Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 26


Dia terkejut bila tiba-tiba sahaja Nashriq terpacul di situ. Anak muda itu selamba sahaja membelek sebuah buku di hadapannya. Duha Maisara serba salah. Dia pantas mengangkat kotak berisi buku-buku baru untuk disusun di rak sebelah. Namun baru dia hendak melangkah, tubuh Nashriq menghadang laluannya. Duha Maisara tergaman.

Dia memandang anak muda itu. Mata Nashriq masih terpaku pada buku di tangannya. Duha Maisara menarik nafas panjang. Dia nak mempermain-mainkan akukah? Dia sendiri tidak tahu bagaimana lelaki itu tahu tentang kedai buku itu. Jangan-jangan lelaki itu sengaja mengekorinya, bisik hati Duha Maisara.

“Duha, dah habis susun buku-buku tu?” Jerit Syafa dari tingkat bawah.

“Err belum kak, sikit lagi,” balas Duha Maisara sedikit terjerit. Dia cuba melepasi Nashriq, tapi tubuh lelaki itu tetap tidak berganjak. Kerana terlalu geram, Duha Maisara menjeling lelaki di hadapannya tidak berkelip.

“Awak nak apa? Bagaimana awak tahu saya kerja di sini?”

Nashriq tersenyum. Dia menutup buku di hadapannya dan mengembalikannya di rak.

“Ikut aku keluar?” Ujarnya tanpa menjawab pertanyaan Duha Maisara.

“Maaf, saya sibuk sekarang.” Balas Duha Maisara acuh tak acuh.

Nashriq menatap gadis itu tidak berganjak. Duha Maisara beredar ke rak sebelah. Dia meletakkan kotak yang dibawanya seraya mula menyusun buku-buku di dalam kotak tersebut. Sedikit pun kehadiran Nashriq di situ tidak dipedulikan. Perilaku Duha Maisara membuatkan hati Nashriq panas.

“Aku ada hal nak bincang dengan kau. Ikut aku keluar sekejap.” Nashriq cuba berlembut menahan sabar.

“Tak ada apa yang harus kita bincangkan. Saya tak kenal awak dan awak tak kenal saya. Biarkan saya sendirian.” Balas Duha Maisara.

“Duha Maisara!” Herdik Nashriq dengan suara meninggi. Duha Maisara tersentak. Beberapa pengunjung kedai buku itu kelihatan menoleh ke arahnya. Dia memandang Nashriq dengan wajah merah padam.

“Apa awak dah gila? Jangan ingat sebab awak berduit, awak boleh buat sesuka hati awak.” Marah Duha Maisara separuh berbisik. Entah kenapa dia bimbang jika Syafa terdengar suara lelaki itu dari tingkat bawah.

Nashriq mengetapkan bibirnya. Dia mula hilang sabar. Tanpa berfikir panjang, dia terus menarik lengan Duha Maisara membuatkan gadis itu tergaman. Tubuh gadis itu segera dihela tanpa rela menuruni tingkat bawah. Syafa yang terperanjat dengan apa yang disaksikannya segera meluru ke arah Duha Maisara.

“Duha, apa dah jadi ni? Siapa lelaki ni?” Soal Syafa sedikit resah. Dia menatap ke arah lelaki di samping Duha Maisara. Entah kenapa wajah lelaki itu bagaikan pernah dilihatnya sebelum ini.

“Kak, tolong Duha kak.” Rayu Duha Maisara sambil cuba melepaskan pegangan tangan Nashriq. Namun Nashriq bagaikan tidak kisah perlakuannya menimbulkan tanda tanya orang ramai di kedai buku itu.

“Encik, encik nak bawa ke mana Duha ni? Tolonglah lepaskan dia, apa-apa hal kita boleh bawa bincang.” Ujar Syafa. Suara Syafa yang gelisah membuatkan dua lelaki yang berada di kedai itu, segera menghampiri mereka.

“Kenapa ni?” Tanya salah seorang dari lelaki itu, turut masuk campur.

Nashriq tersenyum tenang. “Maaf tapi tolong jangan campur tangan. Ini hal antara saya dan cik adik ni.” Ujar Nashriq.

“Encik ni siapa?” Syafa ingin tahu.

“Saya teman lelaki Duha. Saya nak minta izin kakak bawa dia keluar sekejap, kami nak bincang soal pertunangan kami.” Jawab Nashriq selamba. Dada Duha Maisara bagaikan hendak meletup mendengar kata-kata lelaki itu. Dia menjeling Nashriq yang kelihatan selamba menuturkan kata-kata. Dia berpaling ke arah Syafa yang kelihatan terkejut.

“Duha, betul ke cakap encik ni?” Syafa memandang ke arahnya. Duha Maisara terdiam. Entah apa patut dia katakan pada Syafa.

“Kalau kau tak iyakan, aku akan beritahu dia siapa kau sebenarnya.” Bisik Nashriq perlahan di telinganya. Duha Maisara terpaku. Ugutan Nashriq membuatkan dia serba-salah.

“Duha…?” Syafa kelihatan keliru.

Mahu tak mahu Duha Maisara akhirnya mengangguk. Dia menjeling lelaki di sampingnya. Wajah itu tersenyum bagaikan meraikan kemenangan, sedangkan hatinya teramat sakit. Kalau diikutkan hatinya mahu saja dia mencekik-cekik leher lelaki itu. Entah apa mahunya kali ini?

*  *  *  *

            Dia langsung tidak menyentuh makanan di hadapannya. Malah minuman di gelasnya pun tak sampai separuh diteguk. Entah kenapa, dia tidak berselera makan, lebih-lebih lagi di kala hatinya dilambung badai resah.

            Sesekali dia memerhatikan wajah lelaki di hadapannya. Wajah itu nampak segak dengan pakaian kemas yang membalut tubuhnya. Dari gerak geri lelaki itu, dia tahu lelaki itu pastinya berpangkat tinggi di pejabat. Jika tidak masakan karismanya nampak terserlah di sebalik kot dan talileher yang senada warnanya. Malah ketika lelaki itu dengan senang-senang membayarnya seribu ringgit ketika di Blue Ocean tempohari, dia sudah boleh menduga siapa lelaki itu. Siapa dia sebenarnya? Sampai sekarang, lelaki itu langsung tidak pernah memperkenalkan diri padanya.

            “Kenapa tak makan?” Tegur Nashriq lembut, sebaik dilihatnya makanan di pinggan Duha Maisara masih belum luak.

            Gadis itu diam.

            “Kenapa? Tak berselera? Barangkali makanan di kafeteria hospital lebih sedap?” Duga Nashriq seraya tersengih. Duha Maisara kelihatan terkejut mendengar kata-katanya. Dia memandang lelaki itu dengan penuh tanda tanya.

            “Awak seolah tahu semua gerak geri saya, apa selama ini awak mengintip saya?”

            Nashriq tergelak besar mendengar kata-kata Duha Maisara. Dia memandang anak gadis itu dengan senyuman yang masih bertamu di bibir.

            “Kau sangka aku tak ada kerja lain selain mengintip kau? Kalau kau tak muncul di hadapan mata aku, masakah aku tahu semua perkara tentang kau. Boleh aku tahu kenapa kau bekerja di Blue Ocean sedangkan abang kau seorang doktor?” Soal Nashriq tiba-tiba. Sudah lama dia ingin bertanya tentang hal yang satu itu.

            Duha Maisara terdiam. Siapa lelaki itu untuk dia ceritakan segala-galanya tentang hidupnya?

            “Dia tahu kau kerja di Blue Ocean?” Duga Nashriq lagi.

            Duha Maisara terpegun. Bulat matanya memandang ke arah Nashriq yang tiba-tiba kelihatan serius. “Tolonglah, tolong jangan cakap apa-apa pada abang saya. Dia tak tahu apa-apa.” Rayu Duha Maisara pantas.

            Nashriq terdiam. Betullah sangkaannya selama ini. Ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh gadis itu. Kalau tidak masakan dia menyembunyikan kerjanya dari pengetahuan abangnya sendiri.

            “Lelaki yang datang bertemu kau semalam ayah kau?” Tanya Nashriq.

            Sekali lagi wajah Duha Maisara berubah keruh. Dia mencerlung ke arah lelaki itu. “Saya tak tahu apa yang awak tahu, tapi kalau awak cuba nak malukan saya, awak silap. Saya tak suka awak ekori saya atau datang ke rumah saya lagi sesuka hati awak.” Duha Maisara benar-benar meradang kali ini. Malah dia juga rasa malu pada lelaki itu. Tentu lelaki itu fikir yang bukan-bukan terhadapnya.

            “Duha, semalam aku ke rumah kau untuk memulangkan telefon ni. Bukan niat aku hendak mencuri dengar perbualan yang tak ada kena mengena dengan aku.” Balas Nashriq pula dengan suara meninggi. Telefon bimbit milik gadis itu diletakkan di hadapan Duha Maisara.

            Duha Maisara terpegun. Lama matanya mengusik telefon di atas meja. Rupa-rupanya telefon bimbitnya disimpan oleh lelaki itu selama ini. Sangkanya dia tercicir di mana-mana.

            “Jangan bimbang, aku tak pernah menjawab panggilan-panggilan untuk kau. Tak kuasa aku nak ambil tahu.” Sambung Nashriq lagi. Entah kenapa dia bengang kerana seolah dituduh suka mengambil tahu soal gadis itu. Nashriq menghirup jus orange di gelasnya sampai habis. Dia bingkas bangun. Wajah gadis itu ditatap sebentar.

            “Aku cuma nak bantu kau, niat aku ikhlas. Kalau kau benar-benar perlukan bantuan, aku cuma nak tahu yang kau boleh harapkan aku. Nombor telefon aku ada dalam telefon tu.” Ujarnya lalu bergegas pergi meninggalkan Duha Maisara termenung panjang.

            Perlahan-lahan Duha Maisara menoleh. Lama matanya terpaut pada langkah laju lelaki itu meninggalkan restoran. Dadanya sebak. Dia tahu lelaki itu ikhlas, tapi untuk meminta bantuan lelaki itu menyelesaikan masalah peribadinya, dia lebih malu lagi. Dia tak sepatutnya mengheret seseorang yang tidak ada kena mengena dengannya masuk dalam kancah hidupnya. Duha, kau boleh hadapi semua ini. Kau takkan kalah sebelum berjuang. Dia mengetapkan bibirnya.

*  *  *  *

            Nashriq memandang ombak besar yang memukul pantai di Teluk Kemang itu. Beberapa pengunjung pantai itu kelihatan girang bermain ombak di hadapannya. Sesekali pandangannya jatuh pada sekumpulan anak-anak kecil yang diawasi ibubapa masing-masing, bermain di gigi air.

            Entah kenapa, melihat betapa girangnya anak-anak itu bermain air, seolah seperti mengulang saat-saat gembiranya ketika berlari-lari anak bersama Raihana di pantai itu. Dia cuba mengejutkan Raihana dengan anak ketam yang ditemuinya di pesisir pantai, menyebabkan gadis itu lari melulu dengan wajah cemas. Dia tertawa besar. Lucu melihat Raihana yang takut-takut dengan anak ketam yang ditemuinya.

            “Siapa kata Hana takut?”

            “Habis yang Hana lari kenapa?” Dia tersengih.

            “Hana lari sebab abang kejar. Siapa suruh abang kejar Hana.” Gadis itu memalingkan wajahnya. Merajuk hati dengannya.

            “Betul Hana tak takut dengan ketam ni?” Dia cuba menduga hati gadis kecil itu.

            Raihana terdiam. Namun melihat Nashriq menghampirinya dengan ketam itu, dia segera berlari ke belakang babanya.

            Zainal Ikram tertawa kecil melihat telatah anak-anak kecil itu. Dia berpaling ke arah Munif dan Maisara yang sedang menyiapkan makanan, bekal perkelahan mereka.

            “Sesekali kita berkelah begini, seronok juga kan Munif.” Ujar Zainal Ikram. Munif berpaling. Bibirnya menguntum senyuman.

            “Memang seronok bang, harap-harap lain kali kita bawa pula puan ke sini.” Ujar Munif. Mendengar kata-kata Munif, Zainal Ikram terdiam. Dia terkenangkan isterinya yang selalu sibuk dengan urusan perniagaan sampaikan tiada masa mengatur rumahtangga. Entah mahu atau tidak wanita itu pergi berkelah dengannya lain kali.

            “Baba, tengok abang ni, suka usik Hana,” Jerit Raihana.

            Perbualan Zainal Ikram dan Munif terganggu. Serentak kedua-duanya berpaling ke arah Nashriq yang tidak serik-serik mengusik Raihana.

            “Naz, jangan diusik Hana tu. Ayah tengok kamu ni semakin melampau-lampau nakalnya,” larang Zainal Ikram. Anak itu hanya tergelak. Langsung kata-katanya tak diambil pusing.

            Mendengarkan Nashriq dimarahi, Raihana tertawa kecil. Lantas dia mendekati Zainal Ikram, lalu melentokkan dahinya ke bahu lelaki itu. Zainal Ikram terkedu. Matanya memandang Munif yang sekadar tersenyum.

            “Hana sayang sangat dekat baba,” akui anak gadis itu.

            Zainal Ikram tersenyum. “Lebih sayang dari ayah?” Duga Zainal Ikram.

            Gadis kecil itu menggeleng. “Sama-sama sayang. Hana sayang pada ayah dan baba, sampai bila-bila pun.” Bisik Raihana, membuatkan Zainal Ikram terharu. Lantas kepala anak itu dirangkul ke dalam pelukannya. Nashriq hanya memerhatikan tindakan ayahnya dari sisi. Dia turut tersenyum. Dia tahu lelaki itu amat menyayangi Raihana. Kadangkala cara layanan ayahnya terhadap Raihana dirasakan ganjil.

            Kadangkala terdetik juga rasa cemburu di hatinya, melihat kemesraan ayahnya dengan gadis itu. Tapi cemburunya hanya singgah sekali-sekala. Ini kerana kasih sayang Zainal Ikram terhadapnya juga tidak pernah berkurang.  Dengan ayahnya, dirasakan saat-saat dalam hidupnya dilimpahi kasih sayang, tidak seperti dengan uminya. Zainal Ikram pandai mengambil hati. Malah ketegasan lelaki itu dipejabat tidak pernah di bawa pulang ke rumah. Di rumah, lelaki itu adalah ayah penyayang dan suami yang cukup baik buat uminya.

            Namun keindahan itu hanya sekejap dikecapi. Tak mungkin dia lupa peristiwa yang berlaku dua belas tahun yang lalu. Peristiwa itu telah mengubah semua persepsi hidupnya tentang sebuah keluarga yang diidam-idamkannya.

            “Nashriq Adli, ada orang jemput awak. Awak kena balik rumah sekarang juga.” Suara guru muda bercermin mata itu bagaikan baru semalam terngiang-giang di telinganya. Dia memandang Erman yang berdiri di sisi gurunya. Wajah lelaki itu keruh, membuatkan hatinya gelisah tiba-tiba.

            Dia baru hendak menaiki kereta, sebaik Raihana menerpa ke arahnya.

            “Abang…abang nak ke mana?” Soal Raihana hairan.

            Dia hanya tersenyum memandang wajah Raihana yang dipenuhi tandatanya. Seperti Raihana, dia juga ingin tahu kenapa Erman menjemputnya dari sekolah secara tiba-tiba. Selalunya pakcik Munif yang sering menjemputnya dengan Raihana. Namun pertanyaan itu hanya mampu dipendamkan, apatah lagi melihat Erman seperti tidak banyak cakap seperti selalu.

            “Hana jangan bimbang, abang nak balik rumah dulu. Hana teruskan kelas, sambung belajar. Nanti cikgu marah.” Pesannya begitu.

            “Tapi Hana nak ikut abang.” Raihana merengek-rengek tidak puas hati. Dia serba salah. Wajah Erman dipandang memohon pengertian. Erman memandangnya seketika sebelum beralih ke wajah Raihana.

            “Maaf Cik Raihana, tapi saya diminta bawa pulang Nashriq seorang.” Jawab lelaki itu.  Mahu tak mahu Raihana terpaksa mengalah. Nashriq cuba memujuk gadis itu.

            “Nanti abang jumpa Hana di rumah.” Ujarnya.

            Gadis itu menganggukkan kepala dengan wajah sedih. Sepanjang kereta yang dipandu oleh Erman keluar dari perkarangan sekolah, dia asyik berpaling ke arah Raihana. Entah kenapa, hati kecilnya seperti merasa kurang senang. Bagaikan ada sesuatu yang buruk menantinya di rumah.

            Pap! Nashriq tergaman. Sebiji bola besar jatuh di ribanya. Dia memegang bola itu sambil mencari-cari arah orang yang melempar bola. Sesaat matanya tertumpu pada dua kanak-kanak yang seolah-olah takut mendekatinya.

            Nashriq bingkas bangun, lalu membawa bola besar itu mendekati kanak-kanak di hadapannya. Sejurus sampai, dia menghulurkan bola besar itu ke arah kanak-kanak itu. Wajahnya dimaniskan. Kanak-kanak itu turut tersengih.

            “Terima kasih pakcik.” Ujar kanak-kanak itu serentak lalu berlari ke suatu arah.

            Nashriq tergaman. Pakcik? Dia tertawa kecil mendengar panggilan kanak-kanak itu padanya. Tua sangatkah aku ni?

Melihat wajah girang kanak-kanak itu, dia tidak tahu kenapa saat-saat itu dia terlalu rindukan Raihana. Raihana adalah satu-satunya adiknya selama ini. Hilangnya Raihana dalam hidupnya, jiwanya seperti tandus. Kosong. Kalau dulu ayahnya adalah sinar dalam hidupnya, tapi lelaki itu juga telah pergi meninggalkannya. Nashriq kian merasa hilang arah, tiada tempat mengadu nasib.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!