Followers

Tuesday, August 17, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 20

BAHAROM terkejut apabila melihat sepasang kasut lelaki terletak rapi di satu sudut apabila dia pulang ke rumah petang itu. Dahinya berkerut. Siapa pula yang datang petang-petang begini? Dia segera melangkah masuk. Melihat kelibat seorang lelaki di ruang tamu, Baharom terperanjat besar. Lelaki itu juga ikut tergaman melihatnya.

“Awak ni siapa?” Tanya Baharom. Dia menjengah mencari-cari kelibat Suria. Namun bayang anak gadisnya tidak kelihatan. Baharom mulai diterpa perasaan curiga.

“Ayah dah balik?” Tegur satu suara sebelum sempat Izwan mahu membuka mulut. Serentak kedua-duanya berpaling ke suatu arah. Suria tersenyum lebar memandang ayahnya.

“Ayah, ini Tuan Izwan. Dia yang uruskan kes di Hutan Air Hitam tu. Suria ada beritahu ayah fasal kes tu kan?” Ujar Suria lembut.

Baharom terdiam. Matanya mencuri pandang ke arah Izwan yang turut memandangnya. Dahinya berkerut seribu. Entah kenapa, wajah lelaki itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Tiba-tiba Izwan menghulurkan tangannya.

“Encik Baharom bukan? Saya ada dengar fasal Encik Baharom dari beberapa orang kenalan saya. Mereka kata dulu Encik Baharom bekas CID.” Tingkah Izwan.

Baharom meneliti wajah Izwan semula dengan teliti. Dia yakin yang dia pernah bertemu dengan lelaki itu sebelum ini. Melihat reaksi Baharom, Izwan mula digamit rasa hairan. Dia mengerling tajam ke arah Suria yang turut memerhatikan ayahnya.

“Ayah….kenapa ni?” Tegur Suria.

Baharom terkejut. Serentak matanya dilarikan ke arah Suria. “Kenapa Tuan Izwan boleh ada kat sini? Suria ada buat apa-apa yang salah ke?” Baharom meneka sebarangan. Suria terkedu. Renungan ayahnya membuatkan dia kelam kabut.

“Eh mana ada ayah. Tuan Izwan datang nak tanya fasal kes tu aje. Betul kan tuan?” Suria mengerling ke arah Izwan, mengharapkan pertolongan. Lelaki itu hanya diam. Sedikit pun Izwan tidak membelanya. Suria mengguman geram.

“Tolong fasal apa tuan? Apa yang anak saya boleh bantu pihak polis?” Tanya Baharom pula.

“Kami memerlukan bantuan Cik Suria untuk menilai beberapa fakta kes dari sudut pandangan seorang wartawan. Saya harap Encik Baharom tak keberatan.” Jelas Izwan tenang. Baharom terdiam. Betulkah begitu? Entah kenapa dia meragui kata-kata lelaki itu.

“Err..ayah, Suria nak keluar sekejap dengan Tuan Izwan. Sekejap lagi Suria balik.” Pinta Suria. Dia cepat-cepat mengisyaratkan agar Izwan menuruti langkahnya.

Izwan mengangguk hormat ke arah Baharom, sebelum mula melangkah keluar. Baharom tidak berkata apa-apa. Hatinya berbisik yakin. Lelaki itu pernah ditemuinya suatu ketika dahulu. Dia amat pasti!

* * * *

“Ayah kau macam tak sukakan aku.” Sebut Izwan sewaktu di dalam kereta. Suria mengerling dengan ekor mata. Tapi dia tidak memberi sebarang komen. Keretanya dipandu keluar ke jalan besar.

“Dia bekerja di unit mana sebelum ini?” Soal Izwan lagi.

“CID bahagian narkotik.” Jawab Suria acuh tak acuh.

Izwan terdiam. Narkotik? Dia mengerutkan dahinya. Dia tidak pernah berkhidmat atau berurusan dengan jabatan narkotik sebelum ini. Tapi kenapa wajah lelaki itu seperti tidak asing baginya.

“Jangan bimbang, ayah aku tu baik orangnya. Dia cuma berlagak serius dengan orang yang dia tidak kenal.” Ujar Suria sebaik dilihatnya Izwan termenung panjang.

Izwan diam-diam melirik gadis di sampingnya. Wajah Suria nampak tenang. Mata gadis itu jernih menandakan kepintaran. Jika tidak pintar, masakan gadis itu berjaya mengesan Masyitah sebelum pihak polis tiba. Izwan tersenyum sendiri. Suria kebetulan memandang lelaki itu. Melihat raut wajah lelaki itu, Suria tercengang. Aikk? Tahu juga mamat ni senyum?

“Oh ya, ini CD gambar-gambar tu. Aku dah copy dari dalam laptop aku. Ada lebih kurang 30 keping semuanya. Ini pula IP address untuk email tu.” Ujar Suria lantas menghulurkan CD file beserta sekeping kertas pada Izwan. Lelaki itu menerima tanpa banyak soal.

“Kenapa orang tu boleh hantar email ni pada kau?”

“Entahlah, aku pun tak tahu. Mungkin dia ambil address email aku dari pejabat atau dia godam website KZM, manalah tahu kan.” Jawab Suria mudah.

“Kau tak takut?” Izwan memandang gadis itu. Cuba menduga.

Suria tertawa. “Nak takut apa? Takut orang yang hantar email ni akan apa-apakan aku? Begitu?”

“Walau siapa pun dia, kau kena ingat yang dia ada di luar sana. Jika dia tahu email kau, tak mustahil dia tahu di mana kau tinggal,” ujar Izwan serius.

Suria terdiam. Kata-kata Izwan ditelan tidak sepenuh hati. Dia menurunkan Izwan di hadapan ibu pejabat PDRM. Lagipun sewaktu ke rumah Mahani tadi, Izwan menaiki jip polis bersama beberapa orang anggota polis.

“Tuan Izwan.” Panggil Suria apabila dilihatnya lelaki itu mula melangkah. Izwan mematikan langkah lalu berpaling. Wajah Suria terjengul keluar dari dalam tingkap kereta yang terbuka luas.

“Aku benar-benar berharap kita boleh bekerjasama.” Pinta Suria perlahan. Izwan tidak menjawab. Keazaman dan kesungguhan Suria benar-benar membuatkan dia mengeluh panjang.

“Tengoklah nanti.” Jawab Izwan acuh tak acuh. Dia terus beredar pergi, meninggalkan Suria terkulat-kulat sendirian di dalam kereta. Kata-kata lelaki itu singkat dan ringkas. Suria jadi bingung sendiri. Entah kenapa dia tidak yakin langsung dengan kata-kata yang keluar dari mulut Izwan. Macam tak serius aje bunyinya!

* * * *

Suria mengorak langkah laju, menyusuri ruang pejabat yang masih dipenuhi dengan teman-temannya. Kesemua mereka nampak sibuk dengan tugas masing-masing. Sebaik sampai di muka pintu, telinganya menangkap suara Syamsul, salah seorang wartawan kanan di situ sedang asyik bercerita. Lelaki itu dikerumuni oleh Alan, Umaira dan Fasya yang kelihatan ralit mendengar.

Suria melemparkan senyuman kosong pada Zaharah yang duduk di tepi pintu. Wanita berusia awal 40an itu sekadar mengangguk ke arahnya. Dia meletakkan beg sandangnya, namun matanya masih melirik ke arah Syamsul yang masih galak bercerita. Entah apa sebenarnya yang dibualkan mereka? Fikir Suria. Dia mengerling ke arah Zaharah tapi wanita itu hanya mengangkat bahu, tanda tidak tahu menahu apa yang sedang hangat dibincangkan. Suria cuba memasang telinga.

“Zaman sekarang ni macam-macam benda pelik muncul. Lepas satu…satu benda buruk berlaku kat bandar kita ni.” Ujar Syamsul. “Itu baru seorang. Yang lain pulak entah apa nasibnya.” Sambung Syamsul lagi.

“Tapi kematian macam ni buat aku seram sejuklah.” Sampuk Umaira seraya memeluk tubuh. “Bayangkan kita diekori pembunuh yang sadis macam tu. Lepas ni aku tak beranilah balik rumah sorang-sorang diri lagi.” Cemik Umaira ngeri.

“Kau orang semua cerita fasal apa ni?” Sampuk Suria sudah tidak sabar. Dia benar-benar ingin mengetahui bual bicara teman-teman sepejabatnya hari itu. Menyedari kehadirannya di situ, semua mata terpaku ke arahnya.

“Eh bila kau sampai Suria? Kami tak sedar pun?” Tegur Fasya

“Ada, tapi dah kau orang asyik sangat bercerita, sampai aku masuk pun kau orang tak sedar. Apa yang ‘hot’ sangat tu?” Suria tersengih.

“Cerita fasal apa lagi? Fasal kes gadis-gadis hilang yang aku tengah siasat tulah. Rupa-rupanya mayat yang polis jumpa tempohari kat hutan simpan tu, mayat salah seorang dari gadis-gadis yang hilang tempohari.” Jelas Syamsul.

“Mana kau tahu ni?” Suria tercengang. Setahunya pihak polis masih belum buat apa-apa kenyataan rasmi berhubung identiti mangsa. Apakah yang mereka bincangkan sekarang berkenaan dengan Masyitah?

“Polis dah buat official statement ke?” Tanya Suria ingin tahu.

“Semalam, dia ikut Encik Akhbar ke unit patologi forensik. Encik Akhbar suruh Syamsul follow-up cerita ni.” Sampuk Fasya pula. Suria tersentak, lalu memandang ke arah Syamsul. Lelaki itu menganggukkan kepala, mengiyakan kata-kata Fasya. Wajah Suria segera muram. Kenapa pula Akhbar tidak menugaskannya? Bukankah dia yang membuat liputan kes itu selama ini?

“Jadi siapa yang hilang sebenarnya?” Soal Suria, sengaja bertanya.

“Masyitah Kassim, gadis kilang yang hilang dua minggu lepas. Berjam-jam aku tunggu di hadapan unit patologi, baru dapat sedikit maklumat tentang identiti mangsa. Polis pun dah sahkan mayat tu mayat Masyitah Kassim.” Ujar Syamsul. Suria terdiam. Fikirannya benar-benar bercelaru kini.

Umaira tiba-tiba memegang bahunya. Dia berpaling. Gadis itu merenungnya dengan wajah serius. “Aku pelik juga kenapa si botak tu suruh Syamsul yang follow-up berita tu. Bukan ke berita tu hak ekslusif kau.” Bisik Umaira. Dia hanya berdiam diri.

“Suria, Encik Akhbar panggil kau ke pejabat dia,” Ujar suatu suara. Suria berpaling. Wajah Huda, salah seorang pemberita senior tersengih memandangnya di sebalik muka pintu. Dia memandang teman-temannya yang lain.

“Tentu fasal kes tu,” sahut Umaira.

Mahu tak mahu Suria bingkas bangun lalu terus melangkah ke suatu arah. Daun pintu di hadapannya diketuk perlahan. Sebaik suara Akhbar kedengaran, dia segera menolak daun pintu di hadapannya.

Seorang lelaki bertubuh besar dan berkepala botak sedang meneliti dokumen di tangannya dengan wajah serius. Selang beberapa ketika, pandangan Akhbar beralih pula ke arahnya.

“Duduk Suria.” Suruh Akhbar.

“Tak mengapa Encik Akhbar, saya berdiri aje.” Suria menolak. Akhbar tidak memaksa. Lelaki itu menutup fail di hadapannya lalu memandang ke arah Suria.

“Suria, awak tahu kenapa saya panggil awak ke mari?” Tanya Akhbar seraya bersandar di kepala kerusinya.

“Encik Akhbar nak cakap fasal kes di hutan simpan tu ke?” Duga Suria.

Lelaki itu mengangguk. “Agaknya awak dah tahu fasal mayat gadis yang dijumpai tempohari sudah dikenalpasti pihak polis.” Duga Akhbar.

Suria mengangguk. “Syamsul dah beritahu saya fasal hal tu. Kenapa Encik Akhbar minta Syamsul yang follow up berita tu? Bukankah itu tugas saya?” Terluah jua apa yang bermain di kepalanya ketika ini.

Akhbar terdiam. Wajah gadis kecil molek di hadapannya dipandang serba salah. “Suria, ini bukan kehendak saya. Ada orang minta awak ditukarkan dari membuat susulan kes ni.” Beritahu Akhbar terus-terang.

Suria tersentak.

“Arahan siapa Encik Akhbar?” Dia pantas bertanya. Siapa pula yang pandai-pandai menentukan apa yang boleh dan apa yang tak boleh dilakukannya?

“Suria, saya tahu ini berita awak. Awak yang mula-mula follow berita pembunuhan ni. Tapi saya ni makan gaji macam awak juga. Saya pun rasa baik awak lupakan sekejap fasal kes ni dan terus handle ‘Crime Scene’ macam biasa. Rating rancangan ni cukup tinggi setiap minggu.” Nasihat Akhbar.

“Encik Akhbar, kerja lapangan ni memang dah jadi minat saya sejak dulu. Saya cuma nak tahu reason kenapa saya dihentikan dari membuat liputan berita ni, dan siapa yang beri arahan. Itu saja!” Suria tetap berdegil.

Akhbar sudah mati kutu. Dia menghela nafas berat. Susah kalau lawan bercakap dengan orang yang keras hati ni, gumam Akhbar sendirian. Dia memandang Suria agak lama. Wajah gadis itu sudah mulai merah padam.

“Suria, ini keputusan Encik Nazrul. Dia yang minta awak digantikan.” Ujar Akhbar akhirnya. Suria terkejut besar. Nazrul yang mengarahkan semua ini? Dia memandang lelaki di hadapannya dengan wajah bingung. Sukar dia mahu percaya lelaki yang baru dua minggu menjadi ketuanya itu yang punya angkara.

* * * *

Masakan lauk sambal sotong dan ikan pari masak asam pedas yang dibeli oleh ayahnya, terasa pahit di tekaknya. Suria sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba sahaja selera makannya tumpul. Selalunya lauk-pauk beginilah yang membuahkan selera, apatah lagi dia dan ayahnya jarang ada masa untuk makan bersama.

Sedikit sebanyak, kelakuan Suria menarik perhatian Baharom. Selalunya kalau mereka berkumpul di meja makan, ada sahaja isu yang tidak pernah habis diceritakan oleh anak gadisnya. Namun kali ini, sikap Suria membuahkan risau di hatinya.

“Kerja Suria macamana?” Tanya Baharom memulakan perbualan.

“So far baik.” Jawab Suria acuh tak acuh. Matanya masih merenung makanan yang masih berbaki di pinggannya.

Baharom mengeluh. Anak gadisnya memang suka dengan kerja-kerja lasak. Asalnya sewaktu berjinak-jinak dengan dunia kewartawan, Suria menjadi jurugambar di stesyen televisyen KZM. Tapi setelah setahun bekerja, dia diterima menjadi wartawan sukan. Kini bila nama Suria sudah mula naik sebagai wartawan sukan yang berpotensi, anak gadis itu beralih pula ke berita jenayah. Bukannya dia tidak merestui kerja Suria selama ini, namun hati mana yang tidak bimbang bila anak gadisnya itu sering mengikuti operasi pihak polis membanteras jenayah. Sedikit sebanyak, dia risaukan keselamatan Suria meskipun dia tahu gadis itu pandai menjaga diri.

“Ayah, Suria nak tanya ayah sesuatu boleh?” Celah Suria seraya memandang ayahnya.

“Apa dia?’ Soal Baharom sambil menyuap makanan ke mulutnya.

“Selama ayah bekerja dengan pihak polis, ada tak kes kematian yang pelik-pelik yang ayah pernah jumpa?” Tanya Suria.

“Pelik? Pelik macamana tu? Kenapa Suria tanya? Ada apa-apa kaitan dengan kes gadis hilang tu?” Soal Baharom bertubi-tubi. Meskipun dia bukan lagi seorang polis, tapi dia cukup senang berbicara tentang apa saja bentuk kes dengan anak gadisnya.

Suria melepaskan keluhan panjang. Dia memandang Baharom dengan wajah gusar. “Suria ada berbual dengan Haqimi berhubung kes tu baru-baru ni ayah. Mayat yang polis jumpa tempohari, keadaannya teruk ayah. Sebahagian besar wajahnya langsung tak dapat dikenal pasti. Bahagian tubuh dan tengkuknya pula rabak seperti digigit binatang buas.”

“Teruskan.” Balas Baharom tenang.

Suria menghela nafas berat. Selepas dia mendengar cerita Haqimi, dia merasakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Izwan dari pengetahuannya. Selama ini dia hanya mencongak dan menganalisis kes itu berdasarkan pengalamannya sahaja.

“Menurut laporan koroner, kesan kecederaan pada tubuh dan tengkuk mangsa bukan disebabkan oleh binatang buas.” Ujar Suria perlahan.

“Kalau bukan, apa sebabnya?” Baharom semakin berminat ingin tahu.

“Pihak polis percaya, kematian mangsa disebabkan kecederaan pada lehernya yang menyebabkan kehilangan darah yang banyak. Ada dua lubang aneh di tengkuk mangsa yang menyerupai gigitan binatang buas, tapi pihak koroner gagal mengaitkan kecederaan itu dengan perbuatan binatang buas.”

“Mungkin ini kerja manusia, pembunuh gila kan banyak sekarang ni.” Sahut Baharom.

“Tapi peliknya ayah, mereka gagal perolehi sebarang DNA pembunuh tu. Kerja pembunuh ni kejam tapi bersih. Seolah-olah orang yang melakukannya sangat profesional. Menurut Haqimi sendiri, mungkin ini kerja kultus ajaran sesat. Tapi bagi Suria sendiri, kemungkinan besar ini kes psikopat ayah. Manusia normal takkan hisap darah orang yang dibunuhnya.” Suria melontarkan buah fikiran yang ada di kepalanya.

Wajah Baharom segera berubah. “Apa maksud Suria?”

“Suria pun susah nak percaya ayah, tapi cakap Suria ni betul. Kecederaan pada tengkuk mangsa itulah penyebab kepada kematian gadis itu. Darahnya dihirup sehingga kering. Kalau ayah tengok sendiri gambar mayat tu, memang menakutkan sangat. Matanya hampir tersembul keluar. Wajahnya pula hampir hancur.” Cerita Suria.

“Mana Suria tahu semua ni? Dulu Suria kata Suria tak sempat nak tengok sendiri mayat tu sebab van syarikat buat hal. Haqimi pun dah tak involve dalam siasatan ni kan?” Tanya Baharom. Wajah anak gadis itu ditatap hairan.

Suria terdiam. Dia memandang Baharom serba salah. “Sebenarnya minggu sudah ada orang hantar email gambar-gambar mayat tu pada Suria. Suria pun tak tahu siapa dia. Tapi gambar-gambar tu menunjukkan ianya diambil sebelum pihak polis sampai kat tempat kejadian. Sengaja Suria tak beritahu ayah sebab tak mahu ayah bimbang.” Ujarnya.

Baharom menarik nafas panjang. Wajah anak gadis itu ditatap dengan desahan kesal. “Mana gambar-gambar tu? Suria ada simpan?”

“Suria dah copy dan bagi pada Tuan Izwan. Yang asal ada dalam laptop Suria. Tuan Izwan akan ambil tindakan. Kemungkinan kalau betullah orang yang menghantar email itu adalah pembunuh, Suria harap dia dapat ditangkap secepat yang mungkin.” Keluh Suria.

Baharom terdiam. Wajah anak gadisnya ditatap lama.

“Kalau pihak polis dah ada klu untuk menangkap pembunuh tu, kenapa Suria nampak macam tak gembira aje.” Tegur Baharom. Suria termenung panjang. Wajahnya kembali muram.

“Entahlah ayah, susah nak cakap. Ayah masih ada kawan dekat ibupejabat kan?” Suria memandang lelaki itu. Baharom hanya mengangguk.

“Suria dengar kes ni ada campurtangan dari bahagian risikan.”

Wajah Baharom berubah. “Mana Suria tahu?”

“Haqimi yang beritahu.”

Baharom menarik nafas panjang. “Kalau macam tu, ayah tak mahu Suria masuk campur lagi dalam kes ni. Biarkan pihak polis aje yang jalankan siasatan. Kalau ada campurtangan dari pihak risikan, bermakna kes ni diambil berat oleh orang atasan. Kemungkinan besar kes ni bukan kes biasa yang kita fikirkan. Ayah tak mahu Suria masuk campur.” Putus Baharom.

“Tapi ayah…” Bantah Suria.

“Dengar cakap ayah Suria. Jangan ganggu siasatan pihak polis.” Pintas Baharom dengan nada keras. Suria terdiam. Sudah dua orang yang menghalangnya dari melibatkan diri dalam kes pembunuhan ini. Dulu Nazrul, dan kini ayahnya pula yang berkeras. Tapi semua ini takkan memudarkan semangatnya untuk mengetahui rahsia di sebalik kematian Masyitah. Takkan!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!