Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 7


            Engku Latifah memandang ke arah dinding di bilik mesyuarat itu dengan perasaan resah. Jam sudah menunjukkan pukul 10.00 pagi. Bermakna hampir sejam ahli-ahli lembaga pengarah menunggu di situ. Beberapa lelaki yang sedang duduk di hadapannya secara terang-terangan menunjukkan wajah kurang senang.

            Engku Latifah sendiri sudah bosan menunggu. Oleh itu dia faham perasaan lelaki-lelaki di hadapannya. Pasti mereka naik marah kerana masa yang berharga, dibazirkan begitu sahaja demi menunggu seseorang.

            Engku Latifah memandang Engku Iskandar di sisinya. “Abang Is, mana Nashriq ni? Kalau sepuluh minit lagi dia tak datang, saya akan batalkan mesyuarat ni.” Ujar Engku Latifah.

            “Sabarlah Tif, mungkin sekejap lagi dia sampai.” Pujuk Engku Iskandar. Padahal dia sendiri berharap agar lelaki itu tak muncul-muncul. Namun melihat suasana ‘meeting board’ yang nampak panas, hatinya jadi senang tiba-tiba. Bodohnya budak Nashriq ni. Senang-senang saja dia lepaskan kepercayaan ahli lembaga pengarah terhadapnya. Selepas ini, mana mungkin dia boleh mendapat sokongan dari mereka lagi. Dan bila peluang ini datang, aku akan singkirkan dia, detik hati kecil Engku Iskandar.

            Melihat masa sudah berlalu sepuluh minit lagi, Engku Latifah sudah tidak berdaya menangguh mesyuarat itu lagi. Dia baru hendak membuka mulutnya untuk membatalkan mesyuarat hari itu, tatkala pintu di hadapannya terkuak luas. Nashriq tiba-tiba muncul bersama Erman di sisinya. Bibir Engku Latifah serta merta melemparkan senyuman. Dia gembira bercampur lega kerana anak muda itu muncul juga akhirnya.

            “Tuan-tuan semua, saya perkenalkan ini anak saya Nashriq Adli yang baru pulang dari US. Dia akan menerajui syarikat ini selaku pengarah operasi.” Wanita itu mengumumkan perlantikan itu. Namun kebanyakan ahli lembaga pengarah hanya mendiamkan diri. Engku Iskandar seperti ingin ketawa.

            Nashriq tercegat di hadapan ahli-ahli lembaga pengarah dengan wajah serius. Dia tahu lelaki-lelaki kenalan lama ayahnya itu, seakan mahu memboikotnya. Dia menoleh ke arah ibunya yang nampak resah. Seketika kemudian, matanya kembali menjunam ke setiap wajah yang ada di hadapan matanya.

            “Tuan-tuan semua, saya mohon maaf di atas keterlewatan saya. Keterlewatan saya bukan disengajakan. Ini kerana saya telah menyediakan beberapa dokumen untuk tuan-tuan semua. Tapi sebelum itu saya ingin meminta persetujuan ahli-ahli lembaga pengarah agar perlantikan saya sebagai Pengarah Operasi dibatalkan.” Ujar Nashriq membuatkan seisi ahli mesyuarat tergaman. Engku Latifah terperanjat besar, manakala Engku Iskandar pula mengerutkan dahinya. Hairan.

            “Jika anda semua bersetuju, saya ingin agar jawatan Pengurus Besar yang dipangku oleh pakcik saya Engku Iskandar selepas kematian Syed Tahir, diserahkan kepada saya untuk ditadbir.” Sambung Nashriq lagi.

            “Apa Naz buat ni? Naz tak boleh buat begini…” Engku Latifah berbisik di telinga anak muda itu. Namun Nashriq seakan tidak mempedulikan ibunya.

            “Saya seratus peratus yakin yang saya boleh membawa Mega Timur Construction ke mercu kejayaan dengan penghasilan unjuran profit dari 21.5 peratus pada tahun lepas kepada lebih 50 peratus pada masa hadapan. Oleh itu saya sudah menyediakan beberapa usul baru untuk tuan-tuan semua. Pembantu saya Encik Erman akan mengedarkan kepada tuan-tuan usul saya yang pertama sebagai Pengurus Besar Mega Timur Construction.” Ucap Nashriq sambil memandang ke arah Erman yang membawa berdozen fail-fail cadangan.

            Beberapa ahli lembaga pengarah kelihatan terpegun. Masing-masing sibuk berbisik-bisik sesama sendiri. Melihat keyakinan pada wajah Nashriq, Engku Latifah terdiam. Entah mengapa dia yakin, usul Nashriq pasti senang menawan hati ahli-ahli lembaga pengarah yang kini tersepit.

            Engku Iskandar mengetapkan bibirnya. Entah mengapa, dia jadi kurang senang dengan kata-kata Nashriq. Menjadi Pengurus Besar, bermakna Nashriq mendapat ‘full access’ kepada semua urusan jual beli yang berlaku dalam Mega Timur Construction. Sedangkan inilah yang paling ditakutinya. Selama ini, dia yang mengawal semua urusan jual beli, setelah kematian Syed Tahir yang sudah lama berkhidmat di Mega Timur Construction. Tapi setelah orang tua itu meninggal dua tahun yang lalu kerana barah perut, Mega Timur Construction sudah tidak mempunyai pengurus besar.

            Lamunan Engku Iskandar terhenti apabila fail berwana biru itu diletakkan di hadapannya. Dia memandang fail tersebut sekilas lalu. Dahinya berkerut. Betulkah apa yang aku lihat ni?

            “Seperti yang anda semua tahu, prestasi Mega Timur Construction sebagai sebuah syarikat pemaju pembinaan hartanah terbukti merosot dengan unjuran profit yang agak mengecewakan sepanjang tahun lalu. Oleh itu apa yang harus difokuskan pada tahun ini adalah bagaimana untuk mengatasi kemerosotan itu dan menstabilkan nilai profit. Maka usul saya yang pertama adalah supaya meminta semua elaun-elaun serta keistimewaan ahli-ahli lembaga pengarah dibekukan buat sementara waktu.”

            Kata-kata Nashriq menimbulkan reaksi yang agak mengejutkan. Engku Latifah sendiri tergaman jadinya.

            “Apa kaitan elaun-elaun ALP dengan prestasi syarikat yang merundum? Saya tak rasa semua ini berpunca dari elaun-elaun kami semua.” Ujar salah seorang dari lelaki-lelaki itu. Yang lain-lain hanya mengiyakan. Nyatalah mereka semua tidak setuju dengan usul itu.

            Nashriq tersenyum tenang. Lelaki yang nampak emosi itu dipandang agak lama. “Setiap produktiviti syarikat saling berkait dengan sumber kerja yang proaktif dan efisien. Jika produktiviti yang terhasil tak seiring, maka ia berpunca dari sumber tenaga kerja yang lemah. Kita sebagai pentadbir harus menguatkan dahulu bahagian yang lemah ini dengan cara menjaga kebajikan mereka dengan menyamaratakan kedudukan mereka dengan kita. Pertama dengan mengurangkan elaun pihak pentadbir, kita sudah boleh menjimatkan sebahagian besar kewangan syarikat. Malah kemudahan-kemudahan syarikat harus diberi kepada pegawai-pegawai operasi dan unit-unit penting dalam syarikat untuk melancarkan perjalanan kerja.” Ujar Nashriq petah.

            Sebahagian hadirin terdiam. Engku Iskandar memandang sebahagian besar ahli-ahli lembaga pengarah yang kelihatan berbincang sesama sendiri. Dia yakin usul Nashriq itu akan ditentang bulat-bulat oleh lelaki-lelaki itu.

            Namun bunyi tepukan gemuruh datangnya dari suatu arah mengejutkan Engku Iskandar. Dia menoleh. Dato’ Mustadza salah seorang pesero syarikat kelihatan tersenyum sambil memandang ke arah  Nashriq. Seperti dipukau, beberapa ahli lembaga pengarah yang lain turut menyambut sokongan yang diberi oleh lelaki itu. Engku Latifah tersenyum lega di kerusinya.

*  *  *  *

            Laju kakinya melangkah mendaki tingkat 5. Mahu menaiki lift, dia bimbang lagi terlambat, apatah lagi ramai orang sedang berkerumun di hadapan pintu lift. Aduh! Apa malangnya nasibnya hari ini kerana terlewat bangun. Hampir sesak nafasnya melihat jam di dinding biliknya yang hampir menunjukkan pukul 10.30 pagi. Kalau bukan dia terdengar anak jiran sebelah rumahnya yang melalak pagi-pagi buta, sudah tentu dia kesiangan sehingga ke tengahari.

            Sebaik sampai di hadapan pintu bilik mesyuarat, langkah Suraya terhenti. Seorang wanita bercermin mata bulat yang berdiri di hadapan pintu bilik, merenung tajam ke arahnya.

            “Baru sampai Cik Suraya?” Tegur wanita itu.

            “Maaf Puan Mahira, saya terlewat. Mesyuarat dah mula?” Tanya Suraya.

            “Dah hampir sejam mula. Apa nak jadi dengan you ni Suraya. Masuk bulan ni saja, dah dua tiga kali you lewat. Kalau hari-hari lain tak apalah, tapi hari ni hari penting. You pun tahu kan ini mesyuarat ahli lembaga pengarah syarikat. Ramai ahli-ahli ALP yang datang untuk meraikan anak Puan Engku.” Leter Mahira.

            Suraya hanya diam. Dia sedar dia tersilap. Semuanya kerana peristiwa malam semalam. Sudahlah dia tersekat sampai tengah malam di balai polis. Sampai di rumah pula, teruk dia disoal bertubi-tubi oleh ayahnya sehingga pukul 2 pagi. Marah benar orang tua itu kerana kelewatannya.

            Belum sempat Mahira mahu menyambung memarahi Suraya, pintu di belakangnya terbuka tiba-tiba. Muncul Katrina, setiausaha bosnya dari dalam.

            “Kak Ira, mesyuarat dah nak selesai. Lepas ni tolong kemaskan terus bilik mesyuarat sebab kita nak guna bilik ni untuk meeting dengan delegasi dari US pukul 3.00 petang nanti,” beritahu Katrina. Mahira hanya mengangguk.

            Mata Katrina terpandang Suraya di belakang Mahira. Mata gadis itu mencerlung tajam memandang Suraya. Suraya hanya tersengih. Serentak dengan itu pintu di belakang Katrina terbuka lebar. Ketiga-tiganya serentak mengundur ke tepi.

            Apabila para ALP keluar dari bilik mesyuarat, Suraya mengundur sedikit ke belakang Mahira. Dia tunduk.

            Salah seorang lelaki separuh umur yang hampir botak melangkah melewati Mahira dan Katrina, lalu terhenti di hadapan keduanya. Namun anak matanya tertumpu pada Suraya yang kelihatan tunduk. Dia mendengus.

            Dengusan lelaki itu membuatkan Suraya mengangkat kepalanya. Matanya bertembung pandang dengan sepasang mata yang berkerut memandangnya. Mahu tak mahu Suraya tersenyum lebar. Dia tahu lelaki itu tentunya belum puas berleter padanya.

            Namun  lelaki itu tidak berkata apa-apa padanya. Langkah lelaki itu segera diatur pergi, membuatkan Suraya sedikit lega. Jika tidak, pasti Mahira dan Katrina akan tahu bahawa lelaki yang baru keluar itu adalah ayahnya. Dan jika kedua-duanya tahu bahawa ayahnya adalah salah seorang pesero utama Mega Timur, sudah pasti kecoh satu jabatannya. Selama ini dia memang merahsiakan hubungannya dengan Dato’ Mustadza.

            Sedang dia asyik tersenyum, tiba-tiba nafasnya seakan mahu terhenti melihat kemunculan seorang lelaki beriringan bersama pengerusi syarikat. Lelaki itu cukup segak berkot dan bertalileher. Mulanya dia tidak yakin apakah lelaki yang dilihatnya itu Nashriq, namun apabila melihat Erman di belakang lelaki itu, dia mula mempercayai matanya. Tapi apa dia buat di sini?

            “Anak bos kita tu boleh tahan kacaknya kan,” bisikan Katrina ke telinga Mahira jelas terdengar di telinganya. Suraya terpempan. Biar betul! Apakah lelaki yang sering diheboh-hebohkan di pejabatnya sejak dua minggu yang lalu adalah Nashriq?

*  *  *  *

            Suraya asyik termenung panjang sejak pagi tadi. Dia benar-benar tidak menduga akan dipertemukan semula dengan Nashriq dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Hatinya terbuai semula. Mana tidaknya, dia dan Nashriq akan jadi rakan sepejabat kelak. Malah hari-hari seterusnya dia akan sering ternampak Nashriq di bangunan Mega Timur Construction. Entah kenapa Suraya rasa seronok tiba-tiba. Sekurang-kurangnya akan hilang rasa bosannya bekerja di situ jikalau Nashriq ada.

            “Kau tak nak makan ke nasi tu Sue?” Tegur Katrina apabila melihat anak gadis itu hanya memandang kosong pada makanan yang masih banyak berbaki. Suraya tidak menjawab. Matanya terkelip-kelip memandang ke suatu arah. Katrina tercengang. Apa kena dengan perempuan ini?

            Katrina pantas menarik dulang makanan di hadapan Suraya. Namun anak gadis itu langsung tidak memberi sebarang reaksi. Katrina kian diterpa rasa hairan. Demamkah dia?

            “Kenapa kau datang lambat tadi? Kau tak sihat?” Soal Katrina ingin tahu. Suraya memandangnya agak lama.

            “Kat, aku rasa aku dah jatuh cinta,” bisik Suraya perlahan. Katrina tergaman. Tak lama kemudian tawa Katrina meletus. Semakin lama semakin kuat. Giliran Suraya pula tercengang. Apa kena temannya yang seorang itu?

            “Bukankah kau jatuh cinta dengan semua lelaki di pejabat kita ni. Sekarang siapa pula mangsa baru kau?” perli Katrina tersenyum simpul. Bukan dia tidak tahu dengan perangai Suraya yang kuat menggoda. Siapa di pejabatnya yang tak pernah termasuk dalam umpan Suraya? Namun setelah hati lelaki-lelaki itu berjaya ditakluk, Suraya akan mengundur diri. Malah tidak ada satu pun lelaki yang lekat dengannya, tidak kurang dari sebulan.

            Kadang-kadang Katrina naik pelik dengan sikap Suraya. Dia kenal Suraya sejak mereka sama-sama menuntut di universiti. Namun semasa di universiti, Suraya tidak pula menunjukkan sikap-sikap nakal. Tapi setelah mereka di alam pekerjaan, sikap nakal Suraya semakin menjadi-jadi. Pernah suatu ketika dahulu, seorang lelaki datang ke pejabat dan marah-marah pada Suraya. Kononnya Suraya memainkan perasaannya. Sudah banyak wangnya berhabis untuk gadis itu. Tapi akhirnya Suraya yang pertama membuat keputusan untuk meninggalkan lelaki itu.

            “Kali ini aku rasa lain.” Jawab Suraya. Senyumannya terawang-awang.

            “Lain? Lain yang bagaimana tu?” Katrina juga tersengih.

            Suraya tidak menjawab. Entah bagaimana dia harus menyatakan apa yang terbuku di lubuk hatinya. Lagipun Katrina tidak tahu menahu langsung siapa yang dimaksudkannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!