Followers

Wednesday, October 24, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 12


            SEBAIK terlihat sebuah kereta Honda Gti tersadai di perkarangan rumah itu, Filman segera mengerutkan dahinya. Siapa pula yang datang petang-petang begini? Melia segera menerpa turun dari kereta. Wajah itu tampak girang.

            “Melly, hati-hati sayang. Jangan lari, nanti jatuh,” larang Filman. Tapi anak itu langsung tidak ambil pusing dengan kata-katanya. Sekejap sahaja tubuh kecil Melia menghilang ke dalam rumah.

Filman hanya mampu menggelengkan kepalanya. Semakin besar anak itu, Melia semakin tidak makan dipujuk. Dia segera mengangkat beg sekolah Melia dan briefcase miliknya sendiri lalu mengatur langkah ke dalam rumah.

            Di muka pintu, dia terpandang kelibat Melia duduk di riba ibunya Tengku Saida di ruang tamu. Wanita itu sedang berbual-bual dengan seseorang. Mata Filman segera melencong ke arah tetamu ibunya. Sebaik dia mengecam tetamu itu, wajah Filman segera berubah. Wirda!

            Sebaik menyedari kehadirannya, Wirda segera bangkit dari sofa yang didudukinya. Bibirnya melakar senyuman buat Filman.

            “Apa khabar Fil.” Sapa Wirda.

            Filman menelan liur berkali-kali. Wajah wanita itu ditatap hampir tidak percaya. Wirda kelihatan semakin cantik sejak kali terakhir dia melihat wanita itu. Lima tahun yang lalu, hatinya pernah pedih terluka disebabkan wanita itu. Dan kini wanita itu muncul lagi dalam hidupnya. Untuk apa?

*  *  *  *

            Tengku Saida asyik merenung wajah mulus yang sedang lena di katil. Dia mengelus-gelus rambut separas bahu yang mengurai di tepi telinga. Bibir Tengku Saida mengorak senyum mengingatkan telatah Melia yang semakin keletah.

Dah besar cucu nenek ni, keluh Tengku Saida. Dia bingkas bangun dari birai katil, lalu beredar ke muka pintu. Matanya sempat mengintai semula ke arah tubuh kecil itu, sebelum pintu di hadapannya dikatup perlahan-lahan.

            Kaki Tengku Saida melangkah melewati bilik Filman di sebelah. Dia menguak daun pintu, namun bayang Filman tidak kelihatan. Dia tergaman. Ke mana pulak perginya si Filman ni?

            Dia turun ke tingkat bawah. Jarum jam di dinding ruang tamu sempat dikerling. Sudah pukul sembilan malam. Petak garaj kereta suaminya masih kosong. Tengku Saida memang maklum dengan suaminya yang sering pulang lewat sejak akhir-akhir ini. Baru-baru ini firma suaminya sibuk menguruskan kes seorang ahli politik kenalan suaminya. Dan malam ini pula, lelaki itu terpaksa menghadiri majlis alumni universitinya. Tengku Amar ada mengajaknya pergi bersama, tapi dia sendiri malas mahu mengikut lelaki itu. Sejak usianya semakin meningkat, dia sudah tidak betah mahu mengikut suaminya ke majlis-majlis keraian. Dia lebih senang menghabiskan masanya dengan beribadat dan membaca QURAN.

            Dari jauh, mata Tengku Saida terperosok pada sesusuk tubuh yang sedang menghirup udara malam di kerusi rehat di laman rumah. Melihat lelaki itu, dia mengeluh panjang. Hmm patutlah bila dicari tak jumpa, di sini rupanya anak lelakinya itu. Diam-diam dia menghampiri Filman. Sesekali dia memeluk rapat kedua belah tangan ke tubuhnya, cuba menghangatkan tubuh yang kedinginan disapa angin malam. Filman yang kelihatan leka termenung ditatap dengan wajah berkerut.

            “Fil…” panggil Tengku Saida perlahan.

Filman tersentak. Terkebil-kebil matanya memandang ibunya yang tiba-tiba muncul di sampingnya.

            “Ma…terkejut Fil dibuatnya.” Filman mengurut dada. Tengku Saida ketawa besar. Kerusi rehat di sebelah anak lelakinya itu segera ditempati.

            “Jauh khayalan Fil tu. Dah sampai ke mana?” Usik Tengku Saida. Filman ketawa kecil. Ada-ada saja ibunya! Wanita itu sentiasa ada idea untuk mengusiknya.

            “Dah sampai ke Jepun dah. Kalau ma tak kejutkan Fil tadi, agak-agaknya dah sampai Queensland pun.” Balas Filman pula. Sengaja dia mahu mengenakan ibunya.

            “Oh Fil perli ma ya.” Tengku Saida tergelak panjang. Mula memahami maksud kata-kata anak lelakinya itu.

 “Sebenarnya tak ada apa-apa pun ma. Fil cuma terfikirkan Melly.” Ujar Filman seraya tersenyum.

“Kenapa? Fil takut kalau Melly setuju ikut Wirda ke Milan? Begitu?” Duga Tengku Saida. Memahami kemelut yang berada di fikiran Filman ketika ini.

Filman memandang ibunya. Wanita itu tidak pernah gagal memahami dirinya. Diam-diam dia akui,  dia sebenarnya takut kehilangan Melia di tangan bekas isterinya Wirda.

            “Fil, kan Wirda dah cakap dengan kita yang dia nak bawa Melly pergi bercuti saja. Bukannya dia nak bawa lari pun si Melly tu. Ma rasa Fil tak perlu bimbang sampai macam ni sekali.” Nasihat Tengku Saida tenang.

            “Ma, Fil tahu Fil tak berhak pisahkan kasih sayang Wirda pada Melly, sebab Wirda yang melahirkan Melly. Dia berikan Fil satu anugerah yang tak ternilai dalam hidup Fil. Tapi sampai sekarang, Fil benar-benar tak boleh terima dia sanggup tinggalkan Melly dulu. Dia hancurkan satu-satunya kepercayaan yang Fil berikan padanya ma.” Keluh Filman.

            Tengku Saida terdiam. Dia sendiri tidak faham kenapa sampai begitu sekali rentak hubungan antara Filman dengan bekas menantunya. Dahulu dia sangkakan Wirda boleh hidup bersama Filman. Lagipun hubungan kedua-duanya rapat sejak mereka masih kecil. Malah hubungan antara kedua-kedua keluarga mereka juga sangat erat sejak dulu. Dia dan suaminya benar-benar terkejut bila mendapat tahu Wirda mahu melanjutkan pelajaran ke Milan dalam bidang fesyen. Itupun selepas beberapa bulan Wirda melahirkan Melia.

            Tengku Saida memandang Filman yang kelihatan muram. Kasihan Filman! Anak lelakinya itu seperti hilang akal bila Wirda pergi dahulu. Dia tahu Filman terlalu menyayangi Wirda. Sejak dulu cinta Filman terhadap Wirda mengatasi segala-galanya.

            “Fil masih sayangkan Wirda?” Soal Tengku Saida, cuba mengorek rahsia hati anaknya. Dia inginkan kepastian. Jawapan kepada teka-teki yang berladung di fikirannya sejak dulu.

Filman tersentak mendengar pertanyaan itu. Bulat matanya menatap wajah ibunya. Dia serba salah. Sayangkah lagi aku padanya? Entahlah, dia sudah tidak pandai mentafsir perasaan hatinya seperti dulu. Yang nyata, hatinya terluka disebabkan Wirda. Dan sampai kini dia masih terluka dengan keputusan Wirda lima tahun yang lalu.

            “Wirda betul-betul nekad nak pergi?” Dia melontar pertanyaan itu apabila dilihatnya Wirda sibuk mengemaskan barang-barangnya dalam dua buah bagasi yang agak besar. Wirda menoleh ke arahnya.

            “Fil tahu yang Wirda kena pergi. I have to go so please don’t stop me.” Ujar Wirda. Mendengar kata-kata Wirda itu, entah kenapa hatinya tiba-tiba membara. Dia merenung tajam ke wajah Wirda yang acuh tak acuh terhadapnya.

            “Kenapa Wirda tak fikirkan langsung fasal Melia? Melia anak kita. Don’t you love  her?” Sindirnya. Wirda berhenti mengemas. Mata itu melorot ke arahnya.

            “Wirda sayangkan anak kita, Fil. Tapi Wirda ada impian Wirda sendiri. Dan Wirda takkan biarkan impian itu hilang semata-mata kerana Wirda seorang ibu. Tolonglah untuk kali ini, Fil tolong fahami keputusan Wirda ni.” Ujar Wirda.

            “Wirda minta Fil fahami Wirda. Tapi pernahkah untuk sekali sahaja Wirda faham perasaan Fil pulak? This is unfair, Wirda. And this time you are too much.” Herdiknya.

Perasaan kecewa memarakkan lagi marahnya pada Wirda, bekas isteri yang  dicintainya pada pandangan pertama. Dahulu dia pernah kehilangan Wirda, tapi tuhan bagaikan mengasihinya. Wirda dipulangkan kembali ke sisinya. Tapi sebagai seorang suami, dia gagal meletakkan hati dan seluruh perasaan Wirda dalam genggaman cintanya.

            Lima tahun Wirda menghilang diri ke Milan. Hanya beberapa minggu yang lalu wanita itu kembali semula ke tanahair. Itupun jika bukan kerana dia terpandang sesi temubual wartawan stesyen tv sedang menemubual pereka fesyen terkenal Tengku Wirda Hayati, pasti dia tidak tahu yang Wirda sudah pulang dan ada di Kuala Lumpur ketika ini. Tak sangka wanita itu masih punya keberanian untuk bertemuanya hari ini.

1 comment:

Unknown said...

lepas kan sejarah silam filman,bina lah hidup baru,namun ikatan wirda sebagai ibu pada melia tk kan terlerai dunia akhirat.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!