Followers

Saturday, August 7, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 19

SEWAKTU dia sampai di perkarangan rumah flat di Seksyen 18 itu, matanya asyik meninjau suasana muram di kawasan flat 15 tingkat itu. Rumah yang dicarinya terletak di tingkat ke 7. Sesekali suara riuh kanak-kanak bermain bola kedengaran di telinganya. Dia sekadar tersenyum. Dia pernah tinggal menyewa di flat-flat murah seperti itu semasa belajar dulu. Rutin dan suasana di situ sudah biasa baginya. Siapa kata tanpa padang, kanak-kanaknya tidak boleh bermain bola? Di kawasan rumah flat seperti itu, bunyi kanak-kanak berlari atau bermain bola di kawasan beranda sudah jadi lumrah.

Dia sudah sampai di hadapan rumah bernombor 12. Matanya mencari-cari loceng pintu. Tapi setelah dua kali loceng pintu itu ditekan, tidak ada tanda-tanda tuan rumah itu datang menyambutnya. Agaknya loceng ni rosak! Fikir Suria. Tangannya diangkat tinggi-tinggi. Daun pintu diketuk agak kuat. Beberapa minit menunggu, dia terdengar bunyi tapak kaki terkocoh-kocoh menghampiri pintu. Suria menanti dengan sabar sebaik pintu rumah itu dikuak luas.

Seorang wanita berusia dalam lingkungan awal 40an menyambut kedatangannya. Wajah wanita itu berkerut sebaik melihatnya di situ. “Ya, adik ni nak cari siapa?” Soal wanita itu ingin tahu.

“Saya nak cari Masyitah Kassim.” Jawab Suria. Mendengar kata-kata Suria, wanita yang baru muncul itu terkejut. Dia menatap anak gadis itu dari atas ke bawah. Matanya mengecil.

“Ini kalau tak salah Cik Suria kan?” Wanita itu kelihatan ragu-ragu mahu menuturkan kata-kata. Bimbang tersilap orang. Suria lekas-lekas mengangguk mengiyakan.

* * * *

“Maaf, rumah kakak ni berselerak sikit.” Mahani bersuara sambil menatang sedulang minuman beserta sedikit kuih-muih. Dulang makanan itu diletakkan di hadapan Suria.

“Buat susah-susah aje kak.” Sahut Suria. Serba-salah pula dia melihat wanita itu bersusah payah menjamunya. Padahal kedatangannya hari itu bersebab. Dia hanya mahu memastikan sesuatu. Entah kenapa nalurinya berbisik bahawa gadis yang menjadi korban itu benar-benar adik kepada wanita itu.

“Masyitah datang ke Kuala Lumpur dua bulan lalu sebab nak bekerja. Dia dapat kerja kilang kat Syah Alam ni. Lagipun adik beradik kami ramai lagi yang bersekolah. Ayah kakak cuma petani kecil kat kampung. Mak pula ambil upah membasuh kat rumah orang. Adik-adik kakak campur Masyitah semuanya dua belas orang.” Cerita Mahani.

“Yang itu siapa kak?” Mata Suria mengarah pada seorang perempuan tua yang sedang makan biskut bercicahkan air kopi di meja bulat tidak jauh dari situ.

“Itu mak mertua kakak. Dia dah nyanyuk sikit. Dah tak kenal orang. Kakak dah tujuh tahun kahwin. Suami kakak pemandu lori yang selalu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Seremban. Masa mula-mula Masyitah datang dulu, dia tinggal dengan kakak. Tapi lama-kelamaan dia minta nak pindah rumah, menyewa dengan kawan-kawan kilangnya. Kakak tahu dia tak selesa duduk kat rumah ni. Rumah ni kecil, dua bilik aje. Pulak tu terpaksa berkongsi dengan anak-anak kakak seramai tiga orang dan mak mertua kakak.” Cerita Mahani.

“Bila Masyitah mula hilang kak?” Suria mula mengorek cerita.

“Lebih kurang dua minggu yang lalu. Kalau bukan sebab kawan serumah Masyitah datang ke mari cari dia, kakak pun tak sedar dia tak balik rumah.”

“Siapa nama kawan Masyitah tu?”

“Junera kalau tak salah kakak. Dia kawan yang bekerja di kilang yang sama dengan Masyitah. Dia yang datang beritahu kakak yang Masyitah dah beberapa hari tak pulang ke rumah sewa. Mulanya kakak buat tak kisah, sebab kakak ingatkan mungkin dia balik ke kampung. Tapi bila ayah kakak sendiri tanyakan tentang dia, kakak dah mula syak. Suami kakak yang cadangkan kami buat laporan polis tentang kehilangan Masyitah.” Ujar Mahani.

“Sebelum Masyitah hilang, ada tak kakak perasan sikapnya yang agak aneh?”

Mahani memandang Suria dengan wajah berkerut. Pertanyaan itu membuatkan dia jadi hairan. “Pelik yang macamana?”

Suria tidak terus bersuara. Dia lekas-lekas mengeluarkan sesuatu dari poket begnya. “Kakak cam tak jam tangan ni?” Soal Suria sambil menunjukkan jam di tangannya pada Mahani. Wajah wanita itu tiba-tiba berubah.

“Ini jam tangan Masyitah. Macamana Cik Suria boleh jumpa?” Mahani bertanya dengan suara tersekat-sekat.

Suria tersentak. Jadi betullah mayat yang dijumpai pihak polis itu mayat Masyitah? Tapi bagaimana pekerja kilang seperti Masyitah mampu memakai jam tangan antik berjenama Girard Perregaux yang berharga puluhan ribu ringgit? Tidakkah itu aneh! Bisik Suria dalam hati.

“Kak Mahani yakin jam tangan ni milik Masyitah?”

Mahani mengangguk “Tentulah. Di belakang jam ni ada singkatan nama MK, untuk Masyitah Binti Kassim. Kata Masyitah, kawan dia yang hadiahkan.” Ujar Mahani. Suria tersentak.

“Kawan lelaki?”

Mahani menggeleng. “Entahlah, kakak pun tak tahu. Masyitah jarang bercerita tentang kisah peribadinya pada kakak.”

“Kakak memang tak pernah jumpa dengan kawan yang Masyitah maksudkan?” Soal Suria lagi ingin tahu. Mahani tidak menjawab. Matanya memandang Suria agak lama. Nafas wanita itu sudah tidak teratur.

“Cik Suria, apa sebenarnya dah jadi pada Masyitah? Kenapa Cik Suria tiba-tiba tanya fasal Masyitah?” Wajah wanita itu kini benar-benar rungsing.

Suria serba salah mahu menjawab. Dia tidak tahu, apakah dia patut menyatakan sesuatu tentang Masyitah. “Kakak, saya sebenarnya….”

Sebelum sempat dia menyambung kata-katanya, daun pintu rumah itu diketuk bertalu-talu dari luar. Dia dan Mahani serentak berpaling. Mahani segera bergegas menuju ke muka pintu. Sebaik pintu dikuak, wajah Mahani pucat lesi sebelum berpaling ke arah Suria. Suria bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya. Kehadiran beberapa orang lelaki membuatkan dia tergaman. Lebih mengejutkan, wajahnya bersabung pandang dengan seraut wajah yang menular tajam ke arahnya.

* * * *

Dia meronta-ronta cuba melepaskan diri. Namun semakin dia cuba melonggarkan pegangan lelaki itu, pautan di lengannya dikemaskan kembali. Suria mengguman geram saat dia diseret ke suatu arah.

“Lepaslah, sakit tau tak.” Herdik Suria, berang dengan tindakan lelaki itu.

Izwan segera melepaskan lengan gadis itu. Wajah bujur sirih Suria ditatap berang. “Sekarang, beritahu aku apa kau buat kat sini? Macamana kau kenal dengan Mahani Kassim?” Soal Izwan tidak putus-putus.

Suria pura-pura tidak mendengar. Dia asyik menggosok tangannya yang kebas dicengkam jari-jemari Izwan yang agak kuat.

“Are you listening to me?” Izwan semakin radang. Suria menoleh memandang lelaki itu. Pandangan mereka bertaut. Wajah Izwan ditenung berani.

“Salah ke kalau aku datang ke rumah dia? Aku pun kenal Kak Mahani tu.” Suria memberi alasan.

“Jangan nak bohong. Dia cakap kau datang hari ni semata-mata bertanyakan tentang adiknya Masyitah. Macamana kau tahu tentang Masyitah?” Pintas Izwan.

“Betul ke mayat yang dijumpai di hutan tu benar-benar mayat Masyitah?” Tanya Suria ingin tahu. Izwan merengus kasar.

“Ini bukan masalah kau.”

“Dia mati dibunuh kan?”

Izwan merenung gadis di hadapannya seperti hendak ditelan. Sikap Suria yang banyak bertanya benar-benar merimaskannya. “Kau faham tak apa maksud jangan campur tangan?”

“Aku tak boleh tunaikan apa yang kau minta tu. Ini kerja aku.” Ujar Suria.

“Dan ini kerja aku. Kalau kau ganggu siasatan polis, ia bukan sahaja menyusahkan aku malah juga menganggu siasatan pihak polis. Gadis itu pula takkan terbela nasibnya. Dan kau masih belum jawab soalan aku, bagaimana kau boleh kenal dengan Masyitah?” Getus Izwan dengan suara meninggi.

Suria menarik nafas panjang. Menganggukah aku? Aku cuma menjalankan siasatan dengan cara aku sendiri, bisiknya dalam hati. Tapi kau dah menyorokkan bahan bukti dari pihak polis. Kau tidak berkata benar! Hatinya tiba-tiba mengguman begitu.

Tiba-tiba dia teringatkan jam tangan yang masih berada di dalam simpanannya. Dari poket beg, dia meraba-raba jam yang tersimpan di dalam saku beg sandangnya. Sebaik bertemu apa yang dicari, jam tangan itu diserahkan pada Izwan.

“Aku jumpa jam ni di tempat kejadian, hari yang sama di mana kita bertembung tempohari. Jam ni milik Masyitah. Mulanya aku tak pasti, tapi kakak dia dah sahkan yang jam tangan ini kepunyaan Masyitah.” Ujar Suria serba-salah. Dia pasti, tentu lelaki itu akan naik berang mendengar kata-katanya.

Mata Izwan merenung jam yang masih berada di tangan Suria. Dahinya berkerut. “Sorry, aku tak faham langsung apa benda yang kau cakap ni.”

“Aku percaya jam ini klu penting yang mungkin boleh selesaikan kes ni. Kata Kak Mahani, jam ini hadiah seorang kawan untuk Masyitah. Kawan yang dimaksudkannya mungkin tahu sesuatu.” Jelas Suria.

“Bagi aku tak ada yang luar biasa tentang jam tangan ni.” Sahut Izwan acuh tak acuh. Lagipun jam tangan itu kelihatan sudah buruk di matanya dan rosak pulak tu.

“Tuan Izwan, memakai jam tangan memang bukan perkara luar biasa. Tapi kalau jam tangan yang dipakai oleh seorang gadis kilang berharga puluhan ribu ringgit. Ini memang luar biasa. Boleh Tuan Izwan jelaskan, bila kali terakhir Tuan Izwan menerima hadiah pemberian jam tangan antik yang berharga ribuan ringgit?” Suria menyoal dengan nada sindiran. Geram benar dia dengan sikap Izwan yang acuh tak acuh dengan kata-katanya.

Izwan terdiam. Raut wajah Suria dipandang teliti. Seketika matanya kembali serius memandang jam tangan itu. Beberapa kali menilik, mata Izwan terpaku pada sebuah ukiran pada belakang jam. MK? Apakah initial ini bermaksud Masyitah Kassim?

“Jadi kau dapat kesan Masyitah berpandukan pada jam tangan ni?” Soal Izwan hairan.

“Ukiran jam tangan itu hanya dibuat oleh sebuah kedai jam di Jalan Petaling. Dan pemilik kedai tu pernah beritahu yang dia memiliki sebuah jam yang sama seperti ini. Tapi malangnya, jam tangan miliknya pernah dicuri beberapa bulan yang lalu.” Suria menyambung cerita.

“Aku akan kerahkan anggota aku siasat maklumat ni lebih lanjut. Tapi aku masih ada satu kemusykilan Cik Suria.” Mata Izwan terus melorot pada wajah gadis di hadapannya.

“Semasa aku terserempak dengan kau tempohari di kawasan kejadian, gerak geri kau benar-benar mencurigakan. Apakah kau terjumpa jam ini secara tak sengaja, atau sememangnya kau dah tahu yang benda tu ada kat situ sejak awal-awal lagi?” Soal Izwan.

Suria terkesima. Alamak! Lelaki itu macam tahu-tahu saja. Haruskah dia bercerita tentang gambar-gambar yang diterimanya? Tapi jika dia tidak berkata jujur, tentu pihak polis takkan mendapat maklumat tentang pembunuh itu. Lagipun dia kasihan pada Mahani sekeluarga yang sedang bersedih kerana kehilangan adik tercinta.

“Beberapa malam yang lalu, ada seseorang yang tak dikenali menghantar gambar-gambar di tempat kejadian tu pada aku melalui email. Dalam salah satu gambar, mayat itu memakai jam tangan seperti ini. Tapi aku dapat tahu, senarai bahan-bahan bukti yang dikutip oleh pihak polis langsung tidak menyebut tentang penemuan sebarang jam. Sebab itu aku datang mencarinya tempohari dengan anggapan mungkin jam itu jatuh di mana-mana.” Jelas Suria serba salah.

Izwan terpegun sejenak. Wajah Suria dicerlung tajam.“Dan baru sekarang kau beritahu semua ini? Cik Suria, kau tahu tak dah berapa banyak masa pihak polis rugi kerana kau? Orang yang menghantar email pada kau mungkin adalah pembunuh yang kita cari-cari. Bagaimana kau sanggup sembunyikan bukti macam ni dari pihak polis?” Marah Izwan. Berang dengan sikap gadis itu yang tidak berfikir panjang.

Suria tunduk diam. Dia tahu dia salah, namun dia tidak bermaksud mahu menyembunyikannya dari pengetahuan pihak polis. Izwan tiba-tiba menarik tangannya.

“Sekarang kau ikut aku.” Suruh Izwan sambil mula mengatur langkah.

“Ke mana?” Wajah Suria mula berubah. Dia jadi ragu-ragu mahu mengekori lelaki itu. Jangan ke lokap sudahlah! Izwan berpaling dengan wajah mencuka.

“Kita ke rumah kau!” Getus Izwan.

Suria tercengang. Balik ke rumahnya? Untuk apa?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!