Followers

Saturday, November 20, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 40

PAGI itu Irina tiba agak awal di Perkasa Budi. Terkejut juga Hazril melihat Irina tersenyum-senyum memandangnya ketika muncul di muka pintu. Hazril perasan sejak di hospital tempohari, Irina tidak lagi bersikap acuh tak acuh terhadapnya. Gadis itu menarik kerusi lalu duduk. Sekeping sampul surat dihulurkan ke arah Hazril.

“Apa ni?” Hazril bertanya sambil membelek sampul surat tersebut.

“Bukalah tengok.” Suruh Irina.

Hazril mengerutkan dahinya. Suspen juga! Dia segera membuka sampul surat itu lalu menarik keluar sekeping kad berwarna keemasan. Bibirnya menguntum senyuman sebaik membaca isi kandungan kad tersebut. Dia mendongak wajah memandang gadis yang berada di hadapannya.

“Semua lancar?” Tanyanya lembut.

“Semua kad dah dihantar kepada semua klien-klien Perkasa Budi, orang-orang kenamaan yang lain serta pihak media. Setiausaha menteri pun dah buat confirmation akan hadir dalam majlis tu.” Ujar Irina.

“Kalau semua dah buat, apa pula tugas Ril?” Balas Hazril separuh bergurau. Dia melihat Irina tergelak kecil. Senang hatinya melihat gadis itu kembali ceria seperti dulu.

“Memang Rina nak bagi Ril satu tugas mustahak.” Ujar Irina.

Hazril terdiam. Wajah Irina dipandang dengan dahi berkerut. Melihat sinaran pada mata gadis itu, entah mengapa dia seperti dapat merasakan Irina sedang merencanakan sesuatu.

“Petang ni Ril ada masa?” Tanya Irina.

“Maybe. Kenapa?”

“Temankan Rina ke butik Auntie Zue. Rina nak beli dress yang paling cantik dan paling mahal. Tapi Ril yang kena bayar. Setuju?” Gadis itu tersenyum nakal.

Hazril tergelak besar. Barulah dia faham niat dan tujuan Irina.

“Tak ada masalah. Cuma Ril bimbang satu aje.” Hazril tersengih.

“Apa dia?”

“Takut tak ada dress yang paling mahal kat butik Auntie Zue tu.”

Irina ketawa besar mendengar kata-kata Hazril yang cuba mengusiknya.

“Ril jemput Rina petang ni boleh? Rina tak ada kereta sebab Boy pinjam.”

“Habis Rina ke mari dengan apa tadi? Nak Ril hantarkan ke Pelangi Raya ke?” Tanya Hazril, bersedia dengan kunci kereta di tangan.

“Tak apa, Rina tumpang kereta Hafifi tadi.”

“Hafifi? Dia ada kat sini?”

“Dia nak jumpa Ikram, nak bincang sesuatu. Okeylah, Rina tak boleh lama ni, masih banyak kerja nak dibuat kat pejabat tu. Rina pergi cari Hafifi dulu. Jangan lupa petang nanti.” Pesan Irina, tak sudah-sudah mengingatkan Hazril. Lelaki itu hanya tersenyum lalu mengangguk.

* * * *

Seperti yang dijanjikan, Hazril muncul tepat pukul empat petang di hadapan bangunan Pelangi Raya. Sengaja dia tidak masuk menjemput Irina kerana tidak mahu bertemu dengan eksekutif-eksekutif di Pelangi Raya yang mengenalinya. Takut jadi panjang kisahnya bila sudah berborak.

Sedang dia asyik mendengar lagu nyanyian Michael Bolton di dalam keretanya, Hazril tiba-tiba terpandang kereta Honda Jazz berwarna putih, memasuki perkarangan bangunan Pelangi Raya sebelum berhenti di hadapan bangunan itu. Dahinya berkerut. Kereta itu seperti dikenalinya. Apabila melihat seorang lelaki keluar dari perut kereta tersebut, barulah Hazril mampu tersenyum. Haikal rupanya. Apa dia buat di Pelangi Raya? Menjemput Irinakah?

Dia melihat Haikal menghilang ke dalam. Beberapa minit kemudian anak muda itu keluar dengan seorang gadis. Hazril asyik memerhatikan ke arah gadis tersebut. Entah mengapa, susuk tubuh gadis itu seperti dikenalinya. Apabila gadis itu berpaling, dia terpempan. Aliya! Dia hampir terlupa tugas Aliya di Pelangi Raya belum selesai.

Dari jauh dia melihat Haikal berjalan beriringan bersama Aliya. Aliya pula dilihatnya ketawa girang. Pasangan itu kelihatan amat mesra di matanya.

Dia tunduk ke bawah, cuba mengawal perasaannya. Dan apabila kereta itu beredar melintasinya, Hazril tetap tidak berpaling. Kenapa dengan dirinya kali ini? Mustahil dia tiba-tiba merasa cemburu melihat Aliya didampingi lelaki lain.

Apabila dia mendengar bunyi ketukan singgah bertalu-talu di cermin keretanya, Hazril segera berpaling. Irina menunggu di luar dengan senyuman yang tak lekang-lekang dari bibirnya.

“Jauh Ril termenung sampaikan tak perasan Rina datang?”Tegur gadis itu sebaik sahaja menaiki kereta Hazril.

“Sorry, Ril khusyuk sangat dengar lagu.” Balasnya memberi alasan. Enjin keretanya segera dihidupkan.

“Oh ya, masa Ril tunggu kat sini tadi, ada jumpa Boy tak? Dia datang jemput Aliya, pembantu peribadi Ikram tu. Baru sekejap tadi.” Soal Irina.

“Tak ada pun. Ril baru aje sampai.” Hazril berdalih. Dia sendiri tidak pasti untuk apa dia menafikannya. Apakah sekadar untuk menyedapkan hatinya sendiri?

“Semalam kami pergi makan bertiga.” Ujar Irina sambil tersenyum simpul.

“Bertiga?” Kata-kata Irina menarik perhatiannya.

“Rina, Boy dengan Aliya. Rina tak sangka pulak Boy dan Aliya tu rupanya teman sekampus. Tapi melihat gaya Boy tu, Rina rasa dia tu sukakan Aliya, tapi malu nak mengaku.” Irina terus-terusan bercerita sedangkan Hazril hanya menjadi pendengar. Kali ini entah kenapa dia tidak ada mood mahu menyampuk kata-kata Irina.

“Kalau kita cuba satukan mereka, apa pendapat Ril?” Irina melirik ke arah Hazril yang sedang memandu. Tetapi melihat wajah Hazril yang keruh, dahi Irina segera berkerut.

“Ril, kenapa ni?”

Sebaik mendengar nada suara Irina yang kelihatan bingung, Hazril segera berpaling ke arah gadis itu. “Sorrylah Rina, Ril tengah fikir urusan kat pejabat tu yang belum selesai. I’m sorry okay.” Ujarnya serba-salah.

Irina terdiam sebaik mendengar alasan Hazril. Kadang-kala dia benar-benar tidak mengerti dengan sikap Hazril. Suatu ketika, Hazril boleh menjadi seorang pendengar dan penasihat yang baik. Satu ketika pula, lelaki itu bersikap acuh tak acuh terhadapnya. Dia benar-benar bingung dengan sikap lelaki itu.

“Maaf.” Ucap Hazril lagi. Dia serba salah apabila melihat wajah Irina yang bertukar muram. Mendengar lafaz maaf yang berulang kali disebut, hati Irina menjadi sejuk. Tak sampai hati pula dia hendak marahkan Hazril hanya kerana perkara kecil.

* * * *

“Rina, lamanya tak jumpa you. Rindu benar rasanya.” Sapa Auntie Zue sebaik melihat Irina muncul di butiknya. Bahu gadis itu didakap selamba. Dia masih tidak menyedari kehadiran Hazril di suatu sudut. Irina hanya mampu ketawa. Sempat dikerlingnya Hazril yang hanya tersenyum simpul.

“Makin lawa you ni Rina. Datang sorang saja ke? Kata tadi nak bawa ramai?” Tanya Auntie Zue atau nama sebenarnya Wan Azizul. Dia sebenarnya ‘lelaki lembut’ yang cantik bergaya. Umurnya bukanlah tua sangat, dalam lingkungan 30an saja tapi lebih gemar dipanggil Auntie Zue. Lebih mesra katanya. Dia salah seorang dari teman baik Irina sewaktu gadis itu masih bergelar model suatu ketika dahulu.

“Bukan seorang auntie, berdua.” Matanya disorot ke arah Hazril. Terjerit kecil Auntie Zue melihat Hazril di hadapannya.

“Ya Allah, Hazril! You pun ada?”

“You apa khabar Zue? I tengok dari hari ke hari, you ni makin mengancamlah,” Usik Hazril. Tersipu-sipu Auntie Zue mendengar kata-kata lelaki itu, meskipun dia tahu Hazril hanya sekadar bergurau dengannya.

“You pun apa kurangnya, makin handsome I tengok. So mana lagi yang lain?” Tanya Auntie Zue sambil mengintai di belakang Hazril.

“Yang lain?” Hazril memandang Irina, tapi gadis itu hanya tersenyum.

“Hello everyone, sorry kami lambat.” Tiba-tiba singgah satu suara dari muka pintu butik itu.

Hazril tercengang apabila melihat kelibat Haikal tiba-tiba muncul di situ bersama Aliya. Aliya yang menyedari kehadiran Hazril turut tergaman apabila melihat lelaki itu berada di situ bersama Irina. Dia memandang Haikal seolah-olah meminta penjelasan.

“Sorry Aliya, kakak yang suruh saya bawa Aliya ke sini.” Jelas Haikal.

“Apa semua ni Cik Irina?” Aliya memandang Irina. Meminta penjelasan tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku di situ. Irina memandang sebentar ke wajah Hazril yang hanya diam.

“Sorry Ril sebab Rina tak beritahu Ril lebih awal. Rina sengaja bawa Aliya ke sini sebab Rina nak berterima kasih pada Aliya. Dia dah banyak curahkan tenaga untuk bantu Rina dalam persiapan majlis tu. Jadi Rina rasa Aliya patut berada di majlis tu nanti sebagai tetamu istimewa kita.” Ujar Irina. Kemudian dia mengalih pandangan ke arah Aliya pula.

“Aliya, kat butik ni ada banyak pilihan baju yang cantik-cantik. Saya nak Aliya pilih yang mana Aliya berkenan untuk dipakai pada malam perasmian tu nanti. Soal bayaran, Aliya tak perlu risau sebab semuanya bos Aliya ni yang tanggung.” Ujar Irina lagi sambil menjeling ke arah Hazril.

Aliya kelihatan serba salah. Bukan dia tidak menghargai niat baik Irina terhadapnya, tapi dia merasakan semua itu tidak perlu. Tidak terlintas pun di hati kecilnya untuk menghadiri majlis itu.

“Tak payahlah Cik Irina, saya tak biasalah pakai pakaian yang macam ni. Nanti saya rasa malu.” Aliya cuba berdalih.

Irina ketawa kecil. Memang dia sudah dapat mengagak Aliya akan menolak. Kerana itu, Hazril dibawanya bersama. Irina menjeling ke arah Hazril, meminta lelaki itu berkata sesuatu.

“Sebagai pekerja di Perkasa Budi, tugas utama kita ialah bertanggungjawab terhadap kerja. Saya dengar komen yang baik tentang Aliya, baik di Perkasa Budi mahupun di Pelangi Raya. Aliya dah banyak membantu Irina. Sebagai ganjaran atas tugas yang baik itu, maka Aliya patut berada di majlis itu nanti sebagai tetamu. Oleh sebab itu jangan sesekali menolak pemberian kami.” Ujar Hazril.

Wajah Hazril kelihatan serius sewaktu menuturkan kata-kata itu. Dapat dilihatnya, Aliya berasa seperti tidak senang dengan kata-katanya. Tapi Hazril tidak peduli. Memang dia pernah berkira-kira mahu membawa Aliya ke majlis itu nanti. Namun tak disangka-sangka, Irina telah memudahkan kerjanya.

“Aliya dah dengar kan? Aliya tak boleh bantah cakap bos. Auntie, tolong pilihkan beberapa pakaian yang sesuai untuk Aliya.” Suruh Irina sebelum dia sendiri begitu asyik memilih pakaiannya sendiri. Hazril dan Haikal juga mengambil peluang yang ada mencuba beberapa sut. Agak lama juga mereka berada di situ.

Sedang Hazril sibuk meninjau-ninjau ceruk butik itu, tiba-tiba matanya terpandang sehelai dress malam berwarna hijau lumut tergantung di penjuru sudut. Di bahagian dada pakaian itu, terhias sekuntum bunga manik berwarna putih berlapis hijau. Cantik, bisik hati kecil Hazril. Baju itu dibelek-beleknya agak lama hinggakan tidak sedar Irina berada di sisinya.

“Cantik juga.” Komen Irina apabila dilihatnya baju itu.

“Rina suka?” Hazril tersenyum.

“Suka tapi tak berapa sesuailah dengan Rina. Kalau Aliya pakai tentu nampak lebih cantik.” Balas Irina sebelum beredar ke arah Haikal yang masih mencuba sepasang sut.

Hazril tersenyum mendengar jawapan Irina. “Kalau macam tu, kita suruh sahaja Aliya cuba.” Ujarnya seperti bercakap dengan diri sendiri. Kelibat Aliya segera digamit ke arahnya. Teragak-agak juga gadis itu mahu menghampirinya.

“Baju ni cantik dengan Aliya. Aliya suka tak?”

Aliya memandang baju yang ditunjukkan oleh lelaki itu tanpa sebarang reaksi. Dia langsung tidak kisah tentang baju itu.

“Encik Adam, dah saya katakan yang saya tak mahu pergi ke majlis tu.” Dia berbisik sambil memandang Hazril. Mujur Irina dan Haikal berada agak jauh ketika itu.

“Rasanya gaun ni sesuai dengan Aliya.” Ujar Hazril lagi seolah-olah tidak mendengar kata-katanya.

Aliya merenung lama ke arah Hazril. Geram sungguh dia apabila melihat Hazril buat tidak kisah sahaja dengan kata-katanya. Dia berpusing mahu pergi, tapi tiba-tiba sahaja tangannya direntap oleh Hazril agak kasar.

Aliya tergaman. Gugup menatap renungan Hazril yang menikam tepat ke wajahnya. Takut pun ada juga. Selama ini, belum pernah dia melihat Hazril berkelakuan begitu dengannya.

Dia cuba melepaskan genggaman tangan Hazril, tapi semakin lama semakin kemas pula pautan tangan lelaki itu. Aliya mulai gelisah. Dah gilakah dia? Bagaimana kalau Irina dan Haikal nampak mereka begitu?

“Ril, you mahu ke sut yang you pilih tadi?” Tiba-tiba Auntie Zue menghampiri mereka. Pantas Hazril melepaskan tangannya.

“Ya, I nak sut tu dan you tolong bungkuskan dress tu sekali. Dia suka dress tu.” Selamba Hazril berkata. Sedikit pun dia tidak ambil peduli pada perubahan di wajah Aliya.

“Good choice, pandai you pilih.” Berlenggang-lengguk lelaki lembut itu membawa dress itu ke kaunter. Aliya kembali memandang ke arah Hazril. Tatapan mata lelaki itu masih ke arahnya. Serius! Sejurus kemudian, lelaki itu berlalu meninggalkannya menuju ke arah Irina. Aliya semakin keliru dengan apa yang telah terjadi sebentar tadi. Kenapa lelaki itu melayannya seperti ini? Aku dah buat salahkah? Bingung Aliya memikirkannya!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!