Followers

Tuesday, November 23, 2010

Blue Sunset : Bab 6

ZAHAR menolak daun pintu agak kasar. Selepas melemparkan begnya ke atas meja, dia terus duduk di birai katil. Matanya merenung jauh sambil sebelah tangannya membuka butang kemeja yang dipakainya satu persatu. Ingatannya menerawang jauh pada peristiwa petang tadi.

“Iman, apa perempuan tu buat dalam kereta kau?’ Soalnya apabila melihat Aqi sudah menunggu di dalam kereta milik Iman.

“Aku nak hantar Aqi balik rumah. Kasihan dia, dahlah dia datang dengan teksi ke mari, keretanya pulak kena tinggal kat tepi jalan tu. Kasihan dia.” Ulang Iman selamba.

Dia terkedu mendengar kata-kata Iman. Macam perli aku aje. Dia merenung Aqi yang mula menundukkan wajah. Penakut betul perempuan ni. Macamana dia nak kerja satu team dengan aku nanti? Rungutnya mula naik geram. Tidak tahu kenapa dia jadi alergik setiap kali terpandang gadis itu. Seolah-olah kewujudan gadis bernama Aqila Murni itu berupaya menyahstabilkan alam di sekelilingnya. Haru!

“Hah kau nak naik ke tidak ni? Tadi beria-ria nak tumpang aku balik.” Iman mula membuka pintu kereta.

“Macamana nak naik kalau dia ada kat sebelah kau tu.” Balasnya dengan wajah mencuka.

“Kawan, kau ingat kereta aku ni ada dua tempat duduk aje ke? Kau pergi duduk kat belakang.” Suruh Iman.

Mendengar kata-kata Iman, dia sudah tidak ada pilihan lain. Jika dia terus berdegil, dia juga yang akan rugi nanti. Hendak tak hendak, dia terpaksa membuka pintu kereta di bahagian belakang lalu menerpa masuk.

Hampir lima belas memandu, kereta Iman akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah teres setingkat di sebuah kawasan perumahan. Seorang wanita yang sedang menyiram pohon-pohon bunganya menoleh ke arah mereka.

“Itu ibu saya Encik Iman.” Ujar Aqi memberitahu. Dia memasang telinga. Matanya merenung wanita yang agak pucat wajahnya yang menghampiri kereta Iman. Dia sendiri tidak menyangka wanita yang merupakan ibu kepada gadis bernama Aqi itu akan mempelawa mereka singgah ke rumah. Mulanya dia enggan, tapi apabila wanita itu sendiri yang memujuknya, mahu tak mahu dia terpaksa mengalah.

Melihat keramahan wanita itu melayan Iman dan dirinya, entah mengapa dia jadi kurang senang. Jika diikutkan hatinya, ingin sahaja dia tinggalkan rumah itu begitu sahaja. Tapi mengenangkan dia sudah terlanjur mengekori Iman ke dalam rumah wanita itu, maka mahu tak mahu dia memaksa dirinya bersabar.

“Dah lama makcik tinggal kat sini?” Iman bertanya. Dia pula hanya diam sahaja. Tidak berminat mahu ikut campur perbualan yang dirasakan tidak ada faedahnya.

“Sejak Aqi masih kecil lagi. Rumah inilah dunia kami dua beranak.” Wanita itu tersenyum.

“Itu gambar Aqi?” Iman menunjukkan ke suatu arah. Dia turut menoleh. Sederetan bingkai gambar yang tersusun di atas para almari mengutip perhatiannya. Wanita itu dilihatnya tersenyum lalu mengangguk.

Dia terus merenung wajah yang sedang tersenyum manis di samping ibunya di dada potret. Kepala anak gadis itu terlentok ke arah bahu ibunya. Manakala sebelah tangan wanita itu pula memegang bahu anaknya. Di dalam gambar, kedua mereka tidak ubah seperti adik dengan kakak. Kalau orang tidak tahu hubungan wanita itu dengan anaknya, pasti itulah yang akan terlintas di kepala setiap orang yang melihat potret tersebut.

Melihat gambar tersebut, entah mengapa dia merasakan darah panas menyerbu ke mukanya. Hatinya benar-benar merasa kurang senang. Segala-galanya terasa menjengkelkan bagi dirinya. Kemesraan gadis itu bersama ibunya membuatkan dia terasa mahu terbang keluar dari rumah itu. Nafasnya beralun gementar.

Zahar mendengus lagi. Malas mahu terus mengungkit kisah petang tadi. Dia bingkas dari pembaringan secepat kilat. Matanya terperosok pada sekeping potret kecil yang menghiasi meja kecil di tepi katilnya. Renungannya singgah lama pada potret tersebut.

Potret itu diambil beberapa tahun yang lalu di samping ayah dan neneknya ketika majlis konvokesyennya berlangsung. Ketika itu, hanya ada dua insan itu sahaja yang meraikan hari bersejarahnya. Sejak dulu begitu. Tidak ada lagi insan lain yang akan muncul di hari yang penuh bermakna untuknya. Tidak sewaktu dia menerima ijazah, tidak juga sewaktu dia menyambut hari lahir dan pasti juga tidak ketika dia jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital kerana demam panas. Sejak kecil dunianya hanya ada ayah dan neneknya. Tidak pernah ada istilah ibu dalam kamus hidupnya seperti gadis bernama Aqi itu.

Zahar meraup wajah. Matanya terpejam rapat. Mengenangkan kebahagiaan yang terpancar pada potret wajah Aqi dan ibunya yang dilihatnya petang tadi, Zahar akui sedikit sebanyak hatinya terguris. Fragmen yang sejak sekian lama diimpikannya, dengan mudah diraih gadis itu. Bukan seperti dirinya yang hanya melukut di tepi gantang. Tidak pernah mendapat tempat di hati seorang ibu. Malah tidak diingini oleh wanita itu. Sejak kecil dirinya dibuang. Hina sangatkah Zahar di mata mama sampai mama tak mahukan Zahar? Sampai mama tak mahu berpaling walau hanya sesaat untuk menatap wajah Zahar buat kali terakhir?

Dia meraba-raba di belakang bahu kanannya berhampiran tengkuk. Satu jalur parut yang memanjang timbul di situ. Sejak parut itu melekat di bahunya, dia sudah berhenti bermimpi. Dia sudah berhenti untuk menyebut nama seorang ibu yang pernah melahirkannya.

Kelopak matanya dibuka. Dia menjatuhkan tangannya. Nafasnya dihela kasar. Kenapa tiba-tiba sahaja aku terkenangkan perempuan itu? Untuk apa aku mengingati wanita yang telah melukakan hati anak dan suaminya sendiri? Tak berbaloi langsung! Getusnya tiba-tiba naik berang.

Tiba-tiba pintu biliknya ditolak perlahan. Zahar berpaling. Neneknya Rukiyah berdiri di penjuru pintu sambil terkelip-kelip memandang ke arahnya. Zahar tercengang. “Kenapa nek?”

“Bila baliknya? Tak sedar pun.” Wanita itu menyapa. Tetap dengan wajah serius seperti selalu.

“Baru kejap tadi.”

“Nenek tak dengar pun bunyi kereta kamu.”

Zahar terdiam seketika. “Kereta Zahar rosak nek. Iman yang hantar zahar tadi.” Dia menjawab perlahan.

“Hai kereta baru pun boleh rosak?” Mata Rukiyah sengaja dijegilkan ke arah cucunya. Zahar ketawa kecil.

“Kereta pun macam orang jugak nek. Walaupun spare part baru, kalau nak rosak, rosak juga. Orang muda kalau nak jatuh sakit pun sakit jugak. Tak payah tunggu tua.” Ujar Zahar.

“Pandailah kamu ni.” Rukiyah mencebik. Zahar tersenyum-senyum simpul memandang wanita itu.

“Dahlah tu, pergi mandi lepas tu solat. Ayah kamu tak balik malam ni, jadi kamu makan sorang-sorang. Makanan dah nenek dah siapkan.” Ujar Rukiyah.

“Nenek nak ke mana?” Zahar tercengang.

“Nenek nak pergi sembahyang berjemaah dan tadarus kat surau. Kenapa? Nak ikut sekali?” Tanya Rukiyah.

Zahar tersengih-sengih. Terkena pulak dah!

Tanpa menunggu balasan, Rukiyah segera menghilang dari muka pintu. Meninggalkan Zahar yang masih terjelepuk di atas katilnya. Senyuman di bibir Zahar cepat memudar sebaik neneknya beredar. Dia merebahkan tubuhnya sekali lagi. Kelopak matanya terpejam rapat sambil lengannya diletak ke atas dahinya. Kesunyian di rumah itu mula mengisi ruang di hatinya.

* * * *

Aqi sibuk mencuci cawan-cawan minuman yang dihidang kepada Iman dan Zahar sebentar tadi, sehingga tidak perasan ibunya muncul dari arah belakang.

Kamelia hanya memerhatikan gerak geri Aqi yang sedang ralit menyelesaikan kerja-kerjanya. Ada sesuatu yang mahu ditanyakan sebenarnya. Tetapi dia sabar menanti sehingga Aqi selesai mencuci cawan dan piring kotor.

Aqi berpaling. Melihat kelibat ibunya berada di situ, dia tergaman. Serta-merta dia mengurut dada. Astaghfirullahalazim, terkejut aku!

“Mak, kenapa mak berdiri kat situ? Mak buat Aqi terperanjat.” Keluh Aqi. Kamelia ketawa kecil.

“Sorry sayang, mak dah tak sabar nak tahu macamana temuduga Aqi tadi? Berjaya tak?” Tanya Kamelia teruja.

Aqi tersenyum simpul. “Mak…mak, habis mak ingat Encik Iman tu setuju hantar Aqi balik sebab kasihan tengok Aqi tak diterima bekerja, macam tu?” Usiknya nakal. Sengaja mahu mengenakan ibunya.

Wajah Kamelia berubah. “Jadi Aqi tak diterima bekerja?” Suara Kamelia langsung bimbang. Aqi ketawa besar melihat sikap ibunya.

“Kalau Aqi dah ada restu mak dan pertolongan Doktor Ilani, mustahil Aqi tak dapat kerja tu mak. Walaupun Aqi ada kekurangan, namun Aqi percaya tuhan itu adil. Dia takkan biarkan Aqi sendirian. Mak juga takkan biarkan Aqi sendirian kan?” Bisik Aqi.

Kamelia terdiam. Kata-kata Aqi membuatkan dia sebak. “Mak janji, mak takkan biarkan Aqi hidup sendirian. Mak nak anak mak ni bahagia sebelum mak pergi tinggalkan Aqi.”

Aqi mendongak wajah memandang ibunya. Kata-kata Kamelia membuatkan hatinya risau. Dia tahu wanita itu bercakap begitu kerana penyakit yang dideritainya. Sungguh dia takut jikalau suatu hari nanti, ibunya akan pergi meninggalkannya. Pada siapa dia harus bergantung nasib? Pada siapa dia harus bercerita tentang kesedihan dan kesukaran yang dilaluinya?

“Encik Iman tu nampak baik orangnya. Mak gembira dia sudi beri Aqi kerja di pejabatnya.” Tiba-tiba Kamelia mengalihkan topik perbicaraan. Wajah keruh si anak membuatkan dia terpaksa mengambil langkah itu.

“Dia memang baik mak, Aqi rasa lega sangat dapat bos macam dia.” Balas Aqi.

“Syukurlah ada Encik Iman tu. Yang seorang lagi tu siapa pulak Aqi? Masam mencuka aje mak tengok. Dia macam hendak tak hendak aje bila mak pelawa masuk.” Tanya Kamelia. Tiba-tiba dia teringatkan susuk lelaki kacak yang berada bersama Iman ketika itu.

Aqi tidak terus menjawab. Dia tahu ibunya berbicara tentang Zahar. Bukan sahaja ibunya, dia juga perasan Zahar seakan tidak gembira berada di rumahnya. Malah senyuman lelaki itu ketika bersalam dengan ibunya sewaktu pulang tadi nampak sangat seperti sengaja dibuat-buat. Tidak ikhlas!

“Itu Encik Nadzihar mak, dia rakan sekerja Aqi nanti.”

“Nampak sombong aje budak tu!” Komen Kamelia.

Aqi terdiam. Dia tahu tuduhan ibunya berasas. Wanita itu bukan sengaja melemparkan tuduhan ke atas Zahar.

“Dia nampak je macam tu mak, tapi sebenarnya dia baik. Agaknya dia ada masalah kat pejabat tadi, itu sebab dia macam takde mood nak bercakap-cakap.” Jelas Aqi. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia membela Zahar. Padahal sudah terang lagi bersuluh, lelaki itu adalah lelaki yang paling ego, sombong dan menyebalkan yang pernah ditemui selama hayatnya.

“Kalau sekalipun ada masalah, takkan sampai nak bermasam muka dengan orang yang dia tak kenal.” Tukas Kamelia.

“Mak jangan risaulah. Betul, Encik Nadzihar tu baik orangnya. Selalunya dia tak macam tu. Kalau mak kenal dia lebih lama, tentu nanti mak pun sukakan dia.” Balas Aqi pula, sengaja mahu memadamkan persepsi buruk ibunya terhadap Zahar. Untuk apa dan kenapa, dia sendiri tidak tahu jawapannya.

“Dahlah tu, mak nak pergi solat dulu. Aqi pun sama, jangan lewat-lewatkan solat. Tak baik!” Pesan Kamelia akhirnya lalu beredar ke biliknya. Sepeninggalkan ibunya, Aqi duduk diam di atas kerusi meja bulat yang menjadi meja makan mereka berdua. Fikirannya melayang ke arah Zahar yang tidak banyak bercakap sewaktu di dalam kereta. Lelaki itu hanya membiarkan sahaja Iman melayaninya dengan pelbagai soalan demi soalan. Tapi sedar tak sedar matanya asyik mengintai kelibat Zahar dari cermin sisi kereta. Sesekali dia perasan lelaki itu juga asyik memerhatikannya. Entah apa yang difikirkan lelaki itu pun dia tidak tahu. Kalau bukan sebab Iman Khaliq, belum tentu dia mahu berkerja di Sri Anjung Design dan bertemu Zahar setiap hari.

Bercakap tentang Iman Khaliq, Aqi tiba-tiba termenung panjang. Entah kenapa dia terkenangkan perbualannya dengan Iman Khaliq sewaktu lelaki itu mengajaknya minum di warung berhampiran dengan bangunan Sri Anjung Design.

“Saya anggap Aqi dah setuju kerja dengan saya. Esok Aqi boleh datang ke pejabat macam biasa. Bawa lakaran-lakaran lain yang Aqi dah hasilkan, saya nak tengok. Tapi sebelum tu ada sesuatu yang saya nak cakap dengan Aqi.” Wajah Iman bertukar serius.

“Encik Iman nak cakap apa?” Tanyanya tiba-tiba gelisah.

“Saya minta maaf kalau kata-kata saya ini mungkin akan menyinggung Aqi. Tapi saya terpaksa berterus-terang.” Ujar Iman.

“Apa dia Encik Iman?” Soalnya semakin keliru. Apa yang penting sangat sehingga Iman kelihatan seperti sukar mahu menjelaskan padanya?

“Saya nak minta Aqi rahsiakan dari semua orang tentang masalah penglihatan Aqi.” Ucap Iman, sekaligus membuatkan dia tersentak. Rahsiakan? Tapi kenapa?

“Dalam bidang ini, mata dan penglihatan adalah satu aset yang amat penting selain dari idea dan pengalaman. Tugas Aqi di Sri Anjung Design nanti, bukan sahaja melibatkan Aqi dengan rekaan tapi juga memerlukan Aqi bermain dengan pelbagai warna.”

“Bila kakak saya ceritakan tentang Aqi pada saya, soalan pertama yang terlintas di kepala saya ialah apakah gadis ini mampu menjadi seorang pereka yang baik? Gagal mengecam warna adalah satu kelemahan yang tak diterima dalam bidang ni. Tapi bila saya tengok hasil lakaran Aqi, saya tertarik dan mengakui kata-kata kakak saya ada benarnya. Saya tidak prejudis pada Aqi serta pada keadaan Aqi. Bagi saya, peluang sama rata akan saya berikan pada pereka yang berbakat. Tapi bukan semua orang akan berfikir macam saya di Sri Anjung Design. Saya harap Aqi faham kenapa saya minta Aqi sembunyikan keadaan Aqi buat sementara waktu.” Ujar Iman panjang lebar.

Dia terdiam seketika. Anehnya dia mengerti maksud kata-kata lelaki itu. Sedikit pun dia tidak berkecil hati atau rasa tersinggung. Malah dia bersyukur kerana Iman sudi berterus-terang dengannya. Meskipun dia tidak suka berbohong tentang dirinya, namun jika dengan mengatakan kebenaran tentang dirinya akan menyusahkan lelaki itu, maka dia lebih rela berbohong dengan semua orang.

Aqi mengeluh panjang. Sangkanya dia boleh menjadi dirinya sendiri. Namun ternyata dia tidak mampu. Mungkin untuk selama-lamanya! Dia melemparkan pandangan ke arah pergelangan tangannya. Memikirkan waktu Mahgrib hampir habis, dia segera beredar ke biliknya untuk mandi dan menunaikan solat. Selepas itu dia masuk ke dapur semula untuk menyiapkan makan malam untuk ibunya. Tapi melihat ibunya tidak ada di ruang tamu seperti biasa, Aqi jadi kaget. Mana pulak mak pergi ni? Takkan tak habis mengaji lagi?

Dia segera melangkah ke bilik ibunya sambil memasang telinga. Selalunya pada waktu-waktu begini suara ibunya mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran akan kedengaran. Namun anehnya tidak ada bunyi langsung dari bilik ibunya. Ini menguatkan lagi rasa cemas Aqi. Dia segera menolak daun pintu. Tapi sebaik melihat tubuh ibunya tertiarap di atas tikar sejadah dalam keadaan masih bertelekung sembahyang, Aqi terus tergaman.

“Mak!” Jerit Aqi. Suaranya cemas. Dia segera meluru ke arah ibunya, lalu berteleku di samping wanita itu. Tubuh ibunya dibalikkan lalu dirangkul erat. Mata ibunya terpejam rapat.

“Mak, bangun mak! Jangan buat Aqi takut.” Teriak Aqi. Airmata yang bertakung di celah kelopak mata hanya menunggu masa untuk terburai. Melihat ibunya tidak membalas sahutannya, Aqi cuba bertenang. Dia mengesat airmata di pipi lalu meletakkan tubuh ibunya perlahan-lahan ke atas lantai. Dia segera keluar dari bilik ibunya lalu menuju ke arah gagang telefon.

“Hello abang Jalil, ini Aqi. Aqi nak minta tolong abang. Mak..dia..dia..tak sedarkan diri. Abang cepat datang ke mari ya, Aqi dah tak tahu nak buat apa ni.” Ujar Aqi dengan suara tersekat-sekat. Nafasnya kencang dan cemas memikirkan keadaan ibunya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!