Followers

Monday, November 22, 2010

Blue Sunset : Bab 5

IMAN asyik membelek lakaran-lakaran di tangannya. Setiap helaian yang dibelek, mencambahkan rasa kagumnya pada kemampuan gadis kecil itu. Memang cantik! Betul cakap kakaknya, Aqila Murni memang seorang designer yang berbakat.

Iman menutup helaian sketchbook selepas menjamu mata dengan helaian terakhir portfolio gadis itu. Pandangannya dilempar ke arah Aqi. Namun melihat gadis itu menikus di suatu sudut dengan wajah yang menunduk ke bawah, dahi Iman segera berkerut. Mata Iman beralih pula ke arah Zahar yang sedang merenung Aqi dengan wajah garang. Melihat situasi di hadapannya, Iman mula mengerti. Dia tersenyum sendiri.

“Zahar…” panggil Iman perlahan. Cubaannya berjaya. Zahar mengalihkan anak matanya. Kening lelaki itu terjungkit ke arahnya.

“Apa?”

“Tak sopan buat macam tu kawan. Silap-silap haribulan dia berhenti sebelum sempat aku upah dia.” Usik Iman selamba.

Zahar tergaman. Aqi ikut terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Dia memberanikan diri mengangkat mukanya memandang Iman Khaliq itu. Lelaki itu tersenyum menatapnya. Senyuman lelaki itu agak mirip dengan senyuman Doktor Ilani.

“Jadi kau dah buat keputusan nak upah dia?” Zahar bertanya. Masih dengan mimik wajah serius.

Iman mengangguk. “Ada bantahan?”

“Kau dah fikir panjang? Tak menyesal?” Zahar terus melontarkan pertanyaan tanpa memikirkan perasaan Aqi yang turut mendengar kata-katanya.

Iman ketawa kecil. Sudah faham benar dengan sikap Zahar yang gemar memprovok keputusannya.

“Aku akan upah siapa sahaja yang berbakat besar dalam bidang ini. Dan saat ini, mata aku hanya nampak Aqila Murni.” Jawab Iman, yakin. Dia melirik ke arah Aqi yang nampak terkejut. Matanya dikenyitkan ke arah gadis itu.

Zahar terdiam. Dia tidak mampu berkata apa-apa lagi. Ternyata Iman sudah nekad dengan keputusannya mahu mengambil budak perempuan itu bekerja. Zahar merengus kasar lalu bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.

“Nak ke mana ni?” Iman terpinga-pinga memerhatikan ke arah Zahar.

Zahar menoleh. “Aku nak cari minuman sejuk untuk hilangkan haus aku ni. Aku harap kau tak menyesal dengan keputusan kau ni. Jangan nanti kalau ada masalah, kau nak suruh aku betulkan pulak.” Tukas Zahar separuh bengang.

Terkelip-kelip Iman memerhatikan Zahar yang berlalu pergi dari situ dengan wajah berang. Dia memahami bahawa lelaki itu menentang keras hasratnya untuk mengambil Aqila Murni bekerja. Sejak dulu Zahar agak anti dengan perempuan, entah kenapa dia sendiri tidak tahu. Nak kata temannya itu gay, dengan teman-teman mereka yang lain pun, sikap Zahar sama sahaja. Perengus dan panas baran tak bertempat.

Sebaik kelibat Zahar menghilang, Iman mengalihkan perhatian ke arah Aqi. “Jadi macamana? Aqi setuju kerja dengan Sri Anjung Design?” Soal Iman ingin tahu keputusan gadis itu.

Aqi terdiam. Dia masih belum mampu memberikan kata putus. Mungkin jika dia tidak bertemu dengan Zahar hari ini, dia pasti tanpa ragu-ragu akan mengatakan ya pada tawaran Iman yang menarik. Tapi dengan adanya Zahar di tempat itu, dunianya yang aman damai selama ini pasti akan huru-hara.

“Saya..saya tak tahulah Encik Iman.” Jawab Aqi serba salah.

Iman tergaman. Tak tahu? Bukankah tujuan gadis itu datang hari ini untuk meminta kerja darinya? Kenapa tiba-tiba sahaja jawapan gadis itu di luar jangkauannya? Apakah kerana Zahar? Iman termenung sejenak.

“Kalau Aqi bimbangkan Zahar, rasanya itu hanya masalah kecil. Zahar memang macam tu. Nampak aje bodoh sombong, tapi sebenarnya dia baik hati.” Canang Iman.

Aqi hendak tersenyum mendengar kata-kata Iman. Bodoh sombong? Yup! Bukan main susah dia mahu menggambarkan sikap Zahar terhadapnya sebentar tadi. Tetapi dengan sekelip mata, Iman mendefinisikan perilaku lelaki itu dengan amat tepat. Betul seratus peratus! Zahar memang bodoh sombong! Dahlah ambil kereta aku, lepas tu tinggalkan aku macam tu aje kat tepi jalan, gumam Aqi geram.

Hah! Kereta? Aqi tiba-tiba bangun dari kerusi yang didudukinya. Wajahnya merah padam. Iman yang melihat gadis itu turut sama tergaman.

“Kenapa Aqila?” Tanya Iman.

“Err…maaf Encik Iman, saya keluar sekejap ya.” Balas Aqi lalu terburu-buru keluar dari bilik mesyuarat itu. Meninggalkan Iman yang kelihatan bingung.

* * * *

Puas dia mencari-cari kelibat Zahar di ruang Sri Anjung Design yang agak luas itu. Setiap wajah yang dilewatinya dipandang satu persatu. Tidak sukar dia mahu mengesan Zahar kerana lelaki itu kelihatan ‘berbeza’ dari lelaki-lelaki lain. Maksud berbeza itu kerana dia mampu mengesan Zahar lebih cepat dari orang-orang lain di ruang legar pejabat itu. Ini kerana wajah Zahar mempunyai pelbagai warna, berbeza dari orang-orang lain yang kelihatan serupa.

Beberapa minit kemudian, matanya terpandang kelibat Zahar sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki di hadapan sebuah bilik. Tangan lelaki itu memegang mug yang sesekali dihirupnya.

Aqi menarik nafas panjang. Nak tanya ke tak nak ni? Ah! Yang kau takut sangat ni kenapa Aqi? Dia tu siapa? Harimau belang ke atau T-Rex? Dua-dua tak, tapi lelaki itu lebih dahsyat dari dua benda yang ada di dalam kepalanya saat ini!

Aqi menarik nafas panjang. Dia cuba mengumpul keberaniannya sebelum berhadapan dengan Zahar. Pertemuan berkali-kalinya dengan lelaki itu membuatkan dia terpaksa beringat dan bersedia.

Menyedari kehadiran Aqi, Zahar segera membalikkan tubuh. Bulat matanya meratah wajah gadis di hadapannya yang kelihatan takut-takut mahu menghampirinya.

“Hah nak apa?” Segah Zahar sebelum sempat Aqi mahu membuka mulut. Aqi terkulat-kulat bagaikan budak terencat akal. Air liurnya diteguk beberapa kali. Semangat yang dikutip satu persatu tadi terbang melayang entah ke mana dek sergahan Zahar yang tidak berperasaan.

“Aik dah bisu? Baru dapat kerja dah bisu pulak?” Sindir Zahar dengan suara meninggi. Beberapa pekerja-pekerja di Sri Anjung Design yang lalu lalang di situ menoleh sebaik mendengar suara Zahar yang agak kuat.

“Saya…saya…” Aqi tergagap-gagap. Aduh! Apa dalam kepala otak kau ni Aqi? Takkan baru kena sergah dah kalut!

“Asyik saya…saya…apa benda kau nak cakap dengan aku sebenarnya ni?” Herdik Zahar lagi. Puas hatinya dapat menakut-nakutkan Aqi yang bertubuh kecil.

“Se…sebenarnya sa..saya nak tanya fasal kereta.” Ujar Aqi masih tergagap-gagap. Entah kenapa dia tak ubah seperti pesakit polio yang kena beratur nak kena suntik. Asyik berdebar-debar sepanjang masa.

Mata Zahar membulat mendengar kata-kata gadis itu. Dia mencerlung tajam ke arah Aqi menyebabkan kepala Aqi terus terkulai layu ke bawah. Confirm! Aku memang spesies mak turut, keluh Aqi lemah.

“Speak of the devil, memang aku nak tanya kau pun fasal kereta aku. Berapa kau mampu bayar aku? Kau tahukan kereta aku tu kereta baru. Sekarang sebab kau, habis kemek bumper kereta aku tu. Kau tahu tak spare part untuk kereta aku tu mahal?” Bertubi-tubi serangan mortal singgah ke gegendang telinga Aqi. Dia tercengang. Alamak lelaki ni memang tak ada hati perut. Mesti kaki buli masa sekolah dulu ni! Gumam Aqi dalam hati.

“Lain kali kalau tak reti bawak kereta tu, jangan bawak. Menyusahkan aku aje.” Rungut Zahar. Dia benar-benar meradang sebaik teringatkan keretanya yang sudah hilang sentimental value.

“Awak jangan bimbang, segala kerosakan kereta awak tu nanti saya bayar.” Balas Aqi dengan pantas.

Zahar tiba-tiba ketawa. Lucu mendengar ocehan anak gadis di hadapannya. “Oh nak bayar. Pakai apa dik? Pakai air liur? Kalau tak ada duit seribu ringgit, jangan berangan nak bayar kos kerosakan kereta aku tu.” Sindir Zahar.

“Seribu ringgit?” Aqi terperanjat besar. Takkanlah sekadar kemik kat belakang bontot kereta tu pun sampai seribu ringgit? Biar betul! Manalah dia ada duit sebanyak itu. Untuk menyusahkan ibunya, dia sendiri tidak sanggup apatah lagi kos ubat-ubatan ibunya juga mencecah ratusan setiap bulan.

“Kenapa? Dah takut dengar seribu ringgit? Aku dah agak, kau ni memang takde duit nak bayar kan? Mulanya aku ingat nak ambil kereta kau buat cagaran, tapi buat apa nak simpan kereta buruk macam tu.” Zahar mencebik.

Aqi tersentak. Darahnya mula mendidih. Tahukah lelaki itu kereta Volkswagen itu adalah kereta pertama yang dibelinya secara bersusah-payah hasil dari mengajar tuisyen di rumah-rumah penduduk sekitar kawasan rumahnya? Malah dengan kereta itulah dia mampu menghabiskan pelajarannya di kolej.

Mahu tinggal di asrama dia tidak sanggup kerana tidak ada sesiapa yang boleh menjaga ibunya. Jadi terpaksalah dia berusaha keras belajar memandu meskipun menghadapi masalah penglihatan. Dan dengan kereta itu jugalah dia mampu berulang-alik menghantar ibunya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital. Sampainya hati dia kata kereta aku tu kereta buruk! Gumam Aqi sendirian. Hatinya mula sebal menghadap lelaki itu.

“Awak tinggalkan kereta saya tu kat mana? Saya nak ambil balik kereta saya.” Aqi mengetapkan bibirnya. Cuba menahan perasaan. Sabar Aqi! Jangan layan orang bodoh macam tu, hati kecilnya memujuk. Airmatanya berlinang sedikit angkara kata-kata yang menyinggung hatinya.

Zahar menoleh. “Kereta buruk kau tu aku tinggalkan kat Jalan Kuching tadi. Belum sempat sampai office ni, enjin dia dah terbatuk-batuk macam orang tua. Menyusahkan aku betullah!” Rungut Zahar.

“Siapa suruh awak drive?” Kata-kata itu meluncur laju dari bibir Aqi. Dia terpanar. Alamak macamana isi hatinya boleh terkeluar begitu sahaja?

“Apa kau cakap?” Zahar mengerutkan dahinya. Ada sesuatu yang diperkatakan gadis itu, namun dia tidak dapat mendengar dengan jelas.

“Tak. Saya kata saya nak minta balik kunci kereta saya kalau awak tak keberatan.” Aqi cepat-cepat mengalihkan maksudnya. Bengang juga hatinya bercakap lama-lama dengan lelaki itu. Buat menyakitkan hatinya sahaja.

Zahar terdiam. Dia merengus lalu menyeluk poket seluarnya. Seketika gugus anak kunci yang bersembunyi di dalam poket seluarnya lantas diserahkan kembali kepada gadis itu. Nak ambil sangat kereta buruk tu? Hah ambiklah…tenung puas-puas! Rungut Zahar sambil mencebik.

Aqi cuba mengambilnya, namun sepantas kilat Zahar melarikan gugus kunci tersebut. Aqi tergaman. Bulat matanya memandang wajah Zahar yang sedang tersengih.

“Aku nak tahu, kau terima ke tawaran dari Iman nak kerja kat sini?”

Aqi tidak menjawab.

“Aku nak ingatkan kau, kerja kat sini bukan macam kerja kat tempat lain. Kat sini kalau kau nak kekal lama kau kena pandai. Mungkin ada kerja-kerja itu yang kau tak suka, tapi kau terpaksa buat atau kau akan diberhentikan.” Bisik lelaki itu rapat ke telinganya.

Aqi terkedu. Dia langsung tidak memahami maksud kata-kata Zahar.

“Iman tu playboy. Buaya darat. Dia ambil kau bukan sebab kau pandai buat design tu tapi sebab rupa kau. Dia memang suka dengan perempuan dahi licin dan lurus macam kayu.” Sambung Zahar lagi.

Aqi tersentak. Biar betul! Takkanlah lelaki bernama Iman itu seburuk seperti yang dikatakan oleh Zahar? Tak mungkin! Iman kan adik kepada Doktor Ilani. Selama ini wanita itu melayannya dengan baik. Adik kepada wanita sebaik Doktor Ilani tak mungkin seperti apa yang dikatakan oleh Zahar.

“Tak percaya?” Zahar tersengih.

Aqi terkulat-kulat memandang lelaki itu. Dia berpaling ke arah bilik mesyuarat. Ketika itu juga Iman keluar dari bilik tersebut lalu menoleh ke arahnya. Lelaki itu melemparkan senyuman ke arahnya. Mahu tak mahu Aqi terpaksa membalas senyuman lelaki itu.

“Dia memang selalu senyum macam tu kat mana-mana gadis yang dia jumpa.” Tukas Zahar selamba. Kunci kereta di tangannya dipusing-pusingkan dengan jari telunjuknya.

Aqi mengigit bibir bawah berkali-kali. Keliru dengan sikap Zahar yang memburuk-burukkan Iman. Bukankah mereka kawan sekerja?

Tiba-tiba kunci di tangan Zahar dirampas seseorang. Zahar terpegun. Aqi turut tergaman sebaik melihat seorang gadis berkemeja labuh dan berseluar jeans yang kepala lututnya terkoyak dan berambu-ramba, ketawa kecil sambil memegang kunci keretanya.

“Swan, you’ll do that again next time and I’m swear, you’ll be dead.” Getus Zahar dengan wajah menyinga. Gadis berpakaian lelaki itu hanya ketawa besar mendengar kata-kata Zahar.

“Huh macamlah aku hairan dengan ugutan kau tu. Cakaplah apa sahaja yang kau suka, aku tak kisah langsung.” Balas gadis itu. Zahar mengeluh panjang. Dia segera berlalu ke biliknya sebelum menghempas pintu agak kuat.

Aqi mengurut dada yang seakan mahu pecah. Aduhai! Macam-macam hal! Gadis yang berjaya membuatkan Zahar beredar itu tiba-tiba mengalihkan pandangannya ke arahnya.

“Kau siapa?” Soal gadis itu.

Aqi tidak tahu bagaimana mahu memperkenalkan diri. Mujurlah ketika itu Iman tiba-tiba menghampiri mereka.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!