Followers

Sunday, October 24, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 36

KETIKA teksi yang dinaikinya sampai ke Wisma Al-Gibran, jam sudah menunjukkan hampir pukul tujuh petang. Langit mulai gelap. Aliya bergegas menaiki lift menuju ke bahagian pengurusan di tingkat tiga belas.

Sewaktu tangannya mahu menekan punat lift, tiba-tiba sahaja dadanya berdebar kencang. Teringat dia akan cerita-cerita seram yang pernah didengarnya dari teman-temannya di kampus. Lebih seram lagi apabila mengenangkan hanya dia seorang diri berada di situ.

Terkumat-kamit mulutnya membaca ayat-ayat suci yang ada di kepalanya ketika itu. Dalam masa yang sama, dia tak habis-habis mengguman geram pada Ikram yang tiba-tiba sahaja menelefon dari airport, memintanya mengambil satu dokumen penting yang ditinggalkannya di atas meja. Mahu tak mahu Aliya terpaksa berpatah balik ke pejabat.

Dia cepat-cepat membuka pintu yang terkatup rapat, menggunakan kunci pendua yang diberi oleh Ikram beberapa hari yang lalu. Namun pintu itu terkuak sebelum sempat dia membukanya.

Dia tercengang. Perlahan-lahan dia menguak pintu tersebut lalu melangkah masuk. Persekitaran ruangan pejabat itu diperhatikan, namun tidak ada tanda-tanda orang lain berada di situ. Ah! Mungkin pengawal lupa menguncinya semasa hendak keluar tadi agaknya. Hatinya cuba disedapkan.

Tanpa membuang masa, langkahnya diatur laju ke arah bilik Ikram. Lampu di bilik lelaki itu dibuka. Melihat meja Ikram bersepah dengan timbunan fail-fail pelbagai jenis, Aliya mengeluh panjang. Banyaknya! Macamana nak cari?

Beberapa buah fail dibelek dan ketika itulah dia menemui fail Megah Corps. Aliya tersenyum. Dia sudah menemui apa yang dicarinya. Fail itu segera dibawa ke laci kabinet di suatu sudut, lalu disimpan baik-baik di dalam laci kabinet yang berkunci. Setelah memastikan semua kerjanya telah selesai dilakukan seperti apa yang Ikram arahkan, Aliya bersedia untuk beredar keluar. Namun tiba-tiba satu kelibat hitam melintas di hadapannya. Aliya terkejut. Darahnya berderau. Apa benda yang melintas tadi? Hantu atau orang? Dia memandang di sekelilingnya, namun tidak ada apa-apa yang mencurigakan di situ.

Tiba-tiba dia mendengar satu bunyi. Apabila dia berpaling, muncul satu kelibat lembaga besar mengasaknya ke dinding. Belum sempat dia mahu menjerit, tangan itu segera menekup mulutnya.

“Diam! Kalau kau menjerit, aku bunuh kau.” Ancam lembaga tersebut. Suara itu garau dan dalam.

Aliya hanya mampu mengangguk. Dia benar-benar gementar sehingga tidak berani mahu berpaling dan memandang lelaki itu. Tekupan tangan lembaga itu pada mulutnya menyebabkan dia hampir kelemasan. Beberapa saat kemudian pandangannya dirasakan berbalam-balam. Dia hampir pitam.

Ketika itu jugalah dia mendengar bunyi hentakan sepatu berlari ke arahnya. Serentak pegangan lelaki itu dilepaskan, menyebabkan dia hampir tersungkur jatuh. Anehnya tubuhnya tiba-tiba dipaut semula. Bukan dengan tindakan kasar tapi penuh lemah lembut dan berhati-hati. Namun dia sudah terlalu lemah untuk melihat orang yang memegangnya. Selepas itu dia sudah tidak ingat apa-apa lagi. Segala-galanya kabur.

* * * *

Perlahan-lahan dia membuka matanya. Cahaya lampu yang samar-samar membuatkan dia gagal melihat dengan jelas. Dia cuba bangun tapi kepalanya terasa berat.

Dia memandang di sekelilingnya. Bilik itu seperti pernah dilihatnya. Sebaik terpandang bingkai gambar keluarga di atas meja, Aliya tergaman. Cepat-cepat dia bingkas bangun. Rupa-rupanya dia berada di atas sofa di bilik itu.

Dari muka pintu, bunyi sepatu menerpa ke corong telinganya. Dia menoleh dengan wajah gugup. Ada banyak perkara bermain di fikirannya, tapi saat ini kekeliruan membuatkan dia menjadi seperti orang bingung.

Wajah yang muncul di muka pintu membuatkan nafasnya terhenti seketika. Dia nampak jelas kemeja putih Hazril berlumuran darah. Malah ada kesan-kesan lebam di pinggir bibir lelaki itu.

“Encik Adam..” bisik Aliya dengan wajah keliru.

Hazril hanya tersenyum memandang ke arah Aliya. Perlahan-lahan dia mara ke arah gadis itu, lalu merebahkan diri di dada sofa berhadapan dengan Aliya. Wajah gadis itu direnung.

“Jangan bimbang. Orang jahat tu dah lari.”

“Encik Adam cedera.” Pintas Aliya. Dia tidak kisahkan sesiapa pun saat ini selain dari lelaki di hadapannya. Matanya masih tertumpu pada liang luka di bahu lelaki itu.

“Cedera saya ringan aje. Aliya jangan bimbang.” Sahut Hazril. Keluhannya meniti perlahan. Dia sendiri tidak menyangka semua ini akan berlaku. Sejak petang tadi, dia masih berada di pejabat menguruskan sedikit kerja. Sedar tak sedar dia tertidur di kerusi rehatnya. Sehinggalah suatu bunyi mengejutkannya dari tidur.

Apabila dia keluar menyiasat, dilihatnya seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menekup mulut Aliya. Dia terkejut besar. Tanpa berfikir panjang, dia terus meluru ke arah lelaki itu. Mereka bergelut di atas lantai. Lelaki itu berjaya menolaknya.

Tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau dari saku bajunya. Dia berundur setapak demi setapak. Apabila dia menoleh ke arah Aliya, dilihatnya tubuh gadis itu hampir tersungkur. Dia segera menerpa ke arah Aliya dan sempat menyambut tubuh gadis itu, malangnya libasan pisau tepat melukai bahunya.

Lelaki itu hanya terkeheh-keheh ketawa melihat darah yang membasahi pakaiannya. Beberapa kali pisau di tangan lelaki itu diacah-acah ke arahnya. Dia pantas mengelak sebelum mencapai tangan yang memegang pisau itu. Tangan lelaki itu dihentak ke atas meja, cuba menjatuhkan pisau tersebut. Tindakannya berjaya, namun lelaki itu sempat menumbuk mukanya hingga dia terhumban ke arah lantai. Apabila dia bingkas bangun, lelaki itu sudah tiada.

Aliya ngeri mendengar cerita Hazril. Tambah ngeri apabila melihat darah yang membasahi baju lelaki itu. Luka di bahu Hazril dipandangnya dengan wajah sayu. Entah mengapa, airmatanya seperti mahu terhambur keluar. Melihat luka itu, hatinya seakan-akan turut tersayat. Dan tanpa disedari, kolam airmatanya meluruh jua membasahi pipi.

“Aliya, kenapa ni?” Hazril terkedu melihat airmata yang basah di pipi Aliya. Dia tidak mengerti kenapa Aliya menitiskan airmata. Bahu gadis itu terhenjut-henjut menahan tangis. Hazril sudah mati kutu. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

“Aliya..please. Don’t cry.” Pujuk Hazril.

Namun esakan gadis itu semakin ketara. Hazril bingung. Perlahan-lahan dia bingkas bangun lalu melutut ke arah gadis itu. Renungannya singgah ke wajah yang kian basah dengan airmata. Entah kenapa, tangisan Aliya membuatkan dia terkenangkan kisah lama. Kisah mereka yang dijalinkan tanpa sengaja.

Dagu anak gadis itu didongakkan sedikit, menghala ke arahnya. Sisa-sisa airmata yang meluruh ke pipi segera diseka dengan jari-jarinya. Redup sepasang mata itu ditenung penuh perhatian. Meskipun dia tidak mengerti makna tangisan gadis itu, namun dia ingin memujuk Aliya. Dia ingin menjadi seseorang yang boleh diharapkan oleh gadis itu. Tapi mahukah Aliya mempercayainya? Mahukah gadis itu menerima dirinya?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!