Followers

Thursday, May 7, 2020

Beautiful Lie (Bab 15)


MELIHAT tangan gadis itu mengigil sakan, Airis hanya mampu mengeluh. Dia merenung wajah kalut gadis di hadapannya agak lama. Adriana! Dia benar-benar tidak menyangka Yasmin akan membawa gadis itu ke rumahnya. Tapi dari cara Adriana memandangnya, dia tahu Adriana langsung tidak ingat siapa dia.
                Airis cuba bangun dari sofa dengan wajah berkerut menahan sakit. Adriana yang melihat lelaki itu terpinga-pinga.
                “Awak baring aje, awak kan cedera.” Suruhnya.
                Kata-kata Adriana tak diambil endah. Sebaliknya dia bersandar di dada sofa. Tangannya dihulurkan ke arah gadis di hadapannya.
                “Bagi sini jarum tu, aku jahit sendiri. Kau boleh balik.” Ujar Airis.
                Adriana teragak-agak mahu memberikan jarum di tangannya pada lelaki bertatoo itu. Dia tahu lelaki itu pasti marah kerana dia melambat-lambatkan masa untuk menjahit luka lelaki itu. Memang salahnya juga! Tiba-tiba sahaja dia tidak ada keberanian mahu melakukannya. Lagipun lelaki itu dalam keadaan jaga. Dia percaya dia akan lebih mudah melakukannya jika lelaki itu tidak sedarkan diri.
                “Aku kata bagi sini jarum tu.” Airis bertegas.
                No, saya buat. Biar saya yang buat.” Pintas Adriana sedikit gugup.
                Airis terdiam sejenak.
                “Kau berani?” Soalnya ingin tahu.
                Adriana mengangguk dengan wajah kecut. Berani atau tidak, terpaksalah dia buat juga.
                “Jahit sahaja sesuka hati kau. Jangan kisahkan aku. Aku dah biasa tahan sakit. Luka macam ni perkara biasa sahaja.” Ujar Airis berbohong. Tujuannya hanya untuk membuatkan gadis itu lebih tenang.
                Adriana mengangguk. Jahit sesuka hati? Aku jahit bentuk cross stich tu nanti baru kau tahu! Sempat lagi dia menggumam begitu. Ketika jarum pertama menyauk kulit lelaki itu, mata Airis dilihatnya terpejam-pejam sedikit sambil mengetapkan bibirnya.
Adriana menjeling. Dia tahu lelaki itu sedang menahan sakit. Namun dia teruskan sahaja menarik tali tangsi itu agak berhati-hati dan menjahit luka lelaki itu sehingga tertutup.
                Sesekali dari kelopak matanya, Airis leka sendiri merenung wajah gadis itu dari dekat. Baru semalam, dia habiskan masanya mengekori Adriana. Dan ironinya malam ini, dia dan gadis itu sedang berdua-duaan di rumahnya.Tak sangka dia dapat melihat wajah manis itu dari jarak dekat begini. Entah apa agenda Yasmin terhadap gadis itu? Dia tahu Yasmin banyak mengugut gadis itu sejak dua tahun yang lalu. Bermula dari hutang ayah Adriana, sehinggalah pada lelaki pendera yang diuruskannya.
                Dua tahun  yang lalu, dia ternampak suatu kejadian yang pertama kali membuatkan dia berang. Ketika itu Adriana masih bekerja di sebuah kelab malam yang sering dikunjunginya. Gadis itu masih muda, tapi terpaksa bekerja semata-mata kerana hutang judi ayahnya. Ketika itu dia berada bersama Yasmin apabila ternampak Dollah memukul anak gadisnya di lorong belakang kelab. Tindakan lelaki itu yang kasar sukar mahu diterimanya. Selama hayatnya dia sendiri tidak pernah memukul perempuan, inikan pula dipaksa melihat lelaki bedebah itu membelasah anak gadisnya seteruk itu.
                 Dia mahu membantu Adriana ketika itu tapi entah kenapa Yasmin menghalangnya.
                “Jangan campur urusan orang Airis.” Ujar Yasmin.
                “Tapi kalau diteruskan dia akan mati.” Ujarnya membantah.
                Yasmin memandangnya dengan senyuman sinis.
                “Sekalipun dia mati, kau dah janji dengan aku nak ikut semua arahan aku tanpa membantah. Kalau kau tak sanggup nak tengok budak tu dipukul, tutup mata kau.” Ujar Yasmin.
                Tapi dia tidak menutup matanya. Sebaliknya dia melihat dengan perasaan perit bagaimana Adriana dibelasah hingga bengkal-bengkil seluruh tubuh. Tak cukup dengan itu gadis itu ditempeleng berkali-kali. Suara teriakan Adriana yang kesakitan membuatkan dia hanya mampu mengetap bibir kegeraman. Sakit hatinya tidak terperi lagi. Buat pertama kali dalam hidupnya dia membenci dirinya sendiri kerana tidak berdaya membantu anak gadis itu.
                Damn it! Dia takkan bertahan Kak Yas.” Bisiknya seraya melirik ke arah Yasmin. Mengharapkan wanita itu akan bersuara memberi arahan. Dia sudah bersedia mahu membelasah Dollah.
                Yasmin tiba-tiba berpaling memandangnya.
                “Dia harus melalui seribu penderitaan dan kepahitan untuk menjadikan dia seorang yang kuat. Kalau kau tolong dia sekarang, dia akan terus jadi lemah dan mengharapkan ehsan orang. Aku tak mahu dia jadi gadis seperti itu Airis. Kau pernah melaluinya bukan? Jadi sepatutnya kau lebih tahu itu.” Bisikan Yasmin singgah di gegendang telinganya.
                Dia terpanar mendengar kata-kata Yasmin. Kau pernah melaluinya bukan? Airis menutup kelopak matanya. Hatinya pijar setiap kali mengingatkan kata-kata Yasmin. Dia paling mengerti apa maksud Yasmin terhadapnya.
                Dahulu sewaktu kecil pun dia sering menjadi karung tinju untuk seorang lelaki. Tempat lelaki itu melempiaskan kemarahan. Hidupnya ketika itu sangat sukar selepas kematian ibunya. Ayahnya pula seorang peninju Muay Thai yang sangat hebat dan dikenali. Tapi selepas satu perlawanan, ayahnya kalah dan cedera teruk. Lelaki itu mula menjadi pemarah dan sering memukulnya. Malah kadangkala ayahnya menghilangkan diri dan membiarkan dirinya sendirian di rumah dalam keadaan lapar dan tak terurus. Sejak kecil lagi dia sudah kenal erti sakit sehingga rasa sakit apa pun tidak mampu lagi dia tangisi kecuali tahan dan terus bertahan.
                “Kenapa? Sakit sangatkah?” Suara Adriana muncul.
                Airis membuka matanya. Merenung wajah cemas di hadapannya yang kelihatan risau. Dia tunduk ke arah abdomennya. Jahitan Adriana agak baik dan kemas.
                “Boleh kau ambilkan aku air? Aku haus.” Pintanya.
                Adriana mengangguk. Gadis itu segera bergegas ke arah dapur sebelum kembali dengan gelas berisi air putih. Dia mencapai gelas tersebut lalu meneguknya agak rakus. Memang dia benar-benar haus.
                Ketika dia mengalihkan pandangan, dia nampak Adriana asyik memerhatikannya. Bebola mata gadis itu leka memerhatikan setiap tatoo yang ada di tubuhnya.
                “Kau takut tengok tatoo ni?” Tanyanya seraya tersenyum.
                Adriana tergaman. Pantas anak gadis itu menggelengkan kepalanya.
                “Langsung tak takut? Tak nak tanya aku apa yang aku pernah buat?  Mungkin aku pernah merompak, menyamun atau mungkin juga aku pernah membunuh.” Ujar Airis seraya merenung wajah anak gadis itu yang mula berubah. Dia tahu ada gentar di hati gadis itu sebaik dia mencanang begitu.
                “Awak…awak pernah bunuh orang?” Tanya Adriana seperti gelisah.
                “Kau pernah?” Airis mengembalikan pertanyaan anak gadis itu dengan soalan juga.
                Adriana tersentak. Bunuh? Itu satu-satunya dosanya yang mungkin tidak akan diampuni sampai bila-bila. Perkataan itu sahaja membuatkan nafasnya kencang. Hatinya seperti direjam dengan kerikil-kerikil tajam.
                Airis merenung wajah di hadapannya tidak berkelip. Resah yang terpapar di wajah itu, dia paling mengerti apa maksudnya. Bukan niatnya bertanya begitu untuk mengembalikan Adriana pada kisah silamnya. Sebaliknya dia hanya terlanjur mahu Adriana mengingatkan dirinya.
                “Maaf, wrong question. Tak payah jawab, aku cuma bergurau.” Ujar Airis.
                Adriana menarik nafas panjang. Dia mengulit wajah lelaki itu dengan perasaan kesal. Tatoo yang ada pada badan lelaki itu sekali lagi ditatap. Dia tahu dia tidak berhak menilai apa pun yang dilakukan lelaki itu kerana dia juga tidak jauh bezanya.
                “Airis.” Ujar lelaki itu tiba-tiba.
                Adriana terpegun. Serentak wajah lelaki itu ditatap. Sepasang mata lelaki itu kini tertumpu ke arahnya.
                “Nama aku Airis.”
                Adriana menarik nafas.
                “Adriana.” Sebutnya lambat-lambat.
                Well, terima kasih Adriana sebab jahitan cantik ni. Maaf sebab kita bertemu begini. Kak Yas tak sepatutnya bawa kau ke mari.” Ujar Airis.
                Adriana terdiam. Mengingatkan Yasmin dia hanya mampu mengeluh. Entah ke mana perginya wanita itu sehingga sekarang belum pulang-pulang lagi.
                “Macamana awak kenal Kak Yas?”
                Airis terdiam.
                “Aku kerja dengan dia.” Ujarnya.
                “Kerja? Kerja yang macamana?”
                “Apa sahaja yang membolehkan kekuatan aku digunakan. Kadangkala aku jadi bodyguard, kadangkala jadi bouncer dan kadangkala jadi stalker untuk dia.” Ujar Airis selamba.
                Adriana tercengang-cengang.
                “Kenapa awak nak kerja untuk orang macam dia?” Terluncur soalan itu dari bibir Adriana.
                Airis tergaman. Bebola matanya dilemparkan ke arah Adriana agak lama.
                “Sebab orang macam tu yang selamatkan aku dari maut.” Ujar Airis.
                “Maksud awak?” Dahi Adriana berkerut.
                “Kalau bukan kerana Yasmin, aku mungkin dah lama mati.” Ujar Airis tanpa menjelaskan lebih dalam maksudnya.
                Adriana mengeluh.
                “Tapi orang macam tu juga yang telah menghancurkan hidup saya.” Bisik Adriana sebak. Dia bingkas bangun, lalu mencapai tas tangannya.
Airis terpisat-pisat memerhatikan gadis itu. Kata-kata Adriana membuatkan dia terkesima.
“Awak tak kisah kan kalau saya balik dulu? Saya tak boleh tinggalkan ibu saya lama-lama di rumah. Saya harap kecederaan awak tak parah.” Ujar Adriana.
Airis hanya mengangguk. Melihat gadis itu beredar meninggalkannya, keluhan kecilnya meniti keluar dari bibir. Kasihan Adriana! Seperti gadis itu, dia juga teringin mahu tahu, kenapa gadis baik hati seperti Adriana menjadi sasaran Yasmin sejak sekian lama? Apa tujuan Yasmin sebenarnya?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!