Followers

Monday, May 24, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 9

SELEPAS solat Maghrib di masjid universiti, Adam sudah menunggu di dalam keretanya di perkarangan kolej. Dia keluar dari rumahnya seawal petang tadi. Sengaja dia bercadang singgah untuk solat di kawasan universiti supaya tidak terlewat.

Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Masih awal sebenarnya. Dia tidak pula berhasrat untuk menelefon Aliya kerana tidak mahu gadis itu tergesa-gesa.

Beberapa minit kemudian dia melihat gadis itu keluar dari kawasan asrama. Mata gadis itu seakan-akan mencarinya. Adam tersenyum lantas memantulkan lampu keretanya ke arah Aliya. Gadis itu kelihatan terkejut, tapi perlahan-lahan menghampiri keretanya lalu menjenguk ke arah cermin kereta yang separuh terbuka.

“Encik Adam dah lama tunggu?”

“Baru aje, Aliya dah makan?” Tanya Adam pula.

“Sudah. Tengahari tadi.” Balas Aliya sambil tersenyum simpul.

Adam tergelak mendengarnya. Dalam diam-diam, dia mengerling ke arah Aliya yang nampak ayu berbaju kurung warna hijau pucuk pisang, sepadan pula dengan dia yang memakai t-shirt warna yang sama. Macam berjanji pula. Rambut gadis itu yang panjang mengurai disisir rapi dan dihiasi klip rambut bercorak bunga kecil. Semakin comel bila dipandang lama-lama. Entah kenapa hati kecil Adam berbisik begitu.

“Aliya masih ingat saya kan? Maksud saya pertemuan kita tempohari. Kalau Syazana ingat, Aliya tentu ingat.” Soal Adam ketika mereka sudah di dalam perut kereta di jalan raya.

Aliya sekadar tersenyum. Dia tahu lambat laun, lelaki itu pasti akan menyebut tentang pertemuan mereka beberapa hari yang lalu di pusat beli belah.

“Kenapa tak jawab soalan saya? Aliya tak ingat langsung?”

“Saya ingat.” Balas Aliya ringkas. Pandangannya dilontar ke luar tingkap, menghayati keindahan malam yang dicerahi lampu jalan.

“Hari tu Aliya nampak macam tak sukakan saya aje. Boleh saya tahu kenapa?” Soal Adam lagi. Wajah gadis itu dikerling sepintas lalu.

Mendengar pertanyaan yang agak berterus-terang itu Aliya jadi serba-salah. Entah apa patut dikatakannya pada lelaki itu. “Err..mungkin sebab saya belum kenal Encik Adam waktu itu.”

Dia beralasan. Ah! Belasah ajelah! Janji ada alasan.

“Maksudnya, Aliya layan semua lelaki yang tak dikenali begitu?” Teka Adam.

Kali ini Aliya terkedu lagi dengan persepsi lelaki itu.

“Saya minta maaf kalau Encik Adam tersinggung. Saya tak bermaksud begitu.” Ujar Aliya dengan rasa bersalah. Harap-harap lelaki itu tidak tersinggung dengan sikapnya tempohari.

“Kenapa harus minta maaf? Aliya tak salah apa-apa. Mungkin masa tu Aliya mesti ingat saya ni jenis lelaki miang kan?” Gurau Adam. Tergelak besar dia ketika menyebutnya. Aliya tersenyum simpul. Terasa lucu kerana kata-kata lelaki itu benar-benar seperti yang terpeta di fikirannya tempohari.

Perjalanan hampir satu jam itu bagai tidak terasa apabila berbual-bual dengan lelaki itu. Lelaki itu banyak bertanya soal pelajarannya dan aktiviti-aktiviti yang disertainya di kolej. Sedikit sebanyak dia dapat bertenang dan menjawab pertanyaan pensyarah baru itu tanpa kekok.

Sampainya mereka di KLIA, mereka terus mencari kelibat Doktor Aidit. Tidak susah mahu mencari Doktor Aidit di celah-celah orang ramai yang berpusu-pusu di situ. Ini kerana dari jauh lagi, lelaki itu sudah melambai-lambaikan tangannya apabila melihat kelibat kedua-duanya.

“Cepat kau sampai?” Tegur Doktor Aidit.

“Aku bawa kereta laju, cepatlah sampai.” Jawab Adam selamba.

“Siapa suruh bawa laju-laju, tak sayang nyawa? Kau tu bujang lagi, Aliya pulak dara sunti.”Usik Doktor Aidit agak nakal. Tergelak temannya itu diusik begitu. Aliya pula seperti biasa hanya mampu tersenyum.

“Cantik Aliya malam ni. Dah berjanji ke dengan Encik Adam awak ni nak pakai baju sedondon?” Doktor Aidit tersengih.

Aliya memandang ke arah Adam. Baru dia perasan warna baju lelaki itu sama dengan warna baju kurungnya. Alamak!

“Sudahlah, jangan usik dia lagi. Malulah dia.” Adam bersuara cuba menghentikan gurauan Doktor Aidit. Pensyarah berkumis nipis itu terkeheh-keheh ketawa.

“Eh mana Syazana? Kata nak datang.” Lelaki itu seakan baru tersedar Syazana tidak ada bersama Aliya.

“Syazana tak dapat datang. Dia ada meeting Projek Baktisiswa. Tapi dia kirim salam pada doktor dan kirim hadiah juga.” Beg kertas biru yang dipegangnya sedari tadi, dihulurkan pada lelaki itu.

“Wow ada hadiah pulak. Cakap kat kawan awak tu, terima kasih daun keladi, lain kali bagi banyak-banyak lagi. Saya tak ada, harap awak berdua belajar rajin-rajin tau. Kalau tak faham tanya Encik Adam, banyak benda dia tahu. Kalau Aliya nak tahu, Encik Adam ni student terbaik masa kami sama-sama menuntut di luar negara dulu. Masa tu tak ramai anak melayu yang cemerlang yang dapat menandingi pelajar-pelajar dari luar.” Canda Doktor Aidit.

“Jangan percaya dia. Dia suka membesar-besarkan cerita.” Bisik Adam sewaktu gadis itu memandangnya.

“Apa pulak besar-besarkan cerita, kau tu aje yang suka merendahkan diri. Kalau tak kerana sibuk uruskan bisnes, dah lama kau dapat gelaran doktor falsafah macam aku tau.” Balas Doktor Aidit.

Adam tersengih. Kata-kata sahabatnya itu diakui ada benarnya.

“Yalah Doktor Aidit, aku harap semuanya berjalan lancar di sana.. Mungkin ini petanda naik pangkat.” Usik Adam pula. Doktor Aidit ketawa besar.

“Alhamdulillah kalau ya, hope so. Okeylah aku nak masuk dulu,” Doktor Aidit minta diri.

“Selamat jalan doktor,” Aliya mengucap selamat tinggal. Rasa sedih pula kerana akan berpisah dengan pensyarahnya yang ceria itu.

“Selamat tinggal Aliya, kita jumpa semester depan. Adam, tolong jaga pelajar kesayangan aku ni baik-baik. Hantar balik ke kampus dengan selamat. Kereta jangan bawa laju-laju.” Pesan lelaki itu separuh bergurau. Adam tergelak besar mendengarnya.

“Selamat jalan Dit.”

Doktor Aidit dihantar sehingga ke hadapan pintu balai berlepas. Apabila kelibat lelaki itu hilang dari pandangan, Adam segera menoleh ke arah Aliya di sampingnya. Kelihatan mata anak gadis itu masih memandang ke arah pintu utama Departure Hall. Dia tersenyum lebar. Ralit memandang wajah gadis itu yang kelihatan polos.

“Lapar? Kita pergi makan dulu?” Tegur Adam.

Aliya menoleh.“Hmm tak payahlah Encik Adam, saya tak lapar.”

“Aliya tak lapar ke atau malu nak makan dengan saya? Maklumlah makan bertemankan lelaki tua macam saya ni.” Ujar Adam. Nada suaranya berbaur lelucon.

“Bukan macam tu, cuma saya ada banyak assingment nak kena siapkan malam ni.” Aliya tergelak menampakkan sederetan barisan gigih yang putih tersusun. Buat beberapa ketika, Adam terpaku memandang gadis itu. Manisnya senyuman Aliya telah menangkap sepasang matanya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!