TUBUHNYA berdebu, pakaiannya kotor dan rambutnya menggerbang. Kakinya tidak
bersarung sepatu, sebaliknya tumitnya sudah pecah-pecah kerana banyak berjalan
tanpa hala tujuan.
Hatinya kosong,
sama seperti fikirannya yang terawang-awang. Dia melihat dunia tidak lagi sama seperti
dulu. Dunia yang penuh dengan cinta seperti kata ibunya. Dunia yang penuh
dengan kasih sayang. Dunia itu sudah musnah. Tiada lagi cinta terpaut di
hatinya. Tiada lagi kasih sayang di jiwanya. Dia hanya insan yang kehilangan
segala-galanya.
Nun jauh di
hadapannya, bunyi ombak mengganas singgah di gegendang telinga. Dia tertarik.
Seolah-olah suara ombak itu bagaikan bisikan ibunya yang asyik memanggilnya.
“Tunggu bu…..”
bisiknya. Matanya terpejam rapat. Wajah wanita itu terbayang-bayang di fikiran.
Senyuman wanita itu bagaikan penawar duka yang mahukan dia melupakan
segala-galanya.
Langkahnya
dihela perlahan. Tumitnya perlahan memijak hamparan pasir yang dingin. Namun
matanya hanya melurus ke hadapan. Ke arah imej ibunya yang sedang melambai-lambai
ke arahnya. Panggilan itu harus disahut. Ya, itu sahaja yang ada di fikirannya
saat ini. Dan bunyi ombak menghempas ke batu itu semakin lama semakin jelas
kedengarannya.
Apabila kakinya
dibasahi air, dia tunduk. Sedar tak sedar separuh kakinya sudah ditenggelami
air.
“Jangan takut
sayang, mari dekat ibu.” Suara itu terus memanggil.
Buat kali
terakhir dia menitiskan airmatanya. Dunia, selamat tinggal! Andai dunia ini
hanya memberinya derita, lebih baik dia tinggalkan sahaja derita itu. Ibu, aku
akan datang menemanimu! Tunggu aku!
*
* * *
JALAN yang berliku di hadapannya tetap diredah meski dalam keadaan hujan
lebat. Dia tidak peduli langsung pada lekuk-lekuk jalan yang sesekali menganggu
kelancaran motorsikal Apprilia RS250 yang dipandunya. Saat ini dia lebih
berminat mahu segera sampai ke destinasinya. Dia mahu mengejar gadis itu
sebelum semuanya sudah terlambat lagi. Gadis itu harus menjelaskan
segala-galanya padanya. Harus!
Nun jauh di
hadapan, perjalanannya terganggu oleh sorotan cahaya dari kenderaan di hadapan.
Hendak tak hendak dia terpaksa memperlahankan kelajuan motorsikalnya. Hujan renyai
yang membasahi mukanya langsung tidak dipedulikan. Dia mengetuk cermin tingkap
kereta di sebelahnya. Lelaki yang menjadi pemandu Toyota Camry itu menurunkan
jendelanya.
“Kenapa sesak
kat depan bro? Ada apa?” Dia bertanya.
“Entah, rasanya
ada kemalangan agaknya. Tadi aku dengar ada kereta jatuh gaung. Itulah, dah
tahu hujan lebat macam ni, yang nak bawa kereta laju sangat tu kenapa? Kan tak
fasal-fasal menyusahkan orang lain.” Bebel lelaki itu seraya menggelengkan
kepalanya.
Dia melontarkan
pandangan ke suatu arah. Seperti ada suatu suara yang menyuruhnya meneruskan perjalanan.
Dia mahu melihat apa yang sedang berlaku. Ada kereta polis dan ambulan sudah
berada di tempat kejadian. Terdapat juga anggota penyelamat yang baru tiba. Dia
memerhatikan kawasan itu dan ternampak penghadang jalan yang kelihatan rosak
dirempuh kenderaan. Hatinya entah kenapa gusar.
“Adik, adik tak
boleh berada kat sini. Adik kena berpatah balik. Bahaya.” Tegur salah seorang
anggota polis yang menahannya.
“Ada apa ni
encik?” Tanyanya pada anggota polis bertubuh gempal itu.
“Ada kemalangan
yang membabitkan sebuah kenderaan. Kereta tu jatuh gaung lebih kurang sejam
tadi dan terbakar. Anggota bomba masih cuba memadamkan kebakaran tu.” Ujar
anggota polis tersebut.
“Kereta apa?”
“Ada saksi yang
nampak sebuah kereta Proton Preve berwarna hitam menjunam ke bawah gaung. Pihak
bomba sedang menjalankan usaha-usaha menyelamat.” Jelas anggota polis tersebut.
Hatinya
serta-merta berdebar. Lagi-lagi dia tahu tentang hadiah yang Adriana terima
beberapa hari yang lalu.
“Kawan saya
juga memandu Preve berwarna hitam dan mungkin melalui jalan ini. Namanya
Adriana.” Ujarnya pada anggota polis tersebut.
Wajah anggota
polis itu tiba-tiba berubah.
“Apa nama kawan
adik tu Adriana Imaniyah Binti Abdullah?” Soal lelaki itu.
Dia hanya
mengangguk disulami rasa cemas dan panik saling berbaur.
“Ya, macamana
encik tahu nama penuhnya?”
“Sebab ini yang
kami jumpa di kaki gaung tadi. Mungkin terjatuh dari kereta mangsa.” Ujar
lelaki itu lalu menunjukkan sekeping tag nama pelajar milik Adriana, lengkap
dengan gambar gadis itu sekali.
Melihat tag
nama tersebut, tubuhnya tiba-tiba mengigil. Nafasnya menjadi tidak keruan. Ya
ALLAH! Bunyi riuh rendah di kawasan itu seperti lenyap. Dia tidak mendengar
apa-apa lagi kecuali suatu suara.
“Nama saya
Adriana. Saya diupah oleh ayah awak untuk jadi tutor peribadi awak.”
“Like I care. I don’t need any tutor.”
“Saya dah
diupah, jadi mulai hari ini suka atau tidak, awak dah jadi anak murid saya.”
“Adik?” Suara
anggota polis itu kedengaran lagi. Kali ini bernada cemas. Dan dia terus
terjelepuk lemah ke tanah, bermandikan air hujan dan airmata seiring. Ada tangisan
di sudut hati, harga untuk kekesalan yang dirasainya saat ini.
*
* * *
DIA menaiki tongkang jam 2 pagi itu, menuju ke suatu destinasi yang
agak jauh. Pakaiannya tidak banyak hanya yang bersarung di tubuhnya sahaja.
Pakaian yang dikenakannya agak kotor dan compang camping tetapi dia sedikit pun
tidak peduli. Matanya asyik mengawasi beg sandang yang dipegangnya sahaja.
“Ini duit 1
juta seperti yang dijanjikan. Bos nak kau tinggalkan tempat ni sementara
keadaan reda. Jangan muncul kat sini lagi buat sementara waktu ni. Pergi ke
Macau dan duduk senyap-senyap kat situ. Kalau ada kerja baru, bos akan panggil
kau balik.” Ujar lelaki itu semasa menyerahkan beg sandang yang penuh berisi
wang itu.
Dia tersenyum
senang. Sengihannya semakin lebar sebaik dia teringat dendamnya yang sudah
terbalas. Malam ini dia sudah bunuh 3 orang dan dia takkan teragak-agak
melakukannya lagi. Meskipun tanpa wang ini, dia tetap akan melakukannya.
Orang-orang yang telah memporak perandakan hidupnya, satu persatu akan dicincang
lumat. Inilah padah kerana mencari fasal dengannya!
Ketawanya
bergema kuat, seiring dengan bunyi kuat tongkang yang sedang membelah ombak.
Malam ini dia akan tinggalkan tempat ini buat sementara. Tapi dia akan kembali!
Dia masih punya seorang anak lelaki yang terpaksa ditinggalkannya. Suatu hari
nanti dia akan kembali bertemu dengan anak itu semula!
No comments:
Post a Comment