Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 25


            “Ada orang bawa dia ke tempat ini hampir lapan tahun yang lalu. Keadaannya masa itu sama seperti sekarang. Dengar khabar dia jatuh sakit sebelum disahkan koma. Tapi sebaik pulih dari koma, fikirannya seperti tidak waras. Sebab itu dia dihantar ke mari,” jelas Doktor Habibah .

            Duha Maisara tersentak. Kata-kata doktor itu membuatkan dia termenung panjang.

            “Doktor tahu siapa yang membawa dia ke institusi rawatan ni?”

            “Hmm kalau tak salah ada seorang wanita yang membawanya ke sini. Tapi dia memberi sejumlah wang yang besar kepada institusi ini untuk menjaga pesakit ini.” Jelas Doktor Habibah lagi.

            Melihat raut resah terpancar di wajah Duha Maisara, Doktor Habibah mengerutkan dahinya. “Kalau tak keberatan, boleh saya tahu adik ni siapa, dan apa hubungan adik dengan pesakit ni?” Soal doktor wanita bercermin mata itu.

            “Err…nama saya Duha Maisara, dan saya pernah ke mari bersama abang saya Doktor Zafran dua hari yang lalu. Saya terserempak dengan pesakit doktor ni pada hari itu. Saya cuma…cuma nak tahu siapa dia, itu saja. Lagipun saya kasihan melihatnya.” Ujar Duha Maisara sedikit tergagap.

            “Hmm..baguslah kalau semua orang tak memandang hina pada pesakit mental macam cik Duha ni. Sebenarnya pesakit jiwa sama macam pesakit lain juga, perlukan perhatian dan jagaan rapi. Tak lupa juga sedikit kasih sayang.” Ujar Doktor Habibah seraya tersenyum.

            “Boleh saya lawat pesakit itu, doktor?” Soal Duha Maisara tiba-tiba.

            “Boleh, kami kat sini tak ada aturan ketat, cuma kadangkala saja berjaga-jaga. Tapi memandangkan Cik Duha ni adik Doktor Zafran, saya tak rasa itu satu halangan. Bila-bila masa Cik Duha mahu, Cik Duha boleh datang menjenguk pesakit-pesakit di sini.” Ujar doktor itu memberi keizinan.

*  *  *  *

            Mata Duha Maisara tertumpu lama ke wajah wanita itu. Wajah itu pucat lesi. Pergerakannya lemah tak berdaya. Hanya matanya yang seakan merenung jauh. Namun renungannya tampak kosong, bagaikan setiap helaan matanya hanya memandang kegelapan. Suatu pandangan yang tak memiliki emosi mahupun harapan.

            Perlahan-lahan Duha Maisara berteleku di hadapan wanita itu. Meskipun jururawat sudah mengingatkannya bahawa dia tidak boleh duduk terlalu hampir dengan pesakit, namun larangan itu tidak diendahkan. Matanya merenung sayu pada raut wajah yang hampir dua belas tahun tidak ditemui. Mulanya dia ragu-ragu samaada wanita itu adalah benar-benar ibunya. Namun kini, sebaik berhadapan, dia benar-benar yakin wanita itu adalah ibu yang dirinduinya selama ini.

            Meskipun kerut-kerut halus mula menghiasi wajah itu, namun nalurinya seakan memberitahu agar dia tidak ragu-ragu lagi memanggil wanita itu ibunya. Perlahan-lahan jari-jemari runcingnya naik ke setiap helaian rambut wanita itu. Dia mengusapnya perlahan-lahan sambil menahan sebak.

            “Mak….?” Panggil Duha Maisara. Setitis airmata yang cuba gugur, ditahan. Dia menarik nafas, cuba menahan perasaan pilu.

            “Mak dah tak kenal dengan Hana lagi?” Bisik Duha Maisara. Mata wanita itu tiba-tiba beralih ke wajahnya. Mata itu merenungnya tak berkelip. Duha Maisara tergaman. Apakah wanita itu mengenalinya?

            “Ini Hana mak. Hana anak mak. Maafkan Hana kerana selama ini Hana ingatkan mak dah tak ada. Hana ingatkan mak dah tinggalkan Hana sendirian.” Ucap Duha Maisara sebak.

            Mata itu hanya merenungnya kosong. Melihat keadaan wanita itu, hati Duha Maisara bagaikan ditusuk dengan bilah belati yang tajam. Luka lama di hatinya berdarah kembali. Tersayat hatinya melihat ibu yang menyayanginya selama ini sudah tidak mampu bergurau senda. Kebahagian yang dulu dia rasai dalam sekelip mata, punah direnggut manusia zalim.

            “Apa mereka dah buat pada mak? Beritahulah Hana mak. Cakap dengan Hana yang mak masih kenal Hana lagi.” Dia menggoncang tubuh wanita itu. Dia yakin wanita yang selalu melindunginya masih wujud dalam tubuh itu. Dia juga yakin yang suatu hari nanti, ibunya pasti memanggil  namanya.

            “Beritahulah Hana siapa yang buat macam ni pada mak? Sampai hati mereka buat kita macam ni. Mereka pisahkan kita. Hana benci mereka mak, Hana juga benci dengan semua kebahagiaan yang pernah kita miliki dulu.” Bisik Duha Maisara dengan mata berlinangan. Meskipun wanita itu tidak mampu mendengarnya, namun dia cuba meluahkan perasaan yang terbuku dalam hatinya sejak sekian lama.

            “Mak tahu bagaimana Hana hidup selama ini? Hana hidup bagaikan patung bernyawa mak. Dalam sekelip mata mereka buat Hana jadi anak yatim piatu. Selama dua belas tahun Hana hidup dengan nama orang lain. Hidup dengan kenyataan bahawa mak dan ayah sudah mati, bagaikan menyeksa Hana dalam neraka. Kalau bukan sebab abang Zafran, Hana lebih rela memilih untuk mati.”

            “Tapi kepedihan di hati Hana ni selama-lamanya takkan sembuh mak. Orang yang selama ini Hana harap-harapkan untuk membela Hana, tak pernah ada di sisi Hana. Ketika Hana paling memerlukan sokongannya, dia tak pernah muncul meskipun dalam mimpi. Hana membencinya mak. Hana sangat-sangat membencinya. Sampai bila-bila pun Hana takkan memaafkan dia.”

            Duha Maisara meletakkan kepalanya di bahu ibunya. Airmatanya semakin lebat gugur. Namun entah kenapa hatinya saat itu lebih tenang. Dia menggenggam tangan ibunya lalu dibawa ke bibirnya. Sebuah kucupan singgah di situ. Namun genggaman tangan wanita itu tak mudah dilepaskan. Dia membawanya ke dadanya, ingin merasai sentuhan kasih seorang ibu yang didamba-dambakan selama ini. Matanya terpejam rapat.

*  *  *  *

            Tangannya berjabat mesra. Sesekali dia tunduk tanda hormat pada klien-klien lama Mega Timur sewaktu ayahnya masih memegang teraju syarikat itu lagi. Majlis makan malam itu hanya sebagai tanda memperkenalkannya kepada wakil-wakil perniagaan dan klien-klien utama. Itu kata ibunya. Jika diikutkan hatinya, dia memang malas mahu keluar malam itu. Selesai mengiringi pemergian tetamu-tetamu itu, Engku Latifah memandang ke arah Nashriq.

            “Selepas ini Naz nak ke mana?” Tanya wanita itu yang nampak anggun dengan dress labuh berwarna merah hati. Solekannya tipis tapi berseri. Dalam diam-diam Nashriq akui, ibunya itu masih menawan biarpun sudah berusia.

            “Balik.” Jawab Nashriq ringkas.

            “Balik ke rumah kita?” Pinta Engku Latifah. Dia memang amat merindui kehadiran Nashriq di sisinya.

            Nashriq terdiam. Sudah acapkali perkara itu diutarakan kepadanya. Namun entah kenapa dia selalu bersikap acuh tak acuh terhadap permintaan wanita itu. Bukan dia tidak kasihan pada ibunya, namun hatinya merajuk dengan tindak tanduk ibunya yang selalu membekam perasaannya.

            “Lepas ni Naz ada janji dengan abang Erman.” Nashriq memberi alasan. Engku Latifah mengeluh. Lagi-lagi Erman. Asyik-asyik Erman. Entah kenapa dia sering merasakan yang Erman banyak mempengaruhi setiap perlakuan Nashriq sekarang ini.

            “Umi rasa Naz sepatutnya pertimbangkan permintaan umi untuk mengupah seorang pembantu. Sampai bila Naz nak susahkan Erman? Dia pun perlukan hidupnya sendiri kan?” Pujuk Engku Latifah. Besar harapannya agar umpan yang dipancingnya mengena.

            “Abang Erman dah cukup buat saya umi, saya tak perlukan sesiapa lagi.” Balas Nashriq selamba. Dia takkan sesekali menyingkirkan lelaki itu dari hidupnya. Besar jasa Erman menjaga dan mendidiknya takkan terbalas olehnya.

            Engku Latifah mengeluh. Kedegilan Nashriq kadangkala membuatkan dia kecewa sekaligus lemas.

            Nashriq memandu sendirian meredah suasana malam bertemankan lampu neon. Dia teringatkan wajah ibunya yang muram lesu sebaik permintaannya ditolak mentah-mentah  sebentar tadi. Kalau Erman tahu dia bersikap begini, tentu panjang leteran lelaki itu.

            Kata Erman tempohari, seorang ibu tetap seorang ibu walau apa pun jua kesalahan yang dilakukannya. Dia mengerti hakikat yang satu itu. Kalau bukan kerana wanita itu, mana mungkin dia lahir ke dunia ini. Kalau bukan kerana wanita itu juga, masakan dia mampu menerokai dunia ini.

            Tiba-tiba Nashriq teringatkan sesuatu. Pantas dia membuka dashbox, lalu mengeluarkan sebuah telefon. Bibir Nashriq tersenyum senang. Hampir dia terlupa untuk memulangkan telefon milik Duha Maisara. Dia segera memandu ke Blue Ocean, namun seketika hatinya ragu-ragu pula untuk ke sana. Jam di tangannya dikerling. Hampir pukul 11 malam. Mungkin gadis itu sudah pulang.

            Serta-merta Nashriq segera membelokkan keretanya ke suatu arah. Dia ingin ke rumah gadis itu. Tentu duduk tak senang gadis itu memikirkan telefonnya yang entah ke mana. Wajah Duha Maisara terbayang di wajah Nashriq. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia sering memikirkan gadis itu. Setiap masa wajah Duha Maisara muncul dalam mimpinya. Dia tidak tahu apakah ertinya semua ini. Namun sedikit demi sedikit dia mula menyenangi kehadiran Duha Maisara dalam hidupnya. Cinta? Entahlah, dia sendiri tidak tahu apakah perasaan yang bergolak dalam hatinya adalah cinta. Tapi yang pasti kehadiran Duha Maisara sedikit sebanyak membuatkan dia teringatkan Raihana.

*  *  *  *

            Nashriq meletakkan keretanya di salah satu lot parking yang tersedia, sebelum  menghela langkahnya deras ke kawasan apartment. Dia ingin segera bertemu dengan Duha Maisara. Hatinya seolah tidak sabar untuk menjenguk gadis itu, apatah lagi hampir dua hari mereka tidak bertemu.

            Namun belum sempat Nashriq mahu menekan punat lift, telinganya mendengar bunyi bising dari taman di sebelah apartment itu. Hatinya tertanya-tanya penuh kemusykilan. Lantas dia tidak jadi memasuki lift, sebaliknya langkahnya diatur perlahan ke arah kawasan taman.

            Dari jauh dia terlihat sesusuk tubuh kecil seorang gadis sedang mengadap seorang lelaki separuh umur yang berwajah garang. Serta-merta hati Nashriq bergolak kencang. Duha! Bisiknya sebaik cam wajah gadis yang kelihatan sedih itu.

            Melihat airmata yang mengalir di wajah Duha Maisara, dia bagaikan tidak sabar  mendapatkan gadis itu. Namun suara herdikan lelaki itu membuatkan langkah Nashriq terhenti.

            “Aku dah kata aku datang nak ambil duit tu, tapi kamu buat aku naik angin. Mana duit simpanan kamu selama ini?”

            “Ayah, Duha tak ada duit sebanyak tu. Ayah berhutang dengan siapa kali ni?”

            “Itu bukan urusan kamu, Duha. Kalau begitu aku nak jumpa dengan Zafran. Dia tentu ada di rumah kan?” Lelaki itu hendak beredar, namun Duha Maisara cepat menghalang.

            “Tolonglah ayah, tolong jangan ganggu abang. Dia perlu fokus pada kerjanya. Duha janji dengan ayah yang Duha akan cari duit tu, tapi bukan sekarang. Duha perlukan masa.” Rayu Duha Maisara.

            Bustaman terdiam. Bulat matanya memerhatikan wajah itu. “Baik, aku bagi tempoh tiga hari. Lepas tu aku akan datang semula cari kamu Duha. Lebih baik kamu sediakan duit tu kalau kamu masih mengenang aku yang membela kamu.” Ucap lelaki itu seraya meninggalkan Duha Maisara yang terduduk lemah di bangku kecil di taman itu.

            Sepeninggalan ayahnya, Duha Maisara termenung panjang. Fikirannya serabut. Entah di mana dia mahu mendapatkan wang sebanyak RM30 ribu yang diminta oleh lelaki itu. Mujurlah dia sempat menghalang ayahnya dari bertemu Zafran. Jika tidak, entah apa reaksi Zafran jika tahu.

            Duha Maisara meraup wajahnya dengan kedua belah tangannya. Hatinya resah. Benar-benar resah. Simpannnya di bank tak sampai pun RM5000. Itupun setelah tolak dia membayar wang ikat jamin ayahnya yang dipinjam dari Mami Jun. Aduh di mana harus aku dapatkan wang sebanyak itu?

            Tanpa sedar gerak geri Duha Maisara menjadi intipan sepasang mata milik Nashriq. Matanya tak lepas-lepas menatap wajah Duha Maisara yang berduka. Dia mengeluh. Selama ini dia pernah mendengar cerita tentang ibubapa yang menyusahkan anak-anak, namun baru kini dia melihatnya dengan mata kepalanya sendiri.

Dia teringat semula kata-kata Duha Maisara dengan lelaki botak yang cuba menangkapnya tempohari. Apakah semuanya kerana lelaki tua yang baru beredar itu? Duha, beban apakah lagi yang kau tanggung dalam hatimu?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!