Followers

Monday, November 22, 2010

Blue Sunset : Bab 4

BELUM sempat sampai ke pejabatnya, enjin kereta yang dipandu Zahar mula terbatuk-batuk. Zahar tergaman. No..no..jangan rosak. Please! Aku dah la banyak kerja ni! Tiba-tiba sahaja enjin Volkswagen itu mati begitu sahaja. Zahar terkejut. Serentak dia memulas stereng kereta ke tepi jalan. Mujurlah kenderaan di belakang seakan memahami dan tidak membunyikan hon dengan tindakannya yang drastik dan melulu.

Zahar keluar dari perut kereta. Pintu Volkswagen itu dihempas kasar. Damn! Dahlah kereta buruk, enjin pun buruk. Kereta macam ni patut buang gaung aje, menyusahkan aku! Zahar mengguman sendirian. Sakit benar hatinya kali ini.

Zahar mengerling ke arah pergelangan tangannya. Sejurus matanya meninjau ke arah jalan raya, mengintai kelibat teksi yang memenuhi jalan. Tapi kelihatannya seperti tidak ada satu pun teksi yang kosong. Semuanya sudah dipenuhi penumpang yang pastinya berebut-rebut mahu ke tempat kerja.

Dia segera membuka pintu belakang Volkswagen untuk mengambil beg failnya yang agak besar. Tetapi matanya tertarik menatap beg fail berwarna hitam yang kelihatan serupa dengan beg fail miliknya sendiri. Tanpa mempedulikan istilah privasi, Zahar tidak berfikir panjang terus membuka beg tersebut. Beberapa keping sketches yang terdapat di dalam beg tersebut menarik perhatiannya. Lakaran bunga-bunga indah yang bersulam cantik di atas paparan sketches itu menimbulkan rasa kagumnya. Cantik! Desis hati kecilnya.

Bunyi hon yang bertalu-talu membuatkan dia berpaling arah. Seorang lelaki keluar dari perut kereta sebuah Perdana V6 di hadapannya. Melihat lelaki itu, Zahar tiba-tiba tersenyum. Dia benar-benar rasa bersyukur dengan kehadiran lelaki itu. Tanpa berfikir panjang, Zahar segera membawa kedua-dua beg fail itu lalu meluru ke arah kereta yang sedang menantinya.

“Kereta rosak?” Tanya lelaki itu sebaik dia masuk ke dalam perut kereta. Zahar mengangguk.

“Habis Volkswagen kuning tu siapa punya pulak?” Dahi lelaki itu berkerut. Matanya tak sudah-sudah meneliti Volkswagen yang tersadai di bahu jalan.

“Entahlah ayah.” Jawab Zahar acuh tak acuh. Malas dia mahu bercerita panjang lebar tentang gadis tuan punya Volkswagen itu. Tak berbaloi langsung.

“Tak tahu? Habis yang Zahar bawa kereta tu kenapa? Ayah nampak Zahar keluar dari kereta tu tadi.” Hakim tidak jemu-jemu bertanya.

“Adalah seorang perempuan pinjamkan keretanya tadi kat Zahar. Lupa pulak siapa namanya.” Jawab Zahar antara dengar dengan tidak.

Hakim terpempan? Perempuan pinjamkan kereta untuk anak bujangnya? Apa dah gila ke perempuan tu bagi kereta suka-suka hati macam tu aje? Hai macam-macam dunia ni! Keluh Hakim.

“Ayah nak ke mana sebenarnya ni?” Tanya Zahar ingin tahu.

“Ayah nak balik rumah. Semalam operation ayah berlanjutan sampai pukul 4 pagi. Tapi baru separuh perjalanan, hospital panggil ayah balik. Ada kes kecemasan yang lain.” Jelas Hakim.

Zahar mengangguk. Patutlah!

“Mujur ayah tak balik lagi. Kalau tak, ayah akan dapat habuan macam Zahar.” Ujarnya selamba. Hakim menoleh sejenak ke arah anaknya. Kata-kata anak muda itu memancing perhatiannya.

“Habuan?”

“Ya. Habuan istimewa dari nenek.”

Hakim ketawa kecil. Dia sudah faham maksud kata-kata Zahar. Ibunya memang agak bad temper sedikit dua tiga menjak ini. Itu sebabnya dia lebih suka menyibukkan dirinya di hospital.

“Teruk ke?”

“Lagi mahu tanya ke?” Tempelak Zahar. Hakim ketawa terbahak-bahak.

“Macamlah Zahar tak kenal nenek Zahar tu. Ayah ni dah lama belajar tahan telinga bila dia mula membebel. Tak habis-habis dia suruh ayah kahwin lagi.” Rungut Hakim.

Giliran Zahar pula melempiaskan tawa. Lucu mendengar kata-kata lelaki itu. Ayah..ayah..disuruh kahwin pun tak mahu. Entah siapa yang ditunggu agaknya? Puteri dari kayangan barangkali!

“Kenapa ayah tak mahu kahwin lagi?” Dia bertanya meskipun separuh dari hatinya bagaikan boleh meneka sebabnya.

“Zahar suka kalau ayah kahwin?” Hakim mengerling. Mahu meneka isi hati si anak. Dahulu dia masih ingat bagaimana Zahar menentang kuat hasrat hati ibunya yang mahu menjodohkannya dengan sepupunya sendiri Ketika itu Zahar masih kecil, baru berusia 12 tahun tapi sudah pandai membuat pelbagai onar semata-mata kerana tidak mahu dia kahwin lain.

“Suka hati ayahlah, Zahar tak kisah.” Zahar menjawab. Lelucon ayahnya dilayan acuh tak acuh. Hakim ketawa kecil.

“Mentang-mentang dah besar panjang. Dah tak mahu rapat dengan ayah lagi, jadi sebab tu Zahar tak kisah?” Hakim mengusik lagi.

“Dulu lain, sekarang lain.” Jawab anak muda itu seraya tersengih.

“Apa yang lain?”

“Dulu Zahar kecil lagi, selalu berharap keluarga kita akan bersatu semula. Tapi sekarang keadaan dah berbeza. Zahar faham ayah kesunyian. Kalau ayah benar-benar mahu kahwin semula, Zahar tak kisah ayah!” Dia melirik sebentar ke arah lelaki itu. Hakim terdiam. Matanya memandang lurus ke hadapan. Kata-kata Zahar tidak lagi bersambut. Fikirannya melayang entah ke mana.

* * * *

Apabila Zahar sampai di tempat kerja, Edri sudah menantinya di hadapan pintu biliknya.

“Macamana kereta kau? Teruk sangat ke?” Tanya Edri ingin tahu.

“Tunggu sampai kau tengok sendiri.” Keluh Zahar bengang. Dia menoleh ke arah Edri.

“Kau dah call dah mekanik tu?”

“Sudah, baru kejap tadi. Siapa yang langgar kau? Macamana boleh jadi macam tu? Kau buat report polis tak?” Bertalu-talu soalan itu singgah di cuping telinga Zahar. Dia membeliakkan matanya besar-besar. Malas mahu melayan pertanyaan Edri, Zahar segera angkat kaki ke biliknya. Namun Edri tidak berputus asa lalu mengekori lelaki itu masuk ke biliknya.

Wajah Zahar masam mencuka ketika menarik bidai di belakangnya, sebelum berpaling semula ke arah Edri.“Iman dah sampai?” Dia bertanya.

“Dah lama sampai. Dia ada kat bilik meeting sekarang ni tengah layan tetamu istimewa.” Ujar Edri seraya tersengih.

“Tetamu istimewa?” Zahar mengerutkan dahinya. Siapa pulak yang si Iman ni layan? Bakal mertua ke?

“Iman pesan, kalau kau sampai dia suruh kau ke meeting room sekarang.” Pesan Edri. Zahar ternganga. Nak buat apa?

“Malas la aku. Bakal mak ayah mertua dia kan, biarlah dia aje yang layan. Apahal aku pula yang kena?” Gumam Zahar seperti tidak puas hati. Edri terkelip-kelip memerhatikan lelaki itu.

“Woi mangkuk hayun, mak ayah mertua apa pulak ni? Iman kat dalam tu tengah interview orang. Ingat tak dia kata nak bawa masuk seorang budak dalam team kita ni. Apalah kau ni, nama je pengarah kreatif tapi entah apa yang kreatif pun aku tak tahu la.” Rungut Edri panjang lebar.

Zahar terdiam. Ada orang baru ke yang nak diperkenalkan ke Jabatan Kreatif? Kenapa si Iman ni tak bincang dengan aku dulu sebelum pandai-pandai nak upah budak baru? Kan aku yang uruskan bahagian ni. Ini tak boleh jadi ni! Getus hati kecil Zahar. Dia segera beredar ke muka pintu. Edri tercengang.

“Nak pergi mana tu Zahar?” Jerit Edri. Hairan melihat lelaki itu seperti lipas kudung.

Zahar menoleh. “Nak pergi mana lagi, nak pergi meeting room la. Aku nak tengok apa yang Iman buat kat sana.” Balas Zahar lalu meneruskan langkahnya.

Edri tersengih. Ya tak ya juga! Dia turut mengekori Zahar keluar dari bilik. Namun belum jauh kakinya melangkah, tiba-tiba Zahar berpaling semula ke arahnya.

“Kau nak pergi mana pulak ni?” Soal Zahar dengan wajah bingung.

“Nak ikut kau pergi bilik meeting. Tengok budak baru kita tu.” Jawab Edri lurus bendul.

Zahar membeliakkan matanya besar-besar. “Jangan nak mengada-ngada. Kau tunggu sini tolong kemaskan meja aku tu, lagi ada faedah.” Ulas Zahar lalu berlalu pergi dengan wajah mencuka.

Edri hanya mampu memandang kelibat Zahar yang bergegas ke arah bilik mesyuarat. Keluhannya meletus keluar. Apasal asyik-asyik aku yang kena beralah dengan si Zahar ni? Edri mengguman sendirian. Tidak puas hati pun ada juga. Namun sekalipun dia mahu membangkang kata-kata lelaki itu yang selalu berupa arahan diktator, namun itu semua hanya bermain di kepalanya sahaja. Hakikatnya dia benar-benar mengikut telunjuk Zahar bagaikan seorang hamba yang patuh pada rajanya.

Dia membalikkan tubuh lalu berpaling ke arah meja kerja Zahar yang bagaikan tongkang pecah. Dalam satu hari, tidak pernah ada satu saat pun di mana meja lelaki itu bersih dan kemas seperti meja-meja lain di pejabat itu. Kalaupun dia membantu mengemaskan fail-fail lelaki itu yang berselerak, sejam kemudian meja lelaki itu akan kembali bersepah seperti sediakala. Kadang-kala dari jauh lagi telinganya dapat menangkap suara Zahar yang menjerit-jerit meminta staf-staf di situ membantunya mencari fail-fail yang hilang. Bukan hilang sebenarnya, hanya mata lelaki itu sahaja yang tidak nampak fail-fail yang diinginkannya dalam timbunan fail-fail lain.

Tiba-tiba mata Edri terpandang dua buah beg fail berwarna hitam di atas meja Zahar. Dia membelek kedua-duanya. Apasal si Zahar ni boleh ada sampai dua beg serentak? Edri terus melakukan apa yang drastik di kepalanya, lalu membuka salah satu beg tersebut. Sebuah sketchbook sederhana besar dikeluarkan dari dalam beg. Dia membelek helaian pertama. Melihat lakaran yang terpapar di permukaan sketches itu, Edri lantas terpaku.

“Wah, cantiknya! Sketches saja dah cantik. Kalau grafikkan benda alah ni mesti lagi cun!” Puji Edri. Satu persatu lakaran di tangannya diperhatikan dengan penuh minat.

* * * *

Iman menoleh sebaik menyedari pintu di hadapannya dikuak dari luar. Melihat Zahar muncul di muka pintu, Iman tersengih.

“Mana dia?” Tanya Zahar.

Iman tergaman. “Siapa?”

“Edri kata kau ada bawa orang baru untuk team kita. So mana dia?” Tanya lelaki itu lagi. Dia benar-benar ingin tahu kebolehan lelaki yang dimaksudkan oleh Iman. Hebat sangatkah budak itu sehingga Iman tidak mahu berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum mengambil pereka baru?

“Ada tadi, tapi dia pergi toilet sekejap. Yang kau ni baru sampai ke?” Iman memandang Zahar dari atas ke bawah. Zahar mengeluh panjang. Kerusi di hadapan Iman ditarik lalu disinggahinya.

“Panjang ceritanya.”

“Pendekkan aje.” Tukas Iman. Dia kelihatan berminat mahu mendengar cerita lelaki itu.

“Kereta aku kena langgar.”

“Hah? Teruk ke? Kau cedera?” Iman terkejut. Bulat mata lelaki itu meratah tubuh Zahar dari atas ke bawah. Okey je nampak gayanya. Apa yang teruk? Iman tertanya-tanya.

“Huh kalau aku cedera pun tak apa. Ini kau bayangkan kereta aku tu dahlah baru beli, sekarang dah kemek sana sini. Perempuan tu betul-betul menyusahkan!” Rungut Zahar dengan wajah mencuka. Sakit hatinya mengenangkan peristiwa pagi tadi.

Iman tersenyum sendiri. Lucu melihat Zahar marah-marah begitu, sekaligus merasa lucu bila mengenangkan kata-kata Zahar sebentar tadi. Orang lain lebih rela harta benda musnah asal nyawa selamat. Tapi si Zahar ni lain pulak! Dasar kepala angin! Gerutu Iman sambil tersengih.

“Habis kau minta ganti rugi tak dari perempuan tu?”

“Heh mestilah. Walau apa pun dia kena bayar ganti rugi kat aku. Kalau tak balai cerita.” Pintas Zahar. Tapi tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu. Mampukah gadis itu membayar kos baiki keretanya nanti? Tengok gaya macam sengkek aje, naik pula kereta buruk. Ada duit ke budak perempuan tu?

“Woi menung apa tu?” Jerkah Iman seraya menjentik jari di hadapan Zahar. Lamunan singkat Zahar segera menghilang. Dia memandang ke arah Iman yang tersengih-sengih.

“Betul ke kau nak upah budak ni?” Zahar tiba-tiba bertanya. Sengaja mengubah topik perbualan.

Iman mengalihkan pandangan. Dahinya berkerut. “Hari tu aku dah bawa isu ni dalam meeting. Kita perlukan seorang pereka yang lebih segar ideanya Zahar.”

“Maksud kau budak-budak aku dah lapuk ideanya? Kolot! Macam tu?”

“Jangan salah faham, aku tak bermaksud macam tu. Cuma untuk Riser ni aku mahu tema berkonsepkan flora. Sebab tu aku perlukan idea dari pereka perempuan. Lagipun budak-budak team kau semuanya lelaki. Sukar kita nak kembangkan idea jika begini.” Jelas Iman lembut.

Mata Zahar segera terbelalak mendengar kata-kata Iman. “Wait! Maksud kau, kau ambil pereka perempuan kerja kat sini?”

Iman mengangguk. “Kenapa? Apa yang tak kena kalau perempuan? Lagipun kat sini, kita ada 15 pekerja. 12 darinya semuanya lelaki termasuk kau dan aku. Tiga yang lainnya perempuan termasuk Swan yang tomboy tu, Makcik Minah dan Kak Sal. Cuba kau beritahu aku apa yang tak kenanya?” Iman menjeling wajah Zahar yang merah padam.

“Kau jangan bimbang, aku jamin yang ini lebih bagus dari mana-mana pereka lain yang kita berdua kenal. Lagipun aku dah tengok lakaran-lakaran yang dia buat sebelum ini. Memang cantik!” Puji Iman seraya menaikkan ibu jarinya.

“Boleh aku tengok?” Pinta Zahar akhirnya. Beria-ria benar Iman mencanang kelebihan pereka baru ini. Sekarang, biar dia pula yang melihat dengan mata kepalanya sendiri. Hendak juga dia tahu sejauh mana hebatnya perempuan itu.

“Maaflah Zahar, dia baru je beritahu aku tadi. Dia sebenarnya lupa nak bawa portfolio dia.” Beritahu Iman terus-terang.

Zahar tiba-tiba ketawa besar. Terasa lucu mendengar kata-kata lelaki itu. “Baru hari pertama dah tertinggal portfolio? Kau kutip dia dari mana ni Iman?” Suara Zahar lancang berkata-kata. Langsung dia tidak perasan satu kelibat tubuh baru sahaja melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.

Iman yang mula-mula terpandang gadis itu segera bingkas bangun. Bibirnya segera menguntum senyuman. Zahar terpinga-pinga lalu menoleh. Melihat wajah di hadapannya dia tergaman. Gadis itu turut terkejut melihatnya.

“Kau?” Zahar bersuara. Hampir tidak percaya! Gadis Volkswagen itu rupanya. Kecilnya dunia ini.

“Eh dah kenal ke?” Giliran Iman pula yang terpinga-pinga. Hairan melihat tingkah laku kedua-duanya yang tergaman bagaikan baru sahaja melihat hantu. Belum sempat Zahar mahu menjawab, Edri tiba-tiba menjengah masuk.

“Sorry semua, aku ganggu kejap..”

Tiga pasang mata menoleh ke arah Edri yang tersengih-sengih di muka pintu. Lelaki itu memandang ke arah Zahar yang merah padam mukanya.

“Zahar, file bag ni kau punya ke? Aku nampak lakaran dalam sketchbook ni lawalah. Siapa punya ni?” Edri menayang sketchbook itu di hadapan ketiga-tiganya.

Melihat sketchbook miliknya kini berada di tangan Edri, Aqi segera melopong. Sangkanya dia tidak akan bertemu lagi dengan sketchbook kesayangannya itu. Matanya menjeling ke arah Zahar. Mata lelaki itu turut melirik tajam ke arahnya. Aqi terasa kaku untuk bersuara. Sudahnya dia hanya mampu berdiam diri. Dia langsung tidak berani mengaku dirinya pemilik sketchbook yang sedang dilayang-layangkan oleh lelaki berambut punk yang baru muncul di bilik itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!