Followers

Friday, March 11, 2011

Mitos Cinta Suria : Bab 42

            NAZRUL termenung panjang apabila diberitahu Suria bercuti hari itu. Dia mengeluh panjang. Serba tidak kena dia dibuatnya. Emosinya dibawa masuk sehingga ke bilik mesyuarat. Sedikit sebanyak, gerak geri Nazrul menimbulkan rasa hairan staf-staf lain. Nazrul lebih banyak termenung dari mengikuti perjalanan mesyuarat. Dato’ Hamdan yang mempengerusikan mesyuarat hari itu sesekali mengerling ke arah lelaki itu.
            Sebaik mesyuarat tamat, dia orang pertama yang terburu-buru keluar. Destinasinya adalah bilik berita.
            “Kenapa tiba-tiba you tanyakan fasal Suria ni?” Fasya menunjukkan kerut wajah tidak senang apabila dihujani pertanyaan dari lelaki itu.
            “Sebab  I nak tahu. Kenapa, tak boleh?” Nazrul tersenyum.
            Fasya mencebik. Dia memang tidak senang hati bila tahu Nazrul sering mencari peluang mendekati Suria. Meskipun Suria adalah teman sekerjanya, dan dia sendiri masih bertemankan Zulhisyam, namun entah kenapa perasaannya berkecamuk bila lelaki itu pulang ke tanahair beberapa minggu yang lalu.
            You suka Suria?” Fasya memandang lelaki itu. Isi hati Nazrul ingin dirisiknya. Namun wajah Nazrul tetap jua selamba.
            “Kalau I suka sekalipun kenapa? Tak salahkan?”
            “Memanglah tak salah. Tapi your mum maybe tak suka.” Fasya mengingatkan. Nazrul terdiam apabila Fasya tiba-tiba mengungkit soal ibunya. Dia menarik nafas panjang.
            Fasya tersengih. Dia tahu jeratnya mengena. Sengaja dia mengumpan Nazrul dengan ibu lelaki itu. Lagipun dia faham benar bagaimana reaksi Yong Habibah jika tahu Nazrul berkasih dengan mana-mana gadis. Sejak Nazrul masih remaja, wanita itu seolah menghalang hubungan Nazrul dengan mana-mana gadis, walaupun teman sekolah Nazrul. Dia sendiri pernah mendengar pergaduhan dua beranak itu apabila Yong Habibah terang-terangan menghalang hubungan antara Nazrul dengan gadis kenalannya di alam persekolahan.
            Fasya sendiri tidak tahu kenapa Yong Habibah bersikap begitu. Malah dia sendiri kurang gemar berbual dengan wanita itu kerana dirasakannya wanita itu bersikap aneh sebaik mengahwini pakciknya Dato’ Hamdan 15 tahun yang lalu. Namun apabila Yong Habibah menjadi batu penghalang antara Nazrul dan gadis-gadis yang cuba mendampinginya, sedikit sebanyak Fasya rasa gembira. Lagipun sudah lama dia menyulam rasa kasih terhadap lelaki itu. Hanya Nazrul yang tidak tahu perasaan hatinya yang sebenar.
            “Fasya, Suria tu memang tak ada teman lelaki ke?” Pertanyaan itu singgah semula. Dia tersedar dari lamunannya. Matanya deras mencari wajah Nazrul. Lelaki itu memandangnya tidak berkelip, sabar menanti pertanyaannya dijawab. Walhal hatinya nyaris terbakar dengan gelagat Nazrul. Aduh! Suria lagi! Tak habis-habis dengan Suria, rungut Fasya geram. Bibirnya diketap rapat-rapat.
            “Tolonglah Fasya, bagitahu aku fasal dia. Dia masih ‘available’ kan?” Desak Nazrul, benar-benar ingin tahu.
            “Kenapa you tak tanya dia sendiri?”
            Nazrul terdiam. Betul juga! Aku meluah perasaan tanpa bertanya apakah sekeping hati gadis itu sudah pun dimiliki. Wajah Nazrul berubah muram. Fasya melirik lelaki itu dengan keluhan panjang.
            “Rasanya dia belum ada boyfriend.” Balas Fasya akhirnya. Dia mengalah kalau benar Nazrul menyukai Suria. Lagipun Suria sudah lama menjadi teman sekerjanya. Sedikit sebanyak dia faham benar sikap Suria. Meskipun hatinya terdera dengan kata-kata Nazrul, tapi realitinya dia tidak boleh memaksa Nazrul menyukai dirinya lebih dari hubungan sepupu tak bernoktah seperti yang terkarang dalam hidup mereka.
            Do you think so?” Nazrul seolah ragu-ragu. Kalau belum berteman, kenapa susah sangat dia mahu mendekati Suria?
            I’m quiet sure, Naz. Suria tu workholic orangnya, terlalu kuat bekerja siang malam. Orang macam dia tak ada personal life. Dah tentu dia tak ada teman lelaki.” Balas Fasya sedikit sinis.
            Nazrul terdiam. Hatinya sedikit lega. Soal ibunya, dia sudah malas mahu mengambil kisah. Sememangnya wanita itu suka mengawal hidupnya sejak dulu. Sekalipun dia suka pada Suria, ibunya tidak berhak untuk membantah, apatah lagi dia pulang ke tanahair kerana wanita itu.
            “Ibu mahu Naz kerja dengan ayah di stesyen TV tu.” Ujar wanita itu lewat panggilan yang diterimanya dari Malaysia beberapa bulan yang lalu.
            “Naz banyak kerja kat sini. BBC masih perlukan khidmat Naz.” Ujarnya memberi alasan.
            Forget about BBC or everything. Naz kena balik ke mari atau ibu akan suruh orang-orang ibu ke sana mencari Naz.” Ugut wanita itu lalu meletakkan gagang telefon. Tinggal dia sendirian terkontang-konting mendengar kata-kata wanita itu.
Mungkin kalau Najmi masih hidup, ibunya takkan memberi perhatian begini terhadapnya. Malah sejak dulu dia tahu, Najmi merupakan pilihan pertama ibunya untuk mewarisi ilmu Siddiq Alam Tapi demi tuhan, dia benar-benar tidak berminat dengan ilmu yang diturunkan padanya sedikit demi sedikit tanpa disedari. Malah sejak usianya mencecah 15 tahun, dia mula bermimpi yang aneh-aneh. Dan dalam mimpinya, dia sering bertemu seorang lelaki yang memakai jubah putih dan berjanggut panjang.
“Itu Tuan Syaikh Siddiq Alam,” beritahu ibunya ketika dia menceritakan mimpinya.
“Siapa dia ibu?” Dia bertanya. Benar-benar ingin tahu siapakah gerangan lelaki aneh yang ditemuinya dalam mimpinya. Malah ketika lelaki itu berbicara dengannya, dia tidak pernah sekalipun melihat lelaki itu membuka mulut. Hanya suara lelaki itu sahaja yang terlontar keluar.
“Dia teman datuk kamu dan guru ibu. Mulai sekarang dia adalah guru kamu, Nazrul. Jika dia datang lagi dalam mimpi kamu, terima dia dengan tangan terbuka. Patuhi setiap ajaran yang diberikannya.” Pesan ibunya ketika itu. Dia ingin bertanya lebih lanjut, namun wanita itu seolah-olah tidak berminat mahu meneruskan perbualan mereka tentang Syaikh Siddiq Alam.
            Sepanjang lima tahun dia berguru dengan Syaikh Siddiq Alam, dia mempelajari pelbagai ilmu persilatan, tapi anehnya hanya dalam mimpi. Malah sebaik terjaga dari tidur, dia hanya akan ketawa sendiri. Tidak pernah sedetik pun di hatinya percaya pada mimpinya itu. Hinggalah suatu hari dia terserempak dengan seorang peragut yang cuba meragut seorang wanita di seberang jalan. Dia cuba menolong, menyebabkan si peragut berasa marah lalu mengacukan pisau panjang di tangannya. Dan entah dari mana, kekuatannya tiba-tiba muncul. Dia berupaya melawan dan menangkap peragut itu menggunakan ilmu silat yang dipelajarinya dalam mimpi. Aneh memang aneh, tapi itulah kenyataannya.
            “Sampai masa nanti, kamu akan tahu Nazrul. Tugas ibu hanya mempersiapkan kamu sebelum tiba masanya.” Ujar ibunya ketika ditanya.
            “Masa untuk apa ibu?” Dia mengerutkan dahinya.
            Wanita itu terdiam. Pertanyaannya tidak disambut. Dan dia hanya mampu mengeluh dengan sikap ibunya yang gemar berdiam diri. Dari hari ke sehari apabila dia semakin kerap dikunjungi Tuan Shaikh Siddiq Alam, dia mula merasakan ada sesuatu yang aneh sedang berlaku padanya. Seolah-olah ada satu tanggungjawab besar yang harus dipikulnya. Dan sebagai anak tunggal Yong Habibah, dia harus memegang tanggungjawab itu menggantikan abangnya Najmi.
*  *  *  *
            Nazrul sedang makan tengahari bersama pegawai-pegawai stesyen tv di sebuah restoran makanan laut, apabila dia bersua dengan kelibat seorang lelaki yang baru melangkah masuk ke dalam restoran itu bersama dua lelaki lain. Melihat lelaki itu dan teman-temannya mengambil tempat duduk di meja berhampiran, Nazrul menarik nafas panjang. Entah kenapa sejak pertemuan kali pertama itu, dia jadi taksub dengan wajah lelaki itu. Seolah-olah mereka pernah berjumpa sebelum ini.
            “Nazrul, kenapa ni?” Tegur Adhan, salah seorang pegawai kanan di KZM. Dia menoleh. Wajah hairan Adhan dibalas dengan gelengan kepala.
            “Maaf semua, saya nak ke sana sebentar. Sapa seorang kenalan lama.” Dia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya, seraya melangkah perlahan ke arah meja yang hanya selang tiga buah dari mejanya.
            Seperti yang diduga, kehadirannya mengejutkan lelaki itu. Nazrul melemparkan senyuman. “Saya Nazrul, kita pernah jumpa dulu.” Dia memulakan sapaan dengan wajah tenang.
            Lelaki itu mengerutkan dahinya seolah-olah cuba mengingati wajahnya. Seketika kemudian, mata lelaki itu kembali ke wajahnya. “Encik Nazrul, ketua Suria bukan?”
Nazrul tersentak mendengar lelaki itu menyebut nama Suria dengan lancar. Sedikit sebanyak hatinya disapa rasa tidak senang dengan kata-kata lelaki itu. Namun dia cepat-cepat membuang emosi yang mula bergelodak dan diganti dengan anggukan kepala.
            “Buat apa di sini?” Lelaki itu bertanya selamba. Nazrul menghela nafas sebentar sebelum mula menyambung.
            Just having a lunch with some friends.” Jawabnya ringkas. “Tuan Izwan bukan?” Dia menyoal kembali. Lelaki itu mengangguk.
            So macamana dengan kes yang tuan sedang siasat? Saya dapat tahu dari Suria yang tuan bertanggungjawab sepenuhnya dengan kes kematian misteri yang berlaku hampir sebulan yang lalu. Betul?”
            “Maaf Encik Nazrul, soal siasatan adalah rutin rahsia pihak polis. If I’ve told you, maybe I have to kill you.” Walaupun ritmanya dalam nada lelucon, namun Izwan kelihatan serius ketika menuturkannya. Nazrul tersenyum kecil.
            Then I think I’m  gonna leave it to you. Hidup saya sangat berharga untuk disia-siakan. Begitu juga dengan nyawa Suria tuan.” Ungkap Nazrul selamba. Izwan tergaman. Nyawa Suria?
            “Suria suka pada kes-kes begini. Tapi dia tidak sedar yang kes-kes begini amat berat untuk ditanggani seorang perempuan seperti dia. Saya harap lain kali tuan boleh lindungi Suria dari bahaya.” Ujar Nazrul seolah berharap.
Izwan terdiam. Diam-diam dia melirik lelaki di hadapannya. Apa hubungan sebenar Suria dengan lelaki itu? Kekasihnyakah?
            “Maaf saya minta diri dulu. Dan maaf kerana menganggu masa tuan.” Ujar Nazrul sekadar berbahasa. Ekor mata Izwan tidak lepas mengiringi pemergian lelaki itu ke suatu arah. Sejurus dia berpaling ke arah Adib Mustaza dan Jaidin yang saling berpandangan sesama sendiri.
            “Siapa tu?” Tanya Adib ingin tahu.
            “Tak ada sesiapa.” Jawab Izwan acuh tak acuh. Entah kenapa dia tidak berminat mahu melanjutkan perbualan tentang Nazrul di hadapan teman-temannya. Lagipun kedatangan mereka ke situ untuk makan tengahari.
            “So, macamana dengan simbol tu? Kau dapat apa-apa Jaidin?” Soal Izwan sengaja mengalihkan tumpuannya pada lelaki di meja tersebut.
            “Aku dah analisa gambar tu Wan. Imej tu mungkin muncul disebabkan oleh intensity cahaya pada kamera ketika gambar diambil serta bagaimana tahap penyebaran cahaya tersebut. Walaupun aku bukan seorang jurugambar profesional, tapi aku rasa suspek kita tu dah buat silap besar kali ini.” Ujar Jaidin seraya tersengih.
Meaning?”
“Yalah, alam sekeliling kita kadangkala boleh menjadi sahabat dan boleh menjadi musuh dalam sekelip mata. Dalam kes ini, bayang-bayang suspek itu muncul di dalam gambar disebabkan dia tidak berhati-hati. Simbol tu mungkin datangnya dari kalung atau sesuatu yang dipakai pada tubuh suspek tu. Katakan jika orang yang mengambil gambar itu berada di belakang cahaya, katakan contoh paling logik ialah bulan dan dia memfokuskan lensa kameranya pada kawasan tersebut. Dan dalam masa yang sama dia memakai kalung atau pin pada bajunya yang bersinar-sinar serta mengeluarkan cahaya. Jadi tak mustahil lensa kameranya secara tidak sengaja merakam imej bayang hitam dan simbol tersebut mengikut tahap penyerapan cahaya dan pemantulan cahaya yang diserap.” Terang Jaidin.
“Jadi kemungkinan besar suspek kita tak sengaja mendedahkan dirinya sendiri?” Getus Izwan sambil menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya pencarian mereka semakin dekat.
“Jaidin, aku nak kau kesan simbol ni sampai dapat. Cari apa saja yang similar dengan bentuk simbol ni.” Arah Izwan. Jaidin hanya mengangguk.
“Tapi macamana kau boleh tahu tentang simbol ni Wan?” Adib mengerutkan dahinya.
“Dari Suria.” Izwan menjawab sepatah. Adib dan Jaidin saling berpandangan seraya tersenyum-senyum.
“Hmmm…baiknya kau dengan dia sekarang ni. Ada apa-apa ke?” Usik Adib. Izwan menjeling lelaki itu dengan ekor mata. Malas dia mahu melayan kerenah Adib. Nama saja genius dalam bidang kimia, tapi perangai mengalahkan budak-budak.
*  *  *  *
            Selesai makan tengahari bersama Adib dan Jaidin, Izwan terus mengambil keputusan pulang ke pejabat. Namun dia tidak terus menuju ke biliknya sebaliknya dia mencari Rustam. Melihat lelaki itu sedang menggunakan komputer di mejanya, Izwan berdehem beberapa kali. Rustam mendongak. Melihat Izwan di hadapannya, Rustam segera bingkas bangun.
            “Tuan.” Sapa Rustam.
            “Pak Tam, saya nak jumpa Pak Tam sekejap. Masuk bilik saya.” Suruh Izwan lalu mendahului ke pejabatnya. Rustam tercengang, namun dengan segera dia mengekori lelaki itu.
            “Tutup pintu tu Pak Tam.” Suruh Izwan seraya menyangkut jaket hitamnya di kepala kerusi. Rustam patuh lalu menutup rapat permukaaan pintu bilik lelaki itu. Hatinya sedikit gelisah dan tertanya-tanya apa tujuan lelaki itu memanggilnya. Jika kerana tugas, pasti akan ada briefing dengan staf-staf lain terlebih dahulu.
            “Duduk Pak Tam.” Arah Izwan lagi. Rustam segera menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di hadapan lelaki itu.
            “Kenapa tuan?” Soal Rustam sudah tidak sabar.
            “Pak Tam dah lama kerja kat sini kan?” Izwan bertanya.
            Lelaki itu mengangguk. “Dah dekat tiga puluh tahun. Tapi kenapa tuan tanya?” Dahi Rustam berkerut.
            “Ada sesuatu yang saya nak tanya pada Pak Tam sebenarnya. Tapi saya harap perkara ini hanya sampai di sini sahaja.”
            “Macam serius aje bunyinya tuan.” Rustam menggaru kepala.
            Izwan tersenyum kecil. Lucu dengan sikap Rustam yang agak gelabah. “Macam ni Pak Tam, apa yang Pak Tam boleh ceritakan pada saya tentang kes yang berlaku di sebuah kampung di sempadan Johor-Melaka pada tahun 1985 tu?”
            Rustam tergaman. “Maksud tuan, kes pembunuhan beramai-ramai tu?”
            Izwan mengangguk. “Saya ada bertanyakan beberapa orang pegawai. Mereka mengatakan Pak Tam salah seorang pegawai yang terlibat dalam operasi serbuan di kampung tu pada waktu itu.”
            Rustam menarik nafas panjang. “Benar tuan. Masa tu saya dan seramai lima belas anggota polis yang lain, menyerbu kawasan tersebut setelah kami mendapat maklumat tentang kawasan tersebut dijadikan markas oleh sebuah pertubuhan ajaran sesat. Malangnya ketika kami sampai, kampung tu dah dibakar dan mayat-mayat pula bergelimpangan. Ada yang mati hangus dan ada juga yang mati dikelar.” Ujar Rustam.
            “Siapa yang bagi maklumat masa tu?”
            “Saya pun tak tahu. Tapi rasanya pemberi maklumat itu hanya berhubung dengan orang atasan. Sebab kami hanya diminta menyerbu kawasan tersebut. Teruk juga kawasan kejadian tu tuan. Ramai perempuan dan kanak-kanak yang mati dibunuh dengan kejam.” Wajah Rustam kelihatan gusar ketika bercerita.
            “Selain dari kesan-kesan kecederaan yang biasa, ada tak Pak Tam nampak pembunuhan yang agak luar biasa?” Izwan agak berhati-hati menyulam pertanyaan. Dia tidak mahu Rustam terkejut.
            “Maksud tuan?”
            “Maksud saya, kesan kecederaan pada leher mangsa seperti dirobek dan daging mangsa disiat-disiat.” Izwan melontarkan wajah tanpa emosi di hadapan lelaki itu.
            Rustam termenung seketika. Sejurus kemudian lelaki itu menggelengkan kepalanya. Izwan berasa sedikit hampa. Dia teringat kata-kata lelaki berjambang yang ditemuinya beberapa hari yang lalu. Menurut lelaki itu, peristiwa pada tahun 1985 itu ada kaitan dengan kes yang sedang disiasatnya. Tapi sehingga kini, dia tidak nampak apa relevannya kes yang sudah sekian lama dimamah masa itu.
            “Tapi ada sesuatu yang buat kami rasa pelik dan aneh tuan.” Tiba-tiba Rustam bersuara. Izwan mengerutkan dahinya. Kata-kata Rustam terus memancing perhatiannya.
            “Apa dia Pak Tam?”
            “Antara banyak-banyak mayat yang bergelimpangan kat kampung tu, ada satu timbunan mayat yang siap dibakar sehingga rentung. Kami juga menemui banyak tengkorak-tengkorak manusia di dalam perigi buta berhampiran kawasan tersebut. Tak ke pelik tuan, kalau penduduk di kampung itu berniat membunuh diri beramai-ramai, kenapa mayat-mayat yang selebihnya tu perlu dibakar terlebih dahulu?”
            Izwan terdiam. Kata-kata Rustam mencelah masuk ke dalam kotak fikirannya. Dia mengerutkan dahinya.
            “Pak Tam, saya dah cuba cari rekod tentang kes itu di bilik dokumen, tapi saya tak jumpa apa-apa fail berkenaan kes tu. Mana perginya fail tu?” Soal Izwan ingin tahu. Rustam sekadar menggelengkan kepala.
            “Entahlah tuan, saya pun tak tahu. Sejak kes tu ditutup, kami memang jarang-jarang bercakap tentang kes itu lagi. Tapi kenapa tuan tiba-tiba tanya fasal kes ni? Apa ia ada kaitan dengan kes yang berlaku di Puchong tu?” Soal Rustam.
            Izwan sekadar menjongketkan bahu. Dia tidak mahu mengiyakan pertanyaan lelaki itu. Namun Rustam seakan faham dengan situasinya.
            “Sepanjang Pak Tam bekerja di sini, pernah tak Pak Tam terjumpa kes yang membabitkan pembunuhan yang agak aneh? Maksud saya selepas tahun 1985.”
            “Pembunuhan yang seperti tuan katakan tadi tu?”
            Izwan tiada pilihan lain. Dia mengangguk.
            “Entah tuan, tak pernah pulak Pak Tam dengar. Pak Tam pun tak berani nak kata.” Jawab Rustam sejujurnya. Izwan menarik nafas panjang.
            “Kalau macam tu, tak apalah Pak Tam. Pak Tam boleh keluar sekarang. Tapi tolong rahsiakan perbualan kita ni.” Pinta Izwan. Rustam hanya mengangguk tanda akur.
            Sepeninggalan lelaki itu, Izwan termenung panjang. Dia hairan sebenarnya. Jika benar-benar ada kes yang sama pada tahun-tahun yang pernah disebut oleh lelaki berjambang itu, sepatutnya kes ini akan didokumentasikan oleh pihak polis. Tapi dia tidak mendapati adanya sebarang bukti yang menyokong kata-kata lelaki itu. Malah dia juga tidak menemui fail yang menceritakan tentang kes yang berlaku hampir dua puluh lima tahun yang lalu. Mana perginya fail tersebut? Izwan benar-benar tidak mengerti.

2 comments:

mariani said...

Salam....
Kak Nita...tahniah utk citer. saya suka sgt dan tnanti2 sambungan kisah ini seterusnya. kalau blh, akak buku kan dia. satu lagi, ada bbrp link citer ni yg bermasalah.....

wassalam...

pipvz devil said...

bila nk sambung cite ni..lame tunggu p xde n3 bru...nk n3 baru..nk n3 bru..bleh ek?..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!