Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 10


Lama matanya memandang cermin solek di hadapannya. Hampir setengah jam dia sampai, namun dia masih belum berganjak dari depan cermin. Wajah yang bersih tanpa mekap itu, sebentar lagi akan menjadi orang lain. Duha Maisara mengeluh.

Dalam dua minggu yang lalu, hampir tiap-tiap hari dia terpaksa menyanyi di situ. Meskipun dia tidak suka, namun dia tidak berkuasa memilih pekerjaan. Selagi Bustaman menyuruh dan Mami Jun menghendakinya menyanyi, dia terpaksa juga melakukannya. Dia terpaksa jua melemparkan senyuman yang penuh dengan kepura-puraan.

Dia sendiri sudah tidak ingat bagaimana dia boleh mula-mula menjadi penyanyi di tempat itu. Namun dia masih ingat, ketika itu dia mengikut Bustaman yang kenal baik dengan Mami Jun. Asalnya dia setuju bekerja di situ sebagai pencuci, namun entah bagaimana silapnya, salah seorang penyanyi di Blue Ocean kemalangan dan tidak dapat datang malam itu. Ketika Mami Jun kalut mahu mencari ganti, tiba-tiba sahaja Bustaman mengatakan yang dia pandai menyanyi.

Duha Maisara ingat bagaimana pucat lesinya wajahnya berada di atas pentas, mengadap ke arah puluhan mata-mata nakal yang memandangnya. Namun apabila muzik dimainkan, suaranya terus beralun mengikut irama dan nada yang dia tahu. Dan serta-merta juga rasa gementarnya hilang begitu sahaja. Sedar-sedar sahaja, dia mendapat tepukan gemuruh malam itu. Rata-rata pelanggan Mami Jun suka dengan suaranya.

Mujurlah dia sendiri suka menyanyi sebelum itu. Mungkin juga ayahnya pernah mendengar dia menyanyi suka-suka di dapur. Kerana itu Bustaman bagaikan yakin merekomenkannya sebagai penyanyi ketika itu di Blue Ocean. Itulah saat-saat di mana dia mula-mula bekerja di Blue Ocean hampir setahun yang lalu.

Jauh lamunana Duha Maisara mengimbas kenangan lama sehingga dia tidak sedar, Zarina salah seorang GRO di situ perlahan-lahan mendekatinya. Melihat Duha Maisara bagaikan tidak perasan dengan kehadirannya, Zarina tersengih. Pantas bahu gadis itu ditepuk perlahan.

Duha Maisara tersentak. Bulat matanya memandang Zarina yang hanya tertawa.

“Kak Ina, terkejut Duha tadi.” Ucap Duha Maisara seraya mengurut dada yang gementar. Wanita itu tergelak besar.

“Apa yang dimenungkan tu?” Soal Zarina ingin tahu.

Duha Maisara menggelengkan kepala. Namun matanya terpaku ke arah baju di tangan Zarina. Macam aku pernah tengok!

Menyedari mata Duha Maisara terpegun merenung baju di tangannya, Zarina tersenyum lagi.

“Mana kak Ina jumpa kot tu?” Soal Duha Maisara ingin tahu.

“Dua hari lepas, Mak Minah bersihkan bilik persalinan. Dia nampak kot hitam ni atas kerusi tempat Duha selalu duduk. Dia kata mungkin Duha yang punya sebab dia pernah nampak Duha bawa balik kot ni tempohari.” Jelas  Zarina.

Duha Maisara segera membelek kot hitam itu dengan teliti. Dia termenung panjang, cuba mengingati sesuatu. Sejurus kemudian, dia terpaku. Memang dia yang bawa balik kot hitam itu ke Blue Ocean. Entah kenapa, wajah lelaki yang memberinya kot hitam itu untuk melindungi tubuhnya muncul semula di ingatannya.

Lelaki itu agak tampan dengan tubuh tinggi lampai. Pakaiannya kemas menggambarkan yang dia bukan calang-calang orang. Kulitnya sawo matang dengan kumis tipis yang kerap dicukur barangkali. Yang paling dia ingat ialah sinaran mata lelaki itu yang kelihatan muram, bagaikan membendung masalah. Tapi dia tidak nampak jelas wajah lelaki itu kerana dia sibuk melindungi wajahnya sendiri kerana malu.

Aduh, sepatutnya aku kena pulangkan kot ini awal-awal lagi. Lagipun tentu kot ni mahal dan beratus-ratus harganya. Tapi bagaimana aku nak pulangkan, jika aku sendiri tidak kenal siapa lelaki itu?

“Siapa pemilik kot ni Duha?” Tanya Zarina membuatkan Duha Maisara tergaman. Dia tersenyum nipis memandang mata Zarina yang bagaikan ingin menyelidik cerita darinya.

“Tak ada siapalah Kak Ina, kawan Duha yang pinjamkan kot ni pada Duha. Duha nak pulangkan tempohari, tapi lupa.” Duha Maisara mereka alasan.

“Betul ke kawan Duha atau salah seorang pelanggan kelab ni?” Zarina meneka.

Duha Maisara tersentak. Apakah Zarina menyangkakan yang dia dalam diam-diam menjalin hubungan dengan lelaki-lelaki di kelab itu?

“Betul kak, kot ni bukan pelanggan kelab ni punya. Memang kawan Duha yang pinjamkan.” Pintas Duha Maisara. Dia tidak sanggup membiarkan Zarina menyangka yang bukan-bukan padanya.

“Baguslah begitu Duha. Kakak bukan apa, dah tujuh bulan kakak kenal Duha. Kakak dah anggap Duha macam adik kakak sendiri. Sebab tu kakak tak mahu Duha terjebak jauh macam kakak.”

Duha Maisara terdiam. Dia tahu hati Zarina luhur, bukan seperti sesetengah wanita yang bekerja di situ. Kebanyakkannya sentiasa cemburu mencemburui antara satu sama lain. Jika ada yang cantik sedikit, mudah sahaja dia dimusuhi. Duha Maisara tahu yang dirinya juga tidak berkecuali. Nasib baik dia hanya penyanyi dan bukannya pelayan.

“Tak apalah macam tu, Duha cepat siap. Tak lama lagi giliran Duha menyanyi, kakak nak ke belakang sekejap.” Ujar Zarina seraya bingkas bangun. Duha Maisara hanya memerhatikan kelibat wanita berusia awal 30an itu berlalu pergi. Dia mengeluh panjang.

*  *  *  *

            Selesai bersiap, Duha Maisara segera keluar. Namun belum jauh kakinya melangkah, dia terdengar bunyi bising di luar. Hairan dengan bunyi yang didengarinya, dia segera menjengah keluar.

            Dia terpempan melihat seorang lelaki berkulit hitam dan berkepala botak, bersama dengan kawan-kawannya sedang bercekak pinggang di hadapan Mami Jun. Suara mereka menengking kuat. Duha Maisara mengerutkan dahinya. Meskipun suara herdikan lelaki-lelaki itu sampai di telinganya, namun dia tidak dapat mendengar dengan jelas kerana bergema seiring dengan bunyi muzik yang agak kuat di situ.

            Tiba-tiba Duha Maisara merasakan tangannya disentap seseorang. Dia tercengang apabila menyedari Zarina menghelanya ke arah pintu. Wajah wanita itu pucat lesi.

            “Kak Ina, kenapa ni?”

            Dada Zarina turun naik menahan semput. Pertanyaan Duha Maisara tidak terus dijawab. Dia cuba bertenang. Melihat keadaan Zarina, Duha Maisara semakin hairan.

            “Kak Ina, siapa lelaki-lelaki yang bercakap dengan Mami tu?” Soal Duha Maisara ingin tahu.

            “Duha tak kenal siapa mereka?” Tanya Zarina, cemas.

            Gadis itu menggeleng. Zarina terpinga-pinga.

            “Duha tahu tak mereka semua tu tengah cari Duha. Ini mesti ada kena mengena dengan ayah Duha tu. Mereka kata, selagi mereka tak dapat Duha, mereka takkan beredar dari sini. Mami yang suruh kakak cari dan halang Duha dari keluar ke pentas. Mami suruh Duha menyorok dulu.” Jelas Zarina termengah-mengah.

            Duha Maisara tercengang. Cari aku? Tapi kenapa? Perlahan-lahan Duha Maisara mara ke arah pintu. Dari situ dia memandang ke arah lelaki-lelaki yang bertekak dengan Mami Jun. Mujurlah ada beberapa orang bouncer di sisi Mami Jun, serta beberapa pelanggan lama Blue Ocean yang turut campur tangan.

            Mata Duha Maisara terfokus ke arah lelaki botak itu. Wajah yang lebam-lebam itu dipandang teliti. Entah kenapa, dia merasakan seperti dia pernah melihat wajah lelaki itu sebelum ini. Tapi di mana ya? Dia termenung panjang, cuba mengingati sesuatu. Beberapa ketika kemudian, wajah Duha Maisara berubah. Oh tuhan!

            “Duha, kenapa ni?” Wajah Zarina mula kalut apabila melihat kerut resah di wajah Duha Maisara muncul tiba-tiba.

            “Kak, itulah lelaki yang Duha jumpa masa ikatjamin ayah tempohari. Ayah bergaduh dengan lelaki itulah. Agaknya dia nak balas dendam pada Duha tak.” Wajah Duha Maisara membayangkan ketakutan.

            “Kalau kau tak nak suruh dia keluar, aku akan geledah tempat ni satu persatu.” Jerit lelaki berkepala botak itu. Duha Maisara dan Zarina saling berpandangan. Melihat lelaki-lelaki itu mula melangkah ke setiap tempat, Zarina lekas-lekas menghela tangan Duha Maisara ke arah pintu keluar. Namun belum jauh melangkah, mata kedua-duanya menyorot dua lelaki yang tercegat di pintu keluar. Bukan ‘bouncer’ kelab itu, kerana Zarina mengenali semua bouncer yang bekerja di Blue Ocean.

            “Duha, lekas!” Bisik Zarina seraya membawa gadis itu ke sebuah bilik VIP. Sampai di sebuah bilik, tanpa berfikir panjang,. Zarina segera menolak tubuh gadis itu ke dalam. Dia segera menutup pintu dari luar.

            Terkejut Duha Maisara kerana ditolak secara tiba-tiba memasuki bilik itu. Dia cuba mendengar dari sebalik pintu, namun tidak terdengar sebarang bunyi. Bibirnya melepaskan keluhan.  Bagaimana kalau lelaki botak itu menerpa masuk dan menjumpainya di situ? Apa patut dia buat? Bolehkah Mami Jun melindunginya dari lelaki-lelaki itu? Mampukah dia berselindung dari lelaki-lelaki yang memusuhi ayahnya?

            “Apa kau buat kat sini?” Soal suatu suara tiba-tiba. Agak keras. Duha Maisara tersentak. Dia mengerutkan dahinya. Sangkanya bilik itu tiada penghuni kerana lampu di bilik itu samar-samar. Perlahan-lahan Duha Maisara memusingkan tubuhnya. Dari tempat dia berdiri, dia melihat seorang lelaki sedang merenung ke arahnya sambil duduk di sebuah sofa panjang di situ.

            Tangan lelaki itu menjalar ke arah sebuah lampu meja tidak jauh dari sofa yang didudukinya. Tak lama kamudian lampu di ruangan itu terbuka. Mata Duha Maisara silau. Pantas tapak tangannya dihala ke arah mukanya, cuba menahan matanya dari merenung ke arah cahaya itu.

            “Aku tanya kau, apa kau buat kat sini? Aku dah tempah bilik ni, dan aku tak mahu diganggu.” Herdik lelaki itu garang. Kecut perut Duha Maisara mendengar suara garang itu. Dia melarikan tangannya. Matanya perlahan-lahan merenung wajah lelaki itu. Sesaat kemudian, jantung Duha Maisara bagaikan hendak luruh. Dia tunduk ke bawah, tidak berani memandang wajah lelaki itu lama-lama. Oh tuhan, minta-mintalah dia tidak ingat siapa aku.

            Namun apabila dia mengerling lelaki itu sepintas lalu, mata lelaki itu masih menyorot ke wajahnya. Kali ini renungan lelaki itu menikam tepat ke matanya. Dia serba salah, juga gugup.

            “Maaf encik, saya tak sengaja ganggu encik. Saya ingatkan bilik ini tak ada orang tadi,” ujar Duha Maisara meminta maaf. Dia cepat-cepat beredar ke arah pintu. Tombol pintu dipulas perlahan. Apabila pintu itu terkuak, mata Duha Maisara cepat terpandang kelibat si botak dan teman-temannya sedang membuka pintu bilik berhadapan dengan bilik itu. Serentak dia menutup pintu itu. Langkahnya segera dihela ke arah lelaki yang masih merenungnya.

            “Encik, saya nak minta tolong encik. Boleh tak encik tolong saya sembunyikan diri dari lelaki-lelaki di luar sana? Mereka semua nak tangkap saya, tolonglah encik,” rayu Duha Maisara resah.

            Lelaki itu memandang ke arah pintu. Bunyi bising-bising di luar diiringi derap sepatu yang kuat menarik perhatiannya. Beberapa saat kemudian, pandangannya beralih ke wajah Duha Maisara yang ketakutan.

            “Kenapa aku mesti tolong kau?” Tanyanya serius.

            Duha Maisara terpaku. Wajah lelaki itu mencerlung tajam ke arahnya. Dia memandang sekali lagi ke arah muka pintu. Bila-bila masa, lelaki-lelaki di luar sana boleh merempuh masuk dan menemuinya di situ. Entah apa nasibnya jika dia ditangkap lelaki-lelaki itu.

            Namun belum sempat Duha Maisara mahu berfikir panjang, lelaki itu tiba-tiba meluru ke arahnya. Tubuh Duha Maisara dirangkul dalam pelukannya. Duha Maisara tergaman. Serentak dia mendengar pintu di belakangnya dirempuh kasar. Mahu tak mahu dia membenamkan mukanya ke dada lelaki itu. Matanya dipejamkan. Dia resah.

            “Tak mungkin dia. Kita cari di tempat lain.” Telinganya mendengar dengan jelas lelaki-lelaki itu berbicara. Seketika kemudian pintu di belakangnya kembali terkatup. Duha Maisara sedikit lega.

            Menyedari tubuhnya masih dirangkul lelaki itu, Duha Maisara cepat-cepat menolak tubuh sasa itu. Entah kenapa dia merasa segan. Perlahan-lahan, dia mendongakkan wajah memandang lelaki itu. Mata lelaki itu seolah terpaku menatap wajahnya.

            “Terima kasih sebab tolong saya, maaf sebab saya ganggu masa encik,” ucap Duha Maisara sambil tersenyum. Dia mahu beredar pergi, namun tangannya tiba-tiba disentap agak kuat oleh lelaki itu. Duha Maisara terpaku.

            Mata lelaki itu masih menjamah wajahnya. Begitu hampir. Dia kian resah. Oh tuhan! Kenapa dengan lelaki ini? Apakah dia sama seperti lelaki-lelaki lain di kelab ini yang setiap masa menagih tubuhnya. Dia cuba menghindar jauh, namun tangan lelaki itu memaut pinggangnya pula. Duha Maisara semakin takut.

“Encik, tolonglah jangan buat begini. Saya bukan GRO di sini. Saya hanya penyanyi. Tolonglah kasihani saya,” rayunya memohon belas. Dia memejamkan matanya. Tuhan, selamatkanlah hambamu dari melakukan dosa. Keadaanku seperti di hujung tanduk. Jika aku tak mampu melawan, kau lindungilah aku ya Allah! Tak putus-putus dia berdoa begitu, bilamana perasaan takutnya mula menjalar di lubuk hatinya.

            Sedikit demi sedikit tubuhnya terasa dilepaskan oleh sepasang tangan yang sasa itu. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Mata lelaki itu masih tertumpu ke arahnya. Namun renungan itu kelihatan aneh. Sesaat kemudian lelaki itu memalingkan wajahnya ke arah lain.

            “Keluar dari sini sekarang. Jangan ganggu aku lagi.” Lelaki itu menghalaunya. Dia terkedu. Namun sedikit sebanyak dia rasa bersyukur kerana lelaki itu tidak mengapa-apakannya. Perlahan-lahan Duha Maisara melangkah ke arah pintu. Namun dia tidak terus melangkah keluar. Matanya memandang ke arah lelaki yang termenung sendirian mengadap ke arah skrin televisyen besar di bilik itu.

            “Maafkan saya encik. Saya ucapkan terima kasih sebab encik sanggup bantu saya. Kalau ada peluang, saya akan balas budi baik encik. Maaf sebab ganggu masa encik,” ucap Duha Maisara sebelum melangkah keluar dari situ.

            Perlahan-lahan, mata lelaki itu menoleh ke arah pintu bilik itu. Tubuh gadis itu sudah menghilang dari situ. Dia melepaskan keluhan berat. Entah kenapa perasaannya tiba-tiba berkecamuk.

*  *  *  *

            Nashriq menggengam stereng kereta sekuat hati. Kepalanya disandarkan ke kepala kusyen. Matanya dipejamkan. Bayang wajah Raihana semasa kecil muncul silih berganti dengan wajah gadis yang ditemuinya di Blue Ocean tadi. Entah kenapa, perasaan Nashriq jadi tidak menentu apabila berhadapan dengan gadis itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia berperasaan begini.

            Namun apabila gadis itu tersenyum dengannya, dia benar-benar terkejut. Senyuman gadis itu dan Raihana jelas sama. Malah lesung pipit yang dirindukannya saban waktu dulu, tergambar jelas di hadapan matanya.

            “Maaf sebab saya ganggu masa encik,” kata-kata gadis itu lunak di pendengarannya. Bibir gadis itu melemparkan senyuman. Dan dia seperti orang bodoh, tercegat macam patung memandang ke arah gadis itu. Ah, tak mungkin gadis itu dan Raihana orang yang sama. Dia kenal Raihana. Raihana takkan berakhir di tempat seperti itu. Hanya senyuman mereka sahaja yang sama, bukan orangnya. Nashriq cepat-cepat membuang sangkaan yang mula bersarang di kotak fikirannya.

            “Naz, mana kau pergi? Semua wakil dari US tertanya-tanya mana kau pergi tadi. Kenapa tinggalkan mereka macam tu aje?” Suara Erman bergema dari corong telefon bimbitnya. Dia hanya mengeluh.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!