Followers

Friday, October 12, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 7


            SEPERTI rutin hariannya yang lalu, dia menjemput Naufal di sekolah. Sejak akhir-akhir ini, Naufal tidak banyak bercakap dengannya. Anak itu jadi pemurung. Semuanya disebabkan oleh pakcik dan makciknya yang tinggal bersama mereka.

“Naufal nak makan dulu sebelum balik?” Soalnya pada adiknya itu. Naufal hanya menggelengkan kepala.

“Kalau macam tu, kita balik terus ya?” Dia mengenggam tangan adiknya lalu menghelanya ke suatu arah. Tiba-tiba Naufal menepis tangannya. Dia tergaman. Bulat matanya memandang wajah adiknya yang berkerut muram.

            “Naufal, kenapa ni?”

            “Kak, kita jangan balik boleh tak?” Pinta Naufal.

Dia tersentak. Wajah Naufal ditatap dengan dahi berkerut.

            “Naufal tak tahan dengan Pak Long dan Mak Long tu. Sejak mereka tinggal dengan kita, mereka selalu susahkan kakak. Mereka selalu marah-marah Naufal.” Rungut Naufal.

            Dia termenung panjang mendengar kata-kata yang meniti keluar dari bibir adiknya. Seperti Naufal, dia juga berat hati mahu bersua muka dengan Kamal dan Musliha. Tapi apa boleh, rumah peninggalan arwah ayahnya itu harus dilindunginya.

            “Kakak tak boleh tinggalkan rumah tu, Naufal. Itu rumah ayah dan umi kita. Kakak dah janji dengan aunty Zaharah supaya tunggu umi balik dari hospital.” Pujuknya.

            “Tapi Pak Long dan Mak Long selalu marah-marah kakak…”

            “Biarlah mereka nak marah pun, kakak tak kisah. Bukan luak pun. Itu rumah kita bukan rumah mereka. Lagipun Naufal dah tak sayangkan umi? Nanti umi balik rumah tak nampak kita, umi tentu risau.” Ujarnya lagi, cuba memujuk adiknya.

            Naufal terdiam. Wajah itu seperti tidak senang hati. Beg sekolah dikemaskan di bahu lalu Naufal mendahului langkah berlalu pergi. Dia hanya mampu tersenyum melihat gelagat Naufal. Sejurus dia mengekori adiknya dari belakang.

            Sebaik sampai di rumah, hidung mereka terhidu aroma enak datangnya dari dalam rumah. Dia memandang Naufal yang sedang meraba perut. Dia tahu Naufal tentunya kelaparan kerana sehari suntuk berada di sekolah tanpa duit belanja.         “Sedaplah kak, siapa masak?” Naufal bertanya. Dia menggelengkan kepala. Perlahan-lahan dia melangkah masuk, diekori Naufal dari belakang.

            Dari jauh, dia terlihat makcik dan pakciknya sekeluarga sedang berada di meja makan sambil menghadap hidangan makan tengahari yang menyelerakan. Menyedari kehadiran dua beradik itu, Kamal dan Musliha menoleh.

            “Hah dah balik pun budak berdua ni. Yang tercegat kat situ macam tunggul mati tu apasal? Pergilah naik atas.” Herdik Kamal yang sedang menyuap udang kara ke mulutnya. Musliha hanya memandang mereka dengan wajah dingin.

             “Naufal, jom kita naik atas.” Dia menarik tangan Naufal, tapi anak itu tidak berganjak dari situ.

            “Kak, Naufal lapar.” Rengek Naufal.

Dia terdiam lalu memandang pasangan suami isteri itu dengan pandangan sayu. Berharap agar pakcik dan makciknya itu mengasihani mereka berdua.  

            “Oh lapar? Habis kamu ingat makanan yang ada ni aku simpan untuk kamu? Banyak cantik muka kamu!” Musliha tersengih.

            “Mak long, tolonglah bagi Naufal makanan tu sikit. Kasihan dia, sejak pagi tadi dia tak makan apa-apa. Duit belanja pun kami tak ada.” Dia merayu. Kasihan melihat keadaan adiknya.

            “Habis kamu ingat kami ni cap duit nak bagi kamu duit belanja tiap-tiap hari? Kami duduk sini jaga kamu pun dah kira nasib baik tahu. Nak tunggu mak kamu sembuh, sampai kiamatlah jawabnya.” Balas Musliha lancang.

            Dia terdiam. Kepiluan mula menusuk ke jiwanya. Hatinya hiba melihat raut wajah Naufal yang asyik memandang makanan-makanan enak yang terhidang di atas meja makan. Tapi apa daya dan kudrat yang dimilikinya untuk mengisi perut adiknya yang kosong?

“Tak apalah Naufal, nanti kakak masakkan untuk Naufal.” Dia cuba memujuk. Naufal mengangguk lesu. Akur dengan kata-katanya kali ini.

Dia mengesat pinggir mata. Hatinya benar-benar sedih melihat kehampaan yang bertaut di wajah adiknya. Kasihan Naufal! Ketika kanak-kanak lain belajar dengan tenang, dia dan Naufal belajar dengan perut kosong. Sewaktu anak-anak lain makan nasi berlauk enak, mereka hanya menelan nasi dengan telur goreng berkuahkan kicap. Dan semua rutin itu berlaku hampir setahun lamanya….

*  *  *  *

            “Nira, saya tengok pelajaran awak dari hari ke sehari semakin merosot. Dulu awak pelajar cemerlang. Sekarang ni awak gagal tiga subjek. Kenapa boleh jadi macam ni Nira?” Soal Cikgu Hamidah, guru kelasnya yang berusia dalam lingkungan 40an.

            Dia hanya diam. Tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya pada guru tersebut. Bagaimana mahu dinyatakan masalah yang melanda keluarganya setelah kematian ayah tersayang? Malah sehingga kini, orang yang membunuh ayahnya masih belum ditangkap. Meskipun dia telah memberitahu pihak polis tentang lelaki bertatoo yang ditemuinya di luar pejabat ayahnya, namun maklumat yang diberikannya itu seolah-olah tidak ada gunanya.

            “Nira, awak ada masalah?” Suara Cikgu Hamidah lembut menyoal.

            Dia memandang guru itu. Kepalanya digelengkan.

“Maaf cikgu, saya tak berapa sihat masa buat ujian hari tu. Insya Allah, lain kali saya janji saya akan belajar bersungguh-sungguh,” Ikrarnya meskipun dia sendiri ragu-ragu dengan janji yang dibuatnya.

            Dengan kerja sambilan yang dibuatnya selepas balik dari sekolah sehingga ke malam, dia tak pernah ada masa yang cukup untuk mengulangkaji pelajaran. Selepas pulang dari warung tempat dia bekerja, jarum jam sudah menginjak pukul 10 malam. Itupun tuan punya warung itu membenarkan dia balik awal kerana dia masih bersekolah. Dengan lebihan lauk-pauk yang diperolehinya dari warung tersebut, dapatlah dia membawa makanan yang sedap-sedap untuk Naufal di rumah.

Hampir setiap malam juga dia menangis kerana rasa bersalah. Hatinya sedih kerana terpaksa meninggalkan Naufal berseorangan di rumah. Tapi apa dayanya? Jika dia tidak bekerja, mana datangnya duit untuk membiayai perbelanjan sekolah mereka dua beradik? Dia juga perlu membayar yuran PMR yang akan dihadapinya dalam masa beberapa bulan lagi. Untuk mengambil wang simpanan ayahnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya.

Sebelum Zaharah berangkat ke luar negara mengikut suaminya, wanita itu ada membekalkan sejumlah wang kepadanya. Namun entah dari mana, pakciknya Kamal mengetahuinya. Dan dengan wajah tidak bersalah, lelaki itu merampas wangnya sebaik Zaharah beredar dari situ.

Kata pakciknya, budak-budak kecil tidak boleh menyimpan banyak wang, nanti membazir. Namun setelah beberapa bulan berlalu, lelaki itu langsung tidak memberinya walau sesen pun wang yang dititipkan Zaharah kepadanya. Setiap malam mereka dibiarkan berlapar, sedangkan pasangan suami isteri itu dan anak-anak mereka makan makanan yang enak-enak.

“Nira dan Naufal sihat?” Pertanyaan Zaharah singgah di pendengaran. Sejak berada di bumi New Zealand, Zaharah tidak pernah lupa menelefonnya setiap dua minggu sekali untuk bertanya khabar.

Dia hanya mengiyakan. Berpura-pura sihat dan gembira tinggal bersama Pak Long dan Mak Longnya. Sedangkan hakikatnya, hanya dia dan Naufal saja yang tahu betapa hidup bersama pasangan suami isteri itu bagaikan hidup di dalam neraka.

Pernah dia terfikir untuk mengadu pada Zaharah tentang layanan Kamal dan Musliha pada mereka. Tapi setiap kali dia terfikir yang dia hanya akan menyusahkan wanita itu, maka segala kesedihannya cuba ditelan sendiri.

            “Umi, bila umi nak sembuh? Nira rindukan umi. Naufal juga sama. Kami berdua perlukan umi.” Bisiknya ketika melawat ibunya petang itu. Keadaan wanita itu tidak banyak berubah sejak beberapa bulan yang lalu. Malah reaksi ibunya sangat pasif. Kalau dulu ekor mata ibunya akan bergerak-gerak setiap kali dia cuba berbicara dengan wanita itu. Namun kini, ibunya tak ubah seperti mayat hidup.

            “Ibu Nira masih lama di sini. Keadaannya masih belum pulih.” Ujar jururawat yang sering ditemuinya jika dia melawat ibunya.

            “Kalau Nira nak bawa umi balik, boleh tak Kak Tun?” Tanyanya pada wanita itu. Zaitun dilihatnya terdiam.

            “Kakak rasa tak boleh Nira. Doktor mesti tak benarkan. Keadaan Puan Zahlia ni masih belum menampakkan perubahan.” Ujar Zaitun, cuba menjelaskan padanya.

            Dia mengeluh. Sebak hatinya melihat uminya yang dahulunya ceria dan suka ketawa kini berubah begitu. Umi, sembuhlah umi. Nira rindukan umi! Nira dah tak tahan hidup begini, keluhnya sebak.

            Pusat rawatan itu ditinggalkan dengan hati hampa. Meskipun berat hatinya mahu meninggalkan perkarangan pusat rawatan itu, namun dia harus meneruskan hidupnya demi Naufal. Adiknya itu masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Dia sebagai kakak harus melindungi Naufal.

            Matahari yang tegak di atas kepala langsung tidak diendahkan. Dia masih sabar menanti bas di perhentian yang tersedia di hadapan pusat rawatan itu. Sesekali matanya mendongak ke arah terik mentari yang menyilaukan. Peluh renek mula menitis dari dahinya.

            Tiba-tiba matanya seolah terpanggil untuk menoleh ke suatu arah. Dia memandang lama. Sebuah kenderaan baru sahaja melewatinya, lalu menuju ke arah pintu masuk pusat rawatan. Dahinya berkerut. Itu kereta pakciknya Kamal. Apa lelaki itu buat di sini? Mahu melawat umikah?

Dia mula diterpa perasaan hairan. Sejak bila lelaki itu mengambil berat soal ibunya? Seingatnya sejak ibunya jatuh sakit, lelaki itu tidak pernah sekalipun mahu ambil peduli, inikan pula mahu menziarahi ibunya. Aneh!

1 comment:

Unknown said...

memang tak dek ati perut betul manusia yg bergelar pak long n mak long!!!'hampeh nye manusia cam tu,lagi baik tak ade mak saudara dari hidup derita disamping syaitan yang bertopeng kan manusia.maaf lah nita teremo...hehe

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!