Followers

Showing posts with label Tiada Sepertimu. Show all posts
Showing posts with label Tiada Sepertimu. Show all posts

Wednesday, February 3, 2010

Novel Tiada Sepertimu ke Versi Cetak

AKAN DATANG FEBRUARI 2010

TIADA SEPERTIMU
hidup bersamamu tidak pernah mudah..
namun salahkah jika aku mencuba?
Keluaran : Kaki Novel Enterprises
Harga Pasaran : RM24 (Semenanjung/ RM27 (Sabah/Sarawak)
Tempahan awal boleh dibuat ke website Kaki Novel mulai minggu hadapan (link)

BLURB COVER

Keifli : "Biar betul! Takkan Ruby ingat aku main cinta dengan anaknya? Hish! Minta dijauhkan malapetaka ini. Siapa yang nak bertemankan perempuan seperti Zara? Sudahlah garang, keras kepala pulak tu!"

Zara : "Betul ke aku bencikan Keifli? Kalau aku bencikan dia, kenapa aku setuju disatukan dengan lelaki itu?"

Rubiah : "Benci itu satu perasaan yang amat dekat dengan cinta, Kif. I tahu you mampu buat Zara mencintai you. You mampu bahagiakan Zara."

Keifli dan Zara bersatu jua meskipun tanpa cinta di hati. Kenapa Rubiah nekad menyatukan anaknya dengan Keifli? Berjayalah Keifli menjinakkan Zara yang garang dan keras kepala? Bolehkah Zara menerima Keifli dalam hidupnya? Semuanya di dalam Tiada Sepertimu.

SINOPSIS
Keifli Benjamin dan Zara Melissa… kedua-duanya punya agenda tersendiri ketika diijabkabulkan. Keifli ingin melarikan diri dari kehidupan lampaunya yang ‘kotor’ manakala Zara pula ingin menyelamatkan mamanya. Akhirnya mereka hidup sebagai teman serumah, yang saling tidak berhutang  antara satu sama lain.

Hidup bersama Zara tidak pernah mudah buat Keifli. Ada sahaja yang tak kena di mata Zara. Namun jika namanya hidup sebumbung, mustahil perasaan masing-masing tidak tercuit. Namun keegoan yang menggunung tinggi mengekang masing-masing meluahkan perasaan yang terbuku.

Keifli yang hampir dapat melupakan Intan, kekasih lamanya tergugat dengan kemunculan semula gadis itu. Begitu juga dengan kemunculan semula Rania, rahsia hitamnya yang sering menghantui emosinya. Zara yang tidak berdosa telah menjadi sasaran utama Rania.

Keifli penasaran. Sempatkah dia meluahkan perasaannya pada Zara? Mampukah dia menyelamatkan Zara daripada jatuh ke dalam perangkap Rania? Bolehkan Zara menerima kehidupan lampaunya yang ‘kotor’ itu?

UNTUK MENGETAHUI KESUDAHAN KISAH MEREKA, DAPATKAN DI PASARAN PADA FEBRUARI INI..

Tiada Sepertimu 13

DARI jauh dia sudah terpandang kelibat Keifli yang sedang ralit menggunakan laptop di salah sebuah meja kosong di suatu sudut yang agak terlindung. Namun Zara tidak terus mendapatkan lelaki itu. Entah kenapa, hatinya ragu-ragu mahu menemui Keifli. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.

Dia memandang lelaki itu dari jauh. Wajah Keifli serius mengadap laptopnya. Sesekali dia melihat lelaki itu asyik mengira sesuatu menggunakan kalkulator. Sibukkah dia? Tiba-tiba sahaja Zara rasa kesal kerana membuat keputusan untuk datang. Sepatutnya dia membayar sahaja duit itu di pejabat Keifli keesokkan harinya. Kedatangannya malam ini seolah-olah satu temujanji pula.

Dia mengambil keputusan untuk berpatah balik. Namun kelibat seorang pelayan yang datang secara tiba-tiba dari arah hadapannya tidak mampu dielak. Dia terpana. Pelayan wanita itu juga terkejut besar. Sesaat kemudian, kedua-duanya bertembung. Serentak!

Zara terjerit apabila terasa cecair sejuk menyerap baju yang dipakainya. Dia memandang tubuhnya yang sudah basah lencun dengan jus buah-buahan yang datangnya dari dulang pelayan itu. Pelayan itu pula seakan kaku dengan kejadian yang menimpa. Wajah Zara yang merah padam dipandang serba-salah.

“Maaf cik, sa…saya tak sengaja,” ujar pelayan itu tergagap-gagap.

“Awak taruk mata kat mana ni? Badan saya yang besar ni pun awak tak nampak?” Rungut Zara panas hati. Namun suaranya tidak pula meninggi. Dia masih tahu malu menjadi tumpuan pelanggan-pelanggan di situ.

“Maaf cik, nanti saya bersihkan baju cik,” ujar pelayan itu.

Zara memandang gadis kecil molek itu. Timbul rasa kasihan dia pada gadis itu. Dia tersenyum. “Tak mengapalah, saya tak marah. Tapi lain kali hati-hati ya,” ujar Zara. Gadis itu mengangguk lega.

Selepas gadis pelayan itu berlalu pergi, Zara mengalihkan pandangannya. Namun menangkap raut wajah tajam yang sedang merenungnya, dia tiba-tiba gugup. Alamak! Mata Keifli sudah menggamit kehadirannya di situ. Mahu tak mahu Zara terus melangkah menuju ke arah lelaki itu.

“Ingatkan tak nak datang tadi.” Nada suara lelaki itu seakan menyindir.

“Datang, mana pulak tak datang. Lagipun hutang kena dibayar,” balas Zara seraya menarik kerusi di hadapan lelaki itu.

“Kau nak makan apa?” Tanya Keifli.

“Maaf, aku datang ke mari bukan nak makan. Aku datang sebab nak jelaskan hutang. Itu saja.” Pintas Zara.

Keifli tersenyum. Dia melirik gadis itu dalam-dalam, menyebabkan Zara diterpa perasaan malu. Pantas matanya dilarikan dari terus menentang renungan Keifli yang tanpa sedar memukau perasaannya.

“Betul kau datang ni sebab nak bayar hutang aje?” Soal Keifli.

Zara mengangguk.

“Bukan sebab kerana nak berdating dengan aku? Lagipun kalau sekadar nak bayar hutang, takkan pakai cantik-cantik macam ni.” Ujar lelaki itu sambil meraut penampilannya dari atas ke bawah.

Zara tergaman. Dia memandang dress yang dipakainya. Cantik sangatkah dress yang dibelinya tiga tahun lalu di Singapura? Memang cantik, kalau tidak bertanda dengan pelbagai kesan jus buah yang tumpah tadi.

“Atau kau sengaja pakai cantik-cantik malam ni sebab nak pikat hati aku?” Usik Keifli lagi seraya tertawa. Zara terkejut. Merah padam mukanya menahan usikan Keifli yang meluncur laju. Tiba-tiba sahaja dia diterpa perasaan malu. Apakah lelaki itu menyangka yang dia sengaja berpakaian cantik untuk pertemuan malam itu? Atau apakah sememangnya dia sengaja berpakaian cantik untuk bertemu lelaki itu? Zara mula keliru.

“Cik Zara…..” panggil Keifli apabila dilihatnya Zara seolah termenung panjang. Gadis itu tidak menyahut panggilannya. Keifli merenung wajah itu. Hai, takkan berangan kot!

“Cik Zara!”panggil Keifli lebih kuat. Zara tersentak. Merah padam wajahnya menahan malu diteriak begitu. Dia memandang Keifli yang tersenyum-senyum.

“Kenapa?”

“Baju tu tak nak tukar ke? Takkan nak terus pakai dalam keadaan basah macam tu. Kalau kau nak, dekat bilik persalinan pekerja ada baju lebih. Nak tak?” Tanya Keifli.

Zara terdiam.

“Opss aku lupa, kau tentunya tak nak pakai baju uniform pekerja. Nanti dikatakan pekerja dekat sini pulak.” Sambung Keifli sebelum sempat Zara mahu membuka mulut. Terkeheh-keheh lelaki itu mengetawakannya. Zara mengetap bibir. Geram. Dia tahu lelaki itu sengaja mempersendakannya.

Keifli tiba-tiba menutup laptopnya seraya bangun dari kerusi yang di dudukinya. Zara tergaman. Aik nak ke mana pulak dia ni? Namun belum sempat dia mahu bertanya, lelaki itu tiba menarik tangannya lalu menghala ke arah tangga di situ.

“Kita nak ke mana ni?” Soal Zara mula keliru. Sikap Keifli benar-benar aneh di matanya kini.

“Ikut ajelah,” bisik Keifli sambil tersenyum. Zara terdiam. Meskipun kepalanya bersarang dengan seribu pertanyaan, namun langkahnya tetap tersusun mengekori lelaki itu menuruni anak tangga di situ.

* * * *

MENYEDARI Toyota Camry itu berhenti di bahu jalan, Zara tercengang. Pantas matanya dilarikan ke arah Keifli. Lelaki itu turut memandangnya.

“Kenapa kita kat sini?” Dia semakin keliru.

“Kau nampak tak kedai pakaian kat situ.” Keifli memandang ke sebuah arah. Zara berpaling. Melihat sebuah butik pakaian, dia terpegun. Matanya sekali lagi dipalingkan ke arah Keifli. Dahinya berkerut.

“Apalah kau ni lembab sangat.” Keifli ketawa. “Cik Zara, takkan tak faham-faham lagi. Aku bawa kau kat sini sebab aku nak kau beli pakaian baru untuk gantikan pakaian kau yang dirosakkan pekerja aku. Jangan bimbang, aku akan bayar semuanya.” Sambung Keifli lagi.

Barulah Zara mengerti kedudukan sebenarnya. Dia memandang ke arah Master Card yang baru dikeluarkan Keifli dari poket dompetnya. Apabila kad itu disua ke arahnya, Zara mula ragu-ragu mahu menerimanya.

“Ambillah, takkan tak mahu. Lagipun memang patut pun aku gantikan baju tu.” Ujar Keifli. Lama kemudian, barulah Zara mencapai kad kredit lelaki itu.

Dia segera turun dari dalam kereta. Keifli tetap tidak berganjak. Melihat lelaki itu seperti tidak berniat mahu menemaninya, Zara melangkah sendirian. Apabila sampai di hadapan sebuah butik esklusif, kakinya tiba-tiba terhenti.

Keifli yang mengawasi kelibat gadis itu dari jauh tergaman. Hai kenapa tak masuk? Fikiran Keifli mula diterpa pelbagai tandatanya. Namun melihat Zara tiba-tiba beralih arah memasuki sebuah kedai lain, Keifli tersenyum kecil.

Sangkanya gadis seperti Zara pasti akan memilih butik berjenama itu. Tapi jangkaannya jauh meleset apabila Zara memilih memasuki sebuah kedai menjual pakaian yang kelihatan biasa-biasa sahaja.

Sepuluh minit kemudian, gadis itu keluar dengan blouse putih bereben kecil di belakang dan jeans denim biru. Melihat penampilan baru gadis itu, Keifli tergaman. Dia merenung Zara dari atas ke bawah. Matanya seakan tidak dapat dilarikan dari terus merenung gadis itu. Cantik!

Leka memandang, dia tidak sedar Zara sudah menghampiri pintu kereta. Gadis itu segera memasuki perut keretanya. Keifli masih ralit memandang. Gerak geri Zara, entah kenapa mirip benar dengan seseorang yang pernah dikenalinya dulu.

“Okey, aku dah siap. Sekarang boleh kita bincang fasal bayaran baiki kereta aku tu?” Zara berpaling. Namun melihat mata Keifli menjamah tajam ke wajahnya, Zara tiba-tiba terpegun. Awat mamat ni pandang aku macam tu sekali?

Monday, February 1, 2010

Tiada Sepertimu 12

KEIFLI menutup fail sederhana tebal di hadapannya. Dia memandang jam yang sudah menunjukkan pukul 2 petang. Patutlah perutnya berkeroncong, rupa-rupanya sudah lewat tengahari. Dia segera bingkas bangun dari kerusi lalu terus menuju ke arah dapur. Kelibat seseorang yang melintas di hadapannya dipanggil. Ruzaini, salah seorang chef di De’Raya berpaling.



“Ada apa Encik Keifli?” Tanya Ruzaini.



“Kak Jan, apa menu makan tengahari kita hari ni?”



“Macam biasalah. Tapi tadi Kak Jan ada masak lauk tumis asam pedas dengan udang goreng masak merah. Sup cendawan pun ada. Saja nak tukar selera. Encik Keifli nak makan ke?” Ruzaini bertanya.



“Bolehlah, perut pun dah lapar ni.”



“Kak Jan nak bawa makanan ni ke dalam ke, atau Encik Keifli nak makan di luar saja?” Tanya Ruzaini lagi.



“Tak apalah, dekat luar saja. Saya tunggu kat luar ya.” Ujar Keifli seraya melangkah meninggalkan ruang dapur itu.



Hampir lima belas minit kemudian, lauk pauk itu sudah terhidang di hadapan Keifli. “Ada apa-apa lagi Encik Keifli?” Tanya Umie yang membawakan hidangan untuk lelaki itu.



“Tak ada apa-apa Umie. Awak boleh pergi sekarang.” Keifli tersenyum. Namun belum sempat anak muda itu mahu menjamah makanan, dia terpandang kelibat seorang gadis tinggi lampai melangkah ke arahnya. Darah Keifli serta-merta menyirap. Dia segera meletakkan sudu dan garpu lalu memandang gadis itu yang sudah pun tersenyum-senyum dari jauh. Nafasnya ditarik perlahan. Damn it! Dia lagi!



“You buat apa kat sini Mili?” Soal Keifli sebelum sempat si gadis membuka mulutnya.



“I nak jumpa you. Dah lama kita tak jumpa kan?” Gadis itu menarik kerusi di hadapannya seraya duduk. Bersinar-sinar matanya memandang ke arah Keifli.



“I tengah makan ni. Apa-apa hal you nak cakap, you cakap segera. Jangan ganggu I kat sini.” Balas Keifli garang.



“Tak nak pelawa I makan sekali ke?” Gadis itu tersenyum.



“Mili, you nak apa sebenarnya ni? Kalau you nak sakitkan hati I, baik you lupakan saja niat you tu.” Keifli kian bosan dengan kerenah gadis itu. Kemunculan gadis itu sering menghuru-harakan hidupnya. Kali ini apa pula?



“I nak you balik pada I, Kif.”



Keifli memandang gadis itu tidak berkelip. Wajah Camelia serius. “Kita takkan balik macam dulu Mili. Antara kita dah tak ada apa-apa.”



“Itu kata you. Tapi I tak pernah setuju dengan keputusan yang you ambil dulu. Kif, I love you and I really do.” Akui Camelia. Keifli menarik nafas panjang.



“Tapi cinta I pada you dah padam bila you ambil keputusan tinggalkan I kerana lelaki tu. Sekarang bila dia dah tinggalkan you, baru sekarang you datang cari I balik? Dah terlambat Mili.” Ujar Keifli.



“Cinta you pada I padam bukan sebab I keluar dengan lelaki lain, tapi sebab dari dulu you tak pernah dapat lupakan perempuan tu.” Tuduh Camelia separuh geram.



“Jangan nak merepek!” Getus Keifli meradang.



“Bukan I yang merepek. I cuma nyatakan kebenaran yang selama ini tertulis dalam hubungan kita. Dari dulu you tak pernah cintakan I, sebab you asyik kenangkan perempuan tu!” Marah Camelia.



“Jangan sebut fasal Intan lagi, Mili.” Pintas Keifli dengan nada marah.



“Ha tengok, you yang sebut nama dia bukannya I. Ini maknanya you tu masih sayangkan dia kan? Sebab tu you tak sabar-sabar nak putuskan hubungan kita. Come onlah Kif, perempuan tu dah jadi sejarah dalam hidup you. Masih belum lambat untuk you kembali pada I, Kif. Tapi kalau you berdegil tak mahu terima I balik, I akan pastikan semua pekerja-pekerja you tahu siapa you yang sebenarnya.” Getus Camelia geram.



Darah Keifli menyirap. Merah padam mukanya memandang Camelia. Kata-kata gadis itu menambahkan barannya. Bukan sekali ini sahaja Camelia berani mengugutnya, malah sudah terlalu acap kali sejak beberapa bulan yang lalu. Namun sampai sekarang, tidak pula gadis itu melakukan seperti apa yang dikatakannya.



“I akan beritahu mereka siapa you sebenarnya. I akan terangkan pada mereka dari mana datangnya restoran yang menjadi kemegahan Keifli Benjamin ini. Biar mereka tahu cerita sebenar.” Sanggah Camelia tidak berlapik.



“Berani betul you ugut I ya?” Keifli cepat berang. Wajahnya merah padam menahan marah. Camelia hanya tersenyum.



“Tapi itu semua takkan jadi kenyataan kalau you ikut cakap I, Kif. Please, you must come back to me.” Rayu gadis itu lagi. Keifli menggenggam bucu meja sekuat hati. Jika Camelia itu bukan seorang gadis, mahu rasanya dia menampar mulut itu sekarang juga. Namun dia cuba bersabar. Lagipun dia masih ingat di mana dia sedang berada sekarang.



* * * *



DIA mengatur langkah malas memasuki rumah besar dua tingkat itu. Rumah yang sudah lama ditinggalkannya. Sejak dulu dia bagai tidak sudi lagi menjejakkan kakinya ke rumah itu semula. Namun panggilan yang diterimanya tengahari tadi, melembutkan hatinya untuk singgah seketika.



Seorang wanita berusia lewat 40an membuka pintu untuknya. Dia hanya memandang wanita itu tanpa seraut senyuman. Apatah lagi wajah wanita itu juga dingin bila menyambutnya.



“Kenapa balik?” Tanya wanita itu dengan nada sombong.



“Kenapa? Saya tak boleh balik? Ini kan rumah mak ayah saya.” Dia membalas selamba. Wanita itu menjungkit keningnya seraya berlalu pergi dengan wajah masam mencuka.



Keifli melangkah masuk perlahan-lahan. Matanya meneliti setiap ceruk ruang di rumah itu. Masih sama seperti dulu. Hanya beberapa perabot di rumah itu sahaja sudah bertukar baru. Dia menarik nafas panjang. Cuba bertenang meskipun hatinya bergelodak dengan emosi yang pelbagai ketika berada di situ.



Kakinya segera mendaki tangga ke tingkat atas. Sebuah bilik berdekatan tangga dipandang sepi. Dulu bilik itu berpenghuni, tapi kini bunyi ketawa yang sering terdengar dari bilik itu sudah tiada lagi. Semakin hilang ditelan masa.



Keifli meneruskan langkah ke sebuah bilik lain. Tangannya diangkat tinggi-tinggi ke muka pintu. Daun pintu diketuk perlahan. Tanpa menunggu balasan, dia segera menolak daun pintu lebar-lebar. Terpacul di hadapannya kelibat seorang wanita sedang menghadap sebuah jendela. Wanita itu berpaling perlahan-lahan ke arahnya.



Dia tersenyum lalu mengatur langkah mendekati wajah pucat di hadapannya. Tangan wanita itu digapai lalu dikucup.



“Keadaan ibu macamana?’ Pertanyaan itu menyapa dari bibirnya. Wanita itu tidak berkata apa-apa, hanya mengangguk lesu. Keifli memimpin ibunya ke arah sofa yang terletak di suatu sudut.



“Kif dah makan?” Halimah bertanya.



Dia mengangguk. Bulat matanya memandang raut wajah ibunya yang nampak tidak bermaya. Kasihan ibu, detik hati kecil Keifli. “Kenapa baru sekarang ibu beritahu Kif yang ibu tak sihat?”



“Demam sikit aje Kif. Ibu cuma hilang selera makan. Ibu cuma nak bertemu anak ibu. Dah lama kita tak jumpa.”



“Ayah tahu tentang ibu sakit?”



Halimah terdiam. Dia menggelengkan kepala.” Dah dua minggu dia outstation. Ibu tak dapat hubungi dia.”



“Habis siapa yang bawa ibu ke klinik?”



“Faisal.” Jawab wanita itu ringkas.



Keifli terdiam. Dia tahu siapa yang dimaksudkan ibunya. Sedikit sebanyak dia bersyukur kerana sepupunya yang baru menamatkan STPM itu tidak seperti ibunya Qasidah, adik perempuan ayahnya yang sombong dan berlagak tak kena tempat. Sudahlah menumpang, tapi berperangai seperti dialah tuan rumah. Padanlah asyik kahwin cerai kahwin cerai!



“Kenapa Kif diam?”



“Tak ada apa-apa. Kif cuma risaukan ibu.”



“Kalau risau, baliklah ke rumah. Kita tinggal sama-sama. Ibu sunyi kalau tak ada Kif. Ibu dah tak ada siapa-siapa nak tumpang bermanja,” keluh Halimah sayu.



“Bukan Kif tak nak balik ibu, tapi ayah yang halau Kif dari rumah ni.” Suara Keifli selamba ketika menuturkan kata-kata. Halimah terkedu. Dia merenung wajah dingin di hadapannya. Sukarnya dia mahu menyelami hati anak itu. Dia tahu hati Keifli terluka dengan sikap suaminya



“Dia bukannya sengaja. Lagipun dia dah kahwin dengan perempuan tu. Cukuplah Kif, Ibu dah tak sanggup tengok keluarga kita begini.” Rayu Halimah sebak.



Keifli terdiam. Dia terduduk lemah di birai katil. “Lelaki macam ayah memang tak tahu hargai wanita macam ibu. Ibu pula terlalu mengalah, ikutkan saja kerenah dia.”



“Apa nak buat, dia suami ibu.”



“Suami yang baik takkan layan isterinya begini. Ayah yang baik takkan halau anaknya sendiri kerana seorang perempuan murahan.” Sanggah Keifli tidak puas hati. Sudah lama dia menjeruk rasa dengan sikap ayahnya itu. Berbekam jua dengan sikap ibunya yang hanya melihat tanpa membantah. Hanya dia yang sibuk mempertahankan nasib ibunya. Tapi akhirnya dia tewas jua dengan sikap degil dan keras kepala lelaki itu.



Halimah diam-diam merenung anak bujangnya itu. Dia tahu sehingga saat ini, Keifli masih terasa hati dengan sikap suaminya yang kaki perempuan. Tambah lagi anak muda itu marah apabila tahu dia yang menandatangani surat mengizinkan suaminya beristerikan Juliana, setiausahanya sendiri. Tapi dia ada alasannya sendiri. Bukan semata-mata kerana dia mahu mendiami taman firdaus di akhirat nanti, tapi jua kerana tidak mahu suaminya terus hidup bermandikan dosa. Itulah sebab, mengapa dia mengizinkan suaminya bernikah lagi.



Tapi kerana keputusannya itu, dia kehilangan satu-satunya anak lelaki yang dibangga-banggakan selama ini. Kerananya, Keifli bertindak meninggalkan rumah selepas bertengkar dengan ayahnya. Kini sudah hampir lima tahun lebih anak muda itu tinggal bersendirian di luar. Menjenguknya juga jarang-jarang sekali.



Dia sudah buntu mahu memujuk Keifli kembali semula ke rumah itu. Setiap kali diajak berbincang tentang ayahnya, Keifli terus menerus menolak. Halimah tahu, hati Keifli masih diamuk dendam kesumat pada Qadrim, suaminya. Tanpa sedar dia melepaskan keluhan berat. Hatinya terasa pilu mengenangkan perubahan sikap Keifli yang ketara. Dahulu anak itu periang, suka mengusik dan ketawa. Tapi sejak lima tahun yang lalu, dia jarang-jarang melihat gelak tawa Keifli. Senyuman anak itu juga sudah jarang terukir di bibirnya.



“Tunggu makan malam dengan ibu malam ni?” pelawa Halimah.



“Tak bolehlah ibu, Kif ada temujanji malam ni.” Keifli tiba-tiba teringatkan Zara. Datangkah gadis itu bertemunya malam ini?



“Temujanji dengan siapa? Teman wanita?” Duga Halimah seraya tersenyum. Keifli hanya tersenyum dengan serkap jarang ibunya. Dia menggelengkan kepala.



“Bukan dengan teman wanita, dengan seorang kawan yang keras kepala.” Ujarnya. Hish simpang malaikat jika gadis itu menjadi teman wanitanya. Sudahlah garang, ego pula tu! Tapi gadis itu manis dan menarik meskipun sikapnya begitu. Entah mengapa, hati Keifli tiba-tiba terbuai mengingatkan gadis manis yang mencuri perhatiannya sejak akhir-akhir ini.



* * * *



ZARA resah menanti jarum jam yang asyik berputar di hadapan matanya. Mula-mulanya dia pura-pura tidak kisah sambil menonton televisyen bersama ibunya. Namun semakin lama masa berputar, dia semakin cemas. Diam-diam dia mengerling jarum jam yang sudah menunjukkan pukul 8 malam.



Rubiah yang sedang menonton siaran Berita TV3 sedikit sebanyak dapat menghidu sesuatu. Sikap anak gadisnya itu lain benar malam itu. Entah apa yang sedang difikirkan anak itu sebenarnya?



“Zara nak ke mana-mana ke malam ni?” Tanya Rubiah tiba-tiba. Zara tergaman mendengar pertanyaan wanita itu. Matanya memandang ibunya. Dia gugup.



“Kenapa mama tanya?”



“Taklah. Mama tengok Zara sikit-sikit pandang jam tu. Kalau nak ke mana-mana, pergilah sekarang. Nanti taklah balik lewat sangat,” ujar wanita itu lagi.



Zara terdiam. Patutkah dia pergi menemui lelaki itu atau dia singgah saja esok untuk membayar hutang membaiki keretanya tempohari? Bagaimana kalau esok lelaki itu tidak ada? Lagipun hal ini harus diselesaikan secepat mungkin, agar dia tidak perlu lagi bersua muka dengan Keifli.



“Lagipun tak baik biarkan orang ternanti-nanti,” sambung Rubiah lagi. Zara terkedu. Apakah ibunya tahu ke mana dia hendak pergi sebenarnya? Dia menjeling ibunya. Wajah Rubiah selamba sahaja sambil menonton televisyen.

pic source : link

Friday, January 29, 2010

Tiada Sepertimu 11

APABILA dia pulang hari itu, ibunya sudah pun berada di rumah. Wajah wanita itu kusyuk membaca majalah tatkala Zara memulas tombol pintu. Rubiah mengangkat kepalanya tatkala menyedari kepulangan Zara.

“Baru balik?”

Zara mengangguk. Dia hendak beredar ke biliknya untuk menunaikan solat, namun melihat ibunya yang masih meneruskan bacaan, langkahnya tidak jadi dihela. Perlahan-lahan dia memaksa diri menuju ke arah ibunya yang sedang santai di sofa. Televisyen di hadapannya dibiar terpasang begitu saja.

“Mama, Zara nak tanya mama satu soalan boleh tak?” Pintanya berhati-hati. Dia tidak mahu wanita itu salah sangka dengan pertanyaan yang bakal dilontarkannya sekejap lagi.

“Zara nak tanya apa?” Rubiah menutup halaman majalah. Matanya memandang tepat ke wajah Zara yang kelihatan serba-salah. “Kenapa ni Zara?” Tanya wanita itu dengan nada lebih lembut.

“Emm..Zara nak tanya mama tentang Keifli.” Ujarnya perlahan.

Rubiah tercengang. Kenapa dengan Keifli?

“Zara cuma nak tahu, mama dengan Keifli tu ada apa-apa ke?” Soalnya serba salah. Wajah Rubiah berubah mendengar pertanyaan itu. Namun tidak lama kemudian wanita itu tergelak besar.

“Kenapa Zara tanya mama macam tu?”

“Zara…Zara takut mama kena tipu. Macam dulu.” Terluah juga apa yang menjadi kebimbangannya selama ini.

Rubiah terdiam. Ketawanya mati. Dia tahu sampai kini, Zara sentiasa mengingati kisah lamanya dengan Syed Akram.

“Zara, Keifli dengan Akram tu tak sama.”

“Jadi betullah mama ada hubungan dengan Keifli?” Pantas soalan itu menerpa dari bibir Zara. Anak gadis itu kelihatan gelisah.

“Zara janganlah risau. Mama dengan Keifli tu kawan aje. Kami jumpa dalam kapal terbang masa dia dalam perjalanan pulang dari Europe beberapa bulan lepas.”

“Zara takut dia ada tujuan lain berkawan dengan mama.” Luah Zara. Dia benar-benar risau dengan hubungan keduanya.

“Jangan bimbang sayang. Dah mama katakan Keifli dan Akram tu tak sama. Dah dua bulan mama berkawan dengan dia, mama tahulah siapa dia.” Ujar Rubiah tetap bertegas.

Zara terdiam. Sukar dia hendak menasihati ibunya jika wanita itu enggan mendengar kata-katanya. Namun jawapan tentang hubungan antara ibunya dengan Keifli bagaikan tergantung begitu saja. Sedangkan dia ingin benar tahu, apakah hubungan yang terjalin antara keduanya, bersandarkan pada hati atau sekadar hubungan biasa?

Mama, kenapa mama tak pernah serik-serik! Keluh Zara. Bukan sekali dua mamanya menjalinkan hubungan dengan lelaki yang lebih muda darinya. Sudah terlalu acapkali. Yang terakhir dulu bernama Syed Akram. Lelaki kacukan melayu arab yang nampak baik, tapi dalam diam-diam rupanya lelaki hidung belang.

Tapi dia tak salahkan ibunya kerana wanita itu memang memiliki daya tarikan. Dalam usia menjangkau 40an, mamanya itu memang masih cantik menawan. Malah kalau dia duduk di sisi ibunya, silap-silap ramai yang menduga wanita itu kakaknya.

“Mama kau cantiklah Zara,” Puji teman-temannya seperti selalu. Malah jika dia menjemput teman-teman universitinya ke rumah, pasti ramai yang tertarik hati mahu mendekati ibunya. Siapa pun yang memandang Rubiah Hani akan senang dengan penampilan wanita itu yang mudah mesra dan senang didekati. Tidak seperti dia yang sukar mahu bergaul dengan orang yang baru dikenali.

Tapi sikap ibunya yang mudah mesra itulah yang membuatkan ramai orang suka mengambil kesempatan. Sebelum Syed Akram, ibunya pernah ditipu hampir sepuluh ribu ringgit oleh seorang kenalannya. Kononnnya mahu meminjam untuk membayar hutang bank, namun akhirnya batang hidungnya pun tak nampak.

Syed Akram pula tidaklah sesak dengan wang ringgit tapi kaki perempuan. Beberapa kali dia pernah terserempak dengan bekas teman lelaki ibunya itu berpelukan dengan wanita lain. Setelah dikhabarkan berita itu, ibunya selamba sahaja bagaikan tidak mempercayai kata-katanya. Hanya beberapa minggu selepas itu, baru dia dapat tahu tentang hubungan ibunya dengan Syed Akram sudah berakhir.

Tapi anehnya wanita itu tidak kelihatan sedih dengan perpisahan itu. Malah ibunya tetap ceria bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Selepas Syed Akram, ibunya pernah keluar dengan beberapa orang lelaki, namun hubungan itu biasa-biasa sahaja. Tidak pula serius sehingga dibawa pulang ke rumah dan diperkenalkan padanya.

Dengan Keifli, entah mengapa Zara juga mengharapkan yang sama. Dia benar-benar tidak suka ibunya bertemankan lelaki itu. Harap-harap tidak! Janganlah sampai pisang berbuah dua kali.

pic source : link

Tuesday, January 26, 2010

Tiada Sepertimu 10

“KUNCI kereta Cik Zara ada dengan Keifli.” Beritahu Herman apabila gadis itu datang bertemunya hari itu. Zara terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Darah panasnya mula menyerbu naik ke muka.
“Tapi kelmarin dia minta saya datang ambil kunci kereta saya dengan Encik Herman.”

“Memang betul, tapi kelmarin saya tak ada. Saya terpaksa ke Johor, jadi Jim suruh Keifli datang ambil kereta Cik Zara di workshop dia. Kalau tak salah, Keifli bawa kereta Cik Zara ke restoran dia.” Jelas lelaki itu.

Zara mengangguk, meskipun hatinya terasa berang kerana lelaki itu langsung tidak memberitahunya apa-apa pun. Kalau aku tahu begini, takdenya aku bersusah payah menyerbu ke mari awal-awal pagi!Keluh Zara sedikit hampa.

Zara menahan sebuah teksi lalu terus menuju ke restoran De’Raya yang terletak di Jalan Indah. Lima belas minit kemudian, dia sudah sampai di hadapan restoran itu.

“Encik Keifli ada kat bilik atas. Dia ada tetamu penting. Kalau cik nak jumpa dia, cik kena tunggu dia sekejap.” Ujar gadis bertocang dua itu apabila ditanya tentang Keifli.

Zara terdiam. Dia memandang ke tingkat teratas restoran itu. Memang dia tidak pernah sampai ke tingkat teratas restoran itu. Namun terselit juga rasa kagum dia pada Keifli yang mampu membuka restoran sebesar De’Raya.

Zara hendak terus bertanya, namun kelibat gadis pelayan itu sudah pun beredar. Dia mengeluh Entah di mana lelaki itu sebenarnya? Dia hanya mahu mengambil kunci keretanya semula. Itu saja! Susah dia hendak bergerak melakukan kerja jika tiada kereta. Seperti orang patah kaki dia ke hendak sana ke mari. Itupun nasib baik pagi tadi, ibunya sudi menghantarnya ke Fitness Club.

Kerana agak lama menunggu, Zara mula dihimpit kebosanan. Kesabarannya memang tidak pernah bertahan sehingga satu jam. Dia segera mendaki tangga ke tingkat atas yang tidak pernah dijejakinya selama ini. Lagipun ini kali ketiga dia mengunjungi restoran lelaki itu. Masih banyak ruang-ruang di restoran itu yang belum dikitarinya.

Sampainya dia di tingkat atas, Zara hampir terpegun melihat susunan dan dekorasi di tingkat atas yang nampak lebih elegan. Barangkali ruang ini digunakan untuk tetamu-tetamu yang perlukan privacy agaknya, bisik hati kecilnya.

Di beberapa penjuru terdapat beberapa buah pasu besar berukir cantik yang dijadikan hiasan. Dia memandang di sekeliling ruang itu. Tidak terdapat ramai orang yang menempah meja makan di situ ketika ini. Mungkin masih awal agaknya!

Zara mencari-cari kelibat Keifli. Seketika bebola matanya tertancap pada suatu wajah yang tidak asing, sedang berbual-bual dengan seorang wanita yang membelakanginya. Dia melihat lelaki itu tak henti-henti ketawa apabila berbual, bagaikan ada sesuatu yang melucukan sedang diperkatakannya.

Tiba-tiba sahaja Zara diterpa rasa cemburu. Siapa wanita itu? Kekasihnyakah? Jika tidak kenapa dia nampak begitu asyik mendengar wanita itu bercerita. Ah pedulikan siapa wanita itu! Yang aku sibuk-sibuk ni kenapa pulak? Bukankah lelaki itu tidak membawa sebarang erti pada aku? Yang aku perlukan sekarang hanyalah kunci kereta supaya senang aku balik ke pejabat selepas ni, bisiknya.

Dia nekad mahu mendapatkan Keifli, namun tiba-tiba sahaja langkahnya terhenti. Bebola matanya terperosok pada kelibat wanita yang bersama lelaki itu. Entah kenapa hatinya terus tertarik untuk memandang. Ternyata gerak geri wanita itu menarik perhatiannya. Tiba-tiba wanita itu berpaling. Mulut Zara serta-merta terlopong. Hampir saja dia mahu pitam melihat wanita itu bersama Keifli.

Rubiah turut tergaman apabila melihat sesusuk tubuh sedang tercegat tidak jauh dari situ. Serentak bibir Rubiah mengukir senyuman. Tangannya dilambaikan memanggil-manggil si anak yang kelihatan kaku.

Keifli turut menoleh. Wajah lelaki itu berubah sebaik melihatnya di situ.

Melihat kedua-duanya memandang ke arahnya, Zara tiada pilihan lain. Dia segera melangkah menghampiri kedua-duanya dengan wajah sebal.

“Zara buat apa kat sini?” Soal Rubiah hairan. Zara diam sahaja. Dia memandang Keifli. Lelaki itu turut menatapnya.

“Kif, inilah anak I, Zara. The one and only.” Ujar Rubiah seraya tertawa. Keifli hanya tersenyum apabila melihat raut wajah Zara mula berubah. Dia sendiri tidak menyangka Zara anak kepada wanita itu. Kecilnya dunia ini!

“Zara, ini Keifli kawan mama. Semalam mama lambat sebab keluar makan dengan dia nilah,” jelas Rubiah. Zara tersentak. Dia memandang ibunya tidak berkelip. Jadi semalam, ibunya bersama Keiflikah? Tiba-tiba sahaja dia rasa tidak senang dengan penjelasan wanita itu.

“Zara duduklah sini, nak makan apa-apa?” Tanya Rubiah seraya menarik tangan anak gadis itu ke sampingnya. Zara menarik kerusi di hadapan Keifli seraya duduk. Namun dia tidak berkata apa-apa.

“Kenapa diam ni, mama tanya Zara nak makan atau minum apa-apa tak?” Rubiah mengulang soalannya apabila dilihatnya Zara tidak banyak cakap.

“Minum saja cukuplah mama,” balasnya lemah. Keifli seraya mengangkat tangannya ke arah seorang pelayan. Dia memandang ke arah gadis itu.

“Cik Zara nak minum apa?”

“Watermelon.” Jawab gadis itu. Pelayan itu mengangguk lalu beredar.

Sejurus kemudian, dia hanya menjadi pendengar saat ibunya rancak bercerita dengan Keifli. Lelaki itu nampak ralit mendengar cerita ibunya. Sesekali Keifli ketawa besar mendengar kisah lucu ibunya semasa di Jakarta baru-baru ini. Hati Zara semakin membahang!

Dalam diam-diam Keifli melirik raut wajah Zara yang mencuka. Ada pertanyaan singgah di penjuru hati untuk gadis itu. Apa mahunya dia di sini sebenarnya? Ingin mengambil kunci keretanya barangkali!

“Zara, mama nak ke restroom sekejap. Zara berbuallah dulu dengan Keifli, nanti mama datang balik,” ujar Rubiah seraya bergegas pergi.

Sepeninggalan Rubiah, mata kedua-duanya terus bertaut.

“Aku datang nak ambil kunci kereta.” Ujar Zara perlahan.

“Aku tahu. Kunci tu ada kat pejabat aku. Kereta kau pulak aku parkingkan kat sebelah kereta aku.” Balas Keifli sambil menghirup minumannya. Gerak laku Keifli kelihatan santai.

“Macamana kau kenal mama aku?” Soal Zara. Entah mengapa, dia benar-benar ingin tahu sejauh mana lelaki itu kenal dengan ibunya.

“Kenapa? Salahkah?” Dahi Keifli berkerut seribu.

“Aku cuma nak tahu bagaimana dan di mana?”

“Pertanyaan kau tu seperti mengundang rasa curiga. Apa kau takut mama kau ditipu lelaki macam aku?”

“Bergantung pada niat kau mendekatinya,” balas Zara berani.

Keifli ketawa kecil mendengar kata-kata itu. Wajah Zara direnung agak lama. “Kalau kau nak tahu sangat apa niat aku, mengapa tidak kau tanyakan saja soalan ni pada mama kau? Aku rasa dia lebih sesuai menjawabnya dari aku.”

“Apa maksud kau?” Wajah Zara merah padam. Hatinya berdebar-debar.

“Please jangan cakap dengan aku yang kau dengan mama aku ada apa-apa hubungan.” Suaranya meninggi tanpa sedar.

“Kalau ya pun kenapa? Mama kau bukannya budak-budak lagi yang boleh dikawal dengan siapa dia mahu berkawan.” Balas Keifli selamba. Wajah yang masam mencuka itu semakin seronok dipandang. Dia semakin terhibur kerana berjaya memperolok-olokkan Zara begitu.

“Jadi betullah kau nak pikat dia?”

“Apa salahnya? Mama kau wanita yang paling cantik pernah aku jumpa. Soal usia hanya satu angka biasa.” Keifli tersenyum. Telinga Zara sudah berdesing mendengar kata-kata yang tidak masuk akal itu. Dia mencerlung tajam memandang Keifli yang acuh tak acuh.

“Look Encik Keifli, aku tak peduli apa kau dengan kawan-kawan kau buat di luar. Tapi jangan sesekali kau berani main-mainkan mama aku. Dia bukannya macam Datin Kamisah yang kawan kau Jaherry usung ke sana ke mari. Ibu aku wanita baik-baik.” Tegas Zara.

Wajah Keifli segera berubah. Dia memandang gadis itu dengan wajah serius. Tidak ada kata-kata terungkap di bibirnya ketika itu. Secepat kilat dia bingkas bangun dari duduknya. Wajahnya menantang ke arah Zara dengan pandangan keruh.

“Aku tunggu kau kat pejabat aku, kalau-kalau kau nak ambil kunci kereta kau.” Ujarnya lalu beredar.

Zara terpinga-pinga menggigit bibir. Matanya mengintai langkah Keifli menuruni tangga di suatu sudut dengan perasaan keliru. Kenapa dengan dia? Aku salah cakapkah?

“Eh mana Keifli, Zara?” Tanya Rubiah sebaik kembali dari restroom. Dia memandang gadis itu bagaikan meminta penjelasan.

“Dia ada hal kat pejabat dia. Err mama, Zara lupa yang Zara ada hal lain lepas ni. Zara pergi dulu ya,” ujar Zara lalu terburu-buru beredar dari situ. Rubiah tercengang apabila dirinya ditinggalkan bersendirian begitu.

“Mana pejabat Encik Keifli?” tanya Zara pada seorang pelayan lelaki yang kebetulan lalu di hadapannya.

“Kat sebelah sana,” tunjuk lelaki itu. Tanpa membuang masa, langkahnya segera disusun ke suatu arah. Namun belum jauh dia melangkah, pelayan itu memanggilnya semula. Dia menoleh.

“Tapi cik, Encik Keifli baru aje keluar tadi. Baru sekejap.” Ujar pelayan itu lagi.

Zara terkejut besar. Dia keluar? Kaki Zara pantas menapak ke arah pintu keluar. Dia segera menuju ke kawasan parking di tepi restoran itu. Namun apabila melihat lelaki itu sedang bersandar di badan Toyota Camry bersebelahan kereta miliknya, barulah hati Zara sedikit lega.

Keifli menoleh ke arah Zara yang tercungap-cungap cuba menghirup udara. Dia mengeluarkan segugus kunci kereta dari poket seluarnya lalu dilayang-layangkan di hadapan gadis itu. Zara hanya mampu memandang. Perlahan-lahan lelaki itu didekati.

“Berapa patut aku bayar pada kawan kau yang baiki kereta aku ni?” Dia bertanya sambil mencapai gugus kunci di tangan Keifli.

“Tak perlu. Semuanya dah beres.”

“Maaf Encik Keifli. Aku tak suka terhutang budi dengan orang yang aku tak kenal.” Tegas Zara.

Keifli terdiam. Bebola matanya menjunam tajam ke wajah Zara yang nampak dingin. Aura-aura permusuhan begitu ketara menerawang di sekeliling mereka.

“Baik. Kalau kau berhajat nak bayar, aku tunggu kau kat tempat tadi malam esok. Kita bincang bayarannya nanti.” Ujar Keifli seraya melangkah pantas ke arah restorannya. Dia menghilang ke dalam tanpa langsung menoleh.

Zara terpaku. Nak aku bayar tapi langsung tak sebut berapa harganya! Dia mengeluh panjang. Lama matanya memerhatikan ke arah keretanya yang mewujudkan semua masalah ini. Kan bagus kalau kau tak rosak, tak buat hal…wahai kereta. Zara berbisik dengan wajah resah.

pic source : link

Sunday, January 24, 2010

Tiada Sepertimu 9

MALAM itu tidurnya berteman resah. Dia sendiri tidak tahu kenapa malam itu sukar benar dia mahu melelapkan mata. Tapi yang pasti, dia terkenangkan seseorang. Bukan sekali dua dalam satu hari ini dia teringatkan lelaki itu. Sudah berkali-kali. Zara menepuk pipi. Terasa sakit. Aduh! Kenapa aku asyik ingatkan dia ni? Bukankah aku menyampah dengan dia?
“Kat mana aku nak hantar kau?” Pertanyaan lelaki itu siang tadi terhimbau dalam ingatannya.
“Kat mana-mana pun tak apa,” balasnya.
“Kat mana-mana? Hello cik kak, kat mana-mana tu di mana? Aku bukannya driver teksi yang tahu mana-mana tempat,” sindir Keifli.
“Hantar aku kat office cukuplah,” jawabnya perlahan. Sindiran Keifli dibuat endah tak endah. Lagipun dia yang menumpang, bukan lelaki itu! Buatnya Keifli campak dia kat tepi jalan, siapa yang susah? Dia juga yang terima akibatnya. Apa nak buat Zara..terima ajelah sindirannya, pujuk hati kecilnya ketika itu.
“Office kau kat mana?”
“Jalan Tekukur.” Jawabnya sepatah. Matanya terus dilontar ke luar tingkap. Dia malas mahu terus berkira dengan lelaki itu. Namun entah mengapa, tiba-tiba ada satu ketenangan yang dirasainya ketika dia berada di samping lelaki itu. Aneh!
Dia tiba-tiba berpaling. Mengambil kesempatan mencuri pandang lelaki itu. Tapi giliran dia yang terkedu apabila anak matanya menyapa sepasang mata milik Keifli.
“Kau benci aku?” Soal lelaki itu seraya tersengih.
“Benci? Kenapa pulak nak benci?” Sesungguhnya pertanyaan ringkas lelaki itu membuahkan rasa hairannya.
“Yalah dari tadi kau macam tak sudi nak pandang wajah aku. Atau kau memang selalu begini? Lonely ranger?”
“Merepek apa ni?” Dia merungut. Separuh geram.
Keifli ketawa lagi. Dia pula memanjangkan muncungnya. Muncung yang tadinya sedepa kini menjadi dua depa. Entah kenapa dia rasa tidak senang dengan reaksi Keifli yang tidak habis-habis ketawa. Entah apalah yang melucukan lelaki itu.
“Aku tak kenal kau, takkan aku nak terhegeh-hegeh berbual macam dah kenal lama.” Dia menjawab, cuba menutup gelodak rasa yang dirasainya.
“Habis? Kau rasa aku ni orang jahat? Kalau kau rasa macam tu, kenapa kau setuju naik kereta dengan aku? Kau tak takut aku culik kau?” Duga Keifli ingin tahu.
“Aku ada tali pinggang hitam. Tulang sekerat macam kau ni, bila-bila masa aku boleh belasah.” Balasnya selamba. Entah kenapa ada rasa lucu timbul di hujung suaranya. Tali pinggang hitam? Hehehe…usahkan kata tali pinggang hitam, tali pinggang pelbagai warna pun dia tak ada.
“Oh ada black belt rupanya.” Keifli ketawa geli hati. Lucu dengan kata-kata itu.
“Kau dengan Jaherry dah lama kenal?” Dia tiba-tiba bertanya. Sengaja dia mahu mengalihkan perhatian lelaki itu dari berbicara mengenainya.
“Hmm Jerry..agak lama juga kenal. Kenapa?”
“Dia tu kerja apa sebenarnya?” Soalnya. Entah kenapa, tiba-tiba dia terfikir untuk menyelidik perihal Jaherry dari Keifli.
“Dia kan klien kau. Kenapa kau tak tanya pada dia saja?” Balas Keifli acuh tak acuh.
“Dia kata dia berniaga.”
“Then betullah tu.”
“Berniaga apa?”
Keifli merenungnya tidak berkelip membuatnya tiba-tiba bungkam. Mata lelaki itu dengan cepat dialihkan memandang ke arah jalan raya. Menyedari elaki itu menghentikan keretanya ke seberang jalan, dia terpinga-pinga.
“Dah sampai. Yang mana satu office kau?” Ujar lelaki itu.
Mahu tak mahu dia terpaksa menunjukkan ke suatu arah.
Mata Keifli terperosok ke arah sebuah bangunan yang bercat warna biru dan kuning emas. Melihat lelaki itu diam sahaja, dia terus membuka seat belt yang melingkari tubuhnya. Namun seat belt itu agak payah dibuka.
Tiba-tiba kepala Keifli mencondong ke arahnya. Dia tergaman. Tubuhnya segera didorong ke belakang, cuba mengelak dari bersentuhan dengan lelaki itu. Irama ‘rock and roll’ di hatinya semakin rancak berdendang. Jari-jarinya tanpa disedari meramas cushion seat tempat duduknya. Jarum jam seakan boleh dikira. Dentingan saat demi saat bagaikan terdengar jelas di cuping telinganya.
Namun menyedari Keifli cuba membukakan seat belt itu dari tubuhnya, dia jadi lega. Mata lelaki itu merayap ke wajahnya. Dia terus dihimpit rasa cemas. Kenapa dia pandang aku macam tu sekali? Hati kecilnya berbisik sendiri! Renungan Keifli terus menikam wajahnya. Dia sudah tidak tahan.
“Err thanks sebab hantar aku ke sini. I have to go,” ujarnya sedikit gugup. Dia terus menolak pintu di sisinya lalu terburu-buru keluar.
* * * *
KEIFLI tersenyum sendiri. Kejadian siang tadi benar-benar mencuit hatinya. Hairan juga dia kerana dalam dalam tempoh tak sampai seminggu, sudah tiga kali dia dipertemukan dengan gadis bernama Zara itu. Wajah itu manis biarpun tidak bermekap tebal. Cukup hanya disalut mekap tipis, gadis itu nampak berseri-seri. Aduh! Kenapa pula aku tiba-tiba teringatkan dia ni?
Wajah Zara yang merah padam membuatkan hatinya terusik. Dia pula tiada niat apa-apa. Hanya bertujuan mengusik Zara yang kelihatan garang dan berperwatakan keras.
“Kenapa tersenyum sorang-sorang ni? Dah macam orang gila aku tengok kau ni,” sampuk satu suara. Keifli berpaling. Wajah temannya Azrul entah sejak bila sudah berada di situ.
“Bila kau balik?”
“Dari tadi lagi aku buka pintu tu. Tapi aku tengok kau ni asyik termenung aje, dah tu senyum pulak sorang-sorang. Kenapa ni? Dah angau ke?” Usik Azrul seraya tertawa. Tubuh temannya itu ditepuk-tepuk.
Keifli membulatkan matanya. “Angau apanya, aku tengah tengok cerita tu.” Ujar Keifli seraya memuncungkan mulutnya ke arah channel HBO yang sedang ditontonnya. Sengaja dia tidak mahu Azrul tahu gelodak rasa yang mula bersarang di jiwanya.
“Macamana orang tua kau kat kampung?” Tanya Keifli. Dia tahu Azrul baru balik dari melawat orang tuanya di kampung. Anak muda berasal dari Utara itu memang kerap pulang ke kampung setiap dua minggu sekali.
“Mereka sihat. Mereka kirim salam pada kau. Oh ya Mira asyik sebut-sebut nama kau. Dia kirim barang kat kau.” Ujar Azrul seraya membuka beg sandangnya. Dari dalam beg, dikeluarkan sebuah kotak kecil yang berbalut cantik.
“Apa ni?” Tanya Keifli seraya memandang lelaki itu. Kotak kecil itu dibelek-belek dan digoncang. Sesekali isi di dalamnya bergelodak melanggar ruang.
“Entahlah, aku pun tak tahu. Katanya dah lama dia siapkan benda ni untuk kau. Bila kau nak ikut aku balik kampung? Mira rindu sangat kat kau.” Canang Azrul.
“Nantilah Azrul. Kerja aku kat restoran tu tak pernah habis. Nanti aku cari kesempatan okey,” ujarnya seraya mengoyakkan kertas pembalut hadiah itu dengan berhati-hati. Dia tidak mahu merosakkan sebarang usaha Amira yang bersusah payah menyediakan hadiah untuknya.
Apabila penutup kotak itu dibuka, mata Keifli bersinar-sinar menatap kulit siput yang terukir cantik dengan manik-manik kaca berwarna warni. Azrul turut sama menjengah isinya. Dia terpegun.
“Cantik,” komen Keifli agak gembira. Gadis kecil itu memang berbakat dalam seni kraftangan Kulit siput itu memang nampak cantik dan unik. Siapa sangka kulit siput secantik itu dihasilkan oleh seorang anak kecil yang baru berusia 11 tahun.
“Sayang benar dia pada kau. Aku yang abangnya pun tak pernah diberi hadiah macam ni,” rungut Azrul seolah berjauh hati. Keifli hanya ketawa mendengar omelan temannya itu.
“Sebab kau tu tak pandai ambil hati dia. Cubalah jadi abang penyayang sikit, belikan hadiah untuk dia, belanja dia makan. Barulah dia sayang kau lebih,” balas Keifli. Azrul hanya tersengih. Wajah sahabat baiknya itu ditatap lama.
“Aku sebenarnya tak kisah pun. Lagipun memang patut Mira sayang kau. Kau dah banyak bantu kami. Aku benar-benar terhutang budi Kif.” Ucap Azrul. Keifli tersenyum. Dia sebenarnya tidak suka Azrul mengungkit kisah silam.
“Kenapa tiba-tiba cakap fasal hal ni?”
“Kadang-kadang aku malu dengan kau. Besar sangat hutang aku pada kau. Tak terbalas rasanya.” Keluh Azrul.
Keifli menepuk bahu lelaki itu. Bulat matanya menjengah wajah Azrul yang agak muram. “Rul, kita kawan kan? Sebagai kawan, aku patut tolong kawan yang dalam kesusahan. Lagipun aku tak pernah minta balasan atas pertolongan kecil yang aku berikan. It’s not a big deal, Rul.”
“Tapi pengorbanan kau terlalu besar untuk kami Kif. Kalau tak ada kau hari tu, entah ke manalah mak ayah aku merempat. Bila kenangkan mak aku menangis sakan hari tu, hati aku ni sakit sangat.” Keluh Azrul.
Terbayang di ruang matanya bagaimana ibunya menangis-nangis merayu Penghulu Seman agar tidak merampas tanah pusaka itu dari tangan mereka. Semuanya kerana angkara pakciknya Husin yang meminjam duit dengan Penghulu Seman dengan mencagarkan geran tanah tempat mereka sekeluarga tinggal. Bila hutang tidak berbayar, mulalah geran tanah yang belum dipecahkan namanya menjadi sandaran. Mujurlah ada Keifli yang sudi menolong.
“Tapi semuanya dah selesai Rul, tak ada apa yang perlu kau bimbangkan. Sudahlah, jangan kita ungkit lagi hal-hal yang dah lepas.” Ujar Keifli mengejutkan lamunan Azrul. Lelaki itu masih menatap kulit siput di tangannya sambil tersenyum. Azrul turut sama menguntum senyuman buat sahabat rapat yang akan dikenang jasanya sampai bila-bila pun.

pic source : link

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!