Followers

Thursday, October 14, 2010

Hujan Rindu : Bab 23

Razman begitu asyik memerhatikan ke arah bangunan 15 tingkat di hadapannya dari dalam kereta. Dia melepaskan keluhan tanpa dia sendiri sedar. Ibrar di sisinya menoleh sebentar ke arah lelaki itu.

“Encik Razman nak masuk ke rumah tu? Mereka tinggal di tingkat 4.” Ujar Ibrar.

Razman mengelengkan kepalanya. Dia tidak mahu mengejutkan gadis itu dengan kehadirannya secara tiba-tiba.

“Dengan siapa Anum tinggal Ib?” Soalnya.

“Dengan Yuzer Taufik dan adik-adik perempuannya. Dia memiliki sebuah syarikat ‘interior design’ yang agak terkenal.” Balas Ibrar yang memang sudah maklum dengan maklumat mengenai lelaki bernama Yuzer itu.

“Apa hubungan dia dengan Anum?”

“Tak ada apa-apa hubungan. Cuma saya dapat tahu, Yuzer Taufik tinggal di Kampung Paya Mengkuang di Kedah. Kampung yang sama dituju oleh Cik Anum.” Ujar Ibrar.

Razman tersentak. Paya Mengkuang? Sudah agak lama nama kampung itu tidak disebutnya. Hampir 30 tahun lamanya. Apakah ia tetap sama seperti dulu? Apakah gadis itu benar-benar serius ke sana seperti amanat ibunya?

“Man, itulah anak dara tok guru aku,” bisik salah seorang temannya.

Dia memandang ke arah yang dimaksudkan oleh temannya. Seorang gadis tinggi lampai berbaju kurung melintas di hadapanya. Dia terpaku untuk seketika. Alam bagaikan berhenti berputar. Kecantikan gadis itu membuatkan dia jadi beku.

Tiba-tiba gadis itu melirik ke arahnya, membuatkan dia tergaman. Mata gadis itu berkerut ketika memandangnya. Dan dia jadi bodoh untuk seketika, sehinggalah teman di sebelahnya mula menyiku.

“Kau jangan nak beranganlah Man, berebut jejaka kat kampung ni nak meminang Sufiyah. Takkan dia pandang orang luar macam kau.” Zahid terkeheh-keheh mengetawakannya.

“Sufiyah…” tanpa disedari nama itu kerap terlontar di bibirnya dari hari demi hari. Zahid hanya menggelengkan kepalanya. Temannya itu sudah angau barangkali.

“Zahid, aku nak belajar silat juga dengan Pak Anjang. Boleh kau tolong aku?” Suatu hari dia menyatakan hasrat hatinya.

Zahid tercengang. “Kau biar betul.”

“Aku serius ni. Aku nak tinggal kat kampung ni berguru dengan Pak Anjang.”

Zahid memandangnya bagaikan tidak percaya. Sudah buang tabiatkah dia ni? Atau apakah sebab Sufiyah, teman baiknya itu ingin berguru silat dengan Pak Anjang?

“Man, aku bukan nak halang hasrat kau. Tapi Sufiyah tu bukan calang-calang gadis kat kampung ni. Pak Anjang tu didik Sufiyah macam didik anak lelaki. Dia nak Sufiyah tu jadi doktor. Lagipun dia balik ke sini sementara aje, lepas ni dia akan balik semula ke luar negara sambung pelajaran. Dan tak lama lagi akan muncul seorang doktor wanita di kampung ni. Selepas itu apa? Aku tak nak kau gigit jari.” Nasihat Zahid.

“Maksud kau, aku tak padan dengan dia?” Dia tersengih.

Zahid mengeluh. Lain yang dikatakannya lain pula yang difahami oleh lelaki itu.

“Bukan begitu maksud aku. Aku tahu keluarga kau kaya raya, kau pun berpendidikan tinggi. Maksud aku ialah Pak Anjang. Dari awal-awal lagi dia dah tetapkan jodoh Sufiyah. Kau tak ada harapan, Man.”

“Selagi Sufiyah belum dimiliki, aku akan pastikan dia jatuh ke pangkuan aku Zahid.” Ujarnya penuh yakin. Dia tahu asalkan dia berusaha untuk merebut hati gadis itu, lambat laun Sufiyah pasti akan menyedari kewujudannya.

Sejak itu dia mula menjadi anak murid baru Pak Anjang. Tujuannya hanya satu, untuk menarik perhatian Sufiyah. Untuk mendekati gadis yang semakin hari semakin bertahta di hatinya. Usahanya itu tidak sia-sia. Sufiyah mula memberi perhatian kepadanya. Diam-diam mereka menjalin persahabatan yang cukup akrab. Tidak cukup bertemu di luar, mereka berutus surat tanpa pengetahuan sesiapa.

“Pia sayangkan Man tak?” Dia ingin tahu isi hati gadis itu.

Sufiyah mengangguk dengan wajah malu. Apabila wajahnya didongakkan memandang Razman, bibir merahnya tersenyum manis.

“Man takkan tinggalkan Sufiyah sendirian kan?”

“Takkan, Man takkan sesekali buat begitu. Hanya Pia yang berada di hati Man buat selama-lamanya. Minggu depan Man balik kampung, Man akan suruh mak dan ayah Man datang pinangkan Pia. Selepas itu kita takkan berpisah lagi. Pia setuju?”

Sufiyah terdiam. Matanya basah tiba-tiba.

“Pia, kenapa ni?” Dia tergaman melihat mata gadis itu merah.

“Ayah. Ayah nak Pia kahwin dengan abang Taufik. Man, Pia tak boleh kahwin dengan dia. Selama ini Pia anggap Taufik tu macam abang Pia sendiri.” Ujar Sufiyah dengan suara tersekat-sekat.

Razman mengeluh. Itulah yang paling ditakutkannya. Betul kata Zahid, jodoh Sufiyah sudah ditentukan sejak awal-awal lagi.

“Sabarlah Pia, tunggu Man selesaikan perkara ni satu-satu. Nanti Man bincangkan perkara kita dengan mak dan ayah Man.” Putusnya begitu. Sufiyah hanya mengangguk. Tapi kata-kata yang diucapkannya tidak mudah untuk dilaksanakannya.

“Apa? Kamu nak kahwin dengan gadis kampung Man? Mak tak setuju. Bagaimana dengan Aida, dah lama dia nantikan kamu.” Ibunya membantah keras. Ayahnya diam sahaja sambil menghisap batang paip antiknya.

“Tapi Man tak suka Aida, mak. Man sayangkan Sufiyah. Mak jumpalah dia dulu. Lepas jumpa nanti, tentu mak akan sukakan dia.” Dia tak henti-henti memujuk ibunya.

“Biar bagaimana cakap kamu pun, aku tetap takkan setuju. Bagaimana aku nak biarkan kamu kahwin dengan perempuan yang aku tak kenal? Lagi-lagi perempuan kampung!” Getus ibunya.

“Perempuan kampung apanya mak? Sufiyah tu bakal doktor, berpendidikan tinggi.”

“Doktor?” Wanita itu bagaikan tidak percaya.

Razman mengangguk. Dia benar-benar berharap ibunya setuju dengan permintaannya.

“Jika dia bakal doktor sekalipun, kamu ingat aku akan setuju? Gadis yang berpelajaran macam dia, hanya akan banyak menghabiskan masanya di luar dari di rumah. Bagaimana dia nak uruskan rumahtangga nanti setelah kahwin dengan kamu?”

Razman memejamkan matanya. Entah kenapa, fragmen 30 tahun yang lalu bagaikan baru semalam berlalu dalam hidupnya.

Jika kalau bukan kerana ibunya menghalang dia balik semula ke kampung Paya Mengkuang, pasti Sufiyah takkan lari pada malam pernikahannya. Pasti ketika itu dia dan Sufiyah akan sama-sama memperjuangkan cinta mereka di hadapan semua orang kampung.

“Aku nak tahu Pia di mana Zahid?”

“Kalau kau sendiri tak tahu, bagaimana aku pulak tahu? Teruk Man. Kecoh satu kampung malam itu. Pak Anjang dan Mak Jah macam orang gila bila Sufiyah lari dari rumah. Abang Sufiyah, si Imran tu dah cari dia merata kampung tapi tak jumpa.” Cerita Zahid bersungguh-sungguh.

“Aku nak jumpa Pak Anjang, Zahid. Aku nak ceritakan segala-galanya.”

“Apa kau dah gila? Mereka tak tahu apa-apa fasal kau. Mereka sangka Sufiyah lari kerana tak mahu berkahwin dengan Taufik. Kalau mereka tahu kau terlibat dalam semua ni, tentu teruk kau kena belasah dengan orang-orang kampung. Aku tak setuju!” Sahut Zahid cemas.

Dia terdiam. Kata-kata Zahid ada kebenarannya, namun dia tidak peduli lagi. Dia cuma ingin mencari Sufiyah. Dia ingin menunaikan janjinya untuk terus melindungi Sufiyah, biar apa saja rintangan yang berlaku. Hinggalah pada suatu hari, Sufiyah tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya.

“Pia? Ke mana Pia pergi? Man dah puas cari Pia.” Soalnya bertalu-talu. Dia terkejut melihat keadaan Sufiyah yang basah kuyup. Mata gadis itu merah. Airmatanya gugur bersama air hujan membasahi wajahnya.

“Pia tak tahu nak buat apa lagi Man,” Bisik Sufiyah sayu.

Tanpa dia sedari, tubuh kecil itu dirangkul erat. Dia sudah tidak peduli pada mata-mata yang memandang. Dia hanya ingin membawa gadis itu ke dalam pelukannya, agar Sufiyah merasa selamat di sisinya.

“Semua ni salah Man. Man yang pengecut kerana tak berani menerangkannya pada Pak Anjang. Kalau Pia mahu, Man akan ikut Pia balik. Kita jelaskan segala-galanya. Kita minta restu mereka untuk berkahwin,’” usulnya. Namun Sufiyah menggelengkan kepala.

“Tak payah Man. Pia kenal ayah Pia, dia tu tegas orangnya. Sekali dia kata tidak, sampai bila-bila pun dia takkan setuju. Kalau Pia balik sekarang, tentu dia takkan bagi kita berjumpa lagi,” ungkapan Sufiyah membuatkan Razman separuh kesal.

“Habis kita nak buat apa?” Fikirannya sudah buntu. Dia terduduk lemah di suatu penjuru. Melihat wajahnya yang seakan-akan bingung, perlahan-lahan Sufiyah merapatinya.

“Man betul-betul sayangkan Pia?” Tanya gadis itu.

Dia memandang Sufiyah dengan tatapan penuh kasih. Mana mungkin dia tidak sayangkan gadis itu. Kerana Sufiyah dia sanggup tinggal lama di kampung itu. Kerana sayang dia sanggup mempelajari ilmu silat dengan ayah Sufiyah. Kerana sayang juga dia sanggup membantah keputusan ibunya agar dia mengahwini Aida, sepupu yang mahu dijodohkan dengannya.

“Man cinta dan sayangkan Pia.” Akuinya perlahan. Nada kata-katanya tulus dan ikhlas, menggambarkan perasaan hatinya yang tidak berbelah bagi. Demi tuhan, dia ikhlas terhadap gadis itu.

“Kalau Man sayangkan Pia, tolong bawa Pia jauh dari sini. Suntinglah Pia jadi isteri Man. Pia tak mahu berpisah dengan Man lagi.” Rayuan Sufiyah benar-benar mengejutkannya. Dia terpaku seakan tidak percaya. Mata Sufiyah yang basah ditatap penuh asyik. Tuhan, aku juga menyayangi gadis ini. Tapi untuk membawa dia lari dari keluarganya, aku tidak sanggup. Fikiannya masih waras dan sekujur tubuh ini masih berpijak pada bumi yang nyata. Tak mungkin aku akan membelakangkan adat dan resam demi kerana cinta.

“Encik Razman?” Panggil Ibrar bertalu-talu. Razman segera tersedar dari lamunan yang panjang. Dia memandang Ibrar yang kelihatan hairan.

“Encik Razman tak apa-apa?” Soal lelaki itu lagi. Razman sekadar menggelengkan kepala. Bibirnya menyungging senyuman kecil. Dia tidak ingin Ibrar melihat kerut kesedihan yang bertamu di matanya ketika itu.

“Saya tak apa-apa Ib. Buat masa ini, awak teruskan awasi Anum Dahlia. Jangan sampai dia terlepas dari perhatian awak.” Pesan Razman. Ibrar mengangguk.

“Boleh saya tahu apa hubungan Encik Razman dengan Anum Dahlia?” Ibrar bertanya penuh hati-hati. Dia bimbang tersilap kata, bakal mencetuskan kemarahan lelaki yang sudah lama menjadi majikannya itu. Namun wajah Razman cukup tenang. Ternyata lelaki itu pandai mengawal emosi.

“Dia anak saya.” Jawab Razman. Ibrar terpempan. Anak? Hatinya tercuit dengan jawapan Razman yang serba ringkas itu. Benarkah begitu atau lelaki itu sekadar bercanda dengannya? Tapi dia pasti gadis yang diekorinya sejak beberapa hari yang lalu berbintikan Suffian Patrick.

* * * *

Razman melangkah masuk dengan langkah longlai. Kot yang dipakainya ditanggalkan lalu dilontar di suatu sudut. Dia menghempaskan tubuhnya ke arah sebuah sofa berbunga kecil berwarna putih biru. Matanya terperosok jauh ke segenap ceruk ruang tamunya. Setiap kali dia pulang, beginilah suasana yang terpaksa dilaluinya. Sunyi dan sepi. Tidak pernah ada suara lain di rumah itu selain dari suaranya sendiri. Malah tidak pernah ada suara tawa dan tangis kanak-kanak yang sering menyerikan sebuah rumahtangga yang pernah diidamkannya sejak sekian lama.

Sejak dia bercerai dengan Marion, rumah itu terus sunyi tanpa kehadiran seorang suri. Dan sesungguhnya dia tidak pernah berniat mahu mengikat perhubungan dengan seorang wanita. Bukan kerana dia tidak ada keinginan untuk memiliki seorang isteri lagi, tapi kerana dia tidak mahu menyeksa hati seorang perempuan lain seperti yang pernah dilakukannya terhadap Sufiyah dan Marion. Cukuplah sekali dia melakukan kesilapan. Dia tidak mahu melakukan kesilapan kali kedua.

Marion! Maafkan aku kerana terlalu kejam pada kau. Demi Allah, aku tidak pernah berniat mahu menyembunyikan perkara sebenar dengan berlindung di sebalik perkahwinan kita. Aku benar-benar ingin mencuba meneruskan hidup baru apabila aku menyebut lafaz nikah kita. Tapi keadaan tidak semudah yang aku sangkakan. Aku sangka aku akan melupakan dia, tapi rupa-rupanya aku silap Mar.

“Dia akan sembuh.” Bisikan Marion beberapa malam yang lalu menyusuri gegendang telinganya. Dia berpaling. Melarikan pandangan dari arah jendela ke wajah Marion. Wanita itu memandangnya tidak berkelip.

“I hope so.” Ujarnya lirih. Hidup dengan sekelumit harapan lebih baik dari tiada harapan langsung. Dan itulah yang dilakukannya sekarang. Menyakinkan dirinya sendiri yang esok masih ada, harapan masih wujud biarpun di saat-saat genting.

“You bermalam di mana malam ni?” tanya wanita itu.

“I dah booking hotel.”

Marion terdiam. “Kalau you tak kisah, you boleh bermalam di rumah. Jeremy ada di rumah sekarang ni.” Beritahu wanita itu. Dia memandang Marion yang kelihatan kekok. Sungguh dia mengerti hati wanita itu. Seperti Marion, dia juga merasa serba salah.

“Lebih baik I bermalam di hotel saja Mar. Lagipun I tak lama kat sini.” Balasnya. “Lepas urusan dengan pihak peguam Sufiyah dan Patrick selesai, I nak balik terus ke Malaysia. I nak cari Anum di sana.” Sambungnya lagi. Marion dilihatnya diam sahaja.

Razman menarik nafas panjang. Sukarnya dia mahu berhadapan dengan Marion kali ini. Meskipun hubungan mereka disatukan oleh Sufiyah sendiri, namun dia sentiasa menyimpan rasa bersalah pada Marion. Teganya dia sebagai lelaki mengahwini seorang wanita sedangkan hati dan jiwanya milik wanita lain. Kejamkah aku ini ya Allah?

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!