Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 15


            Dia mengorak langkah perlahan memasuki sebuah restoran makanan ‘western’ di  Damansara. Sampai di pintu masuk, dia disambut seorang lelaki pelayan yang memakai bow. Nashriq menarik nafas panjang.

            Dia mengekori pelayan lelaki itu menuju ke sebuah meja yang agak tersudut. Dari jauh dia terpandang kelibat ibunya, Engku Iskandar dan isteri serta Dato’ Mustadza yang sedang mengadap ke arahnya. Duduk membelakanginya pula ialah seorang lelaki dan perempuan yang tidak dikenali. Nashriq segera melangkah mendapatkan ibunya.

            “Kenapa lambat?” Tegur Engku Latifah seraya memeluk anak itu. Nashriq hanya membatu. Apabila dia berpaling, matanya terpandang Suraya yang sedang tersenyum memandangnya. Dahi Nashriq berkerut memandang gadis itu. Apa dia buat di sini? Namun rasa hairannya hanya terpendam dalam hati.

            “Naz, tentu dah kenal dengan Dato’ Mustadza kan.” Ibunya menanya.

            Nashriq mengangguk seraya menghulurkan tangannya. “Maaf sebab selama ini kita masih belum berkesempatan untuk berbual, Dato’.” Pintas Nashriq. Lelaki di hadapannya tertawa kecil.

            “Tak mengapa Nashriq, saya rasa kita ada banyak masa untuk berbual selepas ini. Please have a seat.” Ujar lelaki itu. Nashriq memandang ke arah kerusi kosong di sebelah Suraya. Gadis itu tersenyum menatapnya. Nashriq mengambil tempat duduk kosong itu.      “Naz, perkenalkan anak Dato’ Mustadza. Yang itu anak sulungnya Sachary dan yang sebelah Naz tu Suraya. Dia bekerja di Mega Timur. Naz tentu pernah jumpa dia kan?” Engku Latifah tersenyum.

            Perlahan-lahan Nashriq memandang ke arah Sachary. Tangannya dihulurkan ke arah anak muda itu.

            “Nashriq Adli.”         

            “Sachary Mustadza. But you can call me Sach.”  Ujar anak muda itu ramah.

            Apabila pandangan Nashriq bertaut di wajah Suraya, dia menghulurkan tangannya. “Nashriq” Ujarnya serius. Lambat-lambat tangannya diraih oleh gadis itu. Suraya memandangnya penuh bererti, sebelum tangan keduanya terlerai.

            Sepanjang makan malam, Suraya tak henti-henti melirik ke arah Nashriq. Dia ingin berbual dengan lelaki itu, tapi entah kenapa mulutnya terasa berat. Lagipun dia rasa serba tidak kena untuk mencelah perbualan Nashriq dengan ayahnya. Akhirnya mahu tak mahu dia hanya mendiamkan diri.

*  *  *  *

            Sepanjang perjalanan, kedua-duanya hanya diam membisu. Nashriq serius memandu, manakala Suraya memandang ke luar jendela kereta.           Dalam diam-diam, Suraya melirik ke arah lelaki di sebelahnya. Nashriq nampak kacak dengan kemeja jalur halus berwarna biru biji kundang dan kelabu. Dia mengetapkan bibirnya. Terasa resah kerana tidak mampu meluahkan kata-kata di hadapan lelaki itu, meskipun hampir dua minggu mereka bertembung di pejabat. Aduh! Kenapa dengan aku ni? Sudah ada peluang di hadapan mata, kenapa mulut aku pula tiba-tiba kelu seribu bahasa?

            Tiba-tiba tawa Nashriq meledak. Suraya berpaling. Dia tergaman melihat Nashriq yang tak henti-henti ketawa. Dahi Suraya berkerut. Apa yang melucukan dia? Kepala Suraya sarat dengan persoalan.

            Nashriq melirik gadis di sebelahnya. Ketawanya masih bersisa. Entah kenapa dia merasa lucu dengan cadangan ibunya menyuruh dia menghantar gadis itu pulang. Bukankah itu helah lapuk. Sudah berkurun helah itu digunakan. Kenapa tidak berterus terang mahu dia mengenali gadis itu, bukankah lebih mudah!

            “Kenapa you ketawa?” Suraya tiba-tiba bertanya. Dia sudah tidak mampu menahan sabar dengan kerenah Nashriq.

            “Apa yang menggelikan hati you? I?”

            “Bukan you, tapi parents kita.” Jawab Nashriq bersahaja.

            Parents kita? Tapi kenapa?”

            Nashriq tidak menjawab. Matanya masih menuju ke arah jalan, namun bibirnya masih melemparkan senyuman membuatkan Suraya terpaku memandang lelaki itu. Entah kenapa gerak geri Nashriq membuatkan dia terpesona seketika. Aura Nashriq melekat terus ke hatinya.

            “You tahukan kenapa mereka beria-ria nak suruh I hantar you pulang?” Soal Nashriq tiba-tiba. Suraya memandang tanpa sepatah kata. Dia menggeleng.

            “Mereka nak kita saling mengenali.” Ujar Nashriq tenang.

            Suraya tersenyum. Jika begitu hajat orang tua mereka, dialah gadis yang paling gembira di alam semesta ini.

            “Tapi I rasa itu tak perlu. Sebab I tak berminat nak mengenali you dengan lebih rapat.” Sambungnya. Suraya terkedu. Setiap bilah kata-kata Nashriq menikam di setiap penjuru hatinya.

            You jangan terasa hati. I tak bermaksud nak menghina you, cuma I tak berminat dengan you. Itu saja.”

            Suraya mengetapkan bibirnya. Perasaannya terluka sekali lagi. Entah kenapa sejak dia mengenali lelaki itu, Nashriq terlalu kerap melontarkan kata-kata pedih terhadapnya.

            “Kenapa you tak sukakan I? I ni menyusahkan you ke?” Giliran Suraya pula menyoal. Nashriq menatap gadis itu sepintas lalu. Wajah Suraya nampak keruh.

            “I tak kata I tak suka you, cuma I tak minat dengan gadis yang suka mempermainkan perasaan lelaki.” Jawab Nashriq tenang.

            Suraya tersentak. Jadi itu sebabnya Nashriq selalu mengelakkan diri darinya? Hanya kerana peristiwa tempohari, Nashriq membuat anggapan melulu terhadapnya. Tiba-tiba Suraya naik radang. Hatinya benar-benar terusik kali ini.

            “Hentikan kereta ni.” Pinta Suraya perlahan.

            Nashriq tercengang. Namun dia terus memandu.

            “I kata hentikan kereta ni, I nak keluar.” Jerit Suraya seraya cuba membuka pintu kereta. Nashriq terpana. Serentak dia menghentikan keretanya di bahu jalan. Suraya membuka pintu kereta lalu terus menerpa keluar. Panggilan Nashriq langsung tidak dipedulikan. Entah kenapa dia rasa benar-benar terhina dengan sikap Nashriq terhadapnya.

            “Cik Suraya, you nak ke mana ni? Selagi you naik kereta I, maka I bertanggungjawab untuk hantar you pulang dengan selamat.” Panggil Nashriq seraya mengejar langkah gadis itu yang makin jauh. Namun Suraya buat endah tak endah. Nashriq mengetapkan bibirnya. Terasa geram dengan kerenah gadis itu.

            Laju kaki Nashriq mengejar Suraya. Lengan gadis itu dipaut kasar, menyebabkan gadis itu hampir terdorong ke arahnya.

            “You ni dah gila ke?” Tengking Nashriq benar-benar marah. Matanya tajam mencerlung wajah Suraya yang berkerut resah. “You tahu tak dah pukul berapa ni? Dah hampir 12 malam dan you sekarang duduk di tengah-tengah highway I tak kisah kalau you buat begini sorang-sorang, tapi jangan libatkan I. I tak mahu ada pihak polis yang datang ke rumah I nanti dan minta I cam mayat you di dalam beg plastik.” Herdik Nashriq separuh menyindir.

            Suraya tergaman. Kata-kata Nashriq lancang, menyakitkan telinganya. Dia merentap lengannya dari tangan lelaki itu.

            “Kalau I mati sekalipun, I takkan susahkan you lagi.”

            “You ni degil, you tau tak!”Keluh Nashriq. Pantas tangannya menarik tubuh Suraya sebelum ditolak masuk ke dalam kereta. Agak kasar. Suraya tergaman diperlakukan begitu. Selama hidupnya, belum pernah ada lelaki yang berani memperlakukan dirinya seperti itu. Namun melihatkan wajah Nashriq yang semakin serius, Suraya membatukan dirinya. Tidak lagi berani bertindak melulu.

*  *  *  *

            “Latifah seperti sedang merencanakan sesuatu, you tak rasa macam tu sayang?” Tanya Engku Zarina dalam perjalanan pulang ke rumahnya. Namun suaminya buat endah tak endah. Mata lelaki itu merenung jauh bagaikan memikirkan sesuatu.

            “Bi, you dengar tak I cakap apa ni?’ Engku Zarina menepuk paha suaminya. Terkejut lelaki itu diperlakukan begitu. Dia memandang isterinya dengan dahi berkerut.

            “Apa you cakap tadi?”

            “I kata adik you tu seperti tengah merancang sesuatu.”

            Dahi Engku Iskandar berkerut. Dia tidak mengerti maksud isterinya. Rancangan apa?

            “You tak nampak bagaimana mesranya dia dengan Dato’ Mustadza tadi?” Engku Zarina senyum.

            “Maksud you?”

            “Bi, Dato’ Mustadza tu kan periuk emas Mega Timur. You tak nampak bagaimana Latifah sibuk suruh Nashriq hantar Suraya tu balik tadi? Macam ada niat lain aje. I rasa dalam kepala Latifah sekarang tentu sedang sibuk merencanakan majlis pertunangan antara Nashriq dan Suraya.”

            Engku Iskandar terdiam. Benarkah begitu. Dia sendiri tidak perasan sebenarnya apa yang berlaku tadi, kerana dia sibuk mengawasi kelibat Nashriq dari jauh. Tapi kalau begitu, tentu lagi sukar dia mahu mendapatkan Mega Timur. Aku tak boleh biarkan Nashriq bersatu dengan keluarga Dato’ Mustadza dan mendapat sokongan Pacific Global. Tak boleh!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!