Followers

Thursday, November 14, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 8


DIAZ masih meneliti pelan pembinaan projek Techno-City yang dikemukakan kepadanya beberapa hari yang lalu. Melihat kepada rangka pelan, terdapat banyak pindaan harus dibuat terhadap pelan tersebut. Ini bermakna sepanjang minggu ini, dia terpaksa berhempas-pulas menyiapkan kerja-kerjanya. Hampir dua jam dia memerap di biliknya tanpa gangguan. Beberapa lakaran bangunan Techno-City yang asal, diubahsuai untuk disesuaikan dengan konsep usul yang dikemukan oleh klien mereka.

            Ketukan di pintu biliknya membuatkan tumpuan Diaz terganggu. Dia menoleh. Azira berdiri di hadapan biliknya sambil tersenyum manis.

            “Sibuk ke?” Tegur Azira lalu melangkah masuk. Diaz meletakkan drawing pencil di atas meja. Wajah gadis itu ditatap lama.

            “Kenapa you tanya?”

            Hmm…you free tak petang ni?” Soal Azira sambil mengambil tempat duduk di hadapan Diaz. Lelaki itu mengerutkan dahinya mendengar pertanyaan itu.

            Kenapa? Nak belanja I makan?” Diaz melirik nakal, bagaikan tahu apa yang tersemat  di fikiran  Azira. Gadis itu tergelak kecil.

            “Puan Alma ada meeting hari ni. Selalunya I lunch dengan dia tiap-tiap hari, tapi hari ni tak. Itu sebabnya I tanya you kalau-kalau you sudi temankan I.” Pelawa Azira. Namun sedikit sebanyak dia risau juga jika lelaki itu menolak pelawaan ikhlasnya.

            Actually I’m quite busy today.” Jawab Diaz, jujur.

            Please… Diaz. Apa pun you tetap kena makan kan?” Azira separuh merayu.

            Diaz terdiam. Tak sampai hati pula dia mahu membiarkan gadis itu pulang dengan rasa hampa.

            “Tapi I kena habiskan kerja dulu.” Diaz bersuara.

            Azira kelihatan lega mendengar kata-kata lelaki itu. Gembira sungguh dia kerana pelawaannya tidak ditolak mentah-mentah.

            “Tak apa, I tunggu you kat lobi bawah.” Ujar Azira sebelum beredar. Dia tidak mahu menganggu Diaz lagi. 

Diaz hanya memerhatikan sehingga kelibat gadis itu menghilang. Selesai mengemaskinikan kerja-kerjanya, Diaz segera mencapai kunci kereta di dalam laci mejanya. Dia sempat singgah di meja Rima yang berkulit hitam manis.

            Rima, saya nak keluar makan tengahari. Jika ada panggilan penting, sambungkan terus ke voicemail saya,” pesan Diaz.

            “Baik Encik Diaz.” Rima tersenyum.

            “Oh ya, Puan Alma ada di biliknya?”

            Puan Alma ada tetamu.”

            Siapa?” Diaz mengerutkan dahinya.

            “Saya tak pasti, tapi kalau tak salah tetamu itu dari Layar Tristar Advertising.” Balas Rima perlahan.

            “Tak apalah, saya beredar dulu.” Diaz malas mahu mengambil pusing hal yang tidak bersangkut paut dengan dirinya. Kakinya mengatur langkah ke arah pintu lift yang sedang terbuka. Beberapa pekerja yang memenuhi ruang lift itu tersenyum-senyum menatap Diaz yang baru masuk.

Diaz tersenyum selamba. Dia tahu dirinya semakin dikenali oleh pekerja-pekerja di Bumi Emas. Lagipun hampir setiap hari sejak sebulan yang lalu, dia lebih suka menjamu selera di kafeteria yang terletak di tingkat bawah.

            “Tunggu kejap,” jerit suatu suara agak lantang.

Diaz tergaman, dan serentak menahan pintu lift itu dengan tangannya. Seorang gadis berlari-lari kecil memasuki perut lift. Diaz beredar sedikit ke tepi, mahu memberi laluan pada gadis itu. Sebelah tangannya terus menekan punat lift menyebabkan pintu lift di hadapannya tertutup rapat.

“Terima kasih ya encik. Saya.....” Kata-kata itu terhenti begitu sahaja.

Diaz berpaling. Namun sebaik anak matanya jatuh pada seraut wajah yang sedang memandang tepat ke arahnya, dia turut terpaku. Wajah yang selama ini sering muncul di pelusuk fikirannya kini terpapar di hadapan mata.

*  *  *  *

DINA AZURA diam-diam memerhatikan lelaki di hadapannya. Wajah itu semakin banyak berubah. Nampak lebih matang berbanding kali terakhir dia bertemu lelaki itu dahulu. Rambut Diaz dipotong agak kemas, tidak seperti semasa lelaki itu lebih suka bergaya dengan rambut spike di usia remajanya. Tapi berbanding dahulu, dia lebih suka dengan wajah Diaz yang sekarang. Dahulu lelaki itu sentiasa mempamerkan wajah marah dan benci terhadapnya. Kini Diaz kelihatan lebih tenang, menyerlahkan perwatakannya yang berkarisma.

            Sesekali Dina Azura mengalihkan pandangannya di sekeliling lobi bangunan tersebut. Meninjau-ninjau ruang tersebut meskipun dia sendiri tidak pasti apakah sebenarnya yang sedang dipandangnya. Entah kenapa, berhadapan dengan lelaki itu saat ini membuatkan hatinya gelisah. Serba tidak kena dirasakannya!

            Diaz juga kerap mencuri pandang wajah gadis di hadapannya dalam diam-diam. Mulanya dia tidak cam wajah Dina Azura dalam lift tadi. Tapi renungan sepasang mata bundar itu, mengingatkan dia pada seraut wajah comel yang kerap menangis di beranda rumahnya suatu ketika dahulu. Wajah itu tetap comel seperti dahulu, hanya semakin bertambah ayu seiring kedewasaannya. Malah semakin manis dipandang dengan mekap tipis yang menyaluti wajah itu.

            Sesekali apabila Dina Azura membalas tatapannya, Diaz terasa ada bahang hangat membakar kedinginan hatinya selama ini. Membuatkan dia tiba-tiba resah.

            “Bila abang balik?” Soal Dina Azura sedikit kekok. Kebisuan antara mereka membuatkan dia lemas. Ya ALLAH, kenapa pertemuan ini begitu janggal sekali dirasakan? Hati Dina Azura berlagu sayu.

            Diaz memandang gadis itu. Sorotan mata Dina Azura menghala ke arah minumannya yang masih berbaki, bukan ke arahnya. Gadis itu bagaikan tidak berani menatapnya lama-lama.

            Baru balik. Tak sampai pun sebulan.” Jawab Diaz perlahan.

            “Mama dan ayah ada kat USA sekarang. Mereka nak ke tempat abang.” Ujar Dina Azura. Entah mengapa mulutnya ringan membuka kisah perihal ibu bapa mereka.

            Diaz terdiam. Benarkah? Dia tidak tahu pula soal kedatangan ibu bapanya!

            “Abang patut telefon mereka. Ayah tentu marah kalau tahu abang senyap-senyap balik ke mari.” Cadang Dina Azura.

Diaz tidak bersuara. Sepasang matanya redup memerhatikan ke arah gadis itu.

            Dina macamana sekarang?” Soal Diaz ingin tahu.

            Dina Azura tergaman. Dia menatap lelaki itu yang kelihatan serius. Terasa debaran di hatinya semakin kencang. Sejak bila lelaki itu tahu bertanya khabar perihal dirinya?

            “Dina masih marahkan abang?” Tanya Diaz lagi. Pertanyaan yang sukar sekali mahu diluahkan.

Wajah Dina Azura berubah keruh.

            “Kenapa abang pulang?”

            Diaz terdiam. Kalaulah dia mampu menjawab soalan itu!

            “Dina ingat abang tak nak balik ke mari lagi. Dina sangka kemarahan abang selama ini takkan padam.” Ujar Dina Azura berterus-terang.

            Diaz terus berdiam diri.

            “Sekarang abang dah balik ke mari. Baguslah. Abang baliklah ke rumah kita,  mama dah lama rindukan abang. Dina akan keluar dari rumah itu,” tukas Dina Azura, mendatar.

Diaz terkejut besar. Bulat matanya mencerlung ke arah Dina Azura yang kelihatan muram. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

            “Apa Dina merepek ni? Nak keluar ke mana? Rumah itu rumah Dina, Dina berhak tinggal kat sana.” Sahut Diaz keras.

Dina Azura terpegun. Renungan tajam Diaz singgah tepat ke wajahnya, membuatkan kenangan lamanya kembali lagi.

            “Dina sangka abang akan balik kalau Dina keluar? Dina sangka….” Kata-kata Diaz terhenti begitu sahaja. Airmata di wajah Dina Azura semakin lebat, membuatkan hatinya sakit. Ya ALLAH, apa yang dah aku lakukan? Aku berjanji untuk tidak menyakiti hatinya, tapi kehadiranku di sini sudah cukup menyusahkannya. Apa yang patut aku lakukan lagi?

            “Tolong jangan menangis.“ Pinta Diaz.

            Dina Azura mendongakkan wajah lalu memandangnya dengan wajah sedih. Diaz menarik nafas panjang. Cengil! Dahulu gadis itu begitu, sekarang pun begitu. Cakap sedikit sudah mahu menangis. Tapi memerhatikan gadis itu saat ini, entah mengapa debaran di dadanya semakin membadai. Jantungnya berdegup lebih pantas. Wajahnya membahang hangat!

            Diaz segera mengalihkan sepasang matanya dari terus memerhatikan Dina Azura. Buat seketika mereka berdiam diri di situ tanpa tahu apa yang harus diperkatakan lagi.

            Azira yang sedang mencari-cari Diaz segera terpandang kelibat lelaki itu sedang bercakap-cakap dengan seorang gadis di suatu penjuru di bahagian lobi. Kedua-duanya sedang berdiri membelakanginya.

            Pada mulanya Azira mahu mendekati Diaz untuk menuntut janji makan tengaharinya, tapi melihat perbualan Diaz dan gadis itu kelihatan serius, Azira tidak jadi merapati kedua-duanya. Kerut di wajah Azira menular. Siapa gadis itu? Dia cuba memerhatikan gadis itu, tapi kedudukan si gadis menyukarkan pandangannya. Ketika dia mahu menghampiri kedua-duanya lebih dekat, dia dikejutkan dengan bunyi panggilan telefon pula.

            Azira mengeluh panjang melihat nama Alma Katherine terpapar pada monitor telefon bimbitnya. Hendak tak hendak dia terpaksa menjawab panggilan tersebut. Diaz dan gadis kenalannya itu terpaksa ditinggalkannya begitu sahaja.


*  *  *  *

MATANYA redup merenung potret keluarga yang masih tersimpan dalam dompetnya, sejak sekian lama. Wajah ibu bapanya kelihatan riang memangku sepasang anak lelaki dan perempuan. Seingatnya, dia berusia 14 tahun ketika potret itu diambil ketika percutian mereka di Eropah.

            Namun seceria wajah kedua ibubapanya di dalam potret tersebut, tidak sama langsung dengan kemurungan wajah Dina Azura dan dia sendiri.

            “Diaz, kenapa mama tengok Diaz selalu cari fasal dengan adik? Dina kan adik Diaz, apa salahnya Diaz layan Dina baik-baik sikit.” Nasihat ibunya suatu ketika dahulu tergiang-giang kembali.

            “Siapa kata dia adik Diaz? Dia bukan Dina.”

            “Diaz!”

            Wajah kecilnya mengecut dipanah bahang sepasang mata yang mencerlung tajam. Dia selalu kalah dengan ayahnya. Lelaki itu bagaikan mempunyai aura untuk mengawal setiap tingkah lakunya ketika itu.

            “Kalau ayah dengar Diaz sebut lagi fasal hal ni, ayah pukul Diaz. Jangan nak mengarut, dia adik Diaz. Anak ayah dan mama.” Tukas ayahnya garang.

            Diaz membuka matanya. Terasa ada air jernih bertakung di pelupuk mata. Ingatan lamanya bertandang semula.

            “Dina mana mama?”

            Dina? Dina ada kat atas, tengah mandi. Kenapa Diaz tiba-tiba cari Dina?”

            Maksud Diaz, Dina yang sebenar mama. Adik Diaz yang sebenarnya.” Ujarnya keras. Wajah ibunya memandangnya tak berkelip.

            “Apa maksud Diaz ni? Itu kan Dina, adik Diaz. Kenapa Diaz cakap macam ni?”

            Wajah mamanya digenangi airmata. Perlahan-lahan wanita itu merapatinya. Bahunya dirangkul perlahan.

Apa kena dengan Diaz ni sayang? Mama tak faham maksud Diaz ni, tapi percayalah,. Dina di atas adalah Dina yang sama yang kita semua sayangi. Dia adik Diaz, satu-satunya adik Diaz.” Bisik wanita itu di cuping telinganya.

            Wajah ibunya ditatap tajam. Kata-kata wanita itu langsung tidak dapat diterima akalnya Tak mungkin!

“Bukan! Dia bukan Dina. Bukan!” Dia menggelengkan kepala. Enggan mempercayai pembohongan itu. Enggan menerima semua kata-kata itu. Wanita itu cuba menipunya. Mamanya tidak pernah mahu mengatakan hal yang sebenar. Ayahnya juga sentiasa berbohong dengannya.

            “Diaz!”

            “Mama tipu Diaz kan? Semuanya tipu!”

            “Hei Diaz, kenapa kau ni!” Suara herdikan itu menerjah ke gegendang telinganya. Diaz terpaku. Dia terpisat-pisat cuba membuka kelopak matanya. Wajah Haril muncul di hadapannya sambil menongkat dagu.

            “Kau ni apasal? Dah kena sawan ke apa? Belum malam dah bermimpi?” Sindir Haril sambil menggelengkan kepalanya. Macam-macam hal!

Diaz menarik nafas berat. Ya ALLAH, aku bermimpi rupanya. Dia mengucap panjang seraya bangkit dari pembaringannya. Entah sejak bila dia tertidur di atas sofa di ruang tamu.

            “Dah pukul berapa ni?” Tanyanya sambil menjengah ke luar jendela yang sedikit terbuka. Remang senja semakin kelihatan.

            “Dah dekat pukul tujuh. Aku ingatkan kau tengok tv tapi rupa-rupanya tv yang tengok kau. Awal pulak kau balik hari ni. Selalunya pukul 8 atau 9 baru kau sampai kat rumah.” Tegur Haril seraya melepaskan lelah di salah sebuah sofa berhampiran Diaz. Tali leher yang membungkus lehernya dirungkai kasar.

            “Aku tak sihat,” jawab Diaz berdalih.

            “Dah ke klinik?”

            Diaz mengeleng. “Aku demam biasa saja, tak payah ke klinik. Dapat rehat sekejap, dah cukup bagi aku.” Ujar Diaz.

            “Hmm.. demam rupanya. Patutlah kau mengigau sampai sebut nama Dina.” Balas Haril selamba. Kata-kata Haril membuatkan Diaz terpegun.

            “Aku sebut siapa?”

            Haril tersengih. Wajah Diaz saat itu mengundang rasa lucu dalam dirinya. Dia ketawa terbahak-bahak.

            “Kalau orang lain dengar, mesti dia ingat Dina tu kekasih kau. Yalah mana ada lelaki lain dalam dunia ni mengigau sebut nama adik. Aku peliklah dengan kau ni.“ Usik Haril.

            Diaz terdiam mendengarnya. Lidahnya kelu seribu bahasa. Kata-kata Haril membuatkan dia gementar tanpa disedari. Meskipun Haril hanya berlawak dengannya, tapi dia tidak selesa langsung dengan gurauan tersebut.

1 comment:

sweetstalker said...

nak lagiii n3 SCNV ni :p

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!