Followers

Friday, January 3, 2014

Lelaki Itu Syurgaku - Bab 6


TIPS diberi pada seorang penjaga pintu. Setelah dipastikan tidak ada sesiapa pun yang mengekorinya, dia segera melangkah masuk ke dalam sebuah pusat karaoke. Lagaknya seperti mencari-cari sesuatu.

            Sebaik sampai di sebuah bilik, dia terus menolak pintu tersebut. Terdapat kelibat seseorang di dalamnya yang sedang menyanyi. Gadis yang sedang menyanyi itu menoleh, lantas terjerit gembira sebaik melihatnya.

            Dah lama kau tunggu?” Tanya Orked pada temannya.

            “Tak lama sangat. Lepas kelas aku terus berkejar ke mari.”

            Ada kau bawa?” Orked sudah malas mahu mendengar celoteh Mira. Dia hanya mahukan benda yang dipesannya dari gadis itu.

            Mira tersenyum lalu menghulurkan sebuah beg sederhana besar ke arah Orked. Gadis itu menyambutnya dengan wajah berseri-seri.

            “Kau ni dah nekad ke tak nak balik rumah? Habis pelajaran kau macamana?” Mira bertanya ingin tahu. Terkejut juga dia apabila Orked menelefonnya dan memintanya membawa semua pakaiannya ke pusat karaoke itu. Tanpa berlengah dia segera mengemaskan pakaian-pakaian Orked yang berada di bilik asramanya. Itupun kerana Orked kerap bermalam di bilik asramanya dari pulang ke rumah sendiri.

            Lantaklah. Diaorang pun bukan suka sangat aku balik rumah tu. Buat masa ni, aku cuma nak tenangkan fikiran aku. Aku nak pergi jauh Mira.” Ujar Orked dengan wajah muram.

            “Gila kau Orked. Kau tahu tak, pihak dekan dah tahu dah fasal kau kena tahan dekat lokap tu. Kelmarin aku terserempak ayah kau bercakap-cakap dengan Dekan fakulti kita.” Ujar Mira.

            Dahi Orked berkerut mendengar kata-kata temannya itu. Kenapa ayahnya  datang menemui Dekan di tempatnya belajar? Bukankah selama ini ayahnya sering mengatakan tidak akan mengambil tahu sebarang urusan mengenainya lagi?

            “Habis apa kata Dekan?” Tiba-tiba dia teringin mahu tahu. Barangkali dia sudah disingkirkan dari kolej agaknya.

            Entah, manalah aku tahu. Waktu aku tiba kat pejabat Dekan tu, ayah kau dan Dekan tu baru keluar dari bilik. Mereka nampak okey je. Aku rasa tak ada apa-apa kut. Tak usah bimbanglah. Kau pun satu, kenapa sampai kena tangkap pulak?” keluh Mira.

            Orked terdiam. Dia memandang ke arah pakaiannya. Bau arak begitu kuat menusuk ke hidung. Dia mengeluh panjang sebaik teringatkan kekecohan malam itu.

Segalanya bermula dari seorang lelaki yang cuba menganggunya ketika itu. Puas dia menolak tapi lelaki itu bagaikan tidak tahu malu. Entah macamana ketika dia cuba menepis tangan lelaki itu, gelas arak di tangan lelaki itu terus tercurah ke bajunya. Akibatnya sepanjang malam itu dia berbau arak.

            Tak cukup dengan itu, teman wanita lelaki itu pula datang menyerangnya. Dan terjadilah perang mulut yang akhirnya berakhir dengan pukul memukul. Itulah juga sebab kenapa dia ditahan selama dua hari di lokap. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama dia bermalam di lokap. Beberapa bulan yang lalu dia turut diangkut ke lokap apabila pihak polis menyerbu kelab malam yang dijelajahinya hampir setiap malam.

            Waktu itu ayahnya benar-benar marah. Lelaki itu memang panas baran, tidak seperti arwah uminya yang lebih lembut dan tenang. Mungkin itu juga sebabnya lelaki itu tidak mahu lagi menjaminnya.

            “Kau tunggu sini sekejap, aku nak salin pakaian kat toilet.” Arah Orked lalu terburu-buru meninggalkan Mira yang terpisat-pisat memerhatikannya.

            Lima belas minit kemudian dia keluar dari bilik air lalu menuju ke arah bilik tempat Mira menunggunya. Tapi belum sempat tangannya mahu memulas tombol pintu di hadapannya, telinganya tiba-tiba mendengar satu bunyi bising. Mata Orked serta-merta terbeliak. Mira!

            Tanpa berfikir panjang, dia terus meluru masuk. Matanya segera terpandang kelibat Idlan Riyaz sedang membelasah beberapa orang lelaki muda di dalam bilik karaoke itu. Orked terpanar. Dia mengerling ke suatu sudut. Mira terjelepuk di situ sambil menangis. Antara hendak meleraikan Idlan dan memujuk Mira, akhirnya dia memilih menghampiri Mira.

            “Mira, kenapa ni?” Soal Orked cemas.

            Diaorang semua datang kacau aku. Nasib baik ada encik tu.” Jelas Mira sambil teresak-esak.

Orked berpaling. Kata-kata Mira membuatkan dia berpaling ke arah Idlan yang sedang termengah-mengah. Melihat hampir separuh lunyai lelaki-lelaki itu dikerjakan Idlan, Orked segera meluru ke arah Idlan. Lengan lelaki itu ditarik kasar.

            “Kau dah gila ke? Nanti mati diaorang tu semua.” Jerit Orked.

            Idlan terdiam, tidak jadi meneruskan niatnya. Orked segera mengalihkan pandangan ke arah lelaki-lelaki yang terjelepuk kesakitan dengan wajah bengkak-bengkil. Melihat keadaan lelaki-lelaki itu, dia menarik nafas panjang. Kuat juga mamat ni! Desis hati kecilnya.

            Bunyi riuh-rendah kedengaran di telinganya. Orked mengeluh panjang. Masalah dah sampai! Cepat-cepat dia mencapai beg sandangnya lalu segera meluru ke arah Mira dan menarik tangan gadis itu. Di muka pintu, dia menoleh ke arah Idlan. “Kalau kau tak nak masuk lokap macam aku, cepat tinggalkan tempat ni sebelum diaorang report polis!” Getus Orked sebelum melarikan diri.

            Idlan terkesima. Mahu tak mahu dia segera mengekori kedua-dua gadis itu meninggalkan pusat karaoke itu.

*  *  *  *

KERETA yang dipandunya berhenti di hadapan sebuah kolej kediaman. Mira melangkah  turun. Orked ikut turun dari perut kereta.

            Kau tak apa-apa kan?” Tanya Orked, simpati dengan apa yang berlaku pada Mira hari ini. Wajah gadis itu masih kelihatan pucat. Mira memang agak penakut, tidak seperti Arida yang lebih berani dan lantang mengeluarkan pendapat. Tapi jika dia mahukan ketenangan, hanya Mira yang akan menemaninya. Hinggakan jika diajak ke kelab malam pun, Mira akan sanggup mengikutnya. Arida sahaja yang sering membangkang kata-katanya.

            Mira berpaling. Dengan senyuman hambar gadis itu menggeleng.

            Aku tak apa-apa. Kau tetap nak pergi ke? Tak nak tidur kat bilik aku?”

            Orked mengerling sebentar ke arah Idlan yang berada di tempat duduk pemandu, sebelum mengalihkan pandangan ke arah Mira. Tanpa menjawab kata-kata Mira, dia segera merangkul tubuh gadis itu.

            Aku cuma nak tenangkan fikiran. Jangan risaukan aku ya.” Bisik Orked di cuping telinga gadis itu.

            Betul ke dia tu abang kau?” Tiba-tiba Mira bertanya seraya mengerling ke arah lelaki yang sabar menanti mereka di dalam perut kereta.

            Orked segera melepaskan rangkulannya. Matanya melirik tajam ke arah Mira. “Abang tiri okey.” Ujarnya membetulkan kata-kata Mira.

            “Abang tiri pun tetap abang. Aku tengok dia okey apa. Handsome pulak tu.” Mira tersenyum-senyum sambil mencuri pandang ke arah Idlan.    

Serta-merta satu cubitan singgah di kulit lengan Mira. Gadis itu mengaduh kesakitan.

            “Kau ni kan memang pantang tengok lelaki handsome. Baru kena kacau sikit dah nak nangis, ini dah start ada hati pulak kat mamat tu. Memang tak tahu serik,” rungut Orked.

            Mira sekadar tertawa. “Alah apa salahnya, lagipun mata aku ni kan hak aku. Suka hati akulah kalau aku suka tengok abang Idlan tu.” Balas Mira.

            Pulak dah! Sejak bila pulak dia jadi abang kau?” Hujah Orked seraya menggelengkan kepalanya.

“Dahlah tu, malas nak layan kau lagi. Aku minta diri dululah. Malam ni jangan kau mengigau yang bukan-bukan pulak. Macam budak kecil! Kena sergah sikit dah nangis.” Cebik Orked, sengaja mahu menyakat Mira yang hanya tersenyum sumbing memandangnya.

Orked segera memasuki perut kereta yang tidak dimatikan enjinnya. Idlan segera menggerakkan keretanya meninggalkan perkarangan kolej kediaman lalu menyusur keluar dari kawasan universiti.

            Kita balik ya?” Pujuk Idlan tiba-tiba bersuara.

            Orked membuang pandang ke luar tingkap. “Tak payah. Jalan terus, pergi Bukit Bintang.” Getus Orked selamba.

            “Orked nak ke mana ni?” keluh Idlan. Sudah mati kutu dia mahu memujuk anak gadis itu untuk pulang bersamanya. Sangkanya dengan kejadian yang baru berlaku di pusat karaoke itu, Orked akan serik. Tapi ternyata dia silap menduga.

            “Suka hati akulah nak ke mana pun. Kalau kau tak nak hantar, berhenti aje kat sini. Aku boleh naik teksi.” Balas Orked seraya mendengus kasar.

            Idlan menjeling. “Tengok tu, asyik ber aku kau aje dari tadi. Orked sepatutnya panggil abang ni abang Idlan. Barulah lembut sikit lidah tu.” Ujar Idlan selamba.          Orked merenung lelaki di sampingnya dengan wajah menyinga. Sakit hatinya mendengar kata-kata Idlan yang dirasakannya seperti menyindirnya sahaja.

            “Yang kau sibuk-sibuk fasal hal aku ni kenapa? Macamana kau boleh ada kat sana tadi? Kau ekori aku ya?” Wajah Idlan dicerlung tajam.

            Idlan terdiam. Memang dia sengaja mengekori Orked dari balai polis kerana bimbangkan keselamatan gadis itu. Apabila dia nampak Orked memasuki pusat karaoke itu, hatinya mula gundah-gulana.

Melihat lelaki itu diam sahaja, Orked hanya mampu menarik nafas panjang. Memang betullah seperti apa yang disangka. Lelaki itu memang sengaja mengekorinya. Ini mesti ayah yang suruh! Getus hati Orked mula tidak senang.

“Berhenti kat sini!” Dia menyuruh.

Idlan berpaling. Dahinya berkerut seribu.

Jangan nak buat gila Orked. Sekarang kan hari dah lewat malam. Kalau abang berhentikan Orked kat sini, entah siapa nanti akan berhentikan kereta dan kutip Orked kat sini. Kalau orang baik tak apalah jugak, tapi kalau kena orang jahat? Makan pun tak habis nanti!” Rungut Idlan dengan suara sengaja ditinggikan.

Orked tergaman. Amboi mamat ni! Sesedap mulut aje mengata aku. Baru balik ke sini dah berlagak macam abang aku!

“Sekarang Orked cakap kat abang, Orked sebenarnya nak ke mana?” Soal Idlan lembut.

“Aku tak mahu balik rumah.” Putus Orked tegas.

“Itu abang dah tahu. Kalau Orked betul-betul tak nak balik rumah, bagitahu abang Orked nak ke mana. Abang akan bawa Orked ke mana-mana sahaja yang Orked mahu. Itu lebih baik dari abang biarkan Orked sendirian.” Tukas Idlan nekad.

Mendengar kata-kata Idlan, Orked tersenyum sinis. Betulkah lelaki itu akan sanggup membawanya ke mana sahaja? Janji apakah itu?

Dia melirik ke arah Idlan. Diam-diam wajah lelaki itu ditelus sepasang matanya. Wajah itu langsung tidak mirip dengan ibu tirinya Maria. Wanita itu berkulit hitam manis, manakala Idlan berkulit cerah. Bibirnya merah tanda tidak merokok. Rambutnya pendek dan dipotong kemas. Warna rambutnya hitam dan tidak perang seperti warna rambut kawan-kawan lelakinya yang suka mengikut peredaran zaman. Dan mata itu? Aneh, mata lelaki itu cukup indah dan mendamaikan pada kali pertama dia memandang lelaki itu di kamar polis petang tadi.

“Orked belum bagitahu abang lagi Orked nak ke mana.” Idlan tiba-tiba menoleh.

Dia terkesima. Tatapan mata Idlan membuatkan dia gugup sebentar. Damn it! Lain kali nak toleh, tolong inform dulu boleh tak! Keluh Orked seraya melarikan anak matanya.

“Mana-mana saja.” Balasnya acuh tak acuh.

“Mana-mana tu kat mana?” Idlan mengembalikan pertanyaan.

“Zouk.” Jawab Orked sepatah.

Mata Idlan terbeliak. Zouk? Biar betul anak dara ni!

“Itu kelab malam kan? Orked nak buat apa ke sana?”

Ketawa Orked meletus. Idlan terpisat-pisat memandangnya. “Hmm..not bad untuk seseorang yang baru balik ke Malaysia. Kau tahu jugak fasal Zouk. Aku kagum.” Ujar Orked sinis.

Orked belum jawab pertanyaan abang. Orked nak buat apa kat tempat macam tu?” Idlan mengulangi pertanyaan.

“Nak buat apa lagi? Aku nak mabuk-mabuk la. Menari puas-puas. Kalau kau nak join pun takde hal. Aku belanja, macamana?” Provok Orked, sengaja mahu menaikkan darah lelaki itu.

Idlan menarik nafas panjang. Dia termenung sendiri mendengar kata-kata anak gadis itu. Zouk! Nama kelab malam itu agak gah bagi anak-anak muda kota. Dan tempat seperti itu biasanya penuh dengan muda-mudi yang bebas pergaulannya. Tak mungkin dia akan benarkan Orked ke tempat seperti itu.

“Kalau kau tak suka, kau tak perlu ikut. Berhentikan saja kereta ni habis cerita. Aku buat hal aku, kau buat hal kau sendiri cukuplah.  End of the story.” Ujar Orked selamba. Dari riak wajah Idlan, dia tahu umpannya mengena. Idlan tak mungkin akan sanggup mengikutnya ke Zouk.

Stop the car right now.” Suruh Orked.

Idlan hanya berdiam diri. Suruhan Orked hanya dibuat endah tak endah sahaja. Dia masih memikirkan sesuatu sebenarnya.

“Aku kata  berhenti, berhentilah. Kau tak faham bahasa ke?” Getus Orked dengan bahasa yang agak biadab.

Idlan menoleh dengan wajah serius. Gadis itu benar-benar mencabar kesabarannya. Dia juga tahu Orked sengaja mahu memprovoknya agar meninggalkannya bersendirian. Tapi dia takkan membiarkan hasrat gadis itu kesampaian.

 “Okey, abang akan ikut Orked masuk Zouk malam ni. Orked enjoylah puas-puas. Apa sahaja Orked nak buat, Orked buatlah. Tapi esok, Orked kena ikut cakap abang pulak. Setuju?” Matanya dikalihkan ke arah anak gadis itu.

Orked terkedu mendengar kata-kata itu. Lain yang diharapkan, lain pula yang berlaku. Idlan seperti tahu apa sebenarnya yang bermain di fikirannya.

“Kalau tak, sekarang jugak abang bawa Orked balik ke rumah.” Ugut Idlan.

Orked mendengus kasar. Terasa berang dengan kata-kata Idlan. “Suka hati kaulah. Sekarang bawa aku pergi Zouk.” Getusnya mengalah.

Idlan tersenyum kecil. Dia sudah nekad untuk menurut apa sahaja kehendak Orked malam ini. Kerana esok, Orked akan menjadi miliknya sepenuhnya.

*  *  *  *

MARIA mundar-mandir di hujung katil sedari tadi. Kelibat isterinya singgah di penjuru mata Hamdan. Dia menutup buku seraya meletakkannya di tepi katil. Wajah isterinya ditelus agak lama.

 “Tak usahlah bimbang Mar, kejap lagi baliklah budak-budak tu.” Pujuk Hamdan, cuba meleraikan keresahan isterinya. Bosan juga dia asyik terganggu oleh gerak-geri Maria yang serba tidak kena sepanjang petang tadi.
        Maria berpaling. Dahinya berkerut menatap wajah sang suami. “Saya risaukan Idlan.” Bisiknya.

        “Kejap lagi baliklah tu. Itulah sebab kenapa saya larang Idlan tu pergi ikat jamin si Orked, tapi awak tak nak dengar cakap saya. Sekarang awak juga yang susah hati sampai saya pun tak senang duduk. Percuma sahaja nak ikat jamin budak macam tu.” Rungut Hamdan.

Maria sekadar merenung wajah suaminya dengan tatapan mata gusar.
        “Abang, Orked tu anak awak, perempuan pulak tu. Kenapa awak berdegil sangat tak nak ikat jamin budak tu? Awak tak kasihan ke dia duduk dalam lokap berhari-hari macam tu?” Maria benar-benar tidak bersetuju dengan tindakan suaminya. Meskipun Orked tidak pernah menganggapnya sebagai seorang ibu, tapi dia masih ada hati perut. Masih ada rasa simpati di hatinya untuk Orked Harlina, anak gadis suaminya.
        
“Budak tu cuma menyusahkan saya aje. Tak habis-habis buat masalah dari dulu sampai sekarang.
Sama aje perangai macam mak dia.” Rungut Hamdan.

        Maria terdiam. Renungannya singgah lama pada wajah Hamdan yang merah padam. Rahang lelaki itu bergerak-gerak, menandakan kemarahannya sedang menular dari dalam.

        “Apa sebenarnya salah Hazila pada awak? Kenapa awak selalu buruk-burukkan orang yang dah meninggal?” Soal Maria ingin tahu.

        Hamdan terpanar. Pandangannya dilontar keruh ke arah isterinya, namun tidak ada kata-kata yang terluah. Jawapan yang diinginkan Maria tidak pernah mampu dilontar keluar dari bibirnya. Dengan wajah berang, dia beredar dari bilik itu tanpa menjelaskan apa-apa.

Bunyi pintu dihempas kuat membuatkan Maria tersentak. Dia hanya mampu menggelengkan kepala. Lelaki itu tidak pernah berubah sejak mereka mula-mula kenal dahulu sehinggalah sekarang. Kadangkala dia keliru, apakah keputusannya menerima lamaran Hamdan benar-benar satu keputusan yang tepat dalam hidupnya setelah dia kehilangan Ikhmal?

        Melihat Hamdan melayan Orked dengan hambar dalam tempoh setahun ini membuatkan dia ragu-ragu. Apakah Hamdan mampu menerima Idlan seperti anaknya sendiri? Tapi sejak Idlan baru balik dari luar negara beberapa hari yang lalu, lelaki itu kelihatan mesra pula dengan Idlan. Layanan Hamdan pada Idlan tak ubah seperti anak sendiri, berbeza sekali dengan layanan lelaki itu pada Orked yang sentiasa dimarah dan dijerkah. Kadangkala perangai Hamdan itu membuatkan dia diterpa pelbagai sangkaan buruk. Apakah Orked bukan anak kandung Hamdan dan Hazila?
        “Tuan Hamdan memang macam tu puan. Garang tak bertempat dengan Cik Orked. Kadangkala Yam pun takut kalau tengok angin tuan tu.” Cerita pembantu rumahnya sering membuatkan dia sering tertanya-tanya.

        Arwah Hazila tu dulu macamana orangnya Yam?”

        “Baik sangat orangnya puan. Lemah lembut orangnya. Tapi maaflah Yam cakap macam ni. Dulu tuan tak hargai langsung kebaikan hati arwah. Sampaikan masa arwah kemalangan, tuan langsung tak menjenguk arwah. Bayangkan arwah meninggal kat hospital, tuan tak jenguk pun mayat arwah. Sebaliknya tuan suruh pihak hospital hantar mayat tu ke kampung.” Cerita Maryam benar-benar mengejutkannya.

        “Sejak Puan Hazila meninggal, tuan langsung tak beri perhatian pada Cik Orked atau sekurang-kurangnya tanyakan makan minumnya. Tuan nampak benci betul pada Cik Orked.”

 Maria menarik nafas panjang. Entah kenapa, cerita Maryam terhimbau-himbau dalam ingatannya. Dia sebenarnya kasihankan Orked. Ketika dia mula-mula sampai ke rumah itu setahun yang lalu, berbagai usaha dilakukannya untuk mengambil hati anak gadis itu. Tapi entah kenapa, Orked benar-benar tidak menyukainya sehinggakan dia sudah kehabisan ikhtiar. Sudahnya dia terpaksa membiarkan Orked sendirian di rumah itu seperti tidak pernah wujud.

Memang dia benar-benar risau bila Idlan menawarkan diri mahu mengikat jamin Orked dari lokap. Sebenarnya dia bimbang jika Idlan menganggap Hamdan sengaja mengabaikan Orked. Tapi anaknya itu langsung tidak berkata apa-apa sebaik mengetahui situasi Orked, sebaliknya Idlan bertegas mahu membantu mengeluarkan gadis itu.

Dia juga risau dengan layanan Orked terhadap Idlan. Mereka tidak pernah bertemu sebelum ini. Mahukah Orked mengikut Idlan yang tak pernah dikenalinya selama ini? Jangan anak gadis itu melarikan diri sudahlah! Entah mengapa Maria benar-benar tidak senang duduk dibuatnya!

1 comment:

eija said...

nape lah en hamdan nie xsuka dgn orked cian kt orked..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!