orang yang mencuri peti besi bilik Encik Hafiz tu terer tau, profesional lagi. High skills..kata orang putih. Kau ingat calang-calang orang boleh buka peti besi Encik Hafiz tu?” Dia ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Kalau tuduh aku pun adalah logik sikit. Sebab aku ni suka berhutang keliling pinggang. Ini tuduh Kak Maimun yang slow motion tu. Hahahaa…Anabella ketawa besar di dalam hati.
“Bella, kalau kau tengok sendiri macamana dia kena hempap dek peti besi tu..baru kau nak percaya agaknya! Encik Hafiz siap ambil gambar lagi sebab nak tunjuk kat kau. Lagipun tak mustahil Kak Mun boleh buka peti besi tu, sebab bukankah dia yang selalu kemaskan bilik Encik Hafiz tu.” Balas Zana.
“Ha betul ke Zana? Kuatnya dia sampai boleh angkat peti besi.” Anabella tidak berani lagi ketawa. Kini dia belajar untuk percaya!
“Kalau almari fail kat bilik mesyuarat kita tu dia boleh angkat sorang diri, takkan peti besi kecik kat bilik Encik Hafiz tu dia tak boleh angkat.” Bidas Zana. Anabella terdiam. Betul juga. Dia sendiri pernah menyaksikan kehebatan Kak Mun mengangkat almari fail tersebut tempohari. Itu belum kira dia kagum dengan kehebatan Kak Mun menghabiskan seperiuk nasi sewaktu mereka mengadakan Hari Keluarga syarikat mereka di Pantai Port Dickson dua tahun yang lalu.
“Sudahlah Bella….buanglah sikit ego kau tu. Baliklah semula ke pejabat ni. Encik Hafiz pun dah lama cari kau. Nanti kalau dah balik ke mari jangan lupa perbaharui alamat kau dengan bahagian ibupejabat. Kau bagi alamat rumah sewa saja, sedangkan alamat kampung kau tak bagi. Naik gila aku disuruh Encik Hafiz cari kau. Tak fasal-fasal aku dah jadi detektif selama 2 minggu ni.” rungut Zana lagi tidak habis-habis.
“Habis mana kau tahu aku kat sini?” Dahi Anabella berkerut. Setahunya dia juga tidak pernah memberitahu Nora di mana kampungnya atau di mana rumah ibubapanya. Kalau Nora tahu rumah aku bukanlah mahligai besar seperti rumah dia, masak aku dia kerjakan. Hati Anabella mula dipagut bimbang.
“Telefon kau tercicir. Dua hari lepas, Kak Ton jumpa. Mungkin ada orang tersepak sampai ke bawah meja dia. ” Balas Zana ringkas.
“Telefon aku? Tapi bukankah telefon aku dah…” Kata-katanya terhenti. Perkataan ‘hilang’ yang ingin disebutnya terhenti di hujung lidah. Selama ini dia menyangkakan dia kehilangan telefon itu. Rupa-rupanya telefon itu ada di pejabatnya. Tiba-tiba Anabella teringat kejadian petang lalu apabila dia menerima panggilan dari Mira di pejabatnya. Ketika itulah telefon yang dipegangnya terlepas dari tangan. Aduh..kenapa aku ni boleh lupa pulak fasal telefon tu!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!