Followers

Friday, January 1, 2010

Tiada Sepertimu Prolog

hidup..kenapa harus ada tragedi?
BUNYI burung dan unggas berkicauan menarik perhatiannya. Beberapa spesies burung belatuk yang jarang-jarang ditemui tertenggek pada sepohon pokok kayu yang batangnya sebesar sepemeluk tangan.
Dari jauh, bunyi air terjun menderu jelas di pendengaran. Dia berpaling ke arah teman-temannya. Kesemuanya nampak ceria sebaik mendengar bunyi air terjun, menandakan mereka telah hampir sampai ke destinasi yang dituju. Air Terjun Sungai Pisang yang terletak dalam daerah Gombak, memang dikenali sebagai salah satu air terjun rekreasi yang menjadi tumpuan para pengunjung.

“Okay guys, kita dah sampai. Tapi tempat perhentian kita ialah di bahagian atas tebing sungai ni. Jadi kita kena mendaki ke atas lebih kurang 500 meter lagi. Then baru kita cari port sesuai untuk pasang khemah.” Afiq selaku ketua ekspedisi Persatuan Rekreasi Alam di universiti mereka memberi arahan yang senang diingat.

“Ala, kat sini pun cantik apa,” rungut Emy yang sudah kelelahan.

“Cik Emy, kita ni nak pergi buat buat aktiviti abseiling, bukannya nak bermandi manda sambil main masak-masak kat sini,” sampuk Zackry. Kata-kata Zackry diambut deraian tawa teman-teman yang lain.

Zara tersenyum melihat telatah Zackry yang gemar mengusik Emy yang berbadan gempal. Lelaki itu sempat mengerling ke arahnya sambil tersenyum nakal.

Selesai mendirikan khemah, mereka berehat sebentar sambil menggalas perut. Tepat jam tiga petang, Afiq mula memberikan arahan untuk aktiviti yang akan dijalankan hari itu.

Lelaki itu mengeluarkan peralatan abseiling atau kadangkala dipanggil rapelling. Salah satu sukan rekreasi yang paling digemari olehnya serta teman-teman sepersatuannya.

“Zara, kau ada bawa carabiners lebih tak? Aku lupalah nak ambil tadi.” Bisik Zackry perlahan. Bimbang jika ketua ekspedisi mereka terdengar bisikannya. Lagipun dia tahu Afiq amat tegas dengan peralatan-peralatan yang akan mereka gunakan nanti. Apatah lagi setiap ahli diharuskan membawa peralatan sendiri.

“Don’t worry, ada dalam beg aku. Bukan setakat carabiners… harness, descendeur, piton pun aku bawa sekali walaupun tak perlu. Lagipun aku faham sangat perangai kau yang selalu lupa tu.” Tempelak Zara.

“Amboi piton pun kau bawa? Kau ingat kita ni nak mendaki Gunung Kinabalu ke? Hammer tak bawa sekali?” Zackry tergelak kecil. Zara turut sama melepaskan tawanya. Mereka memang sering bergurau senda begini.

“Okey, semua dah siap? Siapa yang nak jadi first belayer?” Afiq bertanya. Zackry mengenyitkan mata seraya mengangkat tangan. Zara hanya mampu menggelengkan kepala. Dia dan Zackry selalu berebut menjadi orang pertama yang melakukan first move. Tapi kali ini dia mengalah dan membiarkan Zackry mendahului.

Zara melangkah ke hadapan lalu menjengah ke bawah. Hui boleh tahan tinggi juga tebing ni. Mahu sampai 30 meter ni, bisik hati kecil Zara.

“Kemaskan tali pada anchor tu Zack, aku tak mahu kutip mayat kau kat bawah nanti,” herdik Afiq. Zackry terdiam. Tajam matanya menjeling wajah Afiq yang tersengih. Amboi lancangnya mulut mamat ni!

“Ingat, turun perlahan-lahan. Tak payah melompat kecuali kalau tebing ni overhang,” pesan Afiq.

“Aku tahulah Fiq, ini bukannya kali pertama aku buat benda ni,” rungut Zackry sudah mulai bosan dengan pesanan demi pesanan yang keluar dari mulut lelaki itu. Kakinya melunjur ke arah tebing. Tangan kirinya yang memegang tali bertindak sebagai guide hand manakala tangan kanannya pula bertindak sebagai brake hand.

Sekejap sahaja Zackry sudah menuruni tebing bukit itu dengan melonggarkan tali pada tangan kanannya. Gerakan lelaki itu nampak mudah. Ternyata pengalamannya dalam melakukan abseiling sudah cukup mahir. Apabila kakinya mencecah permukaan batu, teman-temannya yang lain bersorak girang.

“Zara, kau punya turn!”Jerit Zackry dari bawah tebing sambil membantu salah seorang teman mereka mengawal pergerakan.

Zara yang mahu mengambilalih tempat Zackry tidak jadi apabila Afiq melarangnya. “Zara, biar budak-budak first year buat dulu. Kau dah terror benda ni.” Jerit Afiq cuba melawan bunyi terjahan air terjun yang berdesing di telinganya.

Mahu tidak mahu Zara terpaksa akur. Lagipun Afiq adalah ketua persatuan mereka. Dia terpaksa membantu mana yang terdaya.

Lepas seorang-seorang ahli-ahli mereka melakukan abseiling. Ada yang kelihatan yakin, dan ada juga yang masih takut-takut meskipun sudah berulang kali melakukannnya. Tiba giliran Zara, dia sudah bersedia di hujung tebing. Sesekali matanya menjengah ke bawah, memandang kelibat Zackry yang menanti di bawah.

Untuk kali terakhir, Zara memastikan peralatannya sudah diketatkan. Dia mula mencondongkan tubuhnya mengadap ke arah Afiq yang menjaga tali utama. Kepala lututnya diregangkan.

“Sedia Zara?”

Dia mengangguk. Nafasnya ditarik perlahan. Dia tersenyum memandang ke arah Afiq dan Kamil yang hanya tinggal berdua di atas tebing bukit itu. Lelaki itu mengangguk memberikan isyarat. Zara mula melonggarkan tali yang dipegangnya sedikit demi sedikit, menyebabkan tubuhnya bergerak ke bawah. Dia melepaskan tali di tangan kanannya yang bertindak sebagai brake hand. Suara sorakan teman-temannya dari bawah membuatkan Zara ketawa sendiri. Macam kera dalam hutan, bisiknya nakal.

Namun bunyi sorakan itu tidak lama. Zara mula tertanya-tanya. Tiba-tiba sahaja bunyi sorakan riang yang menjengah di gegendang telinganya tadi, mula bertukar nada. Dia segera membawa tali di tangan kanannya ke belakang untuk menghentikan gelungsuran seraya menjengah ke bawah. Hairan mendengar suara teriakan teman-temannya yang riuh-rendah.

Dari atas tebing, dia dapat melihat teman-temannya menunjuk-nunjuk ke arahnya dengan wajah cemas. Zara diterpa kehairanan lalu mendongak. Namun sebaik terpandang sebatang pohon kayu kelihatan mencondong ke arah Afiq dan salah seorang temannya, wajahnya segera bertukar pucat. Oh tuhan!

“Afiq, Kamil….pokok tu.” Jerit Zara cemas. Afiq terkejut. Namun melihat pokok yang hampir tumbang ke arahnya, beserta bunyi rekahan yang menggerunkan, Afiq hanya mampu berpaling ke arah Zara.

Dada Zara seakan mahu pecah melihat rekahan pokok besar itu terus menimpa Afiq dan Kamil sebelum melantun ke arahnya. Kelopak matanya segera dipejamkan. Perasan gementarnya menguasai fikiran. Imej pokok besar itu melayang-layang di hadapannya. Oh tuhan, apakah ajalku sudah sampai?

“Zack!!” Jeritnya sekuat hati. Tubuhnya menggeletar. Nafasnya tercungap-cungap. Dia membuka kelopak mata. Peluh renek mula membasahi dahi. Dia tergaman. Pantas matanya dilarikan ke arah tubuhnya. Tidak ada satu pun cacat cela pada tubuhnya. Dia baik-baik sahaja. Tubuhnya tidak hancur dimamah batang pokok itu.

Dia berpaling memandang ke arah bingkai gambar yang terletak di tepi katilnya. Matanya menatap lama ke wajah teman-teman universitinya selepas mereka selesai menawan Gunung Nuang di daerah Hulu Langat. Wajah riang Afiq tersenyum menatap ke arahnya. Melihat potret lelaki itu, dia tidak dapat menahan sebak. Memang sudah ditakdirkan Afiq mati dalam keadaan menyedihkan. Tubuhnya terbelah dua. Nasib Kamil juga tidak lebih baik dari Afiq. Tubuh Kamil melayang ke arah kawasan berair. Hampir seharian, pasukan bomba dan penyelamat berusaha keras mencari mayat Kamil. Sehingga kini, tragedi di Air Terjun Sungai Pisang itu masih menghantuinya.

Zara meraup wajah. Meskipun kejadian itu sudah dua tahun berlalu, namun dia masih mengigaukan peristiwa lama. Sukar dia mahu memadamkan kenangan pahit itu dalam kotak fikirannya.

“Tuhan masih sayangkan Zara. Sebab itu tuhan izinkan Zara terus hidup dan sihat di sisi mama.” Bisikan ibunya suatu ketika dulu singgah kembali. Ketika itu dia baru pulih dari komanya. Hampir enam bulan lamanya dia terlantar tidak sedarkan diri di katil hospital. Dalam tempoh itu dia langsung tidak ingat apa yang sebenarnya berlaku malam itu. Segala-galanya kabur bak gerimis yang menerpa ke jendela biliknya sesekali hujan turun.

“Nasib baik ada orang cepat bawa Zara ke hospital. Kalau tak, mungkin sampai sekarang…” Kata-kata ibunya terhenti begitu saja.

Dia terdiam. Kata-kata wanita itu ditelan bersama keresahan yang membelenggu dirinya tidak putus-putus.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!