Followers

Tuesday, June 29, 2010

Arina : Bab 13

JERRY bergerak dengan langkah pantas menuju ke arah sebuah bilik. Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu, dia segera menerpa masuk dengan nafas tercungap-cungap. Nakhael yang sedang berbual dengan Mr. Joshee berpaling.

“Kenapa Jerry?” Tanya Nakhael.

“Budak tu dah larikan diri. Aku nampak bilik kurungan tu kosong waktu aku nak bawa masuk makanan untuk tahanan kita tu.” Ujar Jerry.

Nakhael dan Mr. Joshee saling bertatapan. Mr. Joshee memberi isyarat. Nakhael mengangguk lalu beredar ke muka pintu. Jerry yang mahu mengikutinya dihalang.

“Tak perlu, aku akan cari dia sendiri. Aku rasa dia masih di kawasan ini.” Ujar Nakhael lalu bergegas keluar dan menghilang dalam sekelip mata. Jerry mengeluh panjang. Dia menoleh ke arah Mr. Joshee yang terkelip-kelip memandangnya.

“Budak tu menyusahkan kita aje. Kita patut bunuh dia saja Tuan.” Rungut Jerry seraya melempiaskan dirinya ke atas sebuah sofa kulit. Mr. Joshee hanya tersenyum memandang ke arah Jerry.

“Sejak bila kita para gerero bebas untuk membunuh sesiapa sahaja yang kita suka? Kamu memang suka bercakap tanpa menggunakan otak Jerry.” Gumam Mr. Joshee sambil menggelengkan kepalanya.

“Sampai bila kita harus berada di sini Tuan? Saya sudah bosan terpaksa menanti di sini. Dan bagaimana kalau kita gagal menemui Kunci Orkid? Apakah kita akan tersekat di sini buat selama-lamanya?” Keluh Jerry.

“Kita takkan berada di sini buat selama-lamanya Jerry. Kunci itu akan kita temukan. Alwiz sedang berusaha mendapatkan kunci itu dari Fahrin Toh.” Jelas Mr. Joshee, cuba menyabarkan anak muda yang suka bertindak terburu-buru.

“Bagaimana kalau Fahrin Toh enggan menyerahkan kunci itu?”

Mr. Joshee terdiam. Dia sedang memikirkan kemungkinan tersebut. Namun dia pasti Alwiz tentu ada cara untuk memujuk Fahrin Toh.

Jerry mengeluh. “Kalau dia enggan serahkan kunci tu, jadi izinkan saya bunuh budak lelaki yang menyusahkan tu Tuan.” Tukas Jerry.

Mr. Joshee menjeling Jerry yang kelihatan serius dengan kata-katanya. Budak bertuah! Tak habis-habis nak bunuh orang! Namun dia tahu kata-kata lelaki itu bertitik tolak dari rungutannya bukan seserius wajahnya. Lelaki itu memang suka main-main. Mr Joshee mendengus seketika lalu melangkah keluar meninggalkan Jerry yang kemudiannya tersengih.

* * * *

MATA Chayi liar memerhatikan persekitaran tempat itu. Kawasan itu hanya diterangi dengan lampu yang terhias di setiap penjuru sudut. Dia mengawasi, bimbang kalau-kalau orang yang menangkapnya akan dapat mengesannya di situ. Sudahlah bersusah payah dia baru dapat meloloskan dirinya. Dia tidak rela ditangkap sekali lagi dan disumbat ke dalam kurungan yang selayaknya untuk binatang.

Bunyi tapak kaki bergegas dari suatu arah membuatkan Chayi tergaman. Tapak kaki itu semakin lama semakin dekat. Tanpa sempat berfikir panjang Chayi segera menolak pintu di hadapannya lalu meluru masuk.

Sebaik dia melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, Chayi tergaman melihat bilik itu kelihatan seperti sebuah bilik tidur yang lengkap dengan katil, almari pakaian Terdapat beberapa helai pakaian wanita tergantung di dalamnya. Chayi mengerutkan dahinya. Seingatnya sepanjang dia dikurung di tempat itu, dia tidak pernah melihat sebarang perempuan berada dalam kelompok mereka yang menculiknya.

Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi. Chayi menoleh. Dadanya berdebar-debar tidak keruan. Apakah salah seorang dari penculik itu sudah tahu dia berada di dalam bilik ini? Tanpa membuang masa, Chayi segera mengurung diri di dalam almari. Pintu almari pakaian itu ditutup berhati-hati.

Beberapa ketika kemudian, dia terdengar daun pintu ditolak dari luar. Sepasang tapak kaki melangkah masuk perlahan-lahan. Chayi cuba menahan nafas. Bunyi tapak kaki itu semakin lama semakin dekat, membuatkan dadanya berdebar kencang. Dia sudah mengenggam penumbuknya dan sedia untuk melawan jika benar dia terpaksa menghadapi penculik itu.

Helaan nafas orang di luar cukup jelas kedengaran di telinga Chayi. Peluh dingin mula menitik di dahinya. Tuhan! Selamatkan aku dari mereka semua! Aku terlalu rindu untuk balik ke pangkuan keluargaku! Bisik hati kecil Chayi.

“Aku tahu kau ada kat dalam. Keluar dari almari pakaian aku.” Seru suatu suara. Chayi terkejut besar. Bukan kerana sergahan itu begitu lantang dan keras, tapi kerana telinganya menangkap bunyi suara seorang perempuan. Jadi tak salahlah bilik yang dimasukinya ini milik seorang perempuan ?

“Aku tak suka orang menceroboh bilik aku dan mengotori pakaian-pakaian aku. Kau keluar sekarang atau aku akan suruh orang-orang kat luar tangkap kau.” Tegas perempuan itu lagi.

Chayi mengetap bibir. Ugutan perempuan itu membuatkan dia tiada pilihan lain. Mahu tak mahu dia menolak pintu almari lalu segera melangkah keluar dari situ. Melihat seorang gadis berdiri di hadapannya, Chayi terpaku.

Kecantikan gadis di hadapannya membuatkan dia terpukau. Wajah gadis itu cantik dengan alis mata yang cukup lentik tak ubah seperti mata anak patung. Kulitnya pula putih gebu seperti kapas. Belum pernah dia melihat seorang gadis yang memiliki kulit putih yang begitu mulus dan kelihatan lembut seakan-akan salji yang hampir cair.

Si gadis merenungnya tajam. “Siapa beri keizinan kau untuk masuk dan bersembunyi dalam bilik aku?” Tanya si gadis.

Chayi tidak menjawab. Matanya masih meratah wajah di hadapannya dengan penuh asyik. Cantiknya dia!

Si gadis mengigit bawah bibir tanda tidak puas hati kerana pertanyaannya tidak dijawab. Dia menjentik jarinya di hadapan Chayi membuatkan lamunan Chayi serta-merta terhenti.

“Kau mesti budak yang melarikan diri dari kurungan tu kan?” Gadis itu mengerutkan dahinya. Mendengar kata-kata gadis itu, Chayi seakan menyedari sesuatu. Dia tahu dia takkan selamat berada dalam bilik gadis itu, apatah lagi sudah terbukti gadis itu salah seorang dari ahli kumpulan yang menculiknya.

Dia meluru ke arah pintu, tapi pegangan gadis itu lebih pantas memaut pergelangan tangannya. Chayi menoleh.

“Lepaskan aku. Jangan paksa aku cederakan seorang perempuan.” Pinta Chayi.

Mendengar kata-katanya, si gadis ketawa besar. Chayi tergaman. Gadis itu seolah-olah memperlekehkan kata-katanya. Memang dia takkan teragak-agak mencederakan sesiapa sahaja untuk menyelamatkan dirinya. Tapi untuk mencederakan gadis secantik itu…sanggupkah dia?

“Kau takkan mampu cederakan aku.” Bisik gadis itu seraya tersenyum sinis.

Chayi menguman geram. Kata-kata gadis itu membuatkan anginnya datang tanpa diundang. Sepantas kilat dia memusingkan tubuh lalu cuba melepaskan diri dari pegangan gadis itu. Cubaannya berjaya. Tapi belum sempat dia mahu mencapai tombol pintu, si gadis terlebih dahulu memaut bahunya, mencengkam lalu melambung tubuhnya sehingga terangkat sebelum dihumban ke arah dinding.

Tubuh Chayi terhenyak pada dinding sebelum jatuh ke bawah. Dia menyeringai kesakitan sambil memandang gadis cantik itu. Singgah rasa hairan dalam dirinya bagaimana gadis yang memiliki tubuh kecil itu mampu mengangkatnya lalu mencampaknya ke arah dinding bilik tersebut. Tindak-tanduk gadis itu seolah-olah apa yang dilakukannya mudah sahaja.

“Nak lagi?” Tanya si gadis seraya tersenyum.

Chayi berasa geram. Kesabarannya mula teruji. Jatuh maruahnya sebagai seorang lelaki jika dikalahkan dengan mudah oleh seorang gadis. Tak boleh! Aku tak boleh biarkan begitu sahaja! Tekad Chayi.

Dia meluru pantas ke arah gadis itu dengan wajah berang. Gadis itu hanya menanti dengan wajah tenang. Namun belum sempat Chayi mendekati gadis itu, langkahnya tiba-tiba terhenti. Tubuhnya bergetar.

Si gadis tergaman. Dia melihat wajah lelaki di hadapannya tiba-tiba bertukar biru. Nafas anak muda itu sesak. Apasal pulak ni? Gadis itu mengerutkan dahinya. Tak disangka-sangka tubuh Chayi akhirnya terjelepuk kaku di atas lantai. Si gadis hanya terlopong memerhatikan keadaan itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!