Followers

Saturday, May 22, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 10

“Biasanya kat mana ada jual jam tangan macam ni?” Soalnya pada seorang lelaki Cina yang membuka sebuah kedai menjual jam di tingkat dua pusat beli belah MidValley. Lelaki itu meneliti jam tangan yang ditunjukkannya.

“Mana cik beli jam tangan ni?” Lelaki itu memandangnya dengan wajah berkerut.

Suria terkedu. Hai aku yang menyoal ke dia yang menyoal? Dia tersengih. Entah kenapa, tiba-tiba dia rasa lucu pula.

“Tauke, ini jam kawan saya yang punya. Saya cuma mahu tahu kat mana lagi boleh cari jam yang serupa dengan ini macam?”

“Ini jam bukan sebarang jam. Ini jam antik, jarang-jarang boleh jumpa jenis yang macam ini. Jam ini jenama Girard Perregaux. Susah mahu cari jam macam ini lagi sekarang ini.” Ulang lelaki itu lagi.

Suria terdiam? Jam antik? Lama termenung, tiba-tiba dia teringat sesuatu. “Err tauke, you tahu ke mana mahu cari tempat yang boleh ukir nama di belakang jam ini macam?” Suria menunjukkan ukiran di belakang jam tangan itu kepada lelaki cina itu. Serta-merta wajah lelaki itu berkerut.

“Kalau tak salah saya, ada satu kedai jam lama di Jalan Petaling yang boleh ukir pada badan jam. Dulu kedai itu ada jual pelbagai jenis jam, tapi saya tak pasti kedai itu masih wujud atau tidak.” Ujar lelaki Cina itu.

Wajah Suria mula berseri-seri. Terpancar harapan yang tadi agak malap. “Boleh tauke bagi address tempat tu?”

Lelaki Cina itu mengangguk. Dia mengambil sekeping kertas memo dari atas meja lalu menulis sesuatu. Suria hanya memerhatikan dengan sabar. Tak lama kemudian kertas memo itu mula bertukar tangan.

“Ini alamat tempat tu. Cuba cik cari, tapi saya tak jamin kedai itu masih ada. Lagipun bangunan kedai tu dah usang benar.” Ujar lelaki itu.

Suria sekadar mengangguk. Wujud atau tidak, dia akan berusaha mencarinya sampai dapat. Harap-harap kedai itu masih ada. Dan dia juga berharap agar dia berhasil menemukan orang yang mengukir nama itu pada badan jam. Besar harapannya mahu mencari siapakah sebenarnya pemilik jam tangan itu.

* * * *

Berdasarkan alamat yang tertulis pada kertas memo berwarna kuning itu, Suria menemui sebuah bangunan kedai yang sudah agak lama. Kebanyakan bangunan-bangunan kedai di Jalan Petaling itu memang kelihatan agak usang. Dia meneliti alamat di tangannya sekali lagi. Kakinya serta-merta berhenti di hadapan sebuah rumah kedai yang bergril. Dia memandang ke dalam. Gril di hadapannya terbuka separuh.

Suria mendongakkan wajahnya. Tidak ada apa-apa papan tanda yang tertulis, yang mengesahkan rasa ingin tahunya. Dia menarik nafas panjang. Ah! Redah ajelah…bukannya rugi apa-apa pun, bisik hati kecil Suria.

Namun belum sempat dia mahu melangkah masuk, seorang lelaki separuh umur tiba-tiba keluar dari dalam kedai. Melihat kehadiran Suria di situ, langkah lelaki itu serta-merta terhenti.

“Ya, cik nak cari siapa?” Tanya lelaki itu penuh hormat.

Suria tersenyum kecil. “Pakcik, saya nak tanya. Dulu kedai ni kedai jam bukan?” Dia bertanya penuh hati-hati.

Lelaki itu terdiam. Bebola mata lelaki itu tertancap ke arah Suria dari atas ke bawah.

“Kenapa cik tanya begitu?” Soalnya curiga. “Kalau cik ni orang bank, maaflah…saya dah kata yang saya takkan jual kedai ni.” Lelaki itu bersuara acuh tak acuh.

Suria tergaman. Dia mula mengerti sesuatu. Barangkali kehadirannya secara tiba-tiba telah disalahertikan lelaki tua itu.

“Maaf pakcik, saya bukan pegawai bank. Saya Suria. Suria Baharom.” Dia memperkenalkan dirinya. Lelaki itu agak terkejut sebaik mendengar kata-katanya. Mata orang tua itu tidak putus-putus merenung wajahnya.

“Suria Baharom? Suria dari rancangan Crime Scene tu ke?” Pantas lelaki itu menyoal. Suria tersengih seraya mengangguk mengiyakan. Mujurlah lelaki itu mengenalinya. Jika tidak, tentu sukar dia mahu menjelaskan tujuan kedatangannya hari itu.

“Apa tujuan Cik Suria datang ke mari? Nak buat interview ke?” Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Pak Hussin itu bertanya sebaik menjemputnya masuk ke dalam kedai.

Suria ketawa kecil. “Lebih kurang macam tu jugaklah Pak Hussin, tapi saya nak tanya sesuatu berkenaan jam. Itupun kalau Pak Hussin sudi membantu.” Jelas Suria perlahan.

Pak Hussin mengerutkan dahinya. Penjelasan gadis itu membuatkan dia hairan. Aneh! Apa yang mahu ditanya fasal jam?

“Kalau Cik Suria nak beli jam, maaflah. Kedai ni dah lama tak beroperasi sejak dua tahun lalu. Tak banyak jam yang baru-baru sebab perniagaan kami tak berapa baik.” Jelas Pak Hussin.

“Bukan itu tujuan saya Pak Hussin. Saya nak minta nasihat Pak Hussin tentang sesuatu.” Suria menjelaskan. Dahi Pak Hussin berkerut seribu mendengar kata-kata gadis itu.

“Hal apa tu?”

Suria tidak terus menjawab. Dari poket seluarnya, dia mengeluarkan jam yang dibawanya. Jam itu lalu diserahkan pada orang tua itu. Terpegun seketika mata Pak Hussin memerhatikan jam tangan yang sudah beralih tangan.

“Mana Cik Suria jumpa jam tangan ni?” Orang tua itu bertanya tanpa berpaling ke arahnya. Mata lelaki itu tidak lepas dari menatap jam tangan tersebut.

“Jam itu kepunyaan salah seorang kawan saya.” Jawab Suria berbohong.

Pak Hussin terdiam. Dia memandang Suria agak lama. “Pelik, dulu Pak Hussin ada kumpul jam macam ni. Sama betul.” Bisik orang tua itu perlahan.

“Mungkin Pak Hussin dan kawan saya tu beli di tempat yang sama agaknya.” Balas Suria tanpa mengesyaki apa-apa.

“Tak mungkin. Ini jam Girard Perregaux antik dari jenis Yellow Faces 1791. Susah nak jumpa jam macam ni dijual di Malaysia ni. Dekat luar negara pun dengar cerita susah nak cari jam ni lagi. ” Pantas mulut orang tua itu menyebutnya.

Suria tersenyum. Hanya jauhari jua yang mengenal manikam.

“Pak Hussin kata Pak Hussin pernah ada jam yang sama macam ni. Boleh saya tengok?” Pinta Suria. Lelaki tua itu memandangnya seraya menggaru kepala tidak gatal.

“Pernah ada dulu. Tapi beberapa bulan yang lalu, jam ni hilang dalam simpanan Pak Hussin. Pak Hussin memang cukup sayang dengan jam-jam antik ni terutama jam GP ni sebab dah tak banyak yang tinggal kat dunia ni. Tapi sayang, hilang pulak.” Keluh lelaki itu.

Suria terdiam. Fikirannya mula berlegar-legar. Kenapa jam tangan yang sukar didapati ini boleh terdapat pada mangsa yang mati itu? Apa sebenarnya rahsia di sebalik jam tangan GP ni?

“Pak Hussin, tujuan saya datang ke mari sebab saya nak tahu tentang ukiran kat belakang jam tu. Saya difahamkan yang kedai Pak Hussin ada menawarkan perkhidmatan mengukir belakang jam. Betul ke?” Soal Suria ingin tahu.

“Dulu memang ada. Tapi kenapa Cik Suria tanya?”

Suria menarik nafas panjang. “Cuba Pak Hussin tengok kat belakang jam tu.” Suruh Suria. Orang tua itu mengerutkan dahinya mendengar permintaan Suria. Namun dia menurut tanpa banyak soal. Mata lelaki itu lekas tertarik pada satu ukiran kecil yang dipangkas di belakang badan jam. Bulat matanya merenung perkataan yang tertera di situ.

“Saya cuma nak tahu, apakah ukiran di belakang jam tu dibuat di kedai Pak Hussin ni?” Tanya Suria lambat-lambat.

Pak Hussin terdiam. Dia tiba-tiba bingkas ke arah sebuah almari lama di hujung kaunter. Suria terpaku. Gerak geri orang tua itu dipandang penuh minat. Tak lama kemudian, Pak Hussin kembali dengan sebuah buku tebal di tangannya. Dia membelek-belek buku itu di hadapan Suria. Lama kemudian, lelaki itu mengalihkan pandangannya.

“Ukiran ni memang dibuat kat kedai Pak Hussin ni.” Jawab lelaki itu, membuatkan Suria tersentak.

“Maksud Pak Hussin?”

“Dalam rekod buku log ni, tak ada pula menyatakan pekerja Pak Hussin pernah buat ukiran yang serupa pada jam GP antik. Tapi rasanya ukiran ni memang datangnya dari kedai ini.”

“Tapi mana Pak Hussin tahu ukiran nama pada jam tu datangnya dari kedai Pak Hussin sendiri?” Suria tercengang.

Lelaki itu tersenyum kecil. “Sebenarnya Cik Suria, walaupun kedai kami ni nampak usang, tapi Pak Hussin ada alat pengukir yang Pak Hussin tempah khas dari Belanda. Alat pengukir ni memang susah dijumpai sekarang ni dan mana-mana kilang pun tak pernah keluarkan lagi alat pengukir yang macam ni. Sebab itu di seluruh Kuala Lumpur ni, hanya kami sahaja yang tahu buat ukiran dengan hujung huruf yang bergulung-gulung begini.” Jelas lelaki itu agak bangga.

Suria mengangguk. Baru dia faham kedudukan sebenarnya. “Agak-agak Pak Hussinlah, siapa yang buat ukiran ni?”

Pak Hussin termenung. Seketika kemudian dia menggelengkan kepalanya. “Susah nak kata. Dulu pekerja Pak Hussin memang ramai, tapi sekarang semuanya dah bertebar ke tempat lain sejak kedai ni jadi macam ni. Sekarang tinggal Pak Hussin dengan anak saudara saja menguruskan kedai ni. Tapi dia pun Pak Hussin hentikan sebab asyik mabuk saja.” Cerita Pak Hussin.

Seorang lelaki tiba-tiba muncul di muka pintu kedai itu. Suria dan Pak Hussin serentak berpaling. Wajah Pak Hussin segera berubah keruh sebaik melihat lelaki itu.

“Kamu buat apa kat kedai aku ni Daud?” Jerkah Pak Hussin. Suria tergaman. Dia memandang lama ke arah lelaki berusia 30an yang berpakaian agak selekeh itu. Kulit lelaki itu agak cerah, namun mata lelaki itu meliar seperti helang.

“Pak Long, saya nak minta pinjam duit.” Ujar lelaki itu tanpa segan silu.

“Pinjam duit? Baru bulan lepas kamu pinjam seribu dekat aku, belum pun berbayar. Sekarang kamu nak pinjam lagi?” Herdik Pak Hussin. Lelaki itu tunduk diam. Suria yang rasa terhimpit dengan pertengkaran kecil itu segera mencelah.

“Tak apalah Pak Hussin, saya nak minta diri dulu. Lain kali kalau ada apa-apa, saya akan datang jumpa Pak Hussin semula.” Bisik Suria. Pak Hussin sekadar mengangguk. Langkah kaki Suria menghala ke arah pintu, namun dia perasan lelaki yang dipanggil Daud itu asyik memandangnya.

“Cik Suria..” Panggil Pak Hussin sebelum sempat dia keluar dari situ. Suria berpaling. Ketika itu Pak Hussin sudah pun mendekatinya.

“Kenapa Pak Hussin?”

“Cik Suria lupa dengan jam ni.” Ujar Pak Hussin seraya menyerahkan kembali jam di tangannya ke arah Suria. Suria menepuk dahi. Aduh! Hampir dia terlupa dengan jam itu. Dia mengeluarkan sekeping kad dari dalam tas tangannya, lalu dihulurkan pada Pak Hussin.

“Kalau ada apa-apa yang Pak Hussin teringat fasal jam ni, boleh tak Pak Hussin call saya? Alamat pejabat dan nombor telefon saya ada tertera pada kad tu,” pinta Suria.

Pak Hussin sekadar mengangguk. Suria mengalihkan pandangannya pula ke arah Daud. Menyedari Daud menampakkan minat pada jam tangan Girard Perregaux yang dipegangnya, dahi Suria segera berkerut. Apabila menyedari Suria memandangnya, Daud segera melarikan wajahnya yang selekeh tidak terurus.

Suria segera melangkah keluar dari kedai tersebut. Belum pun jauh dia beredar, suara marah-marah Pak Hussin kedengaran. Lantang dan tegas. Marah betul Pak Hussin pada anak saudaranya tu! Suria tersengih sendiri.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!