Followers

Thursday, November 14, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 5


KERETANYA dipandu ke petak parkir yang kebetulan baharu sahaja dikosongkan sebuah kenderaan lain. Sebaik memastikan keretanya dalam keadaan berkunci, dia segera bergegas menuju ke arah sebuah restoran makanan laut berdekatan.

Namun belum jauh dia menghayun langkah, telefon bimbitnya berdering. Dina Azura berhenti seketika sebelum menyeluk tas tangannya. Paparan skrin dipandang. Dahinya berkerut membaca SMS yang baharu diterimanya. Sejurus kemudian, sejuring senyuman terukir di bibirnya. Ada-ada saja Irman ni! Nak main squash pun hendak diberitahu! Keluh Dina Azura seraya menggelengkan kepalanya.

            Dia meneruskan langkahnya ke arah pintu masuk restoran. Dari jauh, matanya segera terpandang kelibat Nurlisa yang menantinya untuk makan bersama. Anak gadis itu ralit termenung di suatu sudut yag agak terpencil, sehinggakan kehadirannya langsung tidak disedari.

            Dina Azura tersengih lebar. Hmm.. apa yang dimenungkan oleh kawan baiknya itu agaknya? Perlahan-lahan dia menyelinap di belakang Nurlisa. Kedua-dua belah tangannya diangkat tinggi ke bahu gadis itu yang langsung tidak menyedari kehadirannya. Perlahan-lahan, kedua-dua tangannya turun, sebelum dia mula menepuk bahu itu agak kuat.

            Nurlisa terkejut bercampur panik. Pantas tangannya mengurut dadanya. Dina Azura melempiaskan tawa. Gelihati melihat reaksi temannya itu.

            “Ya ALLAH kenapa dengan kau ni Dina? Terkejut aku tahu tak, nasib tak ada lemah jantung.” Rungut Nurlisa.

            “Macam tu pun terkejut? Nampak sangat kau dah tua.” Gelak Dina Azura lalu segera mengambil tempat duduk di hadapan gadis itu.

            “Ni apasal lambat ni? Kau tahu dah berapa lama aku tercongok tunggu kau kat sini? Dah hampir sejam tau tak.” Nurlisa pura-pura merajuk.

            Sorry, aku baru balik dari pejabat tadi. Mandi, solat kemudian terus berkejar ke mari pulak. Tentulah ambil masa sikit. Bukan macam kau, balik kerja awal. Pukul 3 dah ada di rumah.” Balas Dina Azura cuba memujuk.

            “Ada aje alasan kau. Kalau macam ni, lebih baik kau datang ke rumah aku aje lepak-lepak. Tak payah aku nak menunggu kau punyalah lama macam ni. Naik segan aku dipandang dek orang ramai yang nak merebut tempat.” Celoteh Nurlisa.

            “Baiklah Cikgu Nurlisa, lain kali aku cuba datang awal. Janganlah marah-marah lagi. Nanti cepat tua baru tau.“ Usik Din Azura.

Nurlisa tidak dapat terus berlagak serius. Sikap Dina Azura yang jarang ambil serius dengan leterannya membuatkan marahnya percuma sahaja.

            Sambil makan, mereka rancak berbual-bual. Maklumlah alam perkerjaan tidak sama dengan alam belajar. Bila semua sudah bekerja, masa lapang juga berkurang. Seingat Dina Azura, sudah hampir sebulan dia tidak bersua muka dengan Nurlisa.

            “Aku sibuk dengan kursus baru-baru ni. Ingatkan nak contact kau sebelum ke tempat kursus, tapi kau tahulah kadangkala tak sempat. Lagipun Irman kata kau asyik  sibuk memanjang.” Ujar Nurlisa sambil menyuap makanan ke mulutnya.

            “Bukan kau tak tahu kerja aku, kena selalu jumpa klien. Entah bila agaknya sibuk ni nak habis,“ keluh Dina Azura.

            “Sibuk-sibuk jugak, tapi kesihatan diri tu kena diutamakan. Risau hati aku bila Irman beritahu kau tu kuat sangat bekerja. Umi dan baba aku pun risau.” Bidas Nurlisa seraya menjeling teman yang satu itu.

            Dina Azura hanya mampu tersenyum. Dia tahu Nurlisa sekeluarga tidak pernah berhenti mengambil berat perihal dirinya. Sentiasa ambil tahu semua perkara mengenainya. Jauh di sudut hati, dia benar-benar merasa senang diberi perhatian seperti itu. Sesuatu yang tak pernah diperolehinya dari ahli keluarganya sendiri. Seolah-olah dia sudah menjadi sebahagian dari keluarga kecil Nurlisa dan Irman.

            “Tak usahlah kau bimbang, aku suka dengan kerja aku ni. Umi dan baba kau sihat?”

            “Sihat. Mereka kirim salam pada kau.”

            “Waaalaikumussalam.” Jawab Dina Azura seraya meneguk minumannya yang masih berbaki.

Pandangan Nurlisa jatuh tepat ke wajah itu. Senyuman gadis itu tetap seperti dulu.  Meskipun manis, tapi pada masa yang sama menyimpan kelukaan.

            “Kenapa kau pandang aku macam tu?” Tanya Dina Azura apabila menyedari mata Nurlisa masih terpaku ke arahnya. Pandangan teman itu dibalas dengan kerut lebar.

            “Kenapa? Aku nampak cantik ke hari ni?” Dina Azura bertanya separuh bergurau. Nurlisa tersengih. Perasan minah ni!

            “Memang kau cantik dari dulu lagi, sebab tu abang aku tu tergila-gilakan kau separuh mati.” Balas Nurlisa selamba. Sengaja dia mahu mengenakan Dina Azura. Wajah gadis itu terus berubah. Nurlisa ketawa terbahak-bahak. Seperti biasa umpannya mengena. Dia tahu Dina Azura akan terdiam setiap kali dia menyebut tentang abangnya Irman.

            Kadangkala dia sengaja menjerat Dina Azura dengan pelbagai soalan. Dia ingin tahu sejauh mana perasaan Dina Azura terhadap Irman. Apatah lagi dia tahu hati abangnya terhadap gadis itu dari hari ke sehari semakin mekar. Malah ibubapanya sendiri pernah membayangkan hasrat untuk mempertemukan jodoh antara Dina Azura dan Irman. Hanya yang jadi masalah ialah teman baiknya itu. Bila diajukan pertanyaan tentang Irman, gadis itu lebih senang mengambil sikap berdiam diri.

            “Lisa, aku harap kau faham. Antara aku dan Irman hanya kawan biasa.” Dina Azura cuba menjelaskan. Dia benar-benar berharap Nurlisa tidak salah faham terhadapnya.

            “Kawan memanglah kawan, tapi tentu kau boleh bagi peluang pada Irman kan?” Wajah Nurlisa bagaikan berharap.

             Dina Azura melepaskan keluhan berat. Tak mungkin dia dapat memenuhi permintaan Nurlisa itu, jika dia tidak pernah menyintai Irman.

“Lisa, please jangan cakap fasal hal ni lagi. Malam ni aku cuma nak jumpa dengan kau dan berbual-bual. Itu sahaja.” Pintanya dalam keresahan yang tidak berpenghujung. Soal yang Nurlisa bangkitkan ini benar-benar membuatkan dia serba-salah.

            “Aku faham. Tapi aku benar-benar berharap kau akan pertimbangkan soal Irman. Aku tahu Irman terlalu sayangkan kau.” Rayu Nurlisa.

            Dina Azura memandang Nurlisa dengan wajah serius. Terasa serba-salah dia berhadapan dengan Nurlisa malam ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa Nurlisa terlalu beria-ia mahukan dia menerima Irman.

            Kau tahu Irman nak sambung belajar?” Soal Nurlisa tiba-tiba.

            “Sambung belajar? Bila?” Dina Azura terkejut. Sejak bila Irman bercadang begitu?

            “Bulan depan, kalau tak ada aral melintang. Dia beritahu aku, kalau kau sudi terima dia, dia akan bawa kau sekali ke Birkbeck.” Wajah Nurlisa kelihatan serius.

            Dina terkedu. Entah kenapa dia rasa keliru. Kenapa tiba-tiba saja Irman buat keputusan begini? Kenapa tidak ada sepatah pun kata dari mulut Irman memberitahunya tentang perkara ini? Bukankah mereka baharu sahaja bertemu kelmarin? Kenapa lelaki itu mahu merahsiakan hal sebesar ini dari pengetahuannya.

            “Itu sebabnya aku minta kau pertimbangkan hal ini Dina. Aku bukan nak paksa kau terima Irman dalam hidup kau. Aku cuma tak mahu Irman pergi dengan perasaan kecewa.“ Ujar Nurlisa dengan wajah muram

            Dina Azura terdiam. Kalaulah ia semudah itu, sudah lama dia memujuk hatinya untuk belajar mencintai Irman. Tapi itu semua tak mungkin berlaku selagi di hatinya terpendam suatu wajah. Seluruh jiwanya hanya ada wajah itu yang sentiasa bermain di fikirannya saban waktu.

Dina mengigit bawah bibir. Hampir tidak percaya dia akan mengungkit semula perasaan yang tumbuh subur di hatinya. Perasaan yang ingin dihapuskan dari pelusuk jiwa, malangnya dia tidak mampu. Ya ALLAH! Ampunkan aku. Aku tahu aku berdosa kerana memiliki perasaan seperti ini! Aku tak sepatutnya merasai cinta ini ya ALLAH! Tidak untuk dia! Bukan untuk dia!


*  *  *  *

WAJAH muramnya yang dibawa balik semasa pertemuannya dengan Nurlisa disambung di biliknya semula. Dia sebenarnya masih enggan percaya kata-kata Nurlisa itu. Mungkin Nurlisa sengaja mengada-adakan cerita untuk memujuknya menerima Irman, fikir Dina Azura untuk menyedapkan hati sendiri. Tapi apa gunanya Nurlisa berbohong? Apa faedahnya? Fikirannya bercanda begitu pula.

            “Irman terlalu menaruh harapan pada kau Dina. Kadang-kadang aku sebagai adiknya pun takut kalau harapannya terlalu besar dan akhirnya dia akan kecewa. Tapi aku tak salahkan kau. Aku tahu cinta tak boleh dipaksa.” Keluh Nurlisa suatu ketika dahulu sewaktu mula-mula gadis itu mencanangkan isi hati abangnya.

            Ketika itu dia hanya berdiam diri. Apa yang harus dikatakannya dalam keadaan seperti itu? Kata-kata Nurlisa ditelan tidak sepenuh hati. Sebetulnya dia tidak pernah merencanakan semua ini.

            “Tak bolehkah kau beri Irman peluang?” Rayuan Nurlisa singgah lagi.

Dia menarik nafas panjang. Maafkan aku Lisa! Aku benar-benar tidak mampu!

            Lamunan Dina tiba-tiba diganggu bunyi deringan telefon. Dia segera mengangkatnya. Mendengar suara Irman di hujung talian, hatinya semakin gundah gulana. Panggilan Irman cukup ringkas. Lelaki itu memintanya datang menjemputnya di Kelab Squash petang itu.

            “Mana kereta Man?”

            “Rosak.” Ringkas jawapan Irman.

            Mahu tak mahu Dina Azura bingkas bangun semula lalu bergegas menuruni anak tangga.Kunci keretanya yang diletak di atas almari berdekatan televisyen segera dicapai.

            “Dina mau ke mana? Pulangnya baru sebentar, kok lagian mau keluar?” Tegur Bibik yang sedang menyiram bunga-bunga di laman rumah.

Dina Azura berpaling ke arah Bibik.

            “Dina nak ambil Irman kat Kelab Squash. Kejap lagi Dina balik.” Ujarnya lalu bergegas memandu keretanya keluar dari parkir garaj.

Bibik hanya mampu menggelengkan kepala. Tumpang berkeluh-kesah dengan rutin hidup anak gadis itu yang ternyata sibuk dari hari ke sehari.

*  *  *  *

KETIKA dia sampai ke Kelab Squash itu, kelibat Irman masih belum kelihatan. Dina Azura segera melangkah ke arah kafeteria yang terletak di kelab tersebut. Irman sempat menitip pesan menyuruh dia menunggu sebentar di kafeteria tersebut.

            Sebaik dia melangkah masuk, kelibat seorang wanita sedang duduk-duduk di situ segera menarik perhatiannya. Matanya mengecil memandang wanita itu. Hanya sebaik dia teringatkan sesuatu, barulah dia menarik nafas panjang. Matanya kembali tertumpu pada wanita yang duduk di suatu sudut agak terpencil di kafeteria tersebut. Dia sudah mengecam wanita itu. Langkahnya segera diatur menuju ke arah wanita itu dengan niat mahu menyapa.

“Puan Alma?” Tegur Dina Azura.

            Wanita itu perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Memandang wajah ayu bersalut mekap tipis yang sedang tersenyum di hadapannya, wajah Alma Katherine berkerut. Dia cuba mengingatkan wajah gadis itu sedaya-upayanya.

            “Cik Dina bukan? Apa you buat kat sini?” Alma Katherine kelihatan hairan. Dia menjenguk di belakang Dina, memerhatikan kalau-kalau kehadiran gadis itu berteman. Namun dia tidak nampak sesiapa pun berdekatan gadis itu.

            Saya nak jemput kawan. Puan Alma pula buat apa kat sini?” Soal Dina Azura ingin tahu.

            Saya baru selesai main squash. Saja berhenti rehat sambil minum kat sini. Why not you join me?” Usul wanita itu.

            Dina Azura memandang ke arah pintu kafeteria yang terdedah. Wajah Irman masih tidak kelihatan. Dia menoleh ke arah Alma Katherine yang sedang tersenyum memandangnya. Melihat wanita itu bagaikan berharap, dia tidak sampai hati pula hendak menolak pelawaan tersebut. Kerusi di hadapan wanita itu segera ditarik sebelum dia duduk di hadapan wanita itu.

            “You main squash ke Dina?” Tanya Alma Katherine.

            Main juga, tapi tak selalu. Hari ni saya jemput kawan kat sini.” Ujar Dina Azura, berterus-terang.

            “Kawan lelaki?” Alma Katherine meneka sambil tersenyum. Pada fikirannya tak mungkin gadis seayu Dina Azura tidak memiliki teman istimewa. Siapa agaknya lelaki bertuah yang berjaya mendampingi gadis itu?

            Dina Azura hanya mampu tersenyum mendengar celoteh Alma Katherine. Namun dia tidak pula cuba menjawab tekaan itu.

            “Puan Alma selalu main squash kat sini?” Dina Azura sengaja bertanya kerana mahu mengalihkan tumpuan wanita itu dari bercakap perihalnya.

            “Kerap juga. Dulu saya dan arwah suami selalu main squash sama-sama semasa kami di luar negara. Sekarang bila dia dah tak ada, hobi ni susah saya nak tinggalkan.” Ujar Alma Katherine tenang.

            Dina Azura terdiam. Dia merasa serba-salah kerana membangkitkan pertanyaan itu. Mungkin pertanyaannya itu menyedihkan Alma Katherine dan membuatkan wanita itu terkenangkan arwah suaminya.

            “Maafkan saya puan.” Ujar Dina Azura kesal.

Alma Katherine berpaling ke arah gadis itu. Ungkapan maaf yang meniti dari bibir gadis di hadapannya itu membuatkan dia hairan.

            “Maaf? Untuk apa?”

            “Kerana pertanyaan saya mungkin mengingatkan puan pada arwah suami puan.” Jawab Dina Azura serba-salah.

Mendengar kata-kata gadis itu, Alma Katherine tergelak besar. Begitu rupanya!

            Dina…Dina…saya ingatkan apalah tadi. Mana Dina tahu fasal suami saya? Dari Halim?” Tanya Alma Katherine.

            Dina Azura segera mengangguk.

            Alma Katherine tersenyum kecil. Lucu melihat wajah Dina Azura penuh dengan kekesalan. Sepasang matanya asyik menatap wajah gadis di hadapannya. Entah kenapa, hatinya sejuk memandang gadis itu. Wajah Dina Azura sedap dipandang dan sesekali mengingatkan dia pada....

            Ah! Kenapa dia mahu membangkitkan kisah lama? Bukankah dia sudah berjanji untuk tidak lagi mengenang semua sejarah pahitnya yang lalu?

            “Sebenarnya saya tak kisah kalau berbicara tentang suami saya. Sekurang-kurangnya ingatan saya terhadapnya akan sentiasa menemani saya sampai bila-bila pun. Saya terlalu menyayangi dia, Dina.” Ujar Alma Katherine perlahan.

            Sebab itu puan masih menetap di sini? Kerana cinta puan pada suami puan?” Soal  Dina Azura. Sedikit terharu dengan kesetiaan wanita itu terhadap arwah suaminya.

            “Dina, cinta saya pada suami adalah sebab utama kenapa saya turut menyintai negara ini, menyintai keluarganya serta menerima semua kekurangan yang ada pada dirinya. Meskipun saya lahir dan membesar di luar negara, tapi Malaysia adalah tempat lahir suami saya.” Bisik Alma Katherine.

            Dina Azura terkedu seketika mendengar ucapan wanita bermata coklat itu. Bukan sahaja kerana wanita berdarah campuran itu amat fasih menyebut patah-patah ayat yang indah, tetapi juga kerana keluhuran cinta wanita itu terhadap suaminya Bukan semua wanita yang dibesarkan di negara asing serta bersuamikan rakyat Malaysia, akan cinta pada tanah kelahiran suaminya.

            “Puan ada anak?” Soal Dina Azura ingin tahu.

            Alma Katherine terkedu mendengar pertanyaan Dina Azura. Anak? Sudah lama dia lupakan perkataan itu. Kini Dina Azura menyebut kembali satu-satunya perkara yang ingin dilupakan dalam kamus hidupnya.

            “Maaf kalau saya banyak bertanya,” Dina Azura menyumpah diri sendiri. Terasa dirinya begitu bodoh kerana lancang berkata yang bukan-bukan. Riak keruh di wajah wanita itu mengundang kekesalan dalam dirinya.

            Tak apa. Dina tak salah apa-apa. Hanya saya yang masih tak dapat menerima kenyataan ini sehingga sekarang.” Ujar Alma Katherine muram.

Dina Azura tercengang mendengar kata-kata wanita itu. Entah mengapa, tutur kata wanita itu bagaikan menyembunyikan sesuatu rahsia.

            “Anak saya dah tak ada lagi Dina.” Suara Alma Katherine bernada sayu.

Dina Azura tergaman. Tak ada? Apa maksud wanita itu? Sudah meninggalkah? Namun Alma Katherine seolah-olah tidak berminat mahu melanjutkan kata-katanya lagi. Dina Azura juga sudah tidak sanggup membuka mulutnya lagi, risau jika tanpa disedari dia semakin banyak menyakiti hati Alma Katherine.

*  *  *  *

“SIAPA perempuan tu?” Tanya Irman ketika berjalan beriringan dengan Dina Azura ke tempat letak kereta. Sebelah tangannya membimbit beg berisi raket.

            “Siapa?” Dina Azura acuh tak acuh menjawab.

            “Perempuan yang bercakap dengan Dina tadi. Wanita yang macam mat salleh tu,” ujar Irman seraya menatap Dina Azura yang sudah membuka pintu keretanya. Irman turut membuka pintu kereta lalu melangkah masuk. Hari ini dia terpaksa meminta tolong Dina Azura menjemputnya kerana keretanya rosak dan baharu sahaja dihantar ke bengkel.

            “Tadi tu klien syarikat Dina. Kebetulan terjumpa dia masa Dina tunggu Man.” Jawab Dina Azura lalu menghidupkan enjin kereta. Namun sebelum sempat keretanya mahu diundur keluar dari petak parkir, sebuah kereta tiba-tiba melintas laju di belakangnya.

Dina Azura menekan brek sekuat hati. Mukanya pucat lesi. Irman yang hampir tersembam ke hadapan, turut terkejut. Dia memandang Dina Azura yang tergaman sambil meramas stereng keretanya sekuat-kuatnya.

            “Dina tak apa-apa?” Soal Irman, benar-benar bimbang.

            Dina Azura menggelengkan kepalanya. Namun tubuhnya jelas mengigil.

            Siapa agaknya yang bawa kereta macam pelesit tu? Takkan tak tahu ini tempat parkir bukan tempat berlumba,” rungut Irman seraya menjenguk ke arah kereta Toyota Sorana berwarna silver metalik yang mengambil tempat parkir tidak jauh dari situ. Dina Azura turut memanjangkan tengkuknya. Dia juga merasa geram kerana keretanya dipintas dengan cara yang agak berbahaya. Mujur dia belum sempat mengundur. Jika tidak sudah pasti ketiga-tiga mereka pasti ada yang bermalam di hospital agaknya!

Seorang lelaki keluar dari kereta itu agak tergesa-gesa. Dina Azura mengetap bibirnya. Bulat matanya memerhatikan tingkah laku lelaki itu. Geram! Apabila lelaki itu berpaling, serta-mertanya dadanya bergolak kencang. Lidahnya seakan kelu! Ya ALLAH! Tak mungkin dia!

“Dina nak Man jumpa lelaki tu? Orang macam dia kena diajar sikit,” ujar Irman masih bengang dengan apa yang baharu sahaja berlaku.

“Tak payah Man, kita balik saja.” Balas Dina Azura, gugup. Dia cepat-cepat menukar gear kereta, lalu terus memecut keluar dari kawasan tempat letak kereta itu. Irman tidak berkata apa-apa, namun wajahnya berkerut sedikit. Kenapa Dina Azura kelihatan pucat benar? Apakah gadis itu tercedera?

 

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!