Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 23


            Suraya mengemaskan pakaiannya sambil ditemani oleh Sachary. Risau Sachary melihat wajah Suraya yang masih pucat, tapi tetap berkeras ingin keluar dari hospital. Sejak semalam, ketika gadis itu meluahkan hasrat hatinya ingin keluar hospital awal, sedaya upaya dia menghalang. Namun kekerasan hati Suraya tidak boleh dilawan secara paksaan. Mahu tak mahu Sachary terpaksa menurut.

            “Prosedur keluar hospital, abang dah uruskan?” Tanya Suraya.

            Sachary menggeleng. Suraya mengeluh. Hmm memang lelaki itu membantah dia keluar hospital awal, tapi takkanlah sampai merajuk tidak mahu membantunya menguruskan prosedur itu.

            “Tak apalah bang, nanti Sue buat sendiri.” Ujar Suraya sambil tersengih. Dia segera melangkah keluar dari wadnya sambil membimbit beg pakaian kecil. Sachary mengekor dari belakang, tidak bersuara. Dia masih bimbangkan reaksi ayahnya jika tahu tindakan Suraya. Sedikit sebanyak kedegilan anak gadis itu mampu membuatkan dia dimarahi ayahnya. Pening dia bagaimana hendak memberitahu orang tua itu perihal Suraya.

            “Abang jangan bimbang, Sue tahulah nak cakap macamana dengan ayah. Jangan bimbang okey,” ujar Suraya bagaikan tahu apa yang bersarang dalam kepala lelaki itu.

            Langkah Suraya tiba-tiba mati. Sachary yang mengekori dari belakang, hampir terlanggar tubuh anak gadis itu. Suraya tercegat di tengah-tengah laluan sambil memandang ke suatu arah. Sachary mengerutkan dahinya. Hairan dengan sikap Suraya. Apa yang terlalu asyik sangat dipandang oleh gadis itu? Mata Sachary turut mengekori arah anak mata Suraya.

            Seorang gadis manis sedang asyik memujuk seorang anak kecil yang sedang menangis. Apabila tangisan anak kecil itu semakin kuat kedengaran, gadis itu tiba-tiba memeluk bahu kecil itu rapat ke dadanya. Jari-jemarinya yang halus meruncing tak habis-habis mengusap kepala anak itu sehingga tangisan yang tadi kuat mula reda.

            Tanpa sedar Suraya tersenyum. Entah kenapa adegan di hadapan matanya itu terasa amat indah. Memandang gadis itu, bagaikan dia mengimbas kembali saat lama bersama arwah ibunya. Dahulu ibunya juga begitu, sabar memujuk jika dia menangis atau dibuli Sachary. Tapi apabila usianya menjangkau sepuluh, wanita yang amat dikasihinya itu pergi untuk selama-lamanya. Sejak itu dia hilang tempat bermanja.

Namun memandang gadis yang memakai baju kurung itu lama-lama, dia bagaikan kenal. Jauh dia termenung cuba mengingati sesuatu. Akhirnya Suraya benar-benar pasti, dia pernah bertemu gadis itu dahulu di sini. Ketika itu gadis itu sedang membantu seorang lelaki tua. Terfikir pula Suraya, apakah gadis itu berkerja di hospital ini? Barangkali dia pekerja sukarela, detik hati kecilnya.

“Duha!” Jerit suatu suara. Suraya segera berpaling. Seorang lelaki kacak bercermin mata dan berpakaian putih sedang melangkah menuju ke arah gadis itu. Kedua-duanya berbual sambil sesekali tergelak. Suraya tertanya-tanya sendiri. Siapakah lelaki itu? Teman lelakikah? Nampak seperti ya. Dia tersenyum sendiri.

Namun entah mengapa, melihat kemesraan keduanya, Suraya tidak dapat menghalau perasaan cemburu yang bertandang dalam dirinya. Alangkah baiknya kalau dia dan Nashriq juga begitu. Hampir dua minggu dia di hopsital, dia sudah naik bosan. Naik jemu menanti kelibat Nashriq. Hanya beberapa kali Nashriq melawatnya di hospital, selebihnya dia hanya belajar merindui bayang-bayang Nashriq.

*  *  *  *

            “Makanlah banyak sikit, abang tengok Duha makin kurus.” Tegur Zafran seraya menambah lauk ke pinggan anak gadis itu. Duha Maisara terkaku. Tak sempat dia menahan, lauk sambal udang sudah berada di pinggannya.

            Sesekali dia memandang ke wajah Zafran yang nampak berselera. Teringat pula dia pada lelaki misteri yang dibawanya pulang kelmarin. Entah kenapa sampai saat ini, dia masih belum berkesempatan mengenali nama lelaki itu, meskipun sudah banyak kali mereka bertemu. Setiap kali berjumpa, hanya panggilan saya awak yang dibahasakan pada lelaki itu. Lelaki itu pula lebih senang membahasakan aku-kau padanya.

            Dia sendiri tidak tahu kenapa dia bertindak membawa pulang lelaki itu ke rumah malam semalam. Mulanya dia risau juga jika ada jiran–jirannya yang ternampak, namun dia sudah tiada pilihan lain. Sepanjang malam dia merawat luka lelaki itu. Sepanjang malam juga dia asyik merenung wajah itu dari dekat. Wajah itu memang tampan, tapi bukan ketampanan itu yang melekat di hatinya. Tapi tahi lalat kecil di pelupuk mata kiri yang membuatkannya terpesona. Membuatkan dia sesekali terkeliru tapi bahagia.

            Kadangkala dia terfikir sesuatu, apakah dia mula menyukai lelaki itu dalam diam-diam? Tapi setiap kali bersama lelaki itu, dia bagaikan mengharapkan ada sinar baru dalam hidupnya.

            “Duha nak isi ketam ni?” Tanya Zafran seraya mengerling Duha Maisara. Tapi anak gadis itu seperti termenung. Nasi di pinggannya langsung tidak bersentuh. Mata Zafran mencerun ke wajah Duha Maisara.

            “Duha…” panggil Zafran. Mata Duha Maisara terkelip-kelip tapi anak gadis itu seperti langsung tidak menyedari panggilannya. Zafran tiba-tiba menarik hidung Duha Maisara. Gadis itu terkejut. Bulat matanya memandang ke arah Zafran. Zafran tergelak kecil.

            “Itulah siapa suruh termenung? Abang panggil Duha bagai nak rak tapi Duha buat bodoh aje.” Ujar Zafran. Duha Maisara tersengih. Dia malu sendiri. Ketara sangatkah dia berangan tadi?

            “Apa yang Duha menungkan tu?” Soal Zafran ingin tahu.

            “Tak ada apa-apalah, Duha teringatkan kak Syafa saja. Banyak buku-buku stok baru yang Duha kena susun dan rekod dalam log.” Ujar Duha Maisara.

            “Lepas ni abang off, abang ikut Duha ke kedai buku?”

            “Err tak payahlah, abang tentu penat kan. Duha tak nak susahkan abang,” balas Duha Maisara serba salah. Dia sebenarnya malu membawa Zafran ke kedai buku itu. Kali terakhir Zafran pergi, teruk dia diusik oleh Kak Syafa dan pekerja-pekerja di situ.

            “Tak susah pun, lagipun abang ada benda ni nak minta tolong dengan Duha. Itupun kalau Duha setuju.” Zafran tersenyum.

            “Tolong? Tolong apa?” Duha Maisara tercengang.

            “Begini, minggu depan abang dengan pelatih-pelatih lain kena jalankan satu latihan di wad psikiatrik di sebuah institusi pesakit mental. Tapi sekarang kami kekurangan tenaga sukarela untuk membantu. Jadi abang nak tanya kalau-kalau Duha sudi tolong abang di sana?” Ujar Zafran.

            Duha Maisara tersenyum. Ingatkan apalah tadi, bisik Duha Maisara. Dia pantas mengangguk tanda setuju.

            “Betul ni?”

            Sekali lagi dia mengangguk.

           “Tapi Duha tak takut kan? Wad psikiatrik ni penuh dengan pesakit-pesakit mental. Abang takut kalau sekali Duha ke sana, Duha akan serik,” ujar Zafran.

            “Pesakit mental pun manusia juga abang. Mereka ada hak yang sama macam kita. Perlu dirawat, perlu disayangi dan perlu dibelai. Duha tak kisah kalau sedikit usaha Duha ni mampu membuatkan mereka gembira.” Ucap Duha Maisara.

            Zafran tersenyum. Dia tahu hati Duha Maisara tulus.

            “Oh pagi tadi abang cuba call Duha tapi asyik tak dapat. Abang ingatkan Duha dah lupa janji kita nak makan bersama.” Kata Zafran.

            Duha Maisara tergaman. Telefon? Dia baru teringat tentang telefonnya yang masih belum ditemui. Aduh! Bagaimana kalau seseorang di Blue Ocean menjawab telefon itu, pasti Zafran akan mengesyaki sesuatu.

            “Err, sebenarnya Duha tercicirkan telefon tu entah kat mana. Sedar-sedar telefon Duha dah tak ada. Abang tak usahlah telefon Duha lagi, tinggalkan saja pesanan kat telefon rumah. Nanti Duha reply.” Jawab Duha Maisara sedikit gugup.

            “Macamana boleh tercicir? Takpe, nanti abang belikan telefon baru.” Sambung Zafran. Duha Maisara terkedu. Namun untuk membantah, dia bimbang Zafran dapat menghidu rahsia yang cuba disembunyikannya dari lelaki itu sejak setahun yang lalu.

*  *  *  *

 “Betul kita nak buat macam ni Naz?” Soal Erman tak putus-putus bertanya begitu. Namun lelaki di sampingnya itu serius memandu. Erman mengeluh kecil. Dia bukannya menghalang Nashriq ke kampung Telaga Pandak. Tapi mengenangkan yang lelaki itu ada mesyuarat penting dalam masa tiga jam lagi, dia naik resah. Entah angin apa yang merasuk anak muda itu hingga tiba-tiba sahaja ingin ke kampung Telaga Pandak, menziarahi pusara Munif.

            Sebaik kenderaan itu memasuki tanah perkuburan di Kampung Telaga Pandak, Nashriq segera turun sambil diekori oleh Erman. Dia merentasi batu-batu nesan yang tegak berdiri, sambil matanya sibuk mencari kubur milik Munif Haji Hasyim. Namun tanah perkuburan itu terlalu luas. Dia akan mengambil masa jika mahu meneliti setiap kubur itu satu persatu.

            “Yang mana satu pusara pakcik Munif bang?” Soal Nashriq pada Erman. Namun lelaki itu hanya menggelengkan kepala. Dia sendiri tidak pasti yang mana satu.

            “Assalamualaikum…”sapa suatu suara. Serentak Nashriq dan Erman menoleh sambil menjawab salam. Seorang lelaki tua berkopiah putih tercegat memerhatikan ke arah mereka.

            “Anak ni mencari kubur siapa?” Tanya lelaki itu.

            Erman dan Nashriq saling berpandangan. Erman segera melangkah ke arah lelaki tua itu seraya menghulurkan salam.

            “Pakcik, kami nak mencari kubur Munif bin Haji Hasyim. Pakcik tahu yang mana satu kuburnya?” Soal Erman perlahan.

            “Munif?” Lelaki itu mengerutkan dahinya. Lama dia termenung seperti memikirkan sesuatu.

            “Munif Haji Hasyim yang bapaknya bekas askar tu kan?” Lelaki itu bertanya.

            Erman dan Nashriq serentak mengangguk, meskipun mereka sendiri tidak pasti apakah ayah Munif dahulu bekas askar.

            “Kalau Munif yang itu, pakcik kenallah. Mari pakcik tunjukkan kuburnya,” ujar lelaki berkopiah itu. Nashriq dan Erman tanpa banyak soal terus menekori lelaki itu sehingga sampai ke suatu tanah perluburan yang agak bersih.

            “Ha inilah kuburnya, tapi kasihan dia, mati dalam penjara sebelum sempat dibicarakan. Dahlah tu tak ada saudara mara pula. Satu-satunya adik perempuan dia pun dah lama meninggal dunia.” Keluh lelaki berkopiah itu.

            Nashriq tergaman. Adik perempuan? Dia mengerling Erman yang turut terperanjat. Selama ini belum pernah mereka mendengar tentang Munif yang memiliki saudara perempuan.

            “Pakcik, boleh saya tahu siapa nama adik perempuan Munif ni?” Soal Nashriq tiba-tiba.

            “Oh nama dia Suhana. Dia meninggal dunia dekat dua puluh tahun lebih. Meninggal semasa bersalin. Tapi kata orang anak dia pun meninggal juga. Ha kubur Suhana tu tak jauh dari kubur abangnya. Sebelah itu aje,” tunjuk lelaki tua itu.

            Nashriq berpaling menatap batu-batu nesan yang tegak berdiri di hadapannya. Seketika kemudian dia mengerutkan dahinya. Rasa aneh mula muncul dalam dirinya.

            “Err pakcik, saya tengok kubur ni seperti ada yang menjaganya, pakcik kenal ke siapa-siapa yang selalu mengunjungi kubur ni?” Soal Nashriq seraya menjeling ke arah Erman.

            Lelaki tua itu terdiam. “Setahu pakcik, Munif ni tak ada siapa-siapa lagi selain anak isterinya. Tapi orang kampung kata, isteri Munif tu dah melarikan diri bersama anaknya setelah Munif dimasukkan ke dalam penjara. Pakcik pun tak tahu betul ke tidak cerita ni, tapi memang ada seorang perempuan datang melawat kubur ni setiap dua bulan sekali.”

            Nashriq tersentak. Perempuan?

            “Perempuan tu tua ke muda pakcik?”

            “Hmm masih muda, cantik pulak tu. Tapi setiap kali pakcik tanya siapa dia, dia diam sahaja. Tapi selalu kalau datang, dia tak lupa bersedekah dekat tabung wakaf masjid sebelah kubur ni.” Cerita lelaki berkopiah itu.

            Nashriq terdiam mendengar cerita lelaki tua itu. Tapi otaknya ligat berfikir, apakah perempuan yang dimaksudkan itu Raihana? Jika benar Raihana masih hidup, kenapa dia tidak mencari aku? Kenapa dia membiarkan aku seperti orang gila mencarinya di setiap pelusuk negeri. Menjejak setiap langkahnya yang tak pernah meninggalkan kesan.

            “Kau masih fikir perempuan yang dimaksudkan oleh Pak Abu tu Raihana?” Soal Erman, bagaikan tahu apa yang sedang difikirkan oleh Nashriq.

            “Entahlah, buntu kepala saya ni. Mungkin ya dan mungkin juga bukan dia. Tapi walau siapa pun dia, saya harus mencarinya.” Balas Nashriq.

            “Bukankah kau dah tinggalkan nombor telefon pada Pak Abu. Kalau perempuan tu datang lagi, Pak Abu akan hubungi kau segera. Jangan bimbang sangat Naz, lambat laun Raihana akan kita temui juga. Percayalah!” Ujar Erman cuba menyakinkan lelaki itu.

            Nashriq hanya diam. Dia sebenarnya kurang yakin, apakah dia masih berpeluang menemui Raihana sepanjang hidupnya. Namun jauh di sudut hati, dia memang menyimpan hasrat setinggi gunung untuk bertemu gadis itu semula.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!