Followers

Tuesday, November 18, 2008

Vendetta 11

Hati Anabella berbunga riang. Dia memandang wajahnya di hadapan cermin solek. Berkali-kali dia memastikan solekannya tidak terlalu over dan tidak juga terlalu tipis. Dia mahu kelihatan cantik di mata Iqbal. Malam semalam dia sempat mengetuk pintu bilik Makcik Kamariah meminta pinjam lipstick dan bedak. Maklumlah semasa dia bergegas datang ke Cherating dua hari yang lalu, dia tertinggal segala-galanya di rumah.
Sebenarnya dia bukanlah seorang yang kuat bersolek. Malah dia sebenarnya bukanlah reti sangat bermekap. Tapi tidaklah terlalu buta sehingga tidak kenal mana bedak dan mana lisptick. Tapi mekapnya biasa-biasa sahaja. Bukan seperti mekap Nora yang ala-ala mekap artis atau mekap Mira yang terlalu ‘overdose’.
Sebaik dia teringatkan pagi itu dia berpeluang duduk semeja dengan Iqbal semula, hatinya terus ceria bagai bunga kembang pagi. Sengihannya melebar sehingga ke telinga. Namun semua itu sebentar sahaja. Wajahnya mula memudar semula. Wajah Mira membantutkan rasa rindunya pada Iqbal. Malah jika dia teringatkan gadis itu, hatinya di dalam rasa berkocak-kocak ingin keluar. Bukankah bagus kalau dia berpeluang bersarapan berdua sahaja dengan Iqbal? Tanpa kehadiran Mira dan tanpa juga kewujudan Kojie. Pasti dunianya terasa lebih indah dan lebih syahdu.
Tanpa sedar, dia membayangkan fragmen dirinya sedang bersiar-siar dengan Iqbal di tepi Pantai Teluk Cempedak. Iqbal memegang tangannya sambil membisikkan rindu. Dan tentunya dialah gadis yang paling bahagia di dunia ini. Selepas itu dia akan berlari-lari anak tanda malu. Kalau dalam cerita-cerita melayu zaman dahulu yang sering ditontonnya, si gadis akan berlari ke arah pokok lalu memeluk batang pokok tersebut tanda tersipu-sipu. Tapi kat tepi pantai mana ada pokok beb!
Dia ketawa terkekek-kekek seperti kuda betina. Lamunannya biarpun singkat tapi cukup didambakannya. Alangkah indah dunianya kalau dia dapat bertemankan Iqbal Hadzri. Lelaki itu makin kacak, makin bergaya. Biarpun Mira cantik orangnya, namun entah kenapa dia merasakan dirinya tidak kurang kalah dengan Mira.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dari luar. Anabella menoleh lalu mengetapkan bibirnya. Ini mesti Kojie! Mahu apa lagi dia? Dia pura-pura tidak mendengar lalu membetulkan solekan di wajahnya. Malas dia mahu melayan ulah Kojie yang semestinya sudah tidak sabar-sabar mahu bersarapan pagi. Sejak semalam lelaki itu asyik merengek-rengek lapar dengannya.
Ketukan demi ketukan singgah lagi. Kali ini semakin kuat. Anabella mula meradang. Dengan langkah malas, dia segera menuju ke arah pintu. Pintu dihadapannya dikuak lebar-lebar. Dia terus memusingkan tubuhnya ke arah almari solek, mahu mencapai sehelai skart. Kojie hanya dibiarkan sahaja di muka pintu, namun mulutnya sempat membebel memarahi Kojie.
“Kau ni kalau tak ketuk pintu tu sampai roboh, tak boleh ke? Kenapa? Dah tak sabar-sabar lagi dah nak pergi isi perut?” Sindir Anabella. Skarf di tangannya dililit dan diikat di leher menambahkan keanggunan. Sejak dua menjak dia bertemu semula dengan Mira, dia tiba-tiba berminat dengan penampilan diri. Kalau dulu, rambutnya sendiri pun lupa nak disikat.
Kojie diam sahaja.
“Hai senyap aje? Kojie…kau ni kenapa?” Anabella menoleh separuh jengkel. Tapi sebaik menatap suatu wajah yang tercegat di suatu sudut, wajah Anabella berubah. Iqbal!
Lelaki itu menatapnya tidak berkelip, membuatkan hati Anabella antara sedar dalam mimpi. Dia tertunduk malu. Aduh! Macamana aku boleh tersilap menyangkakan yang datang itu Kojie. Alamak, malunya…!
“Err..Ib, dah lama Ib kat situ?” Tergagap-gagap dia bertanya. Fulamak, cerdiknya soalan kau Anabella. Bukankah kau yang membukakan pintu untuknya tadi? Serentak Anabella menepuk kepalanya. Stupid!
Iqbal memandang ke arah Anabella dengan wajah serius. Anabella memberanikan dirinya menentang pandangan lelaki itu. Terasa ada aura elektrik mengalir dalam tatapan sepasang mata milik mereka. Hehehe macam cerita komedi Hong Kong la pulak!
“Kenapa Ib tengok Bella sampai macam tu?” Dia bertanya separuh gugup.
“Kenapa? Bella tak suka Ib datang?” Soal Iqbal pula tanpa menjawab pertanyaan Anabella.
“Bukan macam tu…”
“Bella dah berubah!” Pintas Iqbal sebelum sempat gadis itu meneruskan kata-kata. Anabella terkesima. Berubah? Siapa? Akukah yang dimaksudkannya.
“Dah dewasa, tentulah berubah. Kita bukan lagi budak sekolah menengah yang asyik berperang dengan buku dan pen sahaja.” Balas Anabella.
“Maksud Ib, Bella dah semakin cantik.” Iqbal memuji.
Anabella ketawa besar. “Maksud Ib, dulu Bella tak cantik?” Soalnya sambil menuju keluar dari biliknya. Iqbal mengelak memberi laluan apabila Anabella mengunci pintu bilik.
“Dulu pun cantik. Sekarang lagi cantik.” Jawab Iqbal.
Dulu aku cantik? Kalau cantik, kenapa kau asyik melayan Mira sahaja? Dia ingin mengeluarkan kata-kata itu, tapi tiba-tiba dia berubah fikiran. Tidak sanggup pula dia mahu membongkar isi hatinya lebih-lebih lagi dalam keadaan dia belum bersedia sepenuhnya.
“Bella dah siap ni. Ib sengaja jemput Bella ke?” Dia bertanya sambil tersenyum. Sengaja mahu mengalihkan tumpuan Iqbal dari berbicara tentangnya. Iqbal hanya mengangguk.
“Dah lama tak jumpa. Takut nanti rindu bila kita berpisah semula.” Balas Iqbal selamba. Anabella terkedu. Kata-kata Iqbal memusatkan matanya kembali ke arah Iqbal. Iqbal hanya tersenyum.
“Ehemmm…” Sanggah satu suara separuh garau. Serentak Anabella dan Iqbal menoleh. Kojie sudah tercegat di bawah tangga chalet. Seperti biasa lelaki itu nampak sempoi dengan baju kemeja T yang tersilap dibutangkan. Anabella menjegilkan biji matanya ke arah Kojie. Geram sungguh dia kerana tiba-tiba sahaja Kojie muncul membuatkan situasi yang nampak indah pada awalnya terus ‘spoil’.

* * * *
Kojie menghirup kopi o di hadapannya dengan penuh nikmat. Dia sempat menjamah sepotong kuih koci yang dibungkus cukup cantik. Jika bukan kerana terasa segan pada Iqbal, sudah pasti riuh rendah mulutnya bertanyakan Anabella cara-cara membungkus kuih tersebut. Manalah tahu bila dia balik nanti, boleh juga dikhabarkan skil barunya itu pada Mak Wan. Padahal bukannya wanita itu tidak pernah membuat kuih koci kesukaannya. Namun yang berbeza, kuih koci Mak Wan dibungkus besar-besar manakala kuih koci di kafeteria tersebut bungkusannya kecil dan comel. Kata Mak Wan, buat apa bungkus comel-comel kalau akhirnya akan singgah ke mulut juga. Yang penting sedap dan mudah.
“Mira mana?” Pertanyaan Anabella mematikan khayalan Kojie. Dia turut mengerling ke arah Iqbal. Seperti Anabella, dia juga teringin mahu tahu kenapa perempuan gedik itu sehingga sekarang masih belum sampai-sampai lagi. Tahukah dia betapa perut aku ni sudah kemaruk rindukan nasi lemak sotong yang terhidang di penjuru kafeteria sana. Air liur Kojie hampir meleleh sebaik terhidu keharuman nasi lemak sotong itu. Bukan itu saja, mihun goreng ala mamak itu juga mampu mengecurkan air liurnya.
“Entah. Tadi Ib cari dia di bilik, tapi dia suruh Ib pergi dulu. Mungkin sekejap lagi dia sampai.” Balas Iqbal. Dia memerhatikan ke arah pintu masuk kafeteria. Tapi bayang Mira langsung tidak muncul-muncul. Hatinya mula dipagut rasa hairan bermula saat Mira menyuruh dia bergerak dahulu ke kafeteria. Kebiasaannya gadis itu akan menepati masa dan tidak pernah berenggang langsung dengannya. Tapi kali ini tidak. Malah Mira menyuruh dia pergi dahulu dan pesan itu pula sekadar dititipkan dari dalam bilik.
“Bila Ib nak langsungkan pertunangan dengan Mira?”
Iqbal tergaman lalu langsung memandang ke arah Anabella.
“Apa Bella tanya?” Soal Iqbal semula. Keasyikan memikirkan perihal Mira membuatkan dia kurang jelas dengan pertanyaan Anabella sebentar tadi.
Anabella menarik nafas panjang. Berat hatinya mahu mengulang pertanyaan yang sama sehingga dua kali. Ingat senang ke nak tanya soalan yang menyakitkan hati ni? Gumam Anabella dengan wajah cemberut.
“Tak ada apa-apalah Ib.” Anabella menggelengkan kepala.
“Dia tanya, Encik Iqbal nak langsungkan pertunangan bila?” Tiba-tiba Kojie memintas. Anabella tergaman. Iqbal segera memandang ke arah Anabella. Gadis itu kelihatan serba salah.
“Kenapa? Bella nak datang ke?” Soal Iqbal ingin tahu.
Anabella memandang Iqbal dengan riak muram. Lagi mahu tanya ke?
“Sebenarnya ada sebab kenapa kami bercuti ke Geliga Beach Resort.” Ujar Iqbal tenang. Anabella dan Kojie saling berpandangan. Hairan mendengar kata-kata yang baru keluar dari bibir lelaki itu.
“Maaf sebab semalam tak sebab nak beritahu Bella apa-apa fasal pertunangan kami. Jadi hari ni Ib nak jemput Bella dan Kojie secara rasmi.” Iqbal tiba-tiba menyeluk saku kemejanya lalu mengeluarkan sekeping kad berwarna merah jambu. Hati Anabella tiba-tiba gementar. Melihat warna kad itu sahaja dia sudah boleh menduga apakah isinya. Lagipun dia sendiri sudah maklum dengan warna merah jambu yang menjadi kegemaran Mira.
“Bella dan Kojie datanglah nanti. Dah tak lama, beberapa hari lagi adalah majlis resepsi kami. Kami dah tempah dewan di sini untuk majlis tu nanti.” Ujar Iqbal lalu menghulurkan kad di tangannya ke arah Anabella.
Melihat Anabella yang terpaku seperti patung, memaksa Kojie mencapai kad itu. Dia serta-merta membuka isi kad lalu melihatnya sepintas lalu. Mata Kojie membulat.
“Encik Iqbal nak buat majlis tu di sini?”
Iqbal mengangguk. “Lusa, family Ib dengan family Mira akan berkumpul kat sini. Kami dah tempah dengan Puan Kamariah sebahagian besar bilik-bilik di sini. Tapi jemputannya tak ramai, sekadar saudara mara terdekat dan kawan-kawan rapat sahaja. Tapi terlanjur Bella datang, Ib nak jemput Bella sekali.” Ujar Iqbal lalu menoleh ke arah Anabella yang pucat lesi bagaikan tertelan spanar hidup.
“Encik Iqbal betul-betul cintakan tunang Encik Iqbal tu?” Soal Kojie lagi. Anabella langsung mencerlung ke arah lelaki itu. Kojie hanya tersengih memandangnya. Susah sangat kau nak mengaku, meh sini aku bantu!
Iqbal terdiam mendengar pertanyaan Kojie. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu mendefinisikan istilah cinta yang disebut oleh Kojie. Cintakah aku pada Mira? Tiba-tiba Iqbal memandang Anabella agak lama. Dahinya berkerut. Kehadiran Anabella secara tiba-tiba entah kenapa membuatkan dia jadi keliru.
“Susahnya Encik Iqbal nak jawab soalan mudah tu.” Ujar Kojie lagi agak sinis. Dia sengaja menyindir lelaki itu di hadapan Anabella. Namun serentak dengan itu juga dia mengaduh kesakitan. Pantas matanya dilarikan ke arah Anabella. Tatapan mata gadis itu semakin tajam merenungnya. Kojie mengeluh panjang. Dia segera menggosok-gosok pangkal pehanya yang ditendang Anabella secara tiba-tiba.
“Saya sayangkan Mira.” Tiba-tiba Iqbal mengaku. Anabella terpegun.
“Sayang? Bukan cinta?” Provok Kojie lagi.
“Kojie…” tegur Anabella. Entah mengapa dia tidak suka mendengar pertanyaan-pertanyaan Kojie yang seolah-olah mahu mempersendakan Iqbal. Kojie sekadar tersengih lalu mengangkat tangannya. Anabella mengetapkan bibirnya, Terasa geram hatinya berhadapan dengan ulah Kojie kali ini. Dia mengalihkan perhatian ke arah Iqbal yang kelihatan muram.
“Ib sorry…Kojie tak bermaksud apa-apa.” Ujar Anabella dalam keadaan serba salah. Iqbal hanya tersenyum. Namun belum sempat Anabella menyambung bicara, telefon bimbit Iqbal yang diletakkan di atas meja berbunyi. Serentak ketiga pasang mata mencerun ke arah telefon bimbit berwarna silver dan hitam jenama Motorola.
Iqbal segera menjawab panggilan. Namun beberapa saat kemudian, raut wajah lelaki itu segera bertukar. Suara Mira cemas dalam talian, memaksa Iqbal turut merasa risau. “Kenapa ni Mira?” Soal Iqbal dengan wajah berkerut. Beberapa ketika kemudian, pandangan Iqbal beralih ke arah Anabella dan Kojie.
“Kenapa Ib?”
“Entah. Mira yang telefon. Dia suruh Ib pergi ke biliknya. Suaranya macam cemas saja. Sorry Bella..Kojie…you all berdua kena breakfast berdua saja. Ib kena pergi tengok apa yang dah jadi dengan Mira.” Ujar Iqbal lalu terburu-buru melangkah ke suatu arah.
Anabella dan Kojie saling berpandangan dengan wajah saspen. Kojie terlebih dahulu merenung ke arah Anabella. Entah kenapa, firasatnya kuat mengatakan hal yang dikatakan oleh Iqbal sebentar tadi ada kena-mengena dengan projek Anabella malam semalam.
“What?” Soal Anabella apabila dilihatnya Kojie tak sudah-sudah memandangnya.
“Apa yang kau tabur dekat bilik Mira malam semalam?” Tanya Kojie ingin tahu. Biarpun bau serbuk putih itu seperti bau kapur barus, namun dia tidak berani mengagak sesuka hati. Ada-ada saja idea minah ni!
“Ala don’t worrylah. Aku bukan letak racun sianida pun atas katil dia.” Anabella selamba menghirup baki kopi di atas mejanya.
“Habis serbuk putih semalam apa?”
“Itu kalsium hidroxide je.”
“Apa tu?”
Anabella memandang Kojie seakan tidak percaya. Mamat ni tak pernah pergi sekolah ke dulu?
“Kojie, masa orang sibuk belajar Sains, kau dulu kat mana? Panjat pokok rambutan? Atau main layang-layang belakang rumah?” Sindir Anabella. Kalsium hidroxide pun tak tahu ke?
“Sumpah aku tak tahu benda-benda ni semua.” Akui Kojie sejujurnya.
Anabella menghela nafas panjang. Nasiblah aku jumpa dengan mamat blur macam ni! Kalau kelmarin aku potong markah kau 10 sebab tak larat nak bergaduh dengan mamat macho tempohari semata-mata kerana berebutkan meja…hari ni pula aku potong lagi 20 markah sebab gagal Sains masa sekolah dulu! Anabella mengeluh panjang.
“Kojie, kalsium hidroxide gunanya orang buat kapur makan atau kadangkala buat kapur barus. Aku sengaja taburkan benda tu atas katil dengan baju-baju dia sebab aku tahu Mira tu alergi dengan benda-benda tu semua.” Jelas Anabella. Kojie tercengang. Mai aii…
“Mana kau tahu perempuan tu alergi dengan benda alah tu?”
“Kau lupa ke? Aku kan dulu satu kelas dengan Mira. Setiap kali kami masuk makmal, kalau ada saja eksperimen yang melibatkan benda tu..Mira mesti suruh aku yang buat. Dulu dia pernah tersentuh serbuk kalsium tu, berhari-hari juga badan dia gatal-gatal. Macam beruk kena belacan pun ada juga!” Anabella ketawa besar sebaik teringatkan peristiwa bagaimana satu kelas tertawakan Mira yang mula menggaru-garu di kelas setelah mereka pulang dari makmal Sains.
Kojie turut sama ketawa mendengar cerita Anabella. Macam ni punya orang pun ada! Entah macamanalah rupa perempuan gedik itu dalam keadaan tergaru-garu? Hehehe…idea nakal mula bermain di fikiran Kojie. Dia memandang Anabella dengan sorot aneh. Anabella tercengang.
“Dah..kenapa pulak ni?”
Kojie tersenyum-senyum. Melihat kelakuan Kojie itu, Anabella turut sama tersenyum. Dia mula faham apa maksud Kojie. Kening Kojie terangkat-angkat. Senyuman Anabella semakin melebar. Serentak kedua-duanya bingkas bangun dari kerusi lalu tergesa-gesa keluar dari ruang kafeteria.
* * * *
Mira menangis tersedu-sedan sambil menutup mukanya. Iqbal dan Makcik Kamariah memujuk sudah hampir setengah jam tapi tangisan Mira tidak juga reda. Sebaliknya raungannya semakin kuat menyebabkan beberapa penghuni chalet-chalet berdekatan berminat mahu menjengah sama.
Anabella dan Kojie segera melangkah masuk ke dalam bilik Mira sebaik terdengar tangisan gadis itu yang menerawang bagaikan alunan soprano penyanyi Italy. Dua kali dengar, bagai mahu cair otak mereka dibuatnya. Ketawa Mira memang nyaring. Tapi tangisannya dua kali ganda lebih nyaring.
“Sudah-sudahlah tu Cik Mira..benda dah nak jadi, nak buat macamana.” Pujuk Makcik Kamariah. Kasihan pula dia melihat gadis itu berkelubung dengan selimut dari pangkal kepala sehingga ke kaki.
“Ya Mira, cakap Puan Kamariah tu betul. If possible, we can postpone our engagement. It’s not a big deal, so don’t worry.” Pujuk Iqbal pula. Mendengar kata-kata Iqbal, raungan Mira semakin kuat memaksa Puan Kamariah menjauh sedikit. Mengancam betul vokal budak ni, bisik Makcik Kamariah di dalam hati.
Anabella dan Kojie hanya menjadi pemerhati tak bergaji di suatu penjuru bilik. Sesekali Kojie ketawa kecil melihat gelagat Mira. Anabella hanya tersenyum simpul. Tiba-tiba Iqbal berpaling lalu menatap ke arah Anabella.
“Bella, tolong pujuk Mira. Please…” pinta Iqbal. Anabella terkedu. Gosshh kena pujuk minah ni? Huh kirim salam ajelah. Hati aku yang dah tercalar-balar di dalam ni, siapa yang nak pujuk? Begitulah fikiran Anabella ketika itu.
“Bella kan rapat dengan Mira. Tentu dia dengar cakap Bella.” Sambung Iqbal lagi. Rapat? Uwekkk..nak termuntah aku! Anabella seram sejuk mendengar permintaan Iqbal.
“Ahah Bella, kamu cuba la pulak. Kot-kot la angin budak ni kena dengan kamu.” Sokong Makcik Kamariah. Sudah…masak aku! Namun melihat ketiga-tiga pasang mata sudah memandang ke arahnya, mahu tak mahu Anabella memaksa diri melangkah ke arah Mira. Dia memandang Iqbal sekilas sebelum duduk di samping Mira yang masih menekup mukanya dengan kedua belah tapak tangan.
“Mira…aku ni Bella. Kau ni kenapa nangis-nangis macam ni?” Antara yakin dengan tidak, Anabella melontarkan suara merdunya. Meskipun gayanya tidak ada langsung pakar motivasi atau guru kaunseling, namun dia cuba menunjukkan ketenangannya di hadapan Iqbal. Biar Iqbal tahu bahawa dia pakar dalam mengendalikan masalah-masalah emosi begini.
Melihat tiada apa-apa reaksi pada Mira, Anabella menarik nafas panjang. Tapi dalam diam-diam timbul juga rasa hairannya kenapa Mira tidak menggaru-garu seperti biasa. Bukan sedikit serbuk putih itu ditabur di sekitar bilik itu. Atas katil lagilah banyak. Sekurang-kurangnya dia yakin, pasti sepanjang malam itu Mira tidur beralaskan serbuk kalsium hidroxide itu. Tapi melihat gerak geri Mira, dia mengerutkan dahinya. Gadis itu hanya berkelubung dengan selimut sambil menekup mukanya. Takkan alergik dia dah sembuh! Fikir Anabella sambil menggaru kepala tidak gatal.
“Mira…berhentilah menangis tu. Kau nangis macam ni pun bukan boleh selesaikan masalah. Makin mengusutkan keadaan adalah. Lagipun apalah yang besar sangat masalah kau ni sampai nak membazir nak keluar-keluar air mata segala ni.” Dia bersuara. Chewah…macam best je bunyi cakap aku ni! Anabella tersengih di dalam hati.
“Kau tak kena memanglah kau tak faham.” Tiba-tiba Mira bersuara tanpa mendongak memandangnya. Suaranya terputus-putus menahan sebak.
“Kenapa pulak aku tak faham? Aku faham apa…” balas Anabella sengaja mahu memancing reaksi Anabella. Dia berpaling memandang ke arah Kojie yang tak habis-habis tersenyum melihat lakonan ‘super acting’nya.
“Kalau kau kena macam aku ni, kau faham ke?” Mira meninggikan suara. Anabella berpaling. Melihat wajah gadis itu mencerlung tajam ke arahnya, Anabella hampir menjerit. Terkejut! Goshh..kenapa dengan perempuan ni?
“Ha sekarang kau faham kan kenapa aku nangis? Cuba kau letak diri kau kat tempat aku, apa kau rasa?” Soal Mira sambil mengesat airmata yang tak putus-putus mengalir di pipinya. Anabella menelan liur melihat keadaan Mira. Dia memandang ke arah Iqbal, Kojie dan Makcik Kamariah yang masing-masing sudah menghela nafas panjang.
“Mira, kenapa dengan kau ni?” Anabella terpinga-pinga tidak mengerti. Wajah Mira yang bengkak bengkil dengan bintik-bintik merah di seluruh tubuh, membuatkan dia tergaman bercampur panik. Takkan sampai macam ni alergik dia pada serbuk kapur tu. Rupa Mira sudah bukan seperti Tumirah Kuncup lagi dah, tapi tak ubah seperti rupa Sarah Jessica Parker yang baharu sahaja tertelan ‘aerosol spray’.
* * * *
“Macamana keadaan dia?” Tanya Anabella ketika melihat Iqbal keluar dari bilik Mira. Makcik Kamariah bermurah hati menawar diri menjaga gadis itu di dalam setelah seorang doktor di klinik berhampiran resort itu dipanggil.
“Doktor kata dia alergik pada sesuatu. Doktor dah bagi dia makan ubat, nanti baiklah dia tu.” Balas Iqbal muram. Dia duduk di kepala tangga di hadapan bilik Mira. Mahu tak mahu Anabella turut duduk di samping lelaki itu.
“Alergik pada apa?” Anabella pura-pura bertanya. Dia sendiri rasa agak hairan dengan perubahan diri Mira sebentar tadi. Dan sememangnya dia tertanya-tanya sejak tadi, apakah kesan bengkak bengkil pada wajah dan tubuh gadis itu berkait dengan serbuk kalsium hidroxidenya? Tapi bukankah dulu, gadis itu hanya akan mengalami gatal-gatal sahaja?
“Entahlah, kami pun tak tahu. Tapi kata Mira tadi, semalam dia ada terhidu bau kapur barus dalam bilik. Tapi dia dah minta pekerja resort salinkan cadar katilnya. Bella tahu Mira alergik dengan kapur tu?” Iqbal memandangnya.
“Entah…tak tahu pula.” Jawab Anabella sambil menelan air liur. Terasa gugup dengan pertanyaan yang baru singgah dari bibir Iqbal. Janganlah Iqbal tahu yang sebenarnya dia tahu. Tapi kalau benar Mira dah tukar cadar di atas katilnya awal-awal lagi, kenapa pula badan dia boleh bengkak dan kembang macam gajah? Jangan-jangan dia mesti alergik sebab benda lain ni, bukan sebab aku. Anabella seolah-olah membela diri sendiri.
“Bella..” panggil Iqbal tiba-tiba. Anabella menoleh. Dahinya berkerut.
“Mira minta kami tangguhkan pertunangan. Dia kata dia tak boleh berhadapan dengan orang dalam keadaan dia macam ni.” Ujar Iqbal.
Yes! Anabella bersorak gembira di dalam hati. Entah kenapa dia gembira dengan kata-kata itu, apatah lagi inilah yang selama ini diharapkannya.
“So Ib sendiri fikir macamana?”
“Entahlah, ramai juga saudara mara yang kami jemput ke sini. Esok mereka datang, lusa pula majlis tu dah nak berlangsung. Kalau betullah majlis ni kena tangguh, susah pulak Ib nak explain pada diaorang. Entah apa mereka akan fikir nanti.” Keluh Iqbal.
“Bagitahulah yang sebenarnya.”
“Fasal Mira?”
Anabella mengangguk. Iqbal mengeluh panjang. “Bella kan dah berkawan lama dengan Mira, takkan Bella tak tahu bagaimana perangai Mira. Dia tak benarkan kita beritahu sesiapa pun apa yang berlaku pada dia sekarang ni. Dia takut malu.” Jelas Iqbal.
Memang aku tahu sangat perangai Mira tu! Benda yang dia paling takut sangat ialah bila orang pandang dia dalam keadaan hodoh macam tu. Dia paling takut dengan apa yang orang akan fikir tentang dia! Anabella menopang dagu di sisi Iqbal.
“Bukankah lebih bagus kalau Mira bersikap macam Bella.” Iqbal memandang gadis itu. Anabella terpempan. Macam aku? Apa maksudnya?
“Maksud Ib?”
“Ib tengok, Bella dari dulu jenis yang tak kisah. Apa yang Bella pakai, apa yang Bella cakap..semuanya adalah diri Bella sendiri. Bella tak perlu berpura-pura jadi orang lain.” Iqbal tersenyum memandang gadis itu.
Anabella pula hanya diam. Betulkah aku begitu dulu? Tidakkah Iqbal tahu Bella yang dahulu sudah tidak wujud lagi? Bella yang ada di hadapannya ialah Bella yang tidak suka menjadi dirinya sendiri. Jika tidak masakan, dia akan berlagak anak orang kaya di hadapan Nora dan kawan-kawannya yang lain. Masakan dia sanggup hidup berhutang keliling pinggang asalkan dia dapat menipu ibu dan ayahnya di kampung? Tidak Ib….Bella yang dulu sudah tidak wujud lagi.
Sekurang-kurangnya Mira lebih jujur darinya. Walaupun Mira gedik dan mengada-ngada, tapi itulah sikap Mira dari zaman sekolah sehingga sekarang. Bagaimana dia kenal Mira yang dulu, beginilah Mira yang sekarang. Malah Iqbal juga kenal dengan sifat Mira yang dulu. Tidak seperti aku yang cuba menjadi selain dari diri aku yang tidak beruntung. Anabella termenung panjang. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja dia jadi tidak bersemangat. Timbul pula rasa kesalnya kerana memperlakukan Mira begini. Sepatutnya dia tidak mempergunakan kelemahan Mira itu semata-mata kerana mahu mendapatkan Iqbal.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!