Followers

Sunday, May 16, 2010

Arina : Bab 4

DIA sendiri tidak pernah sedar entah sejak bila dia terlelap. Gegaran di dalam kapal terbang akibat perlanggaran awan membuatkan dia langsung membuka matanya. Menyedari di mana dia berada, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dia berpaling ke sisinya.

Melihat sepasang mata yang bersinar-sinar menjunam tajam ke arahnya, Arina serta-merta tergaman.

“Do you mind?” Dia menanya lelaki itu.

“What?” Lelaki itu membalas.

“Please do not staring at me like that. I don’t like you at all. “ Tukas Arina sambil memasamkan wajahnya.

Lelaki itu ketawa kecil. Dia mengalihkan matanya lalu memandang lurus ke hadapan. Namun sisa-sisa tawa lelaki itu masih jelas kedengaran. Arina menarik nafas panjang.

“You are something, Arina. Tipical lady but quit rough!” Komen lelaki itu.

Arina terkedu. Bukan kerana lelaki itu mentafsirkan dirinya sebagai gadis yang tipikal, tetapi kerana ayat pertama yang disebut oleh lelaki itu. Dia pantas memandang lelaki itu dengan wajah berkerut.

“How do you know my name?” Dia bertanya. Perasaan ragu-ragu dan bimbang mula tumbuh. Siapa lelaki itu sebenarnya.

Lelaki itu berpaling sebaik mendengar pertanyaannya. Mata lelaki itu menjamah setiap inci wajahnya yang mula gusar.

“I know everything about you. Every single things actually.” Balas lelaki itu. Wajah yang ketawa tadi hilang, berganti dengan wajah serius.

“Who are you?”

“Like I said before, my name is Alwiz.”

“Stop kidding me. Who you really are?” Nada suara Arina bertukar keras. Lelaki itu menjelingnya.

“Jangan buat bising Arina. Kita tentu tak mahu ganggu penumpang-penumpang lain kan.” Tukas lelaki itu dengan suara tegas.

Kali ini lidah Arina terus kelu. Rupa-rupanya lelaki yang menaiki penerbangan Cebu Air Pacific bersamanya sejak setengah jam yang lalu, pandai berbahasa melayu. Tetapi kenapa sepanjang masa lelaki itu asyik menggunakan bahasa tagalog dan Inggeris ketika menyapanya? Apakah lelaki itu sebenarnya orang melayu?

“Macamana kau tahu nama aku?” Dia terus bertanya. Selagi persoalan yang berlingkar di kepalanya tidak terjawab, selagi itulah dia memerlukan jawapannya.

“Sudah aku katakan, aku tahu segalanya tentang kau. Termasuk adik kau Chayi.” Ujar lelaki itu tenang.

Arina tersentak. Chayi? Apakah lelaki itu tahu sesuatu tentang Chayi atau sememangnya lelaki itu bertanggungjawab ke atas kehilangan adiknya?

Alwiz tiba-tiba meletakkan sesuatu di ribanya. Arina tunduk. Melihat seutas jam tangan yang dihiasi manik mutiara berwarna hitam berada di ribanya, cukup untuk membuatkan jantungnya berdegup lebih kencang dari biasa. Dia masih mengecam jam tangan itu. Itulah jam tangan yang dipilih oleh Chayi sewaktu mereka memasuki kedai perhiasan di Greenhills dua hari yang lalu.

Dia memandang lelaki itu dengan mata berkaca. Mata lelaki itu juga menjunam ke wajahnya. Renungan sepasang mata itu seolah tidak berperasaan.

“Apa yang kau dah buat pada Chayi?” Ada nada gementar pada suara Arina.

“Jangan bimbang, dia selamat. Sekurang-kurangnya buat masa ini.”

“Apa yang kau nak sebenarnya?”

“Memang ada sesuatu yang aku mahukan. Dan kesudian kau menunaikannya akan menjamin keselamatan Chayi.” Ujar lelaki itu sambil tersenyum.

Arina senyap di tempat duduknya buat seketika. Perasaannya bercelaru. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia teringat pertemuan kali pertamanya dulu dengan lelaki itu di Greenhills. Ketika itu dia tiba-tiba dirempuh lelaki itu dari arah belakang. Ada sesuatu yang difikirkannya. Apakah lelaki itu dengan sengaja melanggarnya tempohari? Apakah pertemuan mereka ketika itu bukan satu kebetulan seperti hari ini?

“Kenapa kau culik Chayi? Apa salah kami pada kau?”

Lelaki itu terdiam. “Aku dah katakan ada sesuatu yang kami mahukan. Dan pertukarannya adalah adik kau. Kau berikan apa yang kami mahukan, dan kami akan lepaskan Chayi dalam keadaan selamat dan sihat. Tapi jika kau libatkan pihak polis, aku takkan teragak-agak membunuh adik kau.” Ucap lelaki itu

Arina memejamkan matanya. Ugutan lelaki itu benar-benar melemaskan fikirannya saat ini. Serentak wajah Chayi terbayang di ruang matanya. Kasihan Chayi!

“Okey, bagitahu aku. Apa yang kau nak sebenarnya?” Tanya Arina ingin tahu.

Lelaki itu merenungnya agak lama. “Aku nak kau bawa aku balik ke rumah kau, dan perkenalkan aku sebagai tunang kau di hadapan ahli keluarga kau. Terutama di hadapan ayah kau, Fahrin Toh.” Bisik lelaki itu di cuping telinganya.

Arina terpegun. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia bungkam. Gila! Apakah lelaki itu benar-benar sudah gila? Untuk apa dia mesti melakukannya?

“Jangan main-main, katakan saja apa yang kau mahu.” Paksa Arina. Bibirnya diketapkan. Geram kerana menyangka lelaki itu cuba mempermain-mainkannya.

“Buat masa ini, itulah yang aku mahukan. Bawa aku balik dan lakukan saja apa yang aku arahkan. Aku tahu ayah kau tak ada di rumah sekarang ini. Tapi jangan bimbang sebab aku seorang yang sabar. Dengan cara memperkenalkan aku sebagai tunangan kau, tentu kita tidak akan ada masalah dengan orang-orang lain yang berada di rumah kau bukan!”

Arina terdiam. Jadi lelaki itu sudah merencanakan segala-galanya dengan teliti? Apa sebenarnya tujuan lelaki itu?

“Dan ingat baik-baik, sekali kau buat silap atau libatkan polis dalam urusan ini, adik kau akan terima padahnya!” Tegas lelaki itu lagi.

Arina meneguk air liurnya berkali-kali. Tekaknya terasa perit dan pahit. Perjalanan yang dilaluinya terasa benar-benar merimaskan dan menyukarkannya untuk bernafas. Di sampingnya sekarang, seorang lelaki asing yang menculik adiknya kini mengugutnya pula. Untuk apa dan kenapa, itu masih menjadi persoalan utama!

* * * *

KETIKA melalui pemeriksaan kastam buat kali terakhir, Arina perasan mata lelaki itu tidak berkalih langsung mengawasinya. Ketika dia menanti bagasinya di kawasan tuntutan bagasi, entah sejak bila lelaki itu berdiri di sisinya. Malah membantunya mengangkat bagasinya lalu diangkut ke atas troli. Bagasi lelaki itu turut diletakkan di atas troli yang sama.

Arina menjeling lelaki itu dengan pandangan geram. Lelaki itu membalas tatapannya dengan wajah selamba. Sebelum sempat dia mahu menolak troli bagasi, Alwiz terlebih dahulu memegang hujung troli.

“Please.. allow me to do this.” Ujar Alwiz.

Arina mendengus. Dia mahu melangkah, namun secepat kilat lelaki itu menarik tangannya kembali. Dia tergaman.

“Apa ni?” Herdik Arina, tidak senang dengan tindakan lelaki itu.

Tanpa mempedulikan Arina, Alwiz mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya. Arina terpegun apabila lelaki itu tiba-tiba menyarungkan sebentuk cincin di jari manisnya. Usai melakukannya, lelaki itu kembali mencari wajahnya. Bibir itu mengukir senyuman.

“Cantik kan? Itu cincin pertunangan kita. Kita bertunang di Edsa Shangri-la di Mandaluyong City beberapa hari sebelum kehilangan adik kau. Nama aku Alwiz Syah, seorang stockbroker yang mewakili Merril Lynch cawangan Philiphines. Kita berkenalan lima bulan yang lalu sewaktu kunjungan akhir kau ke Mandaluyong.” Terang Alwiz satu persatu.

Arina mengerutkan dahinya. Lima bulan yang lalu dia memang pernah berkunjung ke Mandaluyong melawat pusara ibunya di Hearty Village. Lelaki itu seolah-olah tahu setiap pergerakannya dengan terperinci.

“Sejak bila kau ekori dan intip gerak geri aku?” Soal Arina ingin tahu. Wajahnya merah padam cuba menahan marah.

Alwiz tidak menjawab. Matanya menerawang ke setiap ceruk kawasan tuntutan bagasi itu dengan mata liar.

“Kita kena pergi sekarang.” Dia memegang lengan gadis itu namun Arina merentap dan melarikan lengannya. Pegangan Alwiz terlerai. Dia memandang wajah di hadapannya dengan tatapan berang. Kedegilan gadis itu melemaskannya.

“I’m not a stalker. Tugas mengintip bukan sebahagian tugas aku.” Bisik Alwiz dengan nada tegas.

“Then tugas kau apa? Menculik dan mengugut?” Balas Arina sinis.

Alwiz tidak terus menjawab. Matanya terperosok ke wajah si gadis yang merah padam. Renungannya singgah lama di wajah manis itu. “No..tugas aku hanya pastikan kau ikut apa yang telah dirancangkan, itu saja.”

“Dengan menyamar menjadi tunang aku? Ini benar-benar gila.”

“Itu lebih mudah untuk aku dekati kau di hadapan ahli keluarga kau yang lain.”

“Itu cara yang paling gila untuk dapatkan apa yang kau mahukan. Untuk pengetahuan kau, aku dah ada teman lelaki kat sini. Kau ingat ayah aku akan percaya bila dapat tahu aku bertunang dengan kau? Lelaki yang dia langsung tak kenal?” Tukas Arina berang.

Lelaki itu memandangnya tidak berkelip.

“Jadi itu akan jadi tugas kau untuk pastikan ayah kau percaya dengan kita. Mungkin dengan sedikit lakonan dan kemesraan, dia akan percaya bahawa aku adalah tunang anak perempuan kesayangannya.” Ujar Alwiz sambil tersengih.

Arina mengetap bibirnya. “Apa sebenarnya yang kau nak?”

“Sudah aku katakan yang ada sesuatu yang aku mahukan…spesifiknya dari ayah kau.” Ujar lelaki itu.

“Beritahu saja apa dia dan aku akan dapatkannya untuk kau. Lepas tu kau lepaskan Chayi dan pergi jauh dari hidup kami.” Tegas Arina. Dia semakin hilang sabar dengan semua perkara yang berlaku terlalu drastik.

“Berapa duit yang kau nak? Kami boleh sediakannya. Sebut saja jumlahnya.”

“Ia tak semudah itu Arina. Kami bukan perlukan wang ringgit.”

“Then mudahkan untuk aku. Untuk kau dan benda yang kau mahukan itu.” Pintas Arina dengan wajah berang.

Alwiz terdiam. Ianya memang bukan semudah itu. Kalau ianya mudah, nescaya dia tidak akan melibatkan gadis itu dan adiknya dalam urusan ini. Wajah Arina ditatap sebentar sebelum dia tiba-tiba mengerling ke arah jam di pergelangan tangannya. Dia segera menolak troli bagasi ke suatu arah. Arina terpinga-pinga. Kebisuan lelaki itu mencalar kesabarannya.

“Mr. Alwiz…” Herdik Arina agak kuat.

Lelaki itu tiba-tiba berpaling. Merenung wajahnya dengan sepasang mata yang dingin. “Please…lakukan saja ikut arahan atau nyawa Chayi dalam bahaya.” Bisik Alwiz dengan wajah serius.

Arina tergaman. Hancur luluh hatinya mendengar ugutan lelaki itu yang entah kali ke berapa. Lagi-lagi nama Chayi hadir menjadi umpan untuk kehendak lelaki itu, membuatkan dia tidak berdaya dan terpaksa akur. Dengan langkah longlai, Arina mengekori lelaki itu dari arah belakang.

Dari jauh, wajah seorang wanita kelihatan sewaktu dia melewati ruang ketibaan. Wanita itu melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Arina membalas di celah-celah orang ramai yang bersesak di situ.

Tiba-tiba dia merasa tangannya dipaut seseorang. Arina lantas menoleh. Alwiz merenungnya sambil tersenyum. Mata lelaki itu bagaikan mengisyaratkan sesuatu. Dia mula faham. Lelaki itu mahukan lakonan mereka berkuatkuasa serta-merta. Mahu tak mahu dia terpaksa membiarkan tangannya dipimpin lelaki itu sambil sebelah tangan Alwiz yang lain menyorong troli bagasi.

* * * *

MATA Suhana asyik tertumpu ke arah Alwiz yang kelihatan selesa melingkarkan tangannya ke bahu Arina. Lelaki itu kelihatan cukup selamba dan bersahaja. Berbeza dengan Arina yang kelihatan resah dan serba tidak kena.

Suhana menarik nafas panjang. Dia masih belum mampu mempercayai berita yang dibawa oleh anak saudaranya itu. Ada rasa aneh menjalar ke dalam kotak fikirannya tatkala Arina memperkenalkan lelaki itu.

“Mak Lang, ini Alwiz.” Ujar gadis itu sebaik mereka bertembung di tengah-tengah kesibukan orang ramai di ruang legar ketibaan.

Dia memandang lelaki yang berada di samping Arina. Orangnya agak kacak dengan tubuh seperti atlit dan berkulit kuning langsat. Seolah tahu dirinya menjadi perhatian, lelaki itu lantas menghulurkan tangannya terlebih dahulu.

“Alwiz Syah.” Ujar lelaki tersebut.

Mahu tak mahu Suhana menyambut huluran tangan lelaki itu sambil melirik ke arah Arina. Dia mahukan penjelasan dari gadis itu tentang siapa lelaki bernama Alwiz itu.

“Mak Lang, Alwiz dan Arin….err..kami..” Arina kelihatan cukup sukar mahu melontarkan kata-kata. Dahi Suhana semakin berkerut.

“Apa dia Arin?” Soal Suhana lagi.

“Kami…kami dah bertunang Mak Lang.”

“Hah?” Suhana terlopong. Hampir tidak percaya. Dia merenung wajah Arina dengan mata hampir tersembul keluar. Gadis itu kelihatan serba salah

Apabila seorang pelayan menghantarkan minuman yang dipesan tadi, barulah Suhana kembali bertenang. Nafasnya dihela perlahan.

“Okay, tell me exactly what was going on?” Mata Suhana berlari ke arah Arina. Gadis itu terpempan. Pucat lesi.

“Betul kamu berdua dah bertunang?” soal Suhana lagi sebelum sempat Arina bersuara. Dia sudah bingung memikirkan perkara baru yang timbul di saat-saat hatinya merisaukan kehilangan Chayi di Metro Manila.

“Kami dah lama kenal Mak Lang. Dah lima bulan. Kami jatuh cinta dan..dan kami ambil keputusan nak bertunang.” Ujar Arina dengan nafas gugup. Dia cuba sedaya upaya bertenang. Namun dengan kehadiran lelaki di sampingnya, ketenangan yang dicarinya bagaikan tidak wujud langsung.

Alwiz tiba-tiba menyentuh jarinya lalu membawanya ke bibir. Jari-jemarinya dikucup lelaki itu agak lama. Arina terpaku. Terkejut bercampur panik dengan reaksi romantis lelaki itu. Suhana juga sudah terkelip-kelip memandang gelagat Alwiz.

“Saya dan Arina benar-benar jatuh cinta. Kami tahu kami tak sepatutnya bertunang tanpa keizinan orang tua, tapi semuanya berlaku mendadak. Saya terlalu takut kehilangan dia. Lagipun saya fikir tentu ianya tak salah jika Chayi sendiri merestui hubungan kami.” Ujar Alwiz sambil memandang ke arah Suhana.

Arina menjeling lelaki itu. Dia tidak senang mendengar nama Chayi dijadikan umpan untuk lelaki itu memenuhi hasrat hatinya. Namun lelaki itu langsung tidak menunjukkan riak wajah bersalah. Sebaliknya wajah itu seolah-olah seperti seorang kekasih yang sedang mabuk cinta.

“Saya tahu Encik Alwiz, tapi Arina masih ada ayahnya. Kami sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu sebelum kamu berdua buat keputusan yang besar seperti ini. Saya rasa ayahnya pasti marah jika tahu tentang semua ini.” Tukas Suhana dengan nafas berat. Timbul perasaan marah dalam dirinya kerana pasangan itu mengambil jalan mudah dengan membelakangkan orang tua. Entah apa kata abangnya kalau lelaki itu tahu nanti. Pening..pening!

“Soal itu puan jangan bimbang. Saya akan berhadapan sendiri dengan Encik Fahrin. Kami pun rasa bersalah sebab buat keputusan drastik begini tanpa berbincang terlebih dahulu. Sebab itu saya ikut Arina pulang ke mari. Saya nak jelaskan segala-galanya tentang keputusan kami ni.” Balas lelaki itu.

Suhana terdiam. Dia sudah buntu mahu memberikan sebarang komen. Lagipun nasi sudah jadi bubur. Dia memandang Arina yang nampak senyap. Selalunya gadis itu akan bercerita pelbagai perkara setiap kali dia pulang dari Manila. Tapi kali ini entah kenapa, Arina kelihatan tidak ceria. Pasti kerana Chayi! Suhana membuat telahan sendiri.

“Apa polis kata mengenai Chayi?” tanya Suhana ingin tahu. Sengaja mengubah topik perbualan mereka.

Arina mengangkat wajah. Nafasnya ditarik kasar. Dia menjeling ke arah Alwiz sebelum menjawab. Lelaki itu langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Pihak kedutaan akan berusaha cari dia.” Ujar Arina perlahan.

“Macamana Chayi boleh hilang?” Keluh Suhana. Risau dia mengenangkan nasib anak buahnya yang sendirian di negara asing.

“Entahlah Mak Lang. Arin pun tak tahu dah nak buat macamana. Kalau bukan sebab pihak kedutaan yang hantar Arin balik, tentu Arin boleh terus mencari Chayi kat sana.” Dia melempiaskan kekesalan hatinya. Kesal dengan keputusan pihak kedutaan Malaysia serta kesal dengan kecuaiannya sendiri sehingga Chayi menjadi mangsa lelaki seperti Alwiz Syah.

“Pelik juga, macamana Chayi boleh hilang macam tu aje.” Suhana tak putus-putus melahirkan kebimbangan. “Jangan-jangan Chayi kena culik tak.” Sambung wanita itu lagi.

Arina terdiam. Dia menjeling Alwiz yang sedang menatap wajahnya dengan pandangan amaran. Agar dia tidak cuba-cuba mencari masalah.

“Ayah mana Mak Lang?”

“Dia masih di Sabah. Sepatutnya dia balik hari ini, tapi pesawat dia terpaksa delay sebab ribut kuat kat sana. Sekarang ni asyik berlaku ribut aje, hai macam-macam!” Rungut Suhana entah pada siapa.

“Oh ya, esok dia nak terbang ke Filiphina dari Kota Kinabalu. Katanya dia ada urusan dengan pihak kedutaan kat sana.” Sambung Suhana.

Arina tergaman.Tidak menyangka ayahnya sanggup terbang ke Filiphina untuk mencari adiknya. Beberapa hari yang lalu dia menyimpan rasa marah kerana beranggapan ayahnya seperti sengaja mahu lepas tangan dalam soal mencari Chayi. Tapi ternyata lelaki bernama Ahmad Fahrin Toh itu masih menghargai darah dagingnya sendiri.

“Ayah Arin fikir, Chayi mungkin diculik musuh-musuh perniagaan dia. Baru-baru ni dia ada ikat kontrak kerjasama dengan sebuah syarikat gergasi Filiphina. Syarikat di Filiphina tu pesan banyak mesin-mesin mekanikal dan mereka nak kurangkan tenaga buruh yang mereka ada. Ramai yang diberhentikan kerja dan lancarkan mogok di hadapan syarikat Filiphina tu. Beberapa kontrak syarikat tempatan di sana juga dibatalkan. Mungkin ada yang marah dengan ayah kamu sampai sanggup culik Chayi.” Cerita Suhana panjang lebar.

Arina terdiam. Matanya sempat menangkap sekilas senyuman di bibir Alwiz yang tiba-tiba bertaut. Matanya berkerut memandang lelaki itu. Dia tidak faham, apa sebenarnya yang melucukan lelaki itu?

Apabila Suhana meminta diri ke bilik air, Arina segera mencelung tajam ke wajah lelaki itu. Hatinya benar-benar dangkal menghadapi Alwiz yang menyebalkan hatinya.

“Ayah aku tak ada. So apa rancangan kau seterusnya?”

“Dia akan balik juga ke mari. Aku akan nanti dia di sini.” Jawab Alwiz selamba.

“Apa urusan kau dengan ayah aku sebenarnya? Kau ada kaitankah dengan apa yang dicakapkan oleh makcik aku tu?” Soal Arina ingin tahu.

Alwiz tiba-tiba ketawa besar. Matanya mengecil sedikit ketika dia sedang ketawa. Arina berang. Dirinya terasa sedang diinjak-injak oleh lelaki itu.

“Soal urusan perniagaan ayah kau, tak ada kena mengena langsung dengan apa yang aku mahukan darinya.” Ujar lelaki itu sambil menghabiskan sisa-sisa tawanya.

Arina terpegun mendengarnya. Jika bukan kerana urusan perniagaan, urusan apa? Dendam?

“Kau..apa kau berdendam dengan ayah aku?” Dia berhati-hati melahirkan kemusykilan hatinya. Wajah lelaki itu ditatap berani, namun masih ada gementar di dalam lubuk hatinya.

Anak mata Alwiz mencerun ke arahnya. “Jangan bimbang, aku hanya mahukan sesuatu yang ayah kau ambil dari kami lama dulu. Selepas aku dapatkan benda tu, aku akan tinggalkan kau dan ayah kau dengan selamat dan pulangkan Chayi..juga dalam keadaan selamat.” Ujar Alwiz dengan wajah serius.

Dia terpegun. Kata-kata lelaki itu menambahkan rasa hairannya. Apa sebenarnya yang diambil oleh ayahnya? Namun persoalan yang baru menjengah ke dalam sanubarinya seakan-akan tidak berminat mahu dijelaskan oleh lelaki itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!