Followers

Friday, March 11, 2011

Mitos Cinta Suria : Bab 40

Dua puluh empat tahun dahulu…
            DIA mendongakkan wajahnya memandang gelap malam yang memekat. Beberapa titis air hujan jatuh menimpa ke mukanya. Dia tersentak lalu mendongak. Hujankah?
            Muncul satu bunyi dari arah belukar di hadapannya. Darahnya segera menyirap. Matanya mengawasi setiap kelibat yang bakal muncul. Bimbang jika yang datang adalah musuh yang tak diundang. Keris di tangannya sudah siap dihunus. Tapi melihat kehadiran teman-teman seperguruannya, dia menarik nafas lega.
            “Bagaimana?”
            “Kami dah mengawasi laluan ke situ. Setiap denai sudah siap ditanda. Hanya menanti arahan dari abang sahaja.” Ujar Kamar. Asif yang berada bersama Kamar turut mengangguk. Kedua-duanya memakai pakaian serba hitam persis pahlawan di zaman silam.
            “Bagus, kalau perkiraan Tok Guru betul, dia akan muncul di sini. Kita harus bertindak sebelum dia menjadi semakin kuat.” Ujarnya seakan memberi arahan. Kedua-dua lelaki itu mengangguk bagaikan memahami setiap perkataannya.
            Belum sempat mereka mahu bergerak, sekumpulan lelaki tiba-tiba muncul dari sebalik semak samun di situ. Dia tergaman. Begitu juga dengan Kamar dan Asif. Mereka tidak jadi meneruskan langkah.
 Kumpulan lelaki itu memandang ke arah mereka dengan wajah bengis. Seorang lelaki dari kumpulan itu maju ke hadapan, lalu mendekatinya. Dia terpaku memandang lelaki yang nampak gagah dengan tengkoloknya.
            “Hadi!” Bisiknya perlahan. Lelaki itu mengangguk lalu tersenyum.
            “Abang apa khabar?” Sapa lelaki itu seraya tunduk hormat. Dia mengerutkan dahinya. Kehadiran lelaki itu benar-benar membuahkan pertanyaan dalam dirinya. Untuk apa mereka di sini?
            “Kami minta abang dan teman-teman abang berundur. Malam ini giliran kami menjalankan tugas. Ini arahan dari guru tertua kami Tuan Shaikh Siddiq Alam. Kami harus menangkap dia sebelum jasadnya berubah lagi.” Tegas Hadi.
            Dia memandang lelaki itu agak lama. Wajah Hadi berubah serius. Senyuman yang terlukis di wajah itu sebelumnya beransur hilang. Dia menarik nafas panjang.
            “Hadi, aku dan teman-temanku juga datang atas sebab yang sama. Tapi kami hanya mengikut arahan dan suruhan Syeikh Maa’sum Umar, guru kami. Ragau itu akan dihapuskan malam ini, tapi seluruh penduduk kampung itu harus dibiarkan hidup. Mereka yang tersesat harus diberi peluang supaya bertaubat.” Ujarnya.
            “Perintah dari Tuan Shaikh Siddiq Alam, seluruh golongan yang menyembah syaitan itu akan dihapuskan malam ini. Dan kami akan melakukannya seperti apa yang diperintahkan.” Balas Hadi pula tegas.
            Dia tersentak. Matanya menjeling ke arah Kamar dan Asif yang sudah bersiap sedia dengan keris dan parang lading. Kedua lelaki itu memberi isyarat, namun kepalanya pantas digeleng. Dia tidak mahu mencari musuh dengan anak-anak murid Shaikh Siddiq Alam, lelaki yang dikatakan salafi yang berasal dari Kerajaan Buton yang terletak di Tenggara Pulau Celebes yang kini dikenali sebagai Sulawesi. Namun begitu, tak ramai yang tahu atau pernah melihat dengan mata kepala sendiri siapa sebenarnya Shaikh Siddiq Alam. Ini kerana lelaki itu hanya muncul di dalam hijab atau di luar lingkungan mata kasar manusia. Hanya orang-orang terpilih sahaja yang mampu melihatnya.
            “Siapa sebenarnya Siddiq Alam ni tok guru?” Dia pernah berbual dengan guru pengajiannya di Pondok Gunung Kidul. Lelaki itu dilihatnya termenung panjang mendengar dia bertanya tentang lelaki bernama Siddiq Alam itu. Sejurus Tuan Guru memandangnya.
            “Dia cucu kepada Kiyai Muhammad Sufi, antara salafi yang pernah mendampingi sultan pertama Kerajaan Buton dipanggil Sultan Murhum Qaimuddin pada abad ke-16. Dia salah seorang bontona atau menteri kerajaan. Sepanjang hidupnya dia banyak mempelajari tentang ilmu fiqh, surah, kitab-kitab tarfiyah, tassawuf serta hebat dalam ilmu kebatinan. Dari dulu lagi Sultan Buton sangat mempercayai Kiyai Muhamad Sufi dan dalam diam-diam melantiknya sebagai Ketua Hulubalang Buton kerana bimbang dengan ancaman VOC Belanda ketika itu yang banyak berbuat ulah pada penduduk-penduduk di nusantara dan Tanah Jawa.”
            “Ketika itu, banyak kerajaan-kerajaan di nusantara dan Pulau Jawa diancam oleh pihak Belanda. Namun dengan kebijaksaan Kiyai Muhamad Sufi, kerajaan Buton menghulur salam persahabatan dengan Belanda untuk mengelakkan penjajahan. Lama kelamaan pengaruh Kiyai Muhammad Sufi semakin besar di Buton sehingga mereka mempunyai kumpulan tarbiyah sufi mereka sendiri. Dan sejak turun temurun, kumpulan itu diteruskan oleh anak cucunya Siddiq Alam yang dikatakan sangat tinggi ilmu kepahlawanannya. Kerana itu mereka dapat menyekat kemasukan VOC Belanda ke dalam Buton meskipun ketika itu, hampir dua pertiga nusantara di bawah takluk Belanda.” Ujar gurunya yang berjanggut sejemput itu.
            “Berapa usia sebenar Shaikh Siddiq Alam ni tok?”
            “Mungkin mencecah lebih dari seratus tahun. Malah usianya lebih tua dari tok sendiri. Tapi menurut beberapa orang yang pernah mendakwa bertemu Siddiq Alam, mereka mengatakan rupa Siddiq Alam seperti lelaki berusia awal 40an.”
            Dia terdiam mendengar penerangan tok gurunya. Lelaki itu memang arif dengan asal-usul dan makalah para-para ulama dan salafi yang pernah wujud melangkaui zaman. Malah sejak kecil sewaktu kedua ibubapanya menghantarnya ke daerah pergunungan itu untuk bertemu Tuan Guru yang dikenali sebagai Syeikh Maa’sum Umar, dia sudah menyimpan rasa hormat dan kagum pada lelaki sufi berhati mulia itu.
            Syeikh Maa’sum Umar atau nama sebenarnya Umar Rejab adalah anak muda perantau yang berketurunan Tok Kelantan yang pernah menaiki kapal laut menuju ke Mekah untuk mempelajari pelbagai ilmu dunia dan akhirat dengan beberapa guru agama tersohor seperti Al-Malikin dan Syeikh Jalaluyyah.
            “Apache, ada orang mengatakan Siddiq Alam adalah seorang salafi dari fahaman wahabi yang sudah terpesong dari ajaran sebenar. Tapi itu semua hanya Allah Yang Mengetahui. Tapi sejak kecil tok pernah mendengar tentang sebuah kitab lama milik Kiyai Muhammad Sufi yang ditulis dalam tulisan Arab, Budi Wolio dan Jawa kuno. Kitab ini dipanggil ‘Makhtuth dan ada yang memanggilnya sebagai Manuskrip sahaja. Kitab ini sangat penting pada kumpulan ini dan tok yakin kitab ini mengandungi banyak mentera-mentera yang boleh menangkap dan menguasai roh jahat yang bebas berkeliaran di muka bumi ini. Tok mahu kamu dan teman-teman kamu mencari kitab ini dan hapuskannya. Kitab ini sangat bahaya kalau terlepas ke tangan orang yang salah.” Pesan Tuan Guru lagi.
            “Maksud tok?” Dia mengerutkan dahinya. Hairan mendengar permintaan yang tak disangka-sangka itu.
            “Sejak zaman berzaman, kumpulan Siddiq Alam semakin membesar. Tugas membunuh dan menghapuskan manusia kufur sudah menjadi misi dan perjalanan hidup mereka. Tapi dalam tugas murni mereka, sentiasa ada yang menjadi korban meskipun orang yang tak berdosa. Orang-orang beginilah yang harus kamu lindungi Pache.”  Bisik Tuan Guru.
            Dia menarik nafas perlahan. Ingatannya terhadap gurunya Syeikh Ma’sum Umar tiba-tiba terhenti apabila menyedari Hadi dan kumpulannya sudah beredar meninggalkan tempat itu. Kamar dan Asif diam-diam merapati abang seguru mereka.
            “Abang, apa patut kita buat sekarang?” Soal Kamar.
            “Kita ikut mereka diam-diam. Kalau ada yang boleh diselamatkan, kita selamatkan. Lagipun ini pesan Tuan Guru sendiri.” Tegasnya. Kamar dan Asif mengangguk tanda mengerti. Sebentar sahaja mereka sudah berjaya mengesan jejak kumpulan Hadi dan pemburu-pemburu itu.
*  *  *  *
            Api yang marak membakar rumah-rumah di situ, dipandang dengan rasa kesal. Suara riuh rendah jeritan berkumandang agak nyaring di tengah-tengah kawasan hutan tebal itu. Asif menyelak helaian daun-daun merimbun tebal di hadapan mereka, seolah-olah memberi laluan kepada kedua-dua temannya.
Dia menundukkan tubuhnya, lalu mengintai dari sebalik daun-daun belukar di situ. Matanya ditala ke suatu arah. Kamar dan Asif yang berada di sisinya turut berbuat benda yang sama.
            “Kita dah terlambat bang.” Bisik Kamar. Dia hanya mengangguk. Pemburu-pemburu itu sudah pun menyalakan api pada rumah-rumah penduduk kampung. Api yang marak itu kian membesar sehingga turut membakar pokok-pokok berhampiran. Beberapa kelibat meraung keluar dari dalam rumah setelah disambar api.
            “Tolong..tolong jangan bunuh aku.” Rayu seorang wanita yang memangku seorang anak kecil. Namun lelaki yang berpakaian serba hitam itu bagaikan tidak tahu erti kasihan. Rambut wanita itu dicekak dengan jari-jari kasarnya.
            “Mana perempuan tu?” Bentaknya keras sambil menghunus parang lading di tengkuk wanita itu.
            “Aku..aku tak tahu.” Wanita itu menggelengkan kepala.
            “Mustahil! Mana kamu sembunyikan dia?”
            “Takk..tak tahu.” Wanita itu tetap berdegil. Budak lelaki yang berumur dalam lingkungan 4 tahun itu dipeluk erat. Jawapan wanita itu mengundang kemarahan lelaki itu. Sepantas kilat, parang lading di tangannya dibenam ke tubuh wanita itu. Si wanita meraung histeria. Anak kecil di pangkuannya segera tercampak ke tanah. Beberapa saat kemudian, wanita itu menghembuskan nafas terakhir dengan mata terbelalak.
            Dia tersentak. Kamar dan Asif di sampingnya turut tergaman. Kejamnya lelaki itu. Mereka membunuh tanpa belas kasihan. Perikemanusiaan dan sikap memafkan tidak wujud langsung dalam hati mereka.
            Melihat kelibat lelaki itu perlahan-lahan mara ke arah kanak-kanak kecil yang asyik menangis itu, darahnya mula menyirap. Dia segera menghunus parangnya, bersedia untuk meluru keluar dan menyelamatkan nyawa si kecil yang tak berdosa. Tapi belum sempat dia bertindak, telinganya menangkap suara tempikan dari satu arah. Serentak matanya dialihkan. Hadi lelaki yang berlawan bercakap dengannya sebentar tadi muncul dengan hujung keris yang bertitisan dengan darah merah.
            “Jangan bunuh anak itu. Anak itu akan kita bawa balik bertemu Tuan Siddiq dan Cik Puan.” Arah Hadi. Lelaki itu hanya mengangguk. Perlahan-lahan langkah Hadi mara ke arah anak kecil itu. Matanya merenung sayu pada wajah kanak-kanak itu yang asyik menangis.
            “Kasihan kamu, tapi aku terpaksa melakukan ini semua demi kebaikan semua orang. Mulai hari ini, kamu anak kecil adalah sebahagian dari kami. Sumpahan kamu akan berakhir hari ini.” Bisik Hadi. Habis bercakap, lelaki itu mengangkat kerisnya tinggi-tinggi. Apache terbeliak. Tuhan!
            Mata keris dilibas ke arah anak kecil itu. Serentak darah pekat memancut keluar. Suara tangisan kanak-kanak itu semakin kuat kedengaran. Hadi melontarkan pandangan ke arah anak kecil itu. Satu simbol berdarah muncul di bahu anak itu di sebelah kiri. Ketika itu juga matanya menangkap seutas kalung yang tersorok di pangkal leher kanak-kanak itu. Mata Hadi mencerut. Kalung halus bermata biru itu menarik minatnya.
            “Jamrud, bawa anak itu balik bersama kita. Dan ikat luka di bahunya.” Arah Hadi. Seketika matanya beralih ke arah orang-orangnya yang lain.
            “Yang lain-lain kumpulkan semua mayat-mayat di sini, dan bakar semuanya sehingga menjadi abu. Ingat! Jangan tertinggal satu pun.”
            Apache diam-diam mengundur diri dari kawasan itu sambil diikuti oleh Kamar dan Asif. Mereka harus melaporkan kejadian ini pada Syeikh Maa’sum Umar untuk diambil tindakan seterusnya. Namun perjalanan mereka meninggalkan kawasan hutan itu diiringi dengan bunyi raungan yang amat menakutkan. Seluruh hutan itu seolah memekik. Peluh renek mula memercik di dahi Apache.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!