Followers

Friday, January 1, 2010

Tiada Sepertimu 2

ZARA menutup telefon agak kasar. Hatinya panas mendengar kata-kata Zackry yang seolah-olah mempersendakannya. Nantilah kau Zack, sampai kat pejabat esok tahulah aku nak basuh kau cukup-cukup, gumam Zara separuh geram.
Dia memandang wajahnya di hadapan cermin besar itu. Dahinya berkerut seribu. Kata-kata Zackry masih menyentuh gegendang telinganya. “Kenapa kau susah-susah nak ambil peduli siapa lelaki tu? Pedulikan saja soal dia, yang penting kuota kau cukup bulan ni, Encik Hasyim pun gembira.”

“Tapi aku tak suka semua ni Zack.”

“Cik Zara, sejak bila kau jadi pejuang nilai-nilai moral ni. Di Kuala Lumpur ni saja ada beratus-ratus lelaki macam Jaherry tu. Takkan kau nak tolak semua klien macam tu semata-mata dia ‘anak ikan’ datin tu?”

“Aku nak tanya kau ni Zack. Sebelum kau bagi klien ni pada aku, kau sebenarnya dah tahu siapa dia kan?” Tuduh Zara.

“Kalau aku bagitahu, kau mesti reject dia. Aku faham sangat prinsip kemanusiaan kau tu.” Suara ketawa Zackry meletus dari dalam telefon.

Zara mengetapkan bibirnya. Sah, lelaki itu sengaja mahu mengenakannya. Dia menarik nafas panjang. Jaherry dan Datin Kamisah masih menantinya di meja tadi. Entah apa patut dia buat kali ini? Patutkah dia terus berlagak pura-pura tidak tahu siapa lelaki itu? Atau patutkah dia ikut kata-kata Zackry agar menganggap Jaherry sama seperti klien-klien mereka yang lain?

“Maaf cik, pelanggan yang duduk di meja ni tadi terpaksa pergi dulu. Mereka pesan yang mereka akan hubungi cik semula nanti.”Beritahu gadis kecil berpakaian uniform restoran itu. Zara terkedu. Dah pergi?

“Bil-bil ni semua?” Soalnya lagi pada gadis pelayan itu.

“Semuanya dah dijelaskan.”

Zara mengeluh panjang. Dia segera mengambil fail-fail yang dibawanya bersama sebentar tadi. Di luar restoran, hujan tengah lebat menggila. Zara mendongak memandang langit yang nampak gelap. Entah sejak bila hujan mula turun. Semasa di dalam restoran tadi, tidak pula dia perasan dengan keadaan cuaca yang tidak berapa baik.

Malangnya tadi dia datang dengan menaiki kereta Zackry. Jika dia tahu begini, lebih baik dia memandu sendiri. Tidaklah dia terperangkap di tengah-tengah hujan lebat.

Matanya dikerlingkan memandang jam di pergelangan tangannya. Hampir pukul 7.00 malam. Sempatkah aku nak berkejar pula ke majlis makan malam nanti, fikir Zara. Dia memandang tubuhnya yang bersarung dengan blouse dan jeans. Inilah pakaian yang digemarinya sejak dulu. Jika diikutkan hatinya, dia mahu terus ke rumah ayahnya. Tapi mengenangkan pakaiannya tidak sesuai dengan konsep majlis, Zara segera membatalkan hasrat untuk membuat kerja gila. Lagipun dia faham sangat dengan sikap ayahnya. Sejak muda, Bakhtiar Syuhaidin tidak pernah berubah. Keras dan dangkal sifatnya.

Bunyi siulan yang datang dari suatu arah membuatkan lamunan Zara terputus begitu sahaja. Dia menoleh. Seorang lelaki sedang bersandar di sebalik tiang sambil bersiul-siul. Zara memerhatikan dengan penuh minat. Entah kenapa bunyi irama siulannya mengingatkan Zara pada sebuah lagu nyanyian kumpulan popular yang sering berkumandang di stesyen televisyen. Ralit dia mendengar siulan lelaki itu sehingga tidak sedar sebuah kenderaan meluncur laju lewat di hadapannya.

Dia terjerit kecil apabila wajahnya disimbah percikan air dari lopak di jalanan. Hatinya mengguman geram. Sakit hatinya mengenangkan sikap pemandu yang tidak berhati perut memandu laju sehingga dia yang mendapat bahana.

“Alamak, macamana ni! Bodoh punya driver.” Tak habis-habis mulutnya menyumpah pemandu itu. Sakit hatinya tuhan saja yang tahu. Gerak gerinya yang merungut tidak pernah habis membuatkan sepasang mata merenung singkap ke wajahnya. Siulan yang tadi menjadi penyeri hilang seketika.

Teringat pada suara siulan yang kini membisu, menyebabkan Zara menoleh ke arah lelaki di sebalik tiang tadi. Namun dia akhirnya tergaman apabila menyedari sepasang mata milik lelaki itu singgah ke wajahnya. Dia sendiri seolah terpukau memandang lelaki itu. Apatah lagi menyedari lelaki itu adalah lelaki yang menegur Jaherry sebentar tadi. Bebola mata lelaki itu terus menerjah ke wajahnya membuatkan Zara semakin gelisah. Dia memandang di sekelilingnya. Tidak ada orang lain yang menunggu di situ kecuali mereka berdua. Akukah yang dipandangnya?

Lelaki itu tiba-tiba ketawa. Zara tercengang. Bukan ketawa itu yang menjadikan dia bingung, tapi kerana matanya sudah tersilau dek sepasang senyuman yang jelas menawan. Dia seolah terpukau melihat lelaki itu.

Langkah lelaki itu tiba-tiba diatur pantas ke arahnya. Darah Zara segera menyirap. Serta merta akalnya mula cerdas. Tanpa sedar dia berundur selangkah dua. Entah mengapa, dia bimbang berada di situ bersama lelaki itu. Apatah lagi sikap lelaki itu agak ganjil di matanya.

“Berdiri kat situ dengan baju basah boleh buat kau demam. Jom kita ke dalam,” ajak lelaki itu seraya menarik lengannya. Zara tersentak. Entah mengapa, tiba-tiba dia naik radang. Pantas tangan lelaki itu ditepisnya.

“Yang kau pegang-pegang ni kenapa? Kau nak aku jerit?” Sanggah Zara dengan nada keras. Lelaki itu terkebil-kebil memandangnya. Beberapa ketika kemudian lelaki itu tergelak semula. Bulat matanya memandang raut wajah Zara yang masam mencuka. Macam asam kecut, desis hati si lelaki.

“Cik adik, aku cuma nak tolong kau. Baju kau tu basah. Kalau kau tak nak demam, kat dalam tu ada baju seragam pelayan restoran tu. Sekurang-kurangnya aku boleh minta mereka pinjamkan untuk kau.”

Zara terkedu. Untuk seketika tiba-tiba dia rasa bersalah. Tanpa apa-apa bukti, dia terus buruk sangka terhadap lelaki itu.

Lelaki itu masih tersenyum memandangnya. Zara pura-pura tidak melihatnya.

“Tak payah, aku tak apa-apa.” Jawabnya perlahan. Kerana malu, dia menolak pertolongan ikhlas yang ditawarkan lelaki itu. Mendengar kata-katanya, lelaki itu hanya mampu menjungkit kening.

“Tak apalah kalau kau tak nak aku tolong. Bukan aku yang rugi,” balas lelaki itu lagi. Dia kembali bersiul-siul sambil menyandarkan tubuhnya pada dinding taxi stand. Wajahnya selamba.

Zara diam-diam melirik ke arah lelaki itu. Matanya tanpa sedar menjadi juri sesusuk tubuh tinggi lampai ala model itu. Orangnya berkulit sawo matang. Nak kata handsome sangat pun tak juga. Wajahnya boleh tahan, sedap mata memandang. Apa orang tua-tua kata…oh ya sejuk mata memandang! Nampak cute dengan kemeja dark blue dan jeans denim.

Tiba-tiba ingatannya singgah pada Jaherry Razak. Dia memandang ke arah lelaki itu semula. Dahinya berkerut. Dia masih ingat salam mesra yang berpupuk antara keduanya sebentar tadi. Entah apa hubungan lelaki itu dengan Jaherry Razak yang ditemuinya sebentar tadi? Kawan biasakah atau kawan satu profesion?

“Minggu lepas aku ke party Puan Sri Sulina. Dia asyik tanyakan fasal kau saja. Aku rasa dia dah syok kat kau la brader.” Suara Jaherry berkumandang ibarat putaran rakaman tape yang menjadi duplikat kepada kisah sebentar tadi.

“Aku ada target baru la bro.” Jawab si lelaki. Zara mengetapkan bibirnya. Dia naik geli geleman mendengar perbualan seperti itu. Sudah-sudahlah wahai makhluk bernama lelaki. Di mana-mana saja lelaki yang ditemuinya semuanya sama sahaja. Apa sudah tidak ada lelaki normal dan baik di sekelilingnya kah?

“Kau tak rasa sejuk ke berdiri macam tu dengan baju basah? Kena demam baru tahu. Susah sangat ke nak terima sekadar satu pertolongan kecil?” Tiba-tiba lelaki itu bersuara, memecah kebuntuan yang mula bersarang.

Zara terpana. Bebola matanya tajam mengerling sang jejaka yang selamba menuturkan kata-kata. Namun serentak itu juga, jantungnya sekali lagi bagai hendak luruh menatap renungan lelaki itu yang menikam tepat ke wajahnya. Zara pantas memalingkan wajahnya. Hatinya serba tidak keruan kali ini.

1 comment:

aqilah said...

alamak, bestlah nita. baru 3 chapter, dah terangkat ni......... apapun, akak follow.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!