Followers

Monday, May 3, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 5

KERETANYA dibelokkan ke satu kawasan perkuburan yang agak luas, lalu diparkir di seberang jalan di kawasan yang agak teduh. Beberapa kali dia mencari-cari songkok yang memang tersedia di dalam kereta, memakainya lalu berjalan ke arah tanah perkuburan itu.

Beberapa batu nesan diredah sebelum dia berhenti di satu kawasan tanah perkuburan yang kelihatan kemas terjaga. Dua liang lahad yang berdekatan direnungnya. Terpampang dengan jelas nama Syed Radzi Iqbal dan Radhiah Murni di batu nesan tersebut. Nama dua manusia yang paling bererti dan paling disayanginya dalam hidup. Namun malangnya kasih sayang itu cuma mampu dikecapi sebentar sahaja. Nyata tuhan lebih menyayangi kedua ibubapanya. Dia pasrah jika itu ketentuannya.

“Ayah, umi, dah hampir lima belas tahun lamanya kan? Masa begitu cepat berlalu. Ril pernah berjanji pada ayah dan umi dulu yang Ril akan jaga syarikat kita baik-baik. Sekarang Ril dah tunaikannya. Perkasa Budi sudah kukuh sekarang. Ril tahu, Perkasa Budi adalah nyawa dan impian ayah, dan ia akan jadi nyawa dan impian Ril juga.” Dia berbicara perlahan seolah-olah ayah dan ibunya ada di hadapannya sekarang ini.

* * * *

“BARU balik Ril?” Sapa Mak Yam di muka pintu. Hazril hanya tersenyum. Tangan orang tua itu dikucup sama seperti hari-hari sebelumnya. Lagipun Mak Yam sudah dianggap ibunya sendiri, apatah lagi hampir dua dekad orang tua itu bersama keluarganya. Makan minumnya sempurna dijaga wanita itu tanpa mengeluh penat.

“Ada hal sikit Mak Yam.”

“Tadi Irina singgah.” Beritahu orang tua itu, pantas.

“Iya? Apa dia mahu?” Hazril menjawab acuh tak acuh. Tali leher yang dipakainya segera dirungkai. Dia bersandar melepas lelah di sofa. Kepenatan terasa begitu mencengkam setelah sehari suntuk dia asyik menyemak dokumen di pejabat.

“Entahlah, Mak Yam pun tak pasti. Dekat dua jam dia tunggu kamu kat sini. Tak habis-habis dia tanya Mak Yam, kamu ke mana. Sampai tak terjawab Mak Yam dibuatnya. Kamu ke mana sebenarnya?”

“Jalan-jalan.” Sahut Hazril ringkas. Mak Yam terdiam mendengar alasan lelaki itu. Mulutnya ringan mahu menyatakan sesuatu, tapi bimbang lelaki itu tidak suka mendengarnya.

“Ril, Mak Yam nak cakap sikit boleh tak?” Mak Yam mengambil tempat di sebelah Hazril. Wajah lelaki itu ditatap penuh perhatian seorang ibu, apatah lagi sedari kecil dialah yang mengasuh Hazril. Dari kaki sebesar ibu jari, sehinggalah meningkat dewasa, Hazril bagaikan anak padanya. Kasih sayangnya pada Hazril kadang-kala melebihi anak kandungnya sendiri.

Hazril menumpukan perhatian pada Mak Yam. Dia memandang wajah tua itu dengan teliti. “Mak Yam nak cakap apa?”soalnya lembut.

“Ril, Mak Yam tengok kamu kuat sangat bekerja. Kadangkala sampai lupa nak makan minum. Risau Mak Yam. Kerja pun kerja jugak, tapi kesihatan kena jaga. Sementara Mak Yam ada ni bolehlah Mak Yam tengok-tengokkan kamu. Tapi kalau Mak Yam dah tak ada nanti?” Kata-kata Mak Yam terhenti di situ. Wanita itu kelihatan sebak.

Hazril tenang memandang wajah Mak Yam. Bahu wanita itu dipeluk penuh kasih sayang.

“Mak Yam jangan cakap macam tu. Kalau Mak Yam tak ada, dengan siapa saya nak tumpang bermanja. Saya dah tak ada siapa-siapa dalam dunia ni kecuali Mak Yam. Mak Yam suami isteri dah macam mak ayah saya sendiri.” Ujar Hazril, turut sebak.

“Mak Yam bukannya apa Ril, Mak Yam bimbangkan kamu. Rasanya tentu lega sikit hati Mak Yam ni kalau ada orang yang menjaga makan minum kamu. Seseorang yang sentiasa di sisi kamu saat susah mahupun senang.” Bisik Mak Yam, penuh bermakna.

“Maksud Mak Yam?” Bahu wanita itu dilepas. Mata Hazril terkebil-kebil memandang wanita itu.

“Mak Yam rasa sudah sampai masanya kamu memikirkan calon isteri. Kamu pun bukannya muda lagi, sudah patut memiliki keluarga sendiri. Betul kan cakap Mak Yam ni?”

Hazril hanya tersenyum. Dia sudah faham ke mana simpang perbualan itu.

“Mak Yam rasa, Irina calon yang sesuai. Orangnya cantik, penyayang dan lemah-lembut. Kamu pun dah lama kenal dia kan?” Mak Yam menyambung kata.

“Mak Yam, Irina tu macam adik saya sendiri.” Ujar Hazril.

Mak Yam terkesima. Adik? Apakah maksudnya? Dari lirikan mata Irina terhadap Hazril, Mak Yam pasti anak gadis itu mengasihi Hazril. Sangkanya Hazril mempunyai perasaan yang sama. Apatah lagi saban waktu rumah itu sering dikunjungi Irina. Malah Hazril kerap kali membawa balik gadis itu untuk makan tengahari atau makan malam di rumah. Kalau bukan cinta, apakah maknanya semua itu?

“Lagipun saya tak ada masa memikirkan semua itu. Perkasa Budi perlukan perhatian saya sepenuhnya dan....” kata-kata Hazril terhenti begitu sahaja. Lidahnya kelu untuk menyatakannya.

“Tak apalah Mak Yam, lain kali saja kita bincang lagi. Saya naik dulu, nak solat.” Hazril bingkas bangun dari sofa yang ditempati lalu terburu-buru pergi begitu sahaja.

Mak Yam hanya mampu mengeluh. Langkah Hazril diikuti dengan ekor matanya. Sudah terlalu acapkali diutarakan hal yang sama pada Hazril. Namun lelaki itu sering mengelak dari berbicara soal jodoh dengannya. Entah bila agaknya rumah yang sunyi sepi ini akan kembali ceria?

* * * *

Doktor Badrul baru hendak menuju ke keretanya sebaik terpandang satu kelibat tubuh sedang duduk di kerusi rehat di laman rumah. Dia langsung tidak jadi mengambil barang yang tertinggal di dalam kereta, sebaiknya menyusun langkah ke arah gadis yang kelihatan ralit termenung.

Dia berdehem beberapa kali. Tapi ternyata kehadirannya langsung tidak disedari gadis itu. Dahi Doktor Badrul berkerut. Wajah anak gadis itu muram bagaikan ada sesuatu yang sedang difikirkannya.

“Irina..” Tegur Doktor Badrul perlahan. Tangannya menyentuh lembut permukaan bahu si gadis. Gadis yang sedang asyik termenung itu tersentak, lalu menoleh.

“Papa” Irina menyahut.

Doktor Badrul segera duduk di salah sebuah kerusi di hadapan anak gadisnya.. Wajah Irina yang muram direnungnya.

“Bila Rina balik? Papa tak dengar pun bunyi kereta tadi?” Soal Doktor Badrul.

“Baru kejap tadi.” Jawab Irina perlahan.

“Macamana kerja di pejabat? Semua lancar?” Soalnya tidak habis-habis. Sebenarnya bukan soal kerja gadis itu yang mahu ditanya. Kalau boleh dia mahu Irina sendiri yang menyatakan masalahnya.

Irina mengangguk.

“Tadi Rina ke rumah Ril.” Irina memberitahu tiba-tiba.

“Iya? Kamu jumpa Hazril? Dah lama sangat papa tak jumpa dia, kerja kat hospital tu terlampau banyak. Kalau kamu jumpa dia lagi, pesan dekat dia suruh dia singgah di hospital, papa nak berbual-bual dengan dia.”

Irina tersenyum kelat. “Kalau papa dah lama tak jumpa dia, Rina pun sama. Bukan main lama lagi Rina tunggu dia tadi, sampai naik berkematu kaki Rina ni menanti. Jangan kata nak balik, telefon pun tak diangkatnya.” Rungut Irina.

“Dia sibuk agaknya.”

Irina memandang ayahnya agak lama. “Papa, orang kat office Ril kata dia dah lama keluar dari office dia. Rina ingat boleh jumpa dia kat rumah. Entahlah, Rina tak faham langsung dengan dia tu. Kadang-kala Rina rasa, Ril macam sengaja nak elakkan diri dari Rina.” Keluh Irina lagi.

“Hmm papa faham benar perangai Hazril tu Dia bukannya nak elakkan diri dari Rina. Tapi dia kan sibuk dengan Perkasa Budi. Rina kenalah faham dia sikit,” Pujuk Doktor Badrul.

“Rina tak cukup faham lagikah papa? Dah lama sangat Rina cuba nak fahami dia. Semakin Rina cuba, hati Rina ni yang sakit papa.”

“Papa faham perasaan Rina. Just be a good listener to him. Itu pun sudah memadai.” Ujar Doktor Badrul.

“Kadangkala Rina rasa macam nak berputus asa aje, cuba lepaskan dia.”

“Tak baik cakap macam tu. Papa tahu Rina ambil berat pasal Ril dan papa juga tahu Ril sayangkan Rina. Sabarlah sayang. Biarkan dia buat apa yang dia suka. Jangan Rina bebankan dia dengan masalah-masalah kecil. Ril ada tanggungjawab yang besar pada Perkasa Budi.” Balas Doktor Badrul.

Irina mengeluh panjang. Bahu ayah kesayangannya dijadikan tempat bersandar. Dia memejamkan kelopak matanya. Wajah Hazril muncul di ruang mata. Wajah yang sentiasa dirindui dan dinanti sedari dia masih kecil.

“Rina sayangkan dia papa.” Bisik Irina perlahan.

“I know dear.”Sahut Doktor Badrul lalu tersenyum. Siapa yang lebih mengerti hati anak gadisnya sendiri selain dia?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!