Followers

Tuesday, October 5, 2010

Hujan Rindu : Bab 18

Yuzer meletakkan gagang telefon. Dahinya kelihatan berkerut sesudah menamatkan perbualan. Emir yang sedang menaip sesuatu di dalam laptopnya sesekali menjeling anak muda itu. Sikap Yuzer menarik perhatiannya apatah lagi wajah anak muda itu nampak mendung.

“Pakcik cakap apa?” Soal Emir.

“Dia tak dapat datang.” Beritahu Yuzer.

“Habis? Kayu nyatoh tu?” Emir kelihatan bimbang.

“Dia kata dia akan kirimkan maklumat pada kita.” Balas Yuzer muram. Dia termenung panjang. Lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu. Emir mengerutkan dahinya.

“Habis? Yang kau termenung lagi kenapa?” Tegur Emir. Hairan dengan sikap Yuzer yang tiba-tiba berubah sikap.

“Emir, kau ingat tak masa mula-mula Grand Suri ditubuhkan? Ayah aku bantu kita dapatkan ramai klien-klien besar dari Globe Golden. Tapi selepas itu ayah aku tarik diri dari Grand Suri, dan dia bawa keluar hampir separuh dari klien-klien utama.” Ujar Yuzer tiba-tiba. Emir memandang lelaki itu. Wajahnya berkerut.

“Aku masih ingat. Masa tu kau marah betul dengan ayah kau kan. Kau tuduh ayah kau sengaja nak menjatuhkan Grand Suri.”

Yuzer tersenyum kecil. “Mulanya aku tak faham tentang dia. Dia tarik diri dari Golden Globe, tak seorang pun tahu apa sebabnya. Selepas tu dia datang pada kita tawarkan bantuan. Kemudian sekali lagi dia tarik diri bersama klien-klien kita. Takkan kau tak faham perasaan aku masa tu.”

“Masa tu kau bergaduh hampir satu jam dengan pakcik di bilik mesyuarat tu. Tapi selepas tu keadaan jadi seperti sediakala. Sampai sekarang aku masih tak faham, kenapa kemarahan kau jadi reda dengan keputusan yang telah pakcik ambil. Apa yang dia cakap pada kau membuatkan kau berubah fikiran?” Emir kelihatan berminat ingin tahu. Sudah lama dia mahu tahu cerita di sebalik penarikan diri Taufik Hidayat dari Grand Suri.

Yuzer bingkas bangun lalu menuju ke arah jendela biliknya. Dia menarik tirai jendela sambil merenung jauh ke hadapan.

“Kalau bukan sebab ayah, mungkin sampai sekarang Grand Suri akan tetap berada di takuk lama. Aku benar-benar mengagumi dia, meskipun di mata orang kami sering bertelagah pendapat.” Tukas Yuzer.

“Kau nak tahu apa yang dikatakannya pada aku dua tahun yang lalu?” Yuzer memandang Emir. Anak muda itu mengangguk. Matanya bukan lagi pada skrin laptopnya. Sekarang dia lebih berminat dengan cerita Yuzer.

“Apa dia?”

“Dia kata kita masih belum mampu menguruskan Grand Suri dengan baik. Malah ilmu kita dalam ‘interior design’ masih terlalu cetek. Katanya dia ada alasan sendiri menarik semua klien-klien itu ke Golden Globe. Jika dia tak buat begitu, Grand Suri akan cepat runtuh.” Ucap Yuzer sambil tersenyum.

“He said that?” Emir bagaikan tidak percaya.

“Masa itu aku seperti kau, memikirkan apakah ayah aku tu sengaja nak menjatuhkan kita? Tapi selepas beberapa bulan, kita mendapat pelbagai kritikan demi kritikan, aku mula sedar kebenaran kata-katanya. Masa itu kita masih muda, pengalaman kita masih terlalu hijau dalam bidang ini. Mungkin jika ayah tak membawa keluar klien-klien utama itu, Grand Suri takkan mampu bertahan seperti sekarang.”

“Sebab itu kau dan aku sering keluar ke merata tempat melihat hasil kerja orang lain? Sebab kau nak belajar dari kesilapan lalu?” Duga Emir.

“Menghayati hasil kreativiti orang lain bukan bermakna kita lemah atau kita cuba meniru. Tapi ia bertujuan untuk memperkuatkan ilmu yang telah sedia ada. Menajamkan pemikiran dan daya cipta kita ke tahap yang tertinggi. Itulah yang sering disebut oleh ayah aku!” Balas Yuzer.

“Aku faham maksud kau tu Yuz. Aku pun kagum dengan ayah kau. Dia memang berbakat dalam bidang ini, sayangnya dia bersara terlalu awal.”

“Dia bukan sepenuhnya bersara. Dia hanya bersara dari Golden Globe, tapi kreativitinya terserap sepenuhnya dalam perabot-perabot yang direkanya. Lagipun dia dan aku dah tak boleh lari jauh dari bidang ni. Kami ditakdirkan meneruskan tradisi keluarga kami sejak berpuluh tahun yang lalu.”

Emir terdiam. Dia sudah lama mengenali Yuzer. Sedikit sebanyak dia tahu asal usul Yuzer yang berasal dari darah golongan pembuat perabot utama di Kedah suatu ketika dulu. Malah banyak rekaan dan ukiran perabot dari zaman nenek moyang Yuzer digunakan sejak Zaman Pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin lagi. Sebab itu darah Yuzer sudah lama sebati dengan hiasan dalaman dan rekaan perabor-perabot moden. Begitu juga dengan ayahnya Taufik Hidayat yang sudah lama terkenal dalam bidang yang serupa.

“Lepas ni aku nak jumpa klien. Agaknya aku tak balik pejabat nanti, terus pulang ke rumah. Boleh kau tolong tengokkan kerja-kerja ‘sliding’ dekat rumah Datin Melati tu?” Pinta Yuzer. Emir hanya mengangguk tanpa banyak soal. Lagipun dia sudah berkira hendak menjenguk ke sana sebelum pulang.

* * * *

Yuzer menghentikan enjin kereta. Sebaik dia keluar dari kereta, bunyi isyarat bertalu-talu dari telefon bimbitnya membuatkan dia segera mengambil telefon dari saku seluarnya. Dia menjengah ke arah skrin telefon. Paparan itu dibaca sepintas lalu. Dia mengeluh kecil.

‘Abang, Zaza balik ke dorm malam ni. Esok ada exam sebelah pagi. Lupa nak beritahu abang pagi tadi. Nanti Zaza call abang. Bye. Zaza.’

Yuzer tersengih. Macam-macam perangai budak ni. Dia menjeling jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir masuk maghrib. Bila Zaza balik agaknya? Sebelah petangkah? Kalau anak gadis itu sabar menunggu atau memberitahunya awal, boleh juga dia menghantarkan Zaza ke UKM.

Yuzer melangkah perlahan-lahan ke arah apartmentnya yang terletak di tingkat empat. Entah mengapa, tiba-tiba saja dia rasa bosan pulang ke rumah yang kosong. Sekurang-kurangnya kalau Zaza ada, boleh juga dia lawan bertekak dengan anak gadis itu. Kini dia kembali sendirian seperti selalu.

Selepas anak kunci dipusing, dia menolak tombol pintu. Anehnya dada pintu langsung tidak berganjak. Yuzer mengerutkan dahinya. Hairan! Aneh, kenapa tak boleh dibuka pula pintu ni?

Dia mencuba lagi, tapi tetap gagal membukanya. Yuzer mulai naik geram. Apakah pintu rumahnya rosak atau dia yang tersalah anak kunci? Namun melihat pada mata anak kunci di tangannya, dia yakin itu kunci untuk apartmentnya.

Seketika kemudian, Yuzer terpaku apabila mendengar bunyi derapan sepatu dari arah dalam, berlari-lari anak ke muka pintu di hadapannya. Dia diam membatu, sambil dadanya bergolak kencang. Siapa? Takkan Zaza, kerana dia baru saja menerima mesej dari Zaza.

Bagaimana kalau ada pencuri di rumahnya? Jantungnya mula berdebar-debar tidak keruan. Jari-jemarinya diramas, bersedia melontarkan serangan jika benar ada orang asing di rumahnya. Bunyi tombol pintu dipulas, jelas di pendengaran Yuzer. Dia sabar menanti dengan rasa cemas yang tak mampu disorok. Langkahnya hati-hati, cuba diawasi sebaik mungkin.

Sebaik daun pintu di hadapannya diselak, Yuzer tanpa berfikir panjang terus mengasak lembaga di hadapannya. Lembaga itu terjerit kecil. Namun dia terkejut besar apabila melihat wajah yang terpacul di hadapannya. Matanya dikelip-kelipkan hampir tidak percaya.

“Awak?” Yuzer ternganga tidak percaya.

Anum Dahlia memandang lelaki itu tanpa sepatah kata. Dia sendiri terkejut kerana disergah Yuzer secara tiba-tiba.

“Apa awak buat kat rumah saya? Macamana awak masuk?” Soal Yuzer bertalu-talu. Wajah Anum Dahlia dipandang garang membuatkan gadis itu kelu seribu bahasa.

“Apasal awak diam ni? Tak dengar apa saya tanya?” Bentak Yuzer lagi. Dia benar-benar bimbang melihat kehadiran Anum Dahlia di situ.

“Abang? Kenapa ni?” Tiba-tiba Zurin pula terpacul di hadapan mata Yuzer. Dia hairan melihat sikap garang Yuzer terhadap Anum Dahlia.

Melihat kehadiran Zurin di situ, Yuzer tergaman. Dia mengalihkan perhatiannya ke arah Zurin yang tercegat di suatu sudut. Dahinya dikerutkan. Apabila pandangannya kembali dilontarkan ke arah Anum Dahlia, dilihatnya mata bening Anum Dahlia sedikit berair. Timbul rasa kesal di hati Yuzer. Tidak sepatutnya dia menengking herdik Anum Dahlia seperti itu. Tapi terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata..dia sendiri yang sesal. Contohnya sekarang, dia tidak senang duduk jadinya dicerlung sepasang mata Zurin yang merah padam bagaikan udang dibakar.

* * * *

Masam mencuka wajah Zurin apabila menatap ke arah Yuzer yang kelihatan serba-salah. Sepanjang makan malam, dia melancarkan perang dingin dengan abangnya. Sepatah yang ditanya oleh Yuzer, sepatah jualah yang dijawabnya. Entah kenapa, dia geram melihat sikap dingin Yuzer pada Anum Dahlia sebentar tadi.

Zurin melirik ke arah Anum Dahlia yang tidak banyak bersuara ketika makan. Timbul persoalan dalam dirinya, apakah Anum Dahlia berasa jauh hati dengan sikap Yuzer itu? Kalau dia di tempat Anum Dahlia, mungkin sudah lama dia angkat kaki pulang ke kampung dari berhadapan dengan manusia berhati batu seperti abangnya itu.

“Maaf, abang tak tahu yang Zurin nak datang. Kenapa tak beritahu abang dulu?” Tanya Yuzer cuba menutup rasa bersalah.

“Kalau bukan sebab ayah yang suruh hantarkan dokumen ni pada abang, tak ingin Zurin nak datang,” rajuk Zurin. Sengaja dia mencanang begitu, agar timbul kesal di hati Yuzer. Padahal kalau dikira, dia sebenarnya yang beria-ria mahu ke Kuala Lumpur.

Yuzer terdiam. Dia merenung fail berwarna biru muda di atas meja. Dia memang menantikan maklumat itu, namun apa yang dia tidak jangka, ayahnya menyuruh Zurin yang menghantarnya. Malah semasa dia berbual siang tadi dengan ayahnya, tidak pula lelaki itu menyebut apa-apa tentang kehadiran Zurin bersama Anum Dahlia. Aduh bala ni!

Dalam diam-diam, Yuzer menjeling ke arah Anum Dahlia yang seakan tidak mahu memandangnya. Aduh, kenapa dengan kau ni Yuzer? Bukankah dia sudah berada di hadapan mata kau? Sekurang-kurangnya tunjukkan rasa hormat kau pada dia dan bukannya sikap baran kau yang tak bertempat tu. Namun entah kenapa, dia rasa kekok pula untuk melontarkan kata-kata maaf terhadap Anum Dahlia.

“Kenapa tak makan?” Soal Yuzer seraya memandang Anum Dahlia. Gadis itu mengangkat sedikit wajahnya. Wajah Yuzer ditatap sepintas lalu, tapi cukup untuk membuatkan Yuzer berasa lebih bersalah lagi.

* * * *

“Kak Anum marah ke ni?” Tanya Zurin takut-takut untuk menegur Anum Dahlia yang nampak senyap. Dia hanya memerhatikan gelagat Anum Dahlia mengemaskan tempat tidur mereka.

Anum Dahlia tersenyum. Dia mengerling ke arah Zurin yang nampak resah. Dia tahu apa yang bermain di fikiran Zurin. Pasti Zurin takut dia naik marah lalu segera angkat kaki balik ke kampung. Sedangkan dalam bas tadi, Zurin beria-ria mencanangkan satu-persatu tempat yang ingin mereka lawati di Kuala Lumpur.

“Ini semua salah abang. Baran tak bertempat. Kalau Zurin yang adiknya pun tak boleh tahan dengan dia, apatah lagi kak Anum. Zurin minta maaf kak, bagi pihak abang. Zurin tahu kakak terkejut tadi.” Ucap Zurin serba-salah.

Anum Dahlia berpaling. Wajah muram Zurin terukir di wajahnya, membuatkan langkah Anum Dahlia diatur mendekati gadis itu. Perlahan-lahan tubuh kerdil itu dirapati. Bahu Zurin ditepuk perlahan, namun cukup membuatkan Zurin memandang Anum Dahlia.

“Siapa kata kakak marah? Zurin ni pandai-pandai ajelah mengagak. Kakak tahu Yuzer terkejut tengok kakak di sini, tapi kakak tak salahkan dia.” Ujar Anum Dahlia cuba menyakinkan Zurin. Gadis itu menatapnya serba tak kena.

“Betul kak Anum tak marah?” Zurin bagaikan kurang yakin. Namun melihat Anum Dahlia mengangguk sambil tersenyum, barulah wajah Zurin beransur lega. Tiba-tiba saja Zurin memeluk Anum Dahlia.

“Thanks kak Anum. Ini yang buat Zurin sayang sangat dekat kak Anum.” Ucap Zurin lalu tersenyum lebar. Anum Dahlia sekadar tertawa melihat gerak-geri gadis itu. Dia mengaku, dia juga senang kerana dipertemukan dengan Zurin. Gadis itu sudah dianggap adiknya sendiri. Kemesraan yang Zurin tunjukkan membuatkan dia tidak merasa terpinggir.

“Kakak pun sayangkan Zurin macam adik kakak sendiri.” Akui Anum Dahlia. Zurin kelihatan senang mendengarnya.

“Lega Zurin tengok kak Anum tak marah. Abang Yuzer pun satu, nak marah pun tengok-tengok orang lah. Ini tak, suka hati mak nenek dia je..” rungut Zurin tak habis-habis.

“Dahlah tu Zurin…Yuzer pun macam dah menyesal.” Jawab Anum Dahlia. Betulkah Yuzer rasa menyesal? Memang dia perasan airmuka lelaki itu nampak serba salah mahu memandangnya. Cuma yang dia tidak pasti, apakah lelaki itu benar-benar rasa bersalah kerana memarahinya sesuka hati? Ah, lantak kaulah! Anum Dahlia sudah malas mahu mengambil kisah.

“Kakak dah penat ni. Zurin tak mahu tidur lagi?” Tanya Anum Dahlia seraya menyelak selimutnya. Zurin mengangguk. Dia juga sudah letih setelah sehari suntuk berada di dalam perut bas.

* * * *

Yuzer cuba melelapkan matanya, namun entah kenapa dirasakannya cukup sukar. Sekejap dia beralih ke kanan, sekejap pula ke kiri. Serba tidak kena dirasakannya. Sesekali dia cuba mendengar apa-apa bunyi dari bilik sebelah. Namun suasana sunyi sepi. Sudah tidurkah keduanya?

Kerana bosan asyik merenung siling, Yuzer bingkas bangun. Selimut yang membalut tubuhnya ditolak ke tepi. Dia keluar dari bilik lalu terus melangkah menuju ke arah dapur. Tekaknya terasa haus apatah lagi dia asyik memikirkan yang bukan-bukan.

Dia membuka peti ais, lalu diambil sebotol mineral water yang tersimpan berderet di dalam peti aisnya. Itulah saja minuman yang dia ada, apatah lagi dia tiada masa untuk menguruskan rumah sejak pembantu rumahnya yang datang seminggu tiga kali untuk membersihkan rumahnya tiada. Kalau Zaza ada, sekurang-kurangnya terisi juga peti aisnya dengan jus oren kegemaran adiknya itu.

Selepas meneguk dua tiga kali, Yuzer beralih pula ke arah sofa. Remote control televisyen dicapai. Dia membuka saluran Discovery Channel namun pandangannya terasa kosong di situ. Dia beralih pula ke saluran AXN tapi rancangan Maximum Explosure yang selalu ditontonnya juga tidak berupaya membuatkan mata dan kepalanya melekat di kaca televisyen.

Yuzer mengeluh. Entah apa kenanya dengan dia malam ni? Dia mengerling ke arah bilik yang didiami yang Zurin dan Anum Dahlia. Apakah kerana kedatangan Anum Dahlia, dia jadi resah begini? Mungkin kalau Zurin atau Zaza yang datang, dia takkan apa-apa. Tapi ini Anum Dahlia, gadis yang tidak ada apa-apa kaitan dengannya, malah tinggal bersama dalam satu rumah. Meskipun Zurin ada bersama, namun entah mengapa Yuzer rasa serba-salah. Serba tidak kena!

“Zurin nak bawa kak Anum berjalan-jalan di sini. Kami mungkin di sini seminggu lebih, itupun kalau abang tak kisah.” Ujar Zurin ketika makan malam tadi. Wajah adiknya itu nampak keruh.

Seminggu? Lama juga tu. Perlukah aku mengambil cuti seminggu dan menemani Zurin dan Anum Dahlia? Yuzer termenung seketika. Tapi kerja di pejabat itu tidak pernah habis, ditambah pula dengan projek baru. Tak mungkin! Yuzer menggelengkan kepalanya tanpa sedar. Sedar tak sedar dia melepaskan keluhan berat. Wajah Anum Dahlia kembali bermain di matanya. Mengisi setiap ruang kosong yang ada di kepalanya kini.

Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa petang tadi. Sememangnya dia rasa kesal mengekspresikan rasa terkejutnya yang agak melampau di hadapan Anum Dahlia. Entah apa salah gadis itu sehingga menerima nasib sebegitu. Tapi ketika itu dia benar-benar bimbang. Anum Dahlia seorang gadis. Dia pula seorang lelaki bujang yang diketahui umum tinggal sendirian di apartment itu. Kadangkala kedatangan Zaza pun sudah dirasakannya serba salah, bimbang penghuni-penghuni di situ menyebar khabar angin yang tidak baik tentangnya. Ini kan pula dengan kehadiran Anum Dahlia sendiri.

Tapi sejurus dia melihat Zurin, tiba-tiba perasaan terkejutnya mula mengendur. Ada perasaan lega hadir dalam sanubarinya. Tumbuh pula perasaan seronok bertemu gadis itu semula setelah dia terburu-buru meninggalkan Paya Mengkuang beberapa minggu yang lalu. Semuanya kerana panggilan Emir yang memintanya pulang segera ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan. Jika tidak, dia pasti akan menghabiskan cutinya yang tinggal beberapa hari lagi ketika itu, bertemankan Anum Dahlia yang tiba-tiba hadir dalam hidup mereka semua.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!