Followers

Monday, December 24, 2018

Spy Hati Dari Chantilly (Bab 11)

DENGAN wajah masam mencuka, dia memasak spageti bolognese dengan tidak sepenuh hati. Bukan dia yang hendak makan, tetapi itu semua permintaan tak masuk akal lelaki itu. Sangkanya Mikey Mikhail mahu melakukan perkara yang tidak baik terhadapnya, tetapi apabila lelaki itu meminta dia memasak spageti, hanya satu perkara bermain di fikirannya. Mikey Mikhail memang sudah gila agaknya!
“Dah siap?” Lelaki itu menjengah dapurnya.
Suri Imani menjeling tetapi tidak bersuara. Dia masih mengacau kuah spageti yang memekat di dalam periuk.
Nice smell.” Puji Mikey Mikhail tersengih. Lelaki itu merapatinya, ingin ikut melihat kuah spageti yang mempunyai aroma yang cukup menyelerakan. Suri Imani mengetap bibirnya. Bahunya bersentuhan dengan bahu lelaki itu, membuatkan dia merasa kurang selesa. Dah tahulah lapar sangat, tak reti-reti nak sabar ke?
Is it finish?” Tanya Mikey Mikhail lagi.
“Boleh tak awak duduk jauh-jauh sikit? Rimas tau. Kalau ya pun nak makan spageti ni, tunggu kat depan tu. Kita duduk berdua macam ni pun dah risiko tau.” Rungut Suri Imani.
“Kenapa? Takut kena tangkap basah?” Mikey Mikhail tersenyum-senyum nakal. Dia tahu memang itu yang Suri Imani takutkan. Berdua-duaan dengannya dalam satu apartmen.
Don’t worry, you are not my type. Spageti tu lebih menggoda I dari you. So it won’t happen as you wish.” Gelak Mikey Mikhail.
Suri Imani mendengus. Karang ada yang kena pelengkung dengan sudip ni nanti. Namun dia malas mahu berlawan cakap dengan lelaki itu. Buat letih mulutnya sahaja. Dia hanya mahu cepat-cepat memasak, cepat-cepat menyuap mulut mamat sengal tu agar Mikey Mikhail cepat-cepat beredar dari rumahnya.

MELIHAT lelaki itu makan spageti hasil air tangannya seperti kebulur, dia hanya mampu tercengang-cengang. Biar betul! Dah lama tak makan ke?
“Boleh saya tanya awak sesuatu?” Tanya Suri Imani.
Pandangan mata Mikey Mikhail beralih sejenak ke arahnya. Kening lelaki itu terangkat-angkat.
“Lepas ni kita zero kan?”
Meaning?”
“Yalah, awak takkan ambil kisah fasal arak-arak awak yang saya buang tu kan? Lagipun saya dah masak spageti yang awak nak sangat tu. Lepas ni, awak takkan ganggu saya lagi kan?” soal Suri Imani lagi ingin tahu.
Depends.” Jawab Mikey Mikhail selamba.
Depends on what?”
Senyuman Mikey Mikhail bermain di bibir, sedang sepasang mata lelaki itu lembut meratah wajah Suri Imani.
“Bergantung pada prestasi you.” Sengih Mikey Mikhail lagi.
Suri Imani terkedu. Apa maksud lelaki itu? Aduh! Jangan-jangan lelaki itu bukan sekadar mahukan spageti semata-mata darinya.
You really adorable, do you know that?”
Suri Imani terdiam. Pujian itu hanya membuatkan dia semakin resah.
Please, saya tak nak ada apa apa kaitan dengan awak. Lepas makan, saya minta awak beredar. Saya janji saya takkan ganggu awak lagi. Saya harap awak pun sama.” Pinta Suri Imani. Suaranya mendatar sahaja. Dia benar-benar risau dengan apa yang Mikey Mikhail mahu lakukan terhadapnya. Menyesal pula dia berbuat yang bukan-bukan tanpa berfikir panjang.
“Dan kalau I tak nak?”
Mikey, please…leave me alone.” Rayu Suri Imani lagi dengan suara mengigil.
Mikey Mikhail ketawa kecil melihat gadis itu.
“You boleh ada sugar daddy, tetapi bila I offer diri I yang available ni, you tak nak pulak. Kaya sangat ke dia sampai tawaran I you tak minat?” Ujar Mikey Mikhail agak lancang.
Berubah wajah Suri Imani mendengar kata-kata lelaki itu.
“Apa yang awak repekkan ni? Siapa sugar daddy saya?”
“Lelaki berjambang tempohari siapa kalau bukan sugar daddy you? Come on lah Suri, tak payahlah nak malu. I berfikiran terbuka. I tahu sewa apartmen ni sahaja mencecah RM4 ribu sebulan. Tanpa sugar daddy, you takkan mampu duduk kat apartmen macam ni,” ujar Mikey Mikhail selamba.
Mendidih darah Suri Imani mendengar kata-kata lelaki itu. Apakah lelaki itu benar-benar ingat lelaki berjambang yang cuba dielakkannya dahulu sugar daddynya? Aku ni nampak murah sangat ke?
 “Saya tahu awak fikir saya perempuan murahan bukan? Awak tak fikir seorang perempuan macam saya, menganggur pulak tu mana mampu duduk dalam apartmen mewah ni bukan? Sebab tu awak fikir awak boleh ambil kesempatan pada saya. Macam tu?” Tuduh Suri Imani. Merah padam wajahnya menahan marah.
Mikey Mikhail terdiam.
“I tak bermaksud macam tu Suri,” ujar Mikey Mikhail serba-salah.
 “Kalau I nak buat sesuatu, dari tadi lagi I buat. Tak payah nak tunggu makan spageti ni ke apa ke. Look here Suri, I tahu kita baru kenal tak sampai sehari semalam. I memang marah sebab you dah buang barang-barang I tanpa kebenaran, dan I tahu I ni bukan lelaki yang baik. Tapi itu bukan bermakna I sanggup nak rosakkan seorang gadis yang lemah tak berdaya,” ujar Mikey Mikhail lembut. Renungannya tenang menjamah wajah si gadis yang jelas gelisah. Dia tahu Suri Imani risau dengan segala tindakannya. Dia sendiri tidak tahu kenapa sampai begini sekali dia menyakat anak gadis itu. Niatnya hanya satu, mahu mengajar Suri Imani agar lain kali gadis itu tidak berbuat perkara yang bukan-bukan lagi.
 “I’m sorry, I tak patut usik you fasal hal-hal macam ni,” ujar Mikey Mikhail.
Suri Imani menahan nafas. Tidak sangka akan mendengar kata-kata maaf dari lelaki itu.
“Lelaki tu, dia bukan sugar daddy saya,” ujar Suri Imani perlahan.
Mikey Mikhail memasang telinga. Bukan? Habis siapa dia?
“Dia ayah saya Mikey.”
Mikey Mikhail tergaman. Ayah? Habis kenapa Suri Imani mengelak dari bertemu dengan lelaki itu tempohari? Aneh! Dia ingin terus bertanya, tetapi melihat wajah di hadapannya keruh sahaja dan mata gadis itu berkaca, dia tidak jadi melanjutkan pertanyaan.

SELEPAS lelaki itu beredar, barulah Suri Imani tergerak hati mahu melihat bungkusan yang diterimanya. Bungkusan itu dihantar Pak Meor sebentar tadi. Kertas pembalut hadiah itu dikoyakkan satu persatu. Terdapat sebuah kotak di dalamnya. Dahi Suri Imani berkerut. Siapa yang hantar? Mamakah?
Kotak itu dibuka, menyerlahkan sepasang kasut serta beberapa keping gambar di dalamnya. Suri Imani terpaku memandang gambar-gambar itu. Serentak nafasnya mendesah tidak keruan. Ya ALLAH! Dia baru teringat yang dia ada bertemu dengan Nazma kawan universitinya beberapa minggu yang lalu. Gadis itu ada meminta alamatnya kerana mahu menghantar sesuatu. Dan sangkanya Nazma mahu menghantar kad undangan perkahwinannya. Siapa sangka tujuan Nazma mahu menghantar semula kasut serta gambar-gambar lamanya dahulu semasa dia menyertai projek amal bakti siswa beberapa tahun yang lalu di universiti,
Sorry, aku lupa nak pulangkan kasut kau yang aku pinjam tempohari. Kebetulan dalam kamera aku ada beberapa keping gambar kau masa kita kat Rumah Anak-Anak Yatim tu. Aku tahu kau mesti nak gambar ni kalau Doktor Farid ada sekali.
Begitu bunyi nota ringkas kiriman Nazma. Ayat terakhir Nazma itu entah kenapa hanya membuatkan dia sebak. Terhimbau-himbau pertemuan tiga tahun yang lalu di rumah anak-anak yatim Darul Ikhwan. Pertemuan semula yang membikin hatinya bergetar dengan rasa cinta. Tapi cinta itu hadir sejak 5 tahun yang lalu. Terpendam buat Doktor Farid Ilham yang sering menjadi peneman setia setiap kali dia keseorangan di wadnya.
Lima tahun yang lalu dia terlibat dalam kemalangan jalan raya. Darah beku di kepalanya memerlukan dia dioperasi. Namun doktor-doktor yang memantau keadaannya tidak yakin bahawa dia mampu selamat. Farid yang ketika itu menjadi doktor residen, bukan orang yang bertanggungjawab membedahnya. Tetapi di hatinya, lelaki itu adalah penyelamat. Sepanjang dia berada di wad, Farid kerap datang mengunjunginya. Percaya atau tidak, meskipun dia masih koma selepas pembedahan, tetapi dia seolah-olah dapat mendengar suara Farid berbicara dengannya. Memberi galakan dan kata-kata semangat. Entah kenapa Farid memilihnya dia tidak tahu. Hanya dia pasti, Allah menghantar Farid untuk memimpinnya kembali dari mimpi yang teramat panjang yang pernah dilaluinya.

Tiga tahun yang lalu bila dia menemui kembali Farid Ilham, sedang merawat anak-anak yatim bersama beberapa orang staf hospital, hatinya seperti menguntum bahagia. Sebelumnya dia hanya seorang anak sekolah menengah yang tidak matang. Setelah beberapa tahun, kini dia bergelar pelajar universiti, perasannya menjadi bebas untuk diluahkan. 

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!