Followers

Thursday, November 18, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 31

TERUK dia dimarahi oleh orang atasannya kerana laporan Suria yang bersifat provokasi. Namun hendak dikata apa lagi, jika laporan berbentuk andaian itu sudah terlepas keluar kepada orang ramai. Sebaik dia keluar dari bilik ketuanya, Kordi dan Rahimi sudah menanti di luar.

“Bagaimana tuan?” Kordi mengajukan pertanyaan.

Dia memandang Kordi dan Rahimi silih berganti, sebelum menjongketkan bahunya. Kakinya melangkah ke arah biliknya. Kordi dan Rahimi mengekor dari belakang.

“Tapi pelik juga, macamana Cik Suria boleh kaitkan kes pembunuhan tu dengan pengikut ajaran sesat? Ada kemungkinan ke tuan?” Kordi melahirkan kesangsian.

Izwan hanya mampu berdiam diri. Dia menggaru kepala tidak gatal. Ini semua salahnya juga. Dia yang terlalu melayan kerenah gadis itu sehingga semunya jadi bercelaru. Bukankah lebih bagus jika sejak dari awal dia tidak membiarkan Suria mencampuri urusan siasatan pihak polis? Tapi hendak menghalang pun, nasi sudah menjadi bubur.

Izwan melabuhkan punggung di atas kerusi. Matanya dipejamkan. Melihat keadaan Izwan, Kordi dan Rahimi sudah faham yang lelaki itu tidak mahu diganggu. Menyedari pintu biliknya dikatup rapat, Izwan mula membuka matanya. Telefon bimbitnya dicapai.

“Jaidin, aku ni. Kau dah dapat email yang aku kirim tu? Aku nak kau siasat tentang gambar-gambar tu. Hubungi aku kalau ada apa-apa maklumat.” Pesan Izwan sebelum memutuskan talian. Matanya terperosok pada salah satu drawer di mejanya. Lacinya ditarik keluar. Dokumen yang diserahkan oleh lelaki berjambang itu ditatap sekali lagi. Renungan Izwan singgah lama pada gambar-gambar itu. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Bisik hati kecil Izwan, penuh tanda tanya. Sesuatu yang tak mampu diungkap dengan kata-kata hadir di fikirannya. Yang nyata dirinya kini terseret lebih jauh dari apa yang mampu dibayangkannya.

* * * *

Tengahari itu, Izwan berangkat dengan orang-orang bawahannya menuju ke HKL. Hari itu keluarga si mangsa akan menuntut mayat anaknya untuk dibawa pulang. Apabila kereta yang dipandunya memasuki kawasan perkarangan hospital, terdapat ramai orang sedang berhimpun di dataran hospital. Ternyata kes pembunuhan Masyitah menarik minat orang ramai yang sering mengikuti susulan kes tersebut di dada-dada akhbar. Ditambah lagi dengan ‘promosi percuma’ yang dilakukan oleh Suria kelmarin.

“Bagaimana dengan kawalan?” Tanyanya.

“Semua anggota kita dah bersedia tuan,” ujar salah seorang CID yang bersamanya.

“Bagus! Minta mereka bersedia bila-bila masa mayat itu dibawa keluar. Bukan apa, kita harus bersedia mengelakkan sebarang kemungkinan yang berlaku.” Sahut Izwan tegas. Kedua-dua CID itu hanya mengangguk. Mata Izwan leka mengawasi kelibat orang ramai yang sudah memenuhi ruang legar di hadapan bangunan HKL itu.

Dia juga terpandang beberapa buah van milik stesyen televisyen tempatan yang sedang membuat liputan. Mata Izwan mencari-cari van milik Stesyen KZM. Sejurus kemudian, matanya singgah pada sesusuk tubuh yang sedang berbual-bual dengan seorang lelaki di suatu arah.

“Rahimi, awak tunggu dekat sini. Saya nak ke sana sebentar,” ujar Izwan lalu segera melangkah ke suatu arah. Melihat Izwan tiba-tiba menghampirinya, Suria terpempan. Lelaki itu kelihatan selamba berdiri di sampingnya, sambil memandang ke arah pintu masuk HKL. Sebuah van jenazah milik pihak hospital sudah lama tersadai di situ.

“Bagus laporan kau untuk berita pukul dua dan prime time semalam. Siap sebut tentang ritual agama dan upacara pemujaan. Mana kau dapat maklumat tu?” Soal Izwan sinis.

Suria tersenyum sendiri. Dia sudah tahu apa yang bermain di fikiran lelaki itu. Pasti Izwan akan menyalahkannya seratus-peratus di atas penyiaran berita mengenai Masyitah.

“Aku kan reporter. Tugas menyelidik dah jadi tugas aku.” Balas Suria selamba. Izwan ketawa kecil.

“Is it so? Bagaimana dengan tugas menyelidiki kesahihan berita yang ditulis? Apa kau tak pentingkan kebenaran tentang apa yang telah berlaku?”

Suria terdiam. Bunyi cakap lelaki itu seperti memerlinya.

“Tuan Izwan, aku tak rasa laporan aku tu salah. Kau yang jelaskan tentang kes ni pada aku. Lagipun sewaktu aku usulkan tentang teori ritual dan keagamaan sebagai ‘main point’ dalam kes ni, kau tak menafikan pun.”

“Aku tak menafikan kerana setiap dakwaan kau atau teori kau tentang agama sesat atau ilmu ghaib, tak ada kena-mengena langsung dengan kes ni. Tapi aku tak sangka kau ni jenis perempuan yang tak boleh dipercayai. Ini ke etika kewartawanan yang kau pegang? And yet, you still want to compromise with us?” Marah Izwan.

Suria terdiam. Dia tahu dalam keadaan sekarang, cakap apa pun sudah tidak berguna jika Izwan tetap menyimpan syak wasangka terhadapnya.

“Aku tak faham kenapa kau tak mahu berkongsi maklumat tentang kes ini dengan aku. Jika tidak, pasti laporan aku hanya akan dibuat atas garis panduan yang pihak polis berikan.” Tenang suara Suria menyusun kata. Dia tidak mahu terus berperang dengan Izwan.

“Aku tak rasa itu perlu. Campurtangan pihak wartawan hanya akan menyukarkan kami membuat siasatan. Lagipun setelah apa yang berlaku, aku tak fikir kita boleh bekerjasama lagi.” Getus Izwan dengan wajah serius.

“Itu kata kau. Hakikatnya KZM dan pihak polis banyak bekerjasama sebelum ini. Kami membekalkan maklumat dan pihak polis membuat tangkapan. Lagipun tak pernah pula aku dengar kami para wartawan ni menyusahkan pihak polis,” balas Suria. Geram sungguh dia apabila Izwan seolah-olah menuduh pihak wartawan suka membuat onar dan menganggu siasatan polis.

“Cik Suria, ada banyak benda yang kau tak tahu tentang kes ini. Aku nasihatkan sebelum keadaan jadi lebih buruk, baik kau hentikan laporan mengarut kau ni. Kes ini bukan seperti kes-kes lain.” Ujar Izwan lembut. Entah mengapa dia merasakan tidak berguna dia cuba berkasar dengan Suria. Belum tentu gadis yang keras hati itu akan mengalah.

“Mungkin cakap kau tu betul. Kes ni memang lain dari kes-kes pembunuhan yang lain. Jika tidak masakan unit D4 akan masuk campur. Tapi semua ini membuatkan aku lebih berminat mahu tahu, apakah sebenarnya yang pihak polis rahsiakan tentang kes ni?” Suria mengerling ke arah lelaki itu.

Izwan ketawa kecil. Dia menggelengkan kepalanya. Baru kini dia mengerti betapa sukarnya mahu bertolak ansur dengan gadis seperti Suria. Dia merenung wajah gadis itu dalam-dalam. Suria turut membalas tatapan matanya dengan berani. Tapi pandangan itu hanya seketika. Anak mata itu kini beralih arah. Wajah gadis itu juga berubah.

Menyedari keadaan itu, Izwan diterpa perasaan hairan. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya. Matanya mengekori lirikan mata Suria. Sejurus dia terpempan. Seorang lelaki berkulit hitam dan memakai cermin mata gelap muncul di antara kelibat orang ramai yang memenuhi perkarangan hospital.

“Suria?” Izwan memanggil namun anak gadis itu tidak menyahut. Belum sempat dia mahu bersuara, suara riuh rendah orang ramai di perkarangan hospital memesongkan tumpuan Izwan. Dari jauh dia melihat beberapa orang lelaki muncul dari dalam bangunan sambil mengusung sebuah keranda sederhana besar. Keranda itu lalu dimasukkan ke dalam van yang sudah sedia menanti. Beberapa orang anggota polis berpakaian biasa asyik berkawal di sepanjang tempat, untuk mengelakkan sebarang kejadian tak diingini berlaku.

Izwan berpaling ke arah Suria. Namun dia terperanjat apabila menyedari kelibat Suria hilang tanpa disedari, padahal baru sebentar tadi mereka masih berdebat. Ke mana dia pergi? Mata Izwan meliar mengintai di sekelilingnya, namun gadis itu ghaib entah ke mana. Apabila dia menoleh semula ke arah lelaki berkulit gelap itu berdiri, bayang lelaki itu juga turut lesap. Izwan tergaman. Ketika dia menumpukan perhatian pada van jenazah yang sedang bergerak keluar dari kawasan hospital, matanya terpandang sesusuk tubuh kecil sedang melangkah pantas dari celah-celah orang ramai yang berpusu-pusu. Izwan diterpa tanda-tanya. Kenapa Suria terburu-buru?

Tiba-tiba matanya terpandang kelibat lelaki berwajah hitam legam itu. Anehnya lelaki itu turut beredar dengan langkah panjang. Izwan mulai keliru. Apakah Suria sedang mengekori lelaki bertubuh kurus runcing dan berkulit hitam legam itu? Kedua-duanya dilihat memasuki bangunan hospital.

“Tuan, van jenazah dah nak beredar. Tuan nak ikut serta ke rumah mangsa?” Soal Rahimi.

Izwan menoleh sebentar ke arah lelaki itu. Namun matanya terpandang helaian kertas yang berada di tangan Rahimi. Dia lekas-lekas merampas kertas di tangan lelaki itu. Apa yang dilihatnya membuatkan dia terkesima. Lakaran wajah lelaki pada paparan kertas itu mirip dengan lelaki yang dilihatnya sebentar tadi. Hatinya mula berdegup kencang. Apakah Suria kenal dengan lelaki itu? “Awak ikut mereka dulu Rahimi, saya ada urusan lain sekejap. Sebentar lagi saya menyusul,” arahnya. Lelaki itu hanya mengangguk tanpa banyak soal.

* * * *

Suria berlari-lari anak mengekori kelibat lelaki itu, namun dia hampa. Sekejap sahaja tubuh di hadapannya menghilang. Jauh menyusuri deretan bilik-bilik di situ, dia mula mengalah. Dia sendiri tidak tahu untuk apa dia mengejar lelaki itu. Bahkan kehadiran lelaki itu membuatkan dia berasa aneh. Apa kaitan lelaki itu dengan kematian Masyitah Kassim? Kenapa lelaki itu sering muncul di hadapannya sejak akhir-akhir ini? Dan jikalau aku menemuinya pun, apa yang akan aku lakukan? Bagaimana kalau lelaki itu lelaki jahat?

Kali pertama dia bertemu, lelaki itu baru keluar dari bilik Doktor Ibrahim. Dan kali ini pula, dia bertemu lagi lelaki itu di saat-saat mayat gadis malang itu dituntut keluarganya untuk dikebumikan. Untuk apa lelaki itu di sini kalau bukan kerana Masyitah? Apakah lelaki itu tahu sesuatu tentang kematian Masyitah?

Suria teringat pada cerita-cerita detektif yang sering ditontonnya di kaca televisyen. Kebiasaannya pembunuh akan hadir di kawasan pembunuhan atau di mana mayat mangsa ditempatkan, sebagai tanda kemegahan diri dan menunjukkan kekuasaannya menundukkan mangsa. Mungkinkah keadaan ini sama seperti drama-drama penyiasatan yang ditontonnya?

Lamunan Suria terhenti apabila terdengar bunyi benda jatuh. Dia terpaku. Entah mengapa dadanya berdebar kencang. Bunyi itu datang dari penjuru bilik kecil di hadapannya. Terketar-ketar tangannya cuba menghampiri tombol pintu. Hatinya berasa ragu-ragu, namun perasaan ingin tahu lebih kuat menguasainya. Perlahan-lahan tombol pintu di hadapannya dipulas. Bunyi keriutan pada daun pintu jelas kedengaran. Hatinya gementar, namun dia nekad. Dia harus tahu siapakah lelaki berkulit hitam itu dan apa kaitannya dengan kematian Masyitah.

Baru separuh pintu bilik itu dikuak, tiba-tiba tangannya direntap kasar oleh seseorang dari arah belakang. Belum sempat dia menjerit, sepasang tangan lebih cekap menekup mulutnya. Suria menoleh. Wajah itu berkerut memandangnya seraya mengisyaratkan agar dia senyap.

“Diam! Atau aku bunuh kau nanti!” Ancam lelaki itu sambil menghunus sebilah pisau rambo di pangkal tengkuknya. Dia terkedu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!