Followers

Thursday, May 7, 2020

Beautiful Lie (bab 6)


MATANYA ralit menjamah rumah di hadapannya. Sudah hampir satu jam lamanya dia menanti di luar. Sesekali muncul bunyi ketawa dan hilaian dari dalam rumah itu. Rumah teres itu kecil sahaja. Rumah kos rendah yang sudah buruk sana sini, tapi anehnya, bunyi ketawa dari penghuni rumah itu kelihatan bahagia benar, malah lebih bahagia darinya yang selama ini hidup dalam rumah besar yang mewah.
                Hati Mirza diulit sayu. Dia merenung kotak kecil di tangannya yang sudah siap berbungkus cantik. Bersusah-payah dia menyiapkan hadiah itu, tapi kini dia terasa mahu beredar sahaja. Entah kenapa dia tidak sanggup mahu berhadapan dengan wanita itu lagi. Ketawa isi rumah di hadapannya itu seperti merobek-robek hatinya.
                Drew, aku ada kat depan rumah mama sekarang.
                Kenapa kau pergi sana? Kau kan tahu papa tak suka.
                Aku cuma nak tengok dia.
                Dia dah bahagia dengan suami dan anak-anak dia. Dia takkan ingat kita lagi.
                Kau tahu kan hari ni harijadi dia?
                Ya aku tahu.
                Should I  wish her?
                Jangan cari fasal Mirza. Balik rumah sekarang.
                Mirza menarik nafas panjang. Baik ayahnya mahu pun Drew takkan mengerti apa yang dirasainya. Kerinduan yang selama ini menghuni pelusuk hatinya.
                Ketika wanita itu meninggalkannya, usianya baru 8 tahun dan Drew pula 12 tahun. Dia tidak tahu apa puncanya ibunya meninggalkan mereka semua. Selama ini dia tidak pernah melihat adanya pergaduhan antara wanita itu dengan ayahnya. Selama ini ibunya sering tersenyum. Malah sentiasa ketawa ketika mereka bersama. Kerana itu dia langsung tidak mengerti kenapa wanita yang sering memeluk dan menidurkannya akan bertindak seperti ini.
                Tidak lama selepas ibunya bercerai dengan ayahnya, wanita itu berkahwin dengan duda beranak tiga. Lelaki itu bukan lelaki kaya raya seperti ayahnya, tapi hanya seorang mekanik yang mempunyai sebuah bengkel kecil. Dia langsung tidak mampu mempercayai ibunya meninggalkan kehidupan mewah semata-mata untuk hidup bersama seorang lelaki miskin yang tak punya apa-apa. Dia memang tidak faham langsung dengan tindakan ibunya.
                “Mirza?” Muncul suatu suara dari arah belakangnya.
                Dia tergaman. Salahnya! Dia sepatutnya pergi sahaja dan tidak menunggu lebih lama di situ.
                “Mirza kan?” Suara itu muncul lagi.
                Hatinya seperti dilapah-lapah mendengar panggilan wanita itu. Bibirnya diketap rapat. Mahu tak mahu dia terpaksa berpaling.
                Wajah itu kelihatan gembira melihatnya. Tanpa sebarang amaran, wanita itu meluru lalu memeluknya sekuat hati.
                “Masya ALLAH, anak mama rupanya. Mirza apa khabar? Drew macamana?” Suara ibunya muncul bertalu-talu. Dia hanya membisu seribu bahasa. Tidak tahu apakah yang harus dikatakannya.
                Sebaik rangkulan ibunya terlerai, matanya memandang wajah manis di hadapannya. Baju kurung ibunya kelihatan lusuh benar, berbeza sekali dengan imej ibunya sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu ibunya nampak elegan dengan pakaian-pakaian mahal dan barang-barang kemas yang menutupi tubuh  wanita itu. Tapi kini, ibunya seperti surirumah yang bekerja di dapur sepanjang hari. Yang tidak berubah hanyalah wajah manis yang tetap ceria memandangnya. Dia memang tidak pernah mampu membenci wanita itu.
                “Mari kita masuk dalam sayang.” Pelawa ibunya.
                Dia cepat-cepat menggelengkan kepalanya.
                “Err..tak boleh mama. Mirza tak boleh lama kat sini. Mirza datang cuma nak serahkan ini.” Ujarnya lalu menghulurkan kotak yang dipegangnya sebentar tadi.
                Iliya memandang kotak kecil yang sudah berganti tangan. Sejurus dia mengalihkan pandangan ke arah Mirza. Redup sepasang matanya kini mendarat ke wajah si anak yang sudah lama tak ditemuinya. Mirza semakin segak, tak ubah seperti penampilan bekas suaminya Fahrin yang sentiasa kemas bergaya.
                “Apa yang Mirza kasi pada mama ni?” Tanya Iliya tersenyum.
                “Selamat hari jadi mama.” Bisik Mirza serba-salah.
                Iliya terdiam. Apakah Mirza datang sekadar untuk menyerahkan hadiah hari ulangtahun kelahirannya?
                “Terima kasih. Mama tak tahu yang Mirza masih ingat harijadi mama. Betul Mirza tak nak masuk? Mirza tak nak jumpa abah dan adik-adik dulu?” Tanya Iliya.
                Mirza tersenyum sinis. Abah? Adik-adik? Hendak tergelak rasanya dia mendengar wanita itu bertanya begitu. Sejak bila pula dia berbaik-baik dengan lelaki yang telah merampas ibunya jauh dari sisinya?
                “Kat dalam ada makanan. Abah belikan kek harijadi untuk mama. Tadi mama sempat masak nasi ayam. Mirza kan suka makan nasi ayam masakan mama.” Iliya cuba memujuk.
                “Mama benar-benar bahagia ke?” Soalnya tanpa mempedulikan pelawaan wanita itu. Hatinya tiba-tiba terasa jengkel dengan kata-kata ibunya.
                Iliya terdiam. Dia tahu Mirza masih belum mampu menerima perkahwinannya dengan Asfan, lelaki yang membuka bengkel kecil-kecilan berdekatan rumah mereka.
                “Ya Mirza, mama bahagia.” Ujar Iliya tenang.
                “Lebih bahagia dari masa mama tinggal dengan kami?” Nada suara Mirza sinis.
                Iliya cepat-cepat menggeleng.
                “Bukan itu maksud mama sayang. Dulu mama juga bahagia sebab ada Mirza dan abang Drew kamu. Mama sayangkan kamu berdua. Tapi mama dah tak mampu hidup dengan papa kamu.”
                “Apa yang dia ada yang papa tak ada? Apa yang hebat sangat dengan rumah buruk ni berbanding dengan rumah besar yang mama tinggalkan tu?” Suaranya meninggi tanpa disedari.
                “Mirza tak faham.”
                “Ya, memang Mirza tak faham. Mirza tak faham kenapa mama pilih hidup miskin dengan duda anak tiga berbanding tinggal dengan anak-anak kandung mama sendiri. Kenapa mereka lebih penting sedangkan Mirza tidak? How could you.” Getus Mirza berang. Dia sudah tidak mampu berada di situ lebih lama lagi. Kakinya terus dihela ke arah motorsikalnya yang terparkir di bawah pohon rendang di seberang jalan.
                Iliya hanya mampu memerhatikan anak muda itu berlalu dengan wajah sedih. Dia memahami hati Mirza sedang retak. Melihat motorsikal yang Mirza tunggangi menderum laju meninggalkan perkarangan rumahnya, airmatanya gagal ditahan lalu menitis jua di cerun pipi.
                “Sayang?” Suatu suara muncul di belakangnya.
                Iliya cepat-cepat mengesat airmata di pelupuk pipinya. Entah sejak bila, suaminya Asfan sudah berada di sampingnya. Anak mata lelaki itu sedang mengekori motorsikal yang semakin hilang kelibatnya.
                “Mirza?” Tanya Asfan.
                Iliya hanya mengangguk.
                “Kenapa tak diajak masuk?”
                Iliya hanya tersenyum. Tak mungkin Mirza sudi menjejak kaki ke rumah mereka. Anak muda itu tidak pernah habis marah dengannya.
                “Dia singgah sekejap aje. Dia bagi saya hadiah ni.” Ujar Iliya.
                “Hadiah? Hadiah apa?” Asfan memandang kotak hadiah di tangan isterinya.
                Iliya tidak menjawab. Dia segera merungkai pembalut hadiah lalu membuka kotak tersebut. Isinya dijengah. Melihat apa yang Mirza berikan, wajah Iliya berubah.
                “Amboi cantiknya kulit siput  ni. Anak awak tu memang pandai pilih hadiah. Awak kan suka kumpul kulit siput macam ni.” Asfan tersenyum. Kulit siput di tangan Iliya yang bertampal-tampal dengan cengkerang berwarna warni dibelek-beleknya. Kagum melihat kehalusan buatan tangan pembuatnya.
                Tapi melihat Iliya diam sahaja, Asfan mengerutkan dahinya. Wajah isterinya kelihatan sedih. Dia tercengang-cengang. Kenapa dengan Iliya? Tidakkah wanita itu suka dengan hadiah pemberian Mirza itu?
*  *  *  *
KOTAK hadiah pemberian Mirza diletakkan di atas meja soleknya. Dia duduk di situ dengan wajah sayu. Merenung lama pada kulit siput di dalam kotak yang dihias cantik. Mirza semakin pandai melakukannya.
Dahulu dia yang mengajar Mirza menampal cengkerang siput itu dengan kulit-kulit kerang, kepah dan batu-batu pasir yang diwarnakan dengan dried-colour. Setiap hari itulah kerjanya. Dan ketika itu hanya Mirza yang mahu menemaninya melakukannya walhal Drew lebih suka melakukan aktiviti-aktiviti lasak bersama-sama temannya.
                Dia dan Mirza memang rapat ketika itu. Seperti isi dan kuku. Ketika hatinya terdera dengan sikap Fahrin yang suka berpoya-poya, hanya ada Mirza untuknya. Dan di antara ramai orang, dia paling mengharapkan Mirza mengerti rasional tindakannya selama ini. Kenapa dia meninggalkan rumah itu. Kenapa dia meninggalkan dua orang anak yang sangat memerlukannya.
                Memang dia membenci sikap Fahrin yang kaki perempuan. Selama ini dia hanya bersabar apabila lelaki itu asyik berkepit dengan ramai perempuan silih berganti. Dia buat-buat tidak tahu bila ada antara teman-temannya menyebut pernah terserempak Fahrin dengan perempuan lain. Apa yang dilakukannya hanyalah bersabar. Tapi sampai bila? Kesabaran juga ada hadnya. Diam juga ada batasnya.
                Di saat-saat dia menghadapi kemelut rumahtangga, Asfan muncul dalam hidupnya. Lelaki itu jauh berbeza dari Fahrin. Malah seperti langit dan bumi. Jika Fahrin dilahirkan dalam dulang emas, Asfan pula anak nelayan di kampung. Fahrin CEO di syarikatnya, manakala Asfan lah ketua dan dia jugalah kuli batak di bengkelnya. Fahrin sentiasa bergaya dengan sut Armani dan Versace manakala Asfan lebih senang berkemeja lusuh dan buruk baik di bengkel mahupun di rumah.
Beza di antara mereka hanya satu. Jika Fahrin hanya menyayangi dirinya sendiri, Asfan pula menyayanginya sepenuh hati. Dan itulah yang menambat hatinya pada lelaki itu. Bersama Asfan dia bahagia sekali, sedangkan bersama Fahrin, dia hanya hiasan di dalam istana emas yang Fahrin bina untuknya.
“Ya Mirza, mama memang bahagia di sini. Tanpa rumah mewah, pakaian cantik atau barang kemas, semuanya berbaloi.” Bisik Iliya, sebagai jawapan yang pernah Mirza tanyakan padanya sebentar tadi.
“Tapi apapun yang mama lakukan, mama tak pernah lupakan kamu dua beradik. Mama sayangkan kamu berdua.” Sebak hati Iliya cuba menahan kesedihan yang bertapak di penjuru hati.
“Kamu boleh pergi ke mana sahaja kamu mahu dengan jantan tu Lia, tapi kamu kena tinggalkan hidup Drew dan Mirza.”
“Tapi ayah, Drew dan Mirza anak Lia. Lia yang lahirkan mereka.”
“Anak? Ibu semacam apa kamu ini yang sanggup tinggalkan suami demi lelaki lain? Kamu lebih suka memilih kaca dari permata. Aku takkan benarkan cucu-cucu aku ikut kamu merempat di luar sana. Mereka pewaris harta-harta aku. Mereka hak aku.”
Begitu gah Tuan Besar mengaku anak-anak yang dilahirkan dari rahimnya adalah haknya. Siapa Tuan Besar yang mahu menafikan haknya sebagai seorang ibu?
“Jangan buat macam ni pada Lia ayah. Lia tak boleh hidup tanpa anak-anak Lia.” Rayunya.
“Jadi kembali pada Fahrin. Jangan buat malu keturunan aku. Selama ini tidak ada keturunan aku yang bercerai-berai.” Tuan Besar memberinya dua pilihan.
“Tidak, Lia takkan kembali pada Fahrin. Lia sayangkan Asfan. Dia lebih baik dari Fahrin anak ayah tu. Lia akan fight demi anak-anak Lia. Lia akan ambil tindakan undang-undang.” Dia mengetap bibirnya.
“Kau sangka kau akan menang? Kau ingat aku akan berdiam diri sahaja? Jangan ingat kau dan lelaki tu boleh hidup bahagia. Aku boleh hancurkan bengkel buruk lelaki tu kalau aku mahu. Apa yang lelaki tu nak bagi kau dan anak-anak tiri kau makan nanti? Pasir? Batu?” Herdik Tuan Besar sinis.
Wajahnya memucat. Ugutan Tuan Besar membuatkan dia semakin lemah.
“Jangan apa-apakan Asfan ayah. Dia tak bersalah.”
“Kalau begitu jangan nak naikkan darah aku. Kau boleh hidup dengan lelaki tu sampai bila-bila pun. Aku janji aku takkan ganggu hidup kamu asalkan kamu tinggalkan Drew dan Mirza.” Getus Tuan Besar tegas.
Kelopak mata Iliya semakin basah. Sedih dengan hakikat 10 tahun yang lalu. Takdir telah memisahkan dirinya dengan anak-anak kesayangannya. Ugutan Tuan Besar benar-benar berhasil. Dia tidak sanggup mahu menghancurkan hidup Asfan setelah hidupnya sendiri musnah dalam keluarga Tuan Besar. Malah Fahrin sendiri tidak pernah menghalangnya untuk pergi.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!