Followers

Tuesday, June 29, 2010

Arina : Bab 16

HAMPIR hendak terkeluar makanan yang dimakan Arina apabila ayahnya meminta dia mengikut Alwiz ke Filiphina keesokkan harinya. Dia menatap ayahnya dengan wajah tidak percaya. Cepatnya lelaki itu bertukar fikiran, entah jampi apa yang dikenakan oleh Alwiz terhadap ayahnya yang terkenal garang dan tegas.

“Ayah dah uruskan tiket penerbangan kamu pagi esok.” Ujar Fahrin Toh memberitahu.

“Tapi kenapa ayah?” tanya Arina tanpa mempedulikan Alwiz yang sedang merenungnya.

“Jangan banyak soal, ikut saja.” Jawab Fahrin Toh acuh tak acuh. Nasi di mulutnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tidak ada mood untuk menjelaskan segala-galanya pada Arina apatah lagi dengan kehadiran Suhana dan Umar di meja makan.

“Arin tak mahu ayah.” Jawab Arina berdegil. Dia menjeling tajam ke arah Alwiz yang diam di tempatnya. Entah apa helah lelaki itu kali ini.

“Kita dah jumpa Chayi. Ayah nak Arin ikut Alwiz ke Manila dan jemput Chayi di sana.” Ujar Fahrin Toh akhirnya.

Kata-kata Fahrin Toh mengejutkan seisi rumah itu. Arina terlopong mendengar kata-kata ayahnya. Jadi Alwiz telah setuju melepaskan Chayi? Sudahkah dia dapat apa yang dimahukannya?

“Chayi dah jumpa bang?” Suhana menyampuk dengan wajah syukur.

Fahrin Toh mengangguk. “Dah…dia main-main aje dengan kita. Tadi dia call abang kata nak balik ke mari secepat yang mungkin.” Balas Fahrin Toh selamba. Sedikit pun hatinya tidak berganjak mendengar pembohongannya sendiri. Dia sempat mengerling ke arah Alwiz yang turut menatapnya. Pandangan kedua-dua lelaki itu bertaut.

“Kenapa kita tak tunggu Chayi di sini saja ayah?” tanya Arina ingin tahu. Entah kenapa dia rasa tidak sedap hati. Kenapa dia yang harus mengikut Alwiz? Kenapa tidak Alwiz sahaja yang memulangkan Chayi ke mari seperti yang dijanjikan?

Fahrin Toh tidak terus menjawab. Wajahnya sayu memandang ke arah anak gadis yang telah lima tahun bersamanya di sini. Dia tahu sebelum Arina ditinggalkan bersamanya, Magdalena Anna telah melakukan sesuatu yang aneh terhadap Arina. Sesuatu yang membuatkan Arina hilang ingatan dan menyangka dirinya adalah anak kandungnya. Juga membuatkan seisi kaum keluarganya memikirkan bahawa gadis itu adalah anaknya yang dilahirkan oleh isterinya Magdalena Anna yang telah meninggal dunia dan pusaranya pula terletak di Mandaluyong.

Kesemua ingatan ahli keluarganya yang lain seolah-olah terhapus begitu sahaja tanpa sebarang kesan. Malah nama arwah isterinya Adelia langsung tidak pernah disebut atau diingati oleh orang-orang lain di rumahnya. Chayi yang baru berusia 15 tahun juga ketika itu menyangka Arina adalah kakak kandungnya sejak kecil, manakala Madina atau Magdalena Anna disangka ibu kandungnya.

“Ayah…” panggil Arina. Tidak puas hati kerana lelaki itu masih belum menjawab pertanyaannya. Mendengar panggilan anak gadis itu, lamunan singkat Fahrin Toh menghilang.

“Arin, ayah nak Arin ke sana sebab Chayi lebih rapat dengan Arin. Dia akan dengar cakap Arin berbanding orang lain. Can you do that for me? Bring him home?” Pinta Fahrin Toh.

Arina terdiam. Kata-kata Fahrin Toh tidak mampu menyingkirkan rasa sangsinya. Dia nampak jelas raut wajah ayahnya yang muram. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang membelenggu fikiran ayahnya saat itu.

* * * *

TUBUH Fahrin Toh mengadap ke arah permukaan air kolam di belakang rumahnya. Sejak makan malam tadi, dia asyik menyembunyikan dirinya di situ. Dia tahu Arina mahu bertanyakan sesuatu dengannya, tapi dengan sengaja dia cuba mengelakkan diri untuk memberi sebarang jawapan pada gadis itu.

Perbualannya dengan Alwiz menyebabkan dia terpaksa membuat satu keputusan penting yang sukar untuk dilakukan. Dia tahu lambat laun dia akan terpaksa melepaskan Arina pergi dari hidupnya. Lagi pula Arina bukanlah miliknya sejak azali, meskipun dia teramat mengasihi gadis manis itu.

“Kami perlukan Kunci Orkid itu Encik Fahrin. Tolonglah serahkannya pada kami sebelum dunia kita berdua musnah. Atau sebelum orang-orang Raja Kreuk datang ke mari.” Pinta Alwiz.

Dia tergaman. Kata-kata Alwiz membuatkan dia terkesima.

“Wait..apa maksud kamu yang orang-orang Raja Kreuk datang ke mari?”

Alwiz dilihatnya menghela nafas payah. Wajah lelaki itu serius menatap ke arahnya.

“Petang tadi, saya nampak perisik-perisik dari Lembah Hitam mengekori kami ke galeri Arina. Ini bermakna sebahagian dari mereka sudah ada di sini dan mereka mungkin sudah tahu tentang Arina.” Ujar Alwiz.

“Tak mungkin! Ini bermakna nyawa Arina turut dalam bahaya. Kamu harus bawa dia pergi Alwiz.”

Alwiz terdiam. Lelaki itu termenung seketika bagaikan sedang memikirkan permintaannya.

“Misi saya di sini hanya untuk mendapatkan Kunci Orkid sahaja Encik Fahrin, bukan membawa Arina pulang. Lagipun Encik Fahrin tentu tahu saya tak boleh bawa Arina pulang ke Drutasia lagi. Dia akan jadi orang buruan di sana seumur hidupnya. Bukan ini yang Magdalena mahukan untuknya.”

“Lalu apa yang kamu sendiri mahu?” Dia memandang ke arah lelaki itu.

Wajah Alwiz berubah.

“Saya tahu siapa kamu Alwiz. Dan saya tahu apa hubungan kamu dengan anak saya. Kamu mencintainya bukan? Jangan berbohong dengan saya sebab saya masih ingat dengan nama yang kerap Arina sebut dalam mimpinya.”

Alwiz mendongak wajah. Kata-katanya berupaya memancing perhatian Alwiz.

“Meskipun dia hilang ingatan, tapi kadang-kala ada satu dua perkara yang dilakukannya tanpa disedari. Salah satunya ialah dengan menyebut nama kamu berulang-kali ketika dia sedang tidur.” Ujarnya cuba menyakinkan kebenaran kata-katanya terhadap Alwiz.

“Kalau kamu mahukan Kunci Orkid tu, kamu kena berjanji sesuatu dengan saya. Kamu harus bawa Arina pergi dari sini. Magdalena pernah berpesan dengan saya. Kalau ada apa-apa yang tak kena berlaku, saya harus membawa Arina pergi dari sini. Dan sekarang ini, saya hanya boleh bergantung pada kamu dan kawan-kawan kamu untuk melindungi dia seperti yang Magdalena mahukan.” Putusnya dengan tegas.

“Ayah..” panggil suatu suara dari arah belakang. Lamunan Fahrin Toh segera terhenti. Dia menoleh. Arina berdiri di suatu sudut sambil memandang ke arahnya.

“Puas Arin cari ayah, rupanya ayah kat sini.” Keluh anak gadis itu. Arina menghampirinya lalu duduk di salah sebuah bangku rehat di tepi kolam renang, berhadapan dengannya.

Dia memandang anak gadisnya saat kelibat tubuh itu menghampirinya. Setiap raut wajah Arina diperhalusi dengan sepasang matanya.Wajah manis itu akan dirinduinya jika Arina sudah pergi nanti. Dia sedar dia takkan selama-lamanya dapat menjaga gadis itu. Bila tiba masanya, dia harus merelakan gadis itu pergi dari hidupnya. Lagipun kehadiran perisik-perisik Kreuk di sini menandakan anak gadis itu akan berada dalam bahaya samaada bersamanya ataupun tidak.

“Ayah, Arin tak tahu kenapa ayah buat keputusan macam ni. Arin nak ayah tahu yang…yang Arin dengan lelaki tu tak ada apa-apa hubungan langsung. Dia..dia sebenarnya yang menculik Chayi ayah.” Beritahu Arina seraya menatap wajah ayahnya. Kali ini dia sudah nekad mahu menjelaskan segala-galanya pada lelaki itu.

Fahrin Toh hanya mendengar dengan tenang.

“Dia ugut Arin dan paksa Arin bawa dia datang ke mari untuk jumpa ayah. Arin terpaksa ayah. Arin takut kalau Arin tak ikut cakap dia, dia akan cederakan Chayi.” Sambung Arina lagi dengan nafas termengah-mengah ketika bercerita.

“Arin…” panggil Fahrin Toh.

“Fasal gambar tu Arin langsung tak tahu menahu ayah. Selama hidup Arin, inilah kali pertama Arin jumpa dengan lelaki tu. Arin rasa dia sengaja guna teknik super impose pada gambar tu untuk menipu kita.” Ujar Arina tanpa menyedari panggilan Fahrin Toh.

“Syy sayang, stop it will you. Ayah tahu…” Pintas Fahrin Toh.

Arina tergaman. Tahu? Apa maksud ayahnya?

“Ayah tahu siapa Alwiz dan ayah juga tahu dia yang menculik Chayi. Tapi ayah boleh yakinkan Arin yang lelaki itu tak ada apa-apa niat buruk pada keluarga kita. Dia datang ke mari ada tujuan dan dia takkan mengapa-apakan kita. You can trust him sayang.” Ujar Fahrin Toh.

Mulut Arina melopong mendengar hujah Fahrin Toh. Kenapa ayahnya boleh mempertahankan Alwiz sampai begini sekali? Tahukah ayahnya lelaki itulah yang telah menculik Chayi. Lelaki itu jugalah yang telah mengugutnya sepanjang penerbangannya dari Filiphina ke Malaysia. Kenapa cerita tentang Alwiz langsung tidak membangkitkan apa-apa reaksi pada ayahnya?

“Ayah, kenapa Arin rasakan yang ayah sedang sembunyikan sesuatu dari pengetahuan Arin? Ayah tahu siapa lelaki tu tapi kenapa ayah macam tak kisah?” Dia menyoal ayahnya.

Fahrin Toh memandang anaknya yang kelihatan berang. Wajah yang putih mulus itu kini kemerah-merahan. Dia tahu gadis itu sedang menuntut satu penjelasan darinya. Sesuatu yang tak mampu dilakukannya buat masa sekarang.

“Dah lewat ni Arin..pergi tidur sekarang. Esok Arin nak berangkat awal.” Suruh Fahrin Toh sambil menepuk bahu anak gadisnya. Entah mengapa suaranya sebak sebaik dia teringatkan esok dia akan berpisah dengan Arina. Alwiz akan membawa anak gadisnya pergi jauh dari hidupnya.

“Ayah…” Arina semakin bingung. Melihat Fahrin Toh sudah berdiri dan bersedia mahu meninggalkan tempat itu, mahu tak mahu dia terpaksa mengalah dengan kebisuan si ayah. Kelibat ayahnya menghilang ke dalam dalam sekelip mata. Dia pula masih di situ, tidak berniat untuk kembali ke biliknya seawal ini. Di situ dia termenung panjang melihat perubahan sikap ayahnya yang kelihatan aneh. Apa sebenarnya yang dibincangkan oleh ayah dan Alwiz siang tadi?

Dari jauh, kelibat Arina diintai sepasang mata yang sedang berdiri di tepi penjuru tiang. Dari tadi dia mendengar perbualan antara Arina dan Fahrin Toh. Alwiz mengerti bahawa Fahrin Toh berat hati mahu berpisah dengan Arina. Namun mereka telah berbincang. Keselamatan Arina takkan terjamin di sini jika sebahagian perisik-perisik Kreuk telah pun menemui Arina di sini. Pasti lambat laun, Arina akan dikesan dan ditangkap. Cara terbaik untuk melindungi gadis itu adalah dengan meletakkannya di bawah perlindungan Akademi.

Mungkin Mr. Joshee akan menentang pada awalnya, tapi Alwiz yakin lambat laun Mr. Joshee akan menerima pandangannya. Dia tahu benar sikap lelaki yang menjadi mentornya di Akademi. Dalam keras hati Mr. Joshee…ada kelembutan sikap kebapaan. Lagipun lelaki itu pernah mempertahankan Arina, tak mustahil dia akan melakukannya lagi untuk kali kedua.

Mata Alwiz masih ralit memerhatikan gerak geri Arina yang leka termenung. Dia tahu Arina tidak mahu menerima cadangan ayahnya untuk mengikutnya ke Filipina, tapi gadis itu tidak ada pilihan lain. Suka atau pun tidak, dia harus membawa Arina bersamanya meskipun jika harus dipaksa.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!