Followers

Tuesday, August 24, 2010

Hujan Rindu - Bab 4

“Aku tak setuju. Kamu ingat aku ni tak ada kerja lain ke? Kebun aku tu nak diusahakan juga. Mana aku nak cari masa untuk budak tu.” Bantah lelaki itu agak keras.

“Tapi Anjang, dia datang dari jauh sebab nak jumpa dengan kamu. Lagipun hanya kamu seorang saja guru silat di kampung ni. Kalau bukan kamu, aku nak bawa dia jumpa dengan siapa pula?” Lebai Dollah berusaha memujuk.

“Banyak lagi guru silat lain di kampung lain. Kamu suruh aje budak tu ke kampung sebelah, jumpa dengan Haji Hasyim.” Lelaki itu tetap jua berdegil.

Lebai Dollah terdiam. Memang dia sudah maklum dengan sikap degil teman baiknya itu. Kadangkala geram juga dia dengan sikap Tok Anjang yang langsung tidak mahu bertolak ansur.

“Lagipun kamu kan tahu yang aku tak berapa suka dengan orang luar. Silat ni hak kita orang melayu, kenapa mereka sibuk-sibuk nak ambil tahu pula.” Tukas lelaki itu.

“Susahlah cakap dengan kamu ni Anjang,” rungut Lebai Dollah. Matanya dialihkan ke arah Nek Jah yang tiba-tiba keluar sambil menatang sedulang kopi o panas.

“Tak boleh ke kamu pujuk suami kamu ni Jah? Susahlah aku kalau macam ni sebab dah berjanji dengan budak Anum tu.” Rungut Lebai Dollah.

“Anum?” Nek Jah mengerutkan dahinya.

“Anum Dahlia namanya.” Sambung Lebai Dollah.

“Kamu kata dia dari luar negara.” Pintas Tok Anjang pula. Dahinya dikerutkan.

“Yalah, maknya orang melayu, bapaknya pula orang putih. Kahwin campur.”

“Dari mana dia datang?” Soal Tok Anjang.

“Kalau tak salah dari Amerika. Dia datang nak buat kajian fasal silat. Dia dengar tentang kamu ni pun dari Persatuan Seni Silat Cekak. Sebab tu dia datang ke mari. Tolonglah dia Anjang, aku benar-benar berharap.” Rayu Lebai Dollah.

Tok Anjang terdiam. Sukar dia hendak memberi kata putus. Sebaik matanya melirik ke arah isterinya, wanita itu memandangnya agak lama. Untuk seketika Tok Anjang bagaikan mati akal.

“Hah macamana Anjang, Jah?” Lebai Dollah bersuara lagi.

“Apa salahnya bang aji, orang yang jauh datang kerana nak memartabatkan silat yang abang aji bangga-banggakan tu. Tak ada salahnya kita membantu,” pujuk Nek Jah.

Tok Anjang tak menjawab. Dia termenung jauh.

“Bawalah dia ke sini lebai. Kalau dia betul nak tahu fasal silat, aku akan cuba bantu mana yang termampu.” Sahut Tok Anjang akhirnya.

Lebai Dollah kelihatan lega. Wajahnya berubah ceria. “Terima kasih Anjang…Jah. Tapi aku ada satu lagi permintaan.” Lelaki itu tersengih lebar.

Mata Tok Anjang bulat mendengar kata-kata Lebai Dollah.

“Boleh ke budak Anum tu tinggal dengan kamu? Lagipun dua tiga hari lagi Si Mariah dengan Adnan nak balik dengan anak-anak mereka. Tentu riuh rendah rumah aku nanti. Aku takut Anum tak selesa. Lagipun rumah kamu pun tak ada orang.” Usul lelaki itu.

“Bawalah lebai, boleh juga dia temankan saya di sini,” sampuk Nek Jah sebelum sempat Tok Anjang membalas. Tok Anjang sekadar menjeling isterinya. Sebenarnya dia tidak bersetuju dengan cadangan Lebai Dollah, namun melihat wajah isterinya yang nampak ceria dia tidak sampai hati pula mahu membantah. Lagipun dia tahu isterinya itu sudah lama kesepian.

* * * *

Petang itu seperti yang dijanjikan, Lebai Dollah membawa Anum Dahlia ke rumah Tok Anjang dan Nek Jah. Entah kenapa, sebaik kakinya mengekori langkah Lebai Dollah memijak anak tangga rumah separuh batu separuh kayu yang agak besar itu, hati Anum Dahlia berdebar kencang. Dia jadi resah tiba-tiba.

“Kenapa Anum?” Soal Lebai Dollah sebaik menyedari langkah Anum Dahlia terhenti di beberapa anak tangga.

Anum Dahlia menggelengkan kepala. Dia cuba tersenyum ke arah lelaki itu. Rasa gugupnya sedaya upaya cuba diselindungkan dengan airmuka manis. Tiba di muka pintu, dia terlihat Lebai Dollah berdiri di sisi seorang wanita yang sudah lanjut usianya tapi masih kelihatan sihat. Anum Dahlia terpegun memandang wanita itu. Untuk seketika, wanita itu juga memandangnya tidak berkelip. Dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu.

“Jah, inilah Anum yang aku ceritakan tu. Anjang mana, Jah?” Tanya Lebai Dollah sambil matanya membelingas ke setiap sudut mencari kelibat Tok Anjang.

“Dia ke kebun mengutip pisang.” Jawab Nek Jah sambil matanya masih tak lepas menatap wajah Anum Dahlia.

Perlahan-lahan Anum Dahlia menghampiri wanita itu. Tangan Nek Jah diraih lalu dicium. Nek Jah hanya membiarkan. Lidahnya kelu tiba-tiba.

“Nenek apa khabar? Saya Anum Dahlia,” sapa Anum Dahlia sopan. Dia perasan mata wanita itu asyik merenung wajahnya, namun dia buat-buat tidak nampak.

“Jah?” Tegur Lebai Dollah apabila melihat wanita itu diam sahaja. Nek Jah tersentak. Cepat-cepat dia mengukir senyuman hambar. Dia tidak mahu perasaan hatinya dapat diintai oleh Lebai Dollah. Dia tersenyum memandang ke arah gadis di hadapannya.

“Maafkan nenek Anum. Nenek suka Anum dapat temankan nenek. Buatlah rumah ni macam rumah Anum sendiri.” Sahut Nek Jah.

“Anum harap kedatangan Anum ni tak menyusahkan nenek dan datuk.” Balas Anum Dahlia pula.

“Tak, mana mungkin menyusahkan kami. Kami gembira Anum datang.”

“Kalau macam tu tak apalah Jah, aku nak balik dulu. Lepas ni aku nak ke kedai Taib tu, beli barang dapur sikit. Anum, pakcik balik dulu ya.” Ujar Lebai Dollah, meminta diri untuk beredar. Nek Jah hanya menganggguk.

Apabila kelibat Lebai Dollah menghilang, Nek Jah memandang semula ke arah Anum Dahlia. Gadis itu hanya tersenyum.

“Anum nak minum?”

“Boleh juga.” Balas Anum Dahlia. Dia mengekori Nek Jah ke dapur. Ralit matanya memerhatikan Nek Jah di dapur. Sesekali mereka berbual-bual, namun Anum Dahlia sedar mata Nek Jah sentiasa curi-curi memandangnya.

Ketika sibuk membantu Nek Jah menggoreng pisang untuk hidangan petang, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi pintu ditolak keras dari luar. Seorang lelaki berkopiah putih menjenguk masuk sambil membimbit karung besar. Melihat kehadiran Anum Dahlia di situ, Tok Anjang terperanjat besar. Anum Dahlia juga tergaman.

“Siapa ni Jah?” Soal Tok Anjang sambil memandang Nek Jah. Wajahnya tergambar curiga. Nek Jah hanya tersenyum.

“Abang aji dah lupa? Inilah Anum Dahlia, budak yang diceritakan oleh lebai pagi tadi.” Beritahu Nek Jah.

Mata Tok Anjang bulat memandang Anum Dahlia dari atas ke bawah. Seperti Nek Jah, reaksi Tok Anjang juga sama. Tajam matanya merenung ke arah Anum Dahlia yang hanya tersenyum. Namun wajah Tok Anjang kelihatan serius, membuatkan Anum Dahlia merasa gementar tiba-tiba. Apalagi wajah orang tua bertambah garang dengan misai tebal melintang yang dimilikinya.

* * * *

“Rumah ni ada tiga bilik semuanya. Satu bilik kami, satu lagi bilik stor tempat kami simpan perkakas-perkakas lama. Yang tinggal cuma bilik anak perempuan nenek. Anum pakailah bilik ni. Semalam bila Lebai Dollah beritahu Anum akan tinggal kat sini, semalam juga nenek kemaskan bilik ni.” Cerita Nek Jah sewaktu membawa gadis itu ke sebuah bilik yang lengkap berperabot.

Mata Anum Dahlia ralit memandang sekitar ruang kamar sederhana besar itu. Bilik mama! Hatinya berbunga riang. Akhirnya sampai juga dia ke bilik di mana mamanya pernah membesar suatu ketika dulu.

“Kalau Anum tak suka, nenek akan kemaskan semula.” Ujar Nek Jah apabila dilihatnya Anum Dahlia diam sahaja. Gadis itu memandangnya.

“Tak payah nek, Anum suka bilik ni.” Pintas Anum Dahlia seraya tersenyum. Barulah lega hati Nek Jah. Sangkanya Anum Dahlia tidak menggemari suasana di bilik itu.

“Nenek kata bilik ni bilik anak nenek? Anak nenek ke mana sekarang ni?” Soal Anum Dahlia sengaja. Dia mengerling wanita tua di sisinya. Wajah itu berubah muram sebaik mendengar pertanyaannya. Mata Nek Jah bening sayu menatapnya, membuatkan hati Anum Dahlia berbelah bagi. Rasa menyesal hadir tanpa dipinta. Tak sepatutnya dia bertanya begitu. Pasti hati wanita itu tersayat pilu mendengar kata-katanya sebentar tadi.

“Maaf nek, Anum tak sepatutnya tanya.” Sahutnya gelisah. Nek Jah memandangnya dengan raut wajah sedih. Anum Dahlia semakin kaku melihat airmata yang tumpah laju di pipi wanita itu. Tuhan, aku dah membuatkan wanita ini menangis! Apa patut aku buat?

Belum sempat dia mahu memujuk, suara Tok Anjang riuh rendah memanggil isterinya. Serentak mereka berpaling ke arah pintu. Nek Jah cepat-cepat menyeka airmata di pipinya dengan hujung lengan baju.

“Nenek keluar dulu. Anum berehatlah kat sini.” Bisik wanita itu lalu terburu-buru keluar. Anum Dahlia mengeluh panjang. Dia meletakkan bagasinya di atas katil, lalu membuka begnya. Beberapa helai pakaian harian dikeluarkan dari dalam beg. Kat mana aku nak simpan pakaian ni? Dia terpandang sebuah almari lama yang sudah usang di suatu sudut. Tertarik dengan almari itu, memaksa Anum Dahlia menghampirinya.

Perlahan-lahan dia membuka almari sederhana besar itu. Tidak ada banyak pakaian di dalamnya, kecuali beberapa pasang pakaian lama. Anum Dahlia menarik sepasang baju kurung kedah berwarna biru. Pasti ini milik mama suatu ketika dulu, bisik hati kecilnya. Dia memadankan pakaian itu ke tubuhnya. Pakaian itu nampak masih baru. Betulkah untuk mama? Hati Anum Dahlia mula dilanda keraguan. Bukankah mama sudah berpuluh tahun tidak balik ke mari, tapi kenapa baju kurung ini kelihatan masih baru lagi?

“Anum…nenek…” Nek Jah tiba-tiba menerpa masuk. Anum Dahlia tergaman. Wanita itu juga tergaman melihat Anum Dahlia memegang baju kurung tersebut.

“Maaf nek, Anum tengok-tengok aje baju kurung ni.” Ujar Anum Dahlia serba salah. Hatinya bimbang tindakannya menimbulkan marah wanita itu.

“Tak apa-apa. Baju tu nampak sesuai dengan Anum. Kalau Anum suka, Anum ambillah.” Tak disangka-sangka Nek Jah berkata begitu. Anum Dahlia terkejut.

“Eh tak payahlah nek, lagipun baju ni memang sedia ada dalam almari ni. Tentu nenek nak beri pada siapa-siapa.,” bantah Anum Dahlia.

“Anum, baju tu tak ada siapa-siapa yang punya. Sengaja nenek jahitkan kalau-kalau ada orang yang nak memakainya. Dulu nenek jahit untuk anak nenek kalau-kalau dia balik, tapi dia dah lama tak balik. Sekarang baju itu terbiar sahaja di situ. Dari terbiar bertahun-tahun lamanya, baik Anum pakai lagipun saiznya macam kena sahaja dengan tubuh Anum.” Ujar Nek Jah tersenyum.

Anum Dahlia terdiam. Dia memang berkenan dengan baju tersebut. Tapi hatinya ragu-ragu mahu menerimanya, apatah lagi dia tahu wanita itu menjahit baju itu khas untuk anaknya.

* * * *

Nek Jah menatang sedulang kopi panas ke anjung rumah. Tok Anjang sedang mengasapkan keris lamanya di beranda rumah dengan kemenyan. Begitulah rutin lelaki itu semenjak masih muda. Setiap sebulan sekali, dia pasti tak lupa mengasapkan keris pusaka arwah tok guru silatnya yang diamanahkan padanya sebelum lelaki itu meninggal dunia.

“Macamana budak tu?” tanya Tok Anjang tanpa memandang Nek Jah yang termenung panjang di sisi suaminya. Matanya masih tertumpu pada kerisnya yang telah dilimau dan diasapkan.

Melihat isterinya diam sahaja, Tok Anjang mengalihkan pandangan. Melihat reaksi wanita itu, dia berdehem agak kuat. Sekali berdehem, reaksi Nek Jah masih serupa. Tok Anjang berdehem kali kedua, barulah wanita itu menyedarinya.

“Awak ni kenapa Jah, termenung sana termenung sini. Apa yang merungsingkan awak lagi?” Tegur Tok Anjang seraya mengerutkan dahinya. Hairan!

“Tak ada apa-apa bang aji.” Nek Jah menggelengkan kepala. Dia ragu-ragu mahu menyebut apa yang terlintas di kepalanya saat itu. Lagipun tak semestinya suaminya itu akan menerima apa yang dikatakannya dengan tenang.

“Sudahlah tu, tak habis-habis awak ni nak melayan perasaan. Kita kan ada tetamu sekarang ni. Tak elok kalau budak tu nampak muka awak yang berkerut masam tu. Nanti dikatakan kita ni tak pandai melayan tetamu, tak mengalu-alukan dia di sini.” Ujar Tok Anjang seraya bingkas bangun. Kerjanya sudah selesai, dia mahu menyimpan peralatan yang digunakannya. Nek Jah hanya mampu memandang gerak geri suaminya dengan perasaan berbaur. Hatinya terasa pahit!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!