Followers

Monday, December 27, 2010

Sayangku Casper : Bab 36

RAFIQUE memberhentikan kereta secara mendadak di hadapan bangunan apartmen yang disewanya. Matanya mencerun tajam ke arah beberapa buah kereta yang berderet di kawasan bangunan tersebut. Hatinya terdetik rasa curiga. Didorong rasa syak wasangka, Rafique segera menukar gear kereta. Dengan pantas, kereta yang dipandunya diundur ke belakang, namun tiba-tiba muncul sebuah kenderaan lain menghalang di belakangnya. Cepat-cepat dia menekan brek kereta.

Rafique mengeluh kasar. Perasaan marahnya membuak-buak. Dengan wajah berang dia keluar dari kereta dengan niat mahu memarahi pemandu tak berhemah yang nyaris-nyaris membuatkan dia kemalangan. Namun sebaik dia berpaling ke arah kereta mewah bercermin gelap di hadapannya, nafasnya berderu resah. Dia terkesima menatap seraut wajah yang keluar dari perut kereta. Di belakang lelaki itu, keluar pula Davian yang kelihatan gelisah.

Rafique terpanar. Bingung bercampur marah melihat Davian bersama-sama lelaki itu.“Apa kau dah buat Davian?” Getus Rafique berang.

“Sorry Raff, aku…aku sebenarnya..” Tergagap-gagap Davian bersuara.

“Tak perlu kamu nak marahkan Davian. Kamu ingat daddy tak mampu cari kamu?” Lelaki itu menempelaknya.

“Apa daddy nak?” Soalnya acuh tak acuh.

Tengku Adrian tidak terus menjawab. Langkahnya dihala lebih dekat ke arah anak lelakinya. Wajah di hadapannya dipandang teliti. Pakaian Rafique yang agak selekeh direnung dari atas ke bawah. Sejurus matanya melontar pandangan remeh pada bangunan buruk di tempat itu.

“Jadi rupanya selama ini kamu tinggal di tempat buruk ni?” Sinis nada suara Tengku Adrian.

“Sekurang-kurangnya, tempat ini lebih baik dari istana almarhum nenda yang penuh dengan orang-orang hipokrit.” Balas Rafique sinis.

Tengku Adrian tersenyum. Dia faham Rafique sengaja mahu menaikkan darahnya. Kali ini dia takkan membiarkan Rafique berbuat sesuka hatinya. Tengku Adrian merenung anak muda itu dalam-dalam.

“Ikut daddy pulang Tengku Rafique. Ini bukan tempat sesuai untuk dibuat tempat tinggal.” Arah Tengku Adrian.

“Raff takkan ikut daddy. Urusan Raff di sini belum selesai.” Ujar Rafique tegas.

Tengku Adrian terdiam. Kata-kata Rafique membangkitkan amarah di hatinya. Dasar anak degil! Tak makan diajar! Gumam Tengku Adrian, panas hati.

“Kalau Adelie yang kamu cari, lupakan saja fasal dia. Jangan buat kerja sia-sia. Ikut daddy balik ke Paris malam esok.” Sahut Tengku Adrian.

Rafique terkedu. Jadi lelaki itu tahu tujuan kedatangannya? Apakah tujuan kedatangan ayahnya juga kerana Adelie? Tapi kenapa lelaki itu mahu pulang ke Paris? Apakah daddynya juga tahu tentang Adelie yang sudah meninggal? Rafique segera melontar pandangan ke arah Davian. Anak muda itu kelihatan serba salah mahu memandangnya.

“Sorry Raff, aku terpaksa bagitahu daddy kau fasal Adelie.” Bisik Davian resah.

Rafique tidak memberi sebarang komen. Dia tahu, lambat-laun lelaki itu pasti tahu tentang kematian Adelie. Bukankah selama ini ayahnya paling pintar memperolehi apa sahaja maklumat yang diinginkannya. Hampir lima tahun menjadi peguam di Fleur sebelum menjadi salah seorang rakan kongsi Madame Marianne, lelaki itu lebih licik dari yang disangkakan ramai orang.

“Daddy tentu gembira kan, sebab pewaris sah semua harta-harta granny dah meninggal dunia. Jadi tak ada sesiapa lagi yang boleh menghalang daddy berkuasa ke atas Fleur.” Kata-kata Rafique berbaur sinis.

Tengku Adrian kelihatan tenang. Matanya meneroka wajah Rafique yang kelihatan serius. Tiba-tiba bibirnya mengorak senyuman, membuatkan Rafique tersentak.

“Tentulah daddy gembira. Dengan kematian Adelie, seluruh harta Madame Marianne akan menjadi milik mutlak kamu Rafique. Lagipun dia sayangkan kamu bukan? Kamu adalah satu-satunya cucu yang dia miliki sekarang ini. Tapi daddy akan terus menerajui Fleur. Lagipun dia sudah tua, sudah sepatutnya dia berehat sahaja di rumah dan lepaskan hak mentadbir pada daddy.” Tengku Adrian ketawa kecil seolah-olah sedang merayakan kemenangan besar.

Rafique mengetap bibir. Kata-kata lelaki itu benar-benar membuatkan dia berang. Malu sungguh dia setiap kali mengingatkan lelaki itu adalah ayahnya. Darah dagingnya sendiri! Dia nyaris-nyaris hilang sabar dengan lelaki itu. Mungkin dalam dunia ini, orang yang paling memahami sikap ayahnya, hanyalah ibunya seorang.

“Sekalipun Adelie sudah tidak ada di dunia ini, tapi Raff takkan biarkan daddy rampas hak milik granny. Raff akan tentang daddy walau dengan apa cara sekalipun.” Getus Rafique tegas.

Tengku Adrian tersenyum lebar. “Lucu! Kamu sanggup mengkhianati daddy kerana perempuan tua tu? Kamu tahu kenapa daddy bawa kamu ke Vila Casper, Rafique?” Soal Tengku Adrian.

Rafique hanya membisu. Senyuman sinis lelaki itu ditatap tajam.

“Sebab daddy nak kamu jadi mata dan telinga daddy di rumah itu. Tapi sebaliknya kamu jadi orang yang paling tak berguna. Kamu sangka kamu boleh pertahankan orang tua tu? Mesyuarat ahli lembaga pengarah seterusnya akan tentukan siapa yang akan menggantikan Madame Marianne menerajui House Of Fleur.” Ujar Tengku Adrian. Wajah berang Rafique dihadapi dengan pandangan tenang.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!