Followers

Wednesday, November 13, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 2


TERKIAL-KIAL Haril cuba mengangkat kotak sederhana besar mendaki anak tangga sehingga ke tingkat 5. Habis basah lencun badannya bermandi peluh. Entah apa nasibnya hari ini terpaksa menginjak anak tangga demi anak tangga ke apartmennya. Mulutnya kadang-kala mengomel memaki lift yang sentiasa rosak setiap bulan. Jika diikutkan hatinya yang baran, ingin rasanya dia berpindah keluar dari apartmen itu. Namun apa dayanya, bukan senang mahu mencari rumah sewa di kota besar seperti ini. Lagi-lagi dengan gaji ciput sepertinya.

            Ketika dia mahu meneruskan langkah ke apartmennya, mata Haril tiba-tiba terpandang sesusuk tubuh berdiri di hadapan pintu apartmennya. Lelaki itu bercermin mata hitam, berkemeja putih dan berjeans denim. Nampak segak dan bergaya!

Hatinya tiba-tiba digigit resah. Gerak-geri lelaki itu mencurigakan. Kalau diikutkan, dia ingin segera meluru ke arah apartmennya dan mengunci diri di dalam. Tapi bagaimana itu harus terjadi? Lelaki itu berdiri betul-betul di hadapan pintu apartmennya seraya merenung tajam ke arahnya.

            Liur yang ditelan terasa pahit. Dia benar-benar resah dibuatnya. Bagaimana kalau lelaki di hadapannya itu berniat jahat? Lagipun hidup di kota besar begini, pelbagai jenayah sering berlaku. Setiap hari berita pembunuhan, kes samun, rogol dan pecah rumah sering dimuatkan di dada-dada akhbar. Ya ALLAH, janganlah ada perkara buruk berlaku padaku. Aku masih mahu hidup, masih mahu bertemu ibubapa di kampung, doa Haril dalam resah berpanjangan.

            Senyuman lelaki itu tiba-tiba singgah di bibir. Haril terkedu. Bukan kerana menerima senyuman dari orang yang tidak dikenali, tapi kerana tiba-tiba sahaja lelaki itu mengatur langkah ke arahnya.  Tanpa disedari dia mengundur sedikit demi sedikit. Rasa was-was yang muncul di dalam diri harus dibuat kira.

            “Tak kenal aku lagi?’ Lelaki itu tiba-tiba bertanya.

            Haril memandang wajah itu dari atas ke bawah. Pertanyaan lelaki itu membuatkan dia cuba memandang lelaki itu dengan teliti.

            Melihat wajah Haril yang kebingungan, lelaki itu segera menanggalkan kacamata hitam yang dipakainya. Wajah Haril tiba-tiba berubah.

            “Diaz? Kau Diaz?” Soal Haril bagaikan tidak percaya.

            Lelaki itu tergelak kecil seraya mengangguk.

            “Takkan teman lama pun dah tak kenal.” Sindir lelaki itu.

            “Diaz?” Haril cuba memastikan.

            “Iya, aku Diaz Hafizi. Apa patut aku buat supaya kau percaya? Nak tengok kad pengenalan aku?” Gelak lelaki itu.

            “Astagfirullahalazim kau ni, buat aku terkejut aje. Kalau ya pun, janganlah menakutkan aku sampai macam tu sekali. Aku ingatkan orang jahat manalah yang nak samun aku tadi.” Rungut Haril sambil mengurut dadanya yang masih berdebar-debar.

            “Takkan muka handsome macam aku ni dikatakan orang jahat. Jangan-jangan kau tu yang penakut.” Tawa lelaki itu terus bersambung.

            “Banyaklah kau punya penakut. Eh apahal kau tiba-tiba ada kat sini pulak? Bukan ke sepatutnya sekarang ni kau masih di Amerika?” Haril dicuit rasa keliru.

            Kau tak suka aku balik?” Duga Diaz nakal.

            “Bukan tak suka cuma terkejut. Sepuluh tahun menghilang, tiba-tiba pula muncul di rumah aku. Mak ayah kau tahu kau nak balik?” Soal Haril.

            Diaz tidak menjawab. Hanya bibirnya sahaja yang tak lekang-lekang tersenyum. Wajah Haril ditatap serius.

 “Kau tak mahu jemput aku masuk?” Tanyanya selamba.

            “Ops sorry, lupa pulak. Marilah masuk dulu,” pelawa Haril sambil membuka pintu apartmennya.

Diaz melangkah masuk tanpa banyak soal. Matanya liar memerhatikan apartmen bujang milik Haril yang tersusun rapi.

            “Inilah pondok buruk aku. Sudah tiga tahun aku tinggal kat sini,” cerita Haril sambil meletakkan kotak yang dipegangnya ke meja kecil yang agak tersudut.

            Nice place, kau tinggal seorang?” Soal Diaz.

            “Dulu aku ada housemate, maklumlah macam aku ni manalah mampu bayar sewa apartmen macam ni. Tapi budak tu selalu bawa perempuan masa aku tak ada. Mana tahan beb asyik tengok adegan free aje. Lepas tu aku basuhlah dia sikit. Tak cukup seminggu, dia terus bungkus kain baju dia, terus blah macam tu aje.” Haril galak bercerita.

Diaz sekadar tersengih mendengar cerita temannya itu.

            “Kalau macam tu, bolehlah aku menyewa kat sini pulak,” ujar Diaz selamba.

            Haril terdiam. Bulat biji matanya memandang lelaki itu.

            “Kau biar betul Diaz.”

            “Kenapa, tak percaya?” Diaz ketawa lagi. “Kalau kau tak percaya, ikut aku pergi airport. Bagasi aku masih tersimpan kat sana.” Sambung lelaki itu lalu melepaskan lelah di sofa bulat di ruang tamu.

            “Habis, kau dah tak mahu balik ke sana?” Soal Haril dengan kerut aneh di wajahnya. Dia masih ingat, Diaz pernah berkata tidak mahu lagi balik ke mari. Apa sudah jadi dengan ikrar sahabatnya itu?

            Diaz terdiam. Hampir sepuluh tahun lamanya dia di rantau orang. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia terasa ingin pulang. Pulang ke tanahair yang menyimpan banyak sejarah luka di hatinya.

Aku rasa kosong kat sana Haril. Aku rasa sunyi.” Keluh Diaz tiba-tiba. Bersahaja, tapi tetap sahaja menyimpan kesayuan bagi sesiapa yang mendengarnya.

Haril terkedu mendengar rentak bicara Diaz. Kenapa dengan lelaki itu sebenarnya? Lelaki yang paling dikaguminya di alam persekolahan, tiba-tiba sahaja bercakap soal kekosongan, soal kesunyian. Haril merasa benar-benar aneh. Apakah Diaz ada masalah?

*  *  *  *

DIAZ tenggelam dalam menungan yang panjang. Pemandangan luas terbentang di hadapan matanya memikat hatinya untuk terus memerhati. Sesekali terasa bayu pagi menghembus sepoi-sepoi bahasa ke mukanya. Dia memejamkan matanya. Terasa ada ketenangan menjelma kembali dalam jiwanya yang sudah lama tandus.

            “Ibubapa kau tahu kau nak balik ke sini?” Pertanyaan Haril malam tadi tergiang-giang kembali dalam ingatannya.

            Diaz mengeluh kesal. Dia tidak pernah berniat mahu membelakangkan keluarga dengan merahsiakan kepulangannya. Cuma dia belum bersedia untuk berhadapan dengan mereka.

            “Mama rindu pada Diaz. Pulanglah Diaz,” lembut suara ibunya memujuk suatu ketika dahulu tergiang-giang di kotak fikiran. Namun pujukan itu tidak mampu melenturkan hatinya.

            “Ayah suruh Diaz balik ke mari. Bukankah Diaz dah habis belajar, pulanglah sayang. Kami semua rindukan Diaz.“ Sambung wanita itu lagi.

            Diaz termenung panjang. Terasa dadanya berbahang hangat! Suara mamanya benar-benar melontarkan dirinya dalam kegelisahan yang berpanjangan.

            “Kenapa dengan kamu ni Diaz? Kalau beginilah perangai kamu, ayah takkan hantar kamu belajar sehingga ke luar negara. Lebih baik kamu tinggal aje di sini.” Marah ayahnya pula mendadak muncul mengantikan suara ibunya. Lelaki itu berang bila dia enggan pulang ke tanahair sebaik menamatkan pengajiannya lima tahun yang lalu.

            Semua orang marah padanya. Semua orang tertanya-tanya kenapa dia enggan pulang. Malah tak kurang juga ada saudara-mara yang menuduhnya sudah jauh terpengaruh dengan gaya hidup barat. Terpesong dengan budaya sekular masyarakat barat. Tapi dia hanya pekakkan telinga, butakan hatinya. Hanya dia seorang sahaja yang tahu apa sebabnya dia berat hati mahu pulang. Mana mungkin dia mampu memaafkan dirinya sendiri. Sepuluh tahun lamanya dia cuba melupakan kisah malam itu. Namun jarak masa 10 tahun itu, tidak pernah mengembalikan ketenangan di hatinya. Selama waktu seiring, selama itu jugalah dia diterpa perasaan bersalah.

            “Eh! dah bangun? Sorrylah aku jarang masak sarapan pagi. Selalunya aku makan di warung depan pejabat aku saja. Tapi kalau kau lapar, ada roti dan mentega dalam kabinet dapur tu. Makanlah,” celah Haril yang baru keluar dari biliknya. Lelaki itu sudah bersiap-siap mahu ke tempat kerja.

            “Kau dah nak pergi kerja?” tegur Diaz.

            “Hai mestilah, keluarga aku bukan orang kaya macam kau dan Dina,” balas Haril seraya ketawa kecil.

Diaz terpanar. Nama yang meniti keluar dari mulut Haril membuatkan airmukanya berubah. Serentak tubuhnya mengeras.

            “Dina?”

            Langkah Haril terhenti. Dia berpaling, lalu menatap wajah Diaz yang diselubungi kebingungan.

            “Ya Dina, adik kau. Hai, takkan adik sendiri pun kau boleh lupa. Dahsyatlah kau ni!” Tukas Haril lalu tersengih.

Namun raut wajah Diaz tidak berubah. Haril mengerutkan dahinya.

            “Dah kau ni termenung kenapa pulak? Sekurang-kurangnya jenguklah Dina. Pejabat dia tak jauh dari pejabat aku. Kadang-kadang kami kerap juga terserempak waktu lunch.” Sambung Haril lagi. Rancak bercerita tanpa mengesyaki apa-apa yang tidak kena dengan Diaz.

            Dia sihat?” Soal Diaz. Suaranya mendatar sahaja.

            “Kenapa tak jumpa dia dan tanyakan sendiri? Dia kerja di syarikat pengiklanan sekarang. Kalau kau nak nombor dan alamat tempat kerja Dina, ada dalam buku kecil atas almari tu. Okeylah, aku dah lambat ni. Aku pergi dulu,” ujar Haril seraya bergegas keluar.

Diaz memerhatikan sehingga kelibat temannya menghilang di muka pintu. Sepeninggalan Haril, dia termenung panjang. Hampir sepuluh tahun dia tidak bertemu Dina Azura. Bagaimana rupa anak gadis itu sekarang? Dahulu sewaktu dia tinggalkan Malaysia, gadis itu baru berusia 15 tahun. Kini usia Dina Azura sudah mencecah 25 tahun. Bagaimana dia? Sihatkah dia? Atau masih cengeng seperti dahulu? Hati Diaz ingin benar mengetahuinya.

“Mama, tengoklah abang ni. Dia rampas anak patung Dina.”

“Diaz, kenapa usik adik tu?” Tegur ibunya bernada keras.

            “Diaz tak suka dia main anak patung tu. Itu bukan anak patung dia.”

            Diaz!” Wanita itu menengkingnya.

Bergema seketika rumah itu dengan tengkingan ibunya. Dia yang hanya berusia 13 tahun ketika itu hanya mampu terkebil-kebil memandang wajah si ibu yang mencerlung garang ke arahnya. Sepasang matanya melorot ke arah Dina Azura yang sedang mengesat airmata yang berjurai di pipi tembamnya. Entah kenapa, dia menyimpan perasaan benci pada wajah itu ketika itu. Benci yang teramat sangat!

            Alam kecilnya ketika itu bagai tidak menghendaki kehadiran Dina Azura dalam hidupnya. Dia merasakan kewujudan Dina Azura hanya satu beban dan tekanan. Dan beban itu dibawa masuk oleh ibu dan bapanya, di saat-saat dia merasakan kebahagiaan dalam rumah itu semakin lenyap. Semakin pudar!

            Buku alamat yang terletak di atas almari tiba-tiba dicapai lalu dibelek. Beberapa helaian dibelek sebelum dia menemukan nama Dina Azura di antara senarai kenalan-kenalan Haril yang lain. Dia merenung nama itu agak lama. Ada getaran halus bermukim di sanubari. Sepuluh tahun lamanya, tapi getaran aneh ini masih kekal di sini. Diaz memegang permukaan dadanya. Hatinya masih merasakan debaran yang sama setiap kali dia menyebut nama itu.

            “Kenapa Diaz tak mahu pulang? Diaz tak rindu mama? Diaz tak rindu Dina?” Suara ibunya bertanya muncul lagi.

Dia segera memejamkan matanya. Kelopak matanya terasa basah. Ya ALLAH! Sesungguhnya jarak sepuluh tahun ini membuatkan dia merindui ibunya. Merindui rumah dan bilik yang sudah lama ditinggalkan. Tapi merindui Dina? Rindukah aku padanya? Entah mengapa untuk mengakui merindui gadis itu, dia seperti tenggeam dalam dosanya sendiri. Setelah apa yang dilakukannya, maka berhakkah dia untuk merindui gadis itu?

            Keputusan yang dibuatnya tidak pernah mudah sebenarnya. Dia masih menyimpan keraguan untuk kembali semula ke mari, ke tempat yang pernah ditinggalkannya dahulu. Dan salah satu sebabnya ialah kerana Dina Azura sendiri!

*  *  *  *

TEKSI yang dinaikinya berhenti di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat. Dia hanya diam di dalam perut teksi tersebut tanpa ada niat mahu melangkah keluar. Pandangannya merimbun ke arah rumah tersebut. Kereta yang tersimpan di dalam petak parkir turut ditinjau. Hanya ada sebuah sahaja kereta yang tersimpan di situ.

            “Encik tak mahu turun?” Tanya si pemandu teksi yang hairan melihat sikap penumpang teksinya itu yang hanya berdiam diri di situ tidak berkutik.

            “Maaf, saya tak jadi nak turun. Boleh hantar saya ke pusat bandar?” Pinta Diaz. Pemandu teksi itu sempat menggaru kening sebelum menurut sahaja perintah lelaki di belakangnya itu.

            Diaz menarik nafas panjang. Apa yang aku fikirkan sebenarnya ini? Apa tujuan aku ke mari? Keluhnya rungsing. Bunyi deringan telefon bimbitnya bergema menyahut sunyi yang menyelubungi ruang sempit teksi itu. Diaz cepat-cepat menyeluk saku seluarnya lalu mengeluarkan sebuah telefon bimbit.

“Hello.” Sapa Diaz perlahan.

            Mendengar suara yang berlawan bercakap dengannya, dia ketawa kecil. “I sampai semalam. Sekarang I kat rumah teman sekolah lama dulu, bermalam kat sini.” Ujarnya seraya menyelak rambut yang terjuntai di dahi.

            Are you sure about this?”

            Ketawanya singgah. Beberapa minit kemudian dia menyudahkan perbualan. “Thanks anyway, nanti I ke sana.”

            Diaz tersenyum simpul. Rezeki jangan ditolak, itu prinsip hidupnya sejak dahulu. Sedikit sebanyak dia rasa lega kerana dia baru sahaja pulang ke Malaysia, kerja sudah melamarnya. Alhamdulillah!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!