Followers

Thursday, July 1, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 18

“CANTIKNYA Aliya hari ni,” Haikal tak habis-habis memuji sambil dia membukakan pintu kereta untuk gadis itu. Aliya tergelak besar mendengar pujian lelaki itu. Pandai Haikal membodeknya!

“Kereta Haikal ke ni? Rasanya pelajar second year tak boleh bawak kereta dalam kampus kan?” Aliya mengerling pemuda di sebelahnya.

“Tak.” Selamba Haikal menjawab.

“Habis tu?”

“Kereta ayah. Terpaksalah pinjam sekejap sebab nak bawa Aliya. Nanti Aliya tak sudi pulak naik motor buruk saya.” Ujar Haikal selamba.

Aliya tergelak kecil mendengar penjelasan Haikal. Hai motor Kawasaki Vulcan 800 pun dikira motor buruk ke?

“Tapi ayah nak pakai balik kereta ni petang nanti, so saya kena hantar kereta ni dekat dia semula. Aliya tak kisahkan kita balik nanti, naik cab saja?”

“Tak apa, naik bas pun tak apa. Lagi mudah naik kenderaan awam kan?”

Haikal tersenyum lebar. Sempat dikerlingnya Aliya yang sedang memandang jauh ke luar jendela kereta. Wajah gadis itu nampak berseri-seri dengan mekap tipis. Tidak over seperti sesetengah gadis yang menjadi kenalannya di kampus.

Haikal tahu Aliya bukan gadis seperti itu. Selama ini dia selalu memerhatikan Aliya. Gadis itu selalu nampak simple dengan blaus dan jeans. Kadang-kadang dia akan berbaju kurung menyerlahkan lagi keayuannya.

Seusai menonton wayang, mereka singgah di sebuah restoran makanan segera. Haikal memesan makanan di kaunter. Sesekali dia menoleh ke arah gadis itu. Langsung tidak dibenarkan wajah itu menghilang dari pandangannya.

“Okey, makanan dah sampai.” Suara Haikal mengejutkan Aliya dari terus terleka memerhatikan gelagat kanak-kanak di meja sebelah. Melihat dulang makanan yang dibawa oleh Haikal, dia terlongo.

“Banyaknya, siapa yang nak habiskan semua ni?” Aliya bagai tidak percaya. Anak muda itu ketawa besar.

“Siapa lagi? Kitalah. Don’t worry kalau tak habis, kita tapau bawak balik.” Balas Haikal separuh bergurau. Aliya tergelak kecil.

Sambil makan, Aliya seronok melayan Haikal berbual. Rupa-rupanya Haikal pernah menyertai persatuan yang sama dengannya, hanya dia yang tidak menyedari kewujudan Haikal. Anak muda itu pura-pura merajuk apabila Aliya mengaku tidak perasan mereka sama persatuan.

“Biasanya Aliya suka buat apa masa lapang?” soal Haikal sambil mengunyah fun fries.

“Masa lapang? Hmm..entahlah.”

“Entah? Masakan tak ada aktiviti apa-apa pada masa lapang? Bersukan misalnya?” Jolok Haikal.

“Selalunya saya tak pernah menyertai apa-apa acara sukan. Bukan tak berminat, tapi tak berbakat. Kalau berjogging pun kadang-kadang saja. Malaslah! Bukan macam Haikal, juara ragbi kampus.” Usik Aliya. Tergelak anak muda itu mendengar kata-kata Aliya.

“Apa nak buat, sejak kecil dah terdidik di sekolah asrama penuh. Mahu tak mahu kena ikut semua peraturan yang dah ditetapkan. Bakat ragbi ni pun kalau tak dicungkil oleh cikgu kat sekolah, takkan jadi.”Cerita Haikal.

“Mesti seronok kan belajar di sekolah asrama penuh.” Ujar Aliya.

“Bolehlah. Kat rumah pun tak ada orang juga. Sejak mama meninggal, kami semua macam renggang sikit. Semuanya habiskan masa kat luar.” Wajah Haikal berubah muram. Aliya terdiam seketika.

“Kalau Haikal tak kisah, boleh saya tahu mama Haikal meninggal sebab apa?” Tanya Aliya. Bimbang juga dia, kalau-kalau soalannya bakal meninggalkan guris di hati Haikal. Anak muda itu tersenyum hambar.

“Kanser. Waktu itu saya masih kecil, tapi anehnya sekecil tubuh ini pun masih mampu memahami duka orang dewasa. Selepas mama meninggal, papa jarang berada di sisi kami. Saya dan kakak dihantar belajar di asrama penuh. Belajar hidup sendiri.” Cerita Haikal.

“Tapi Haikal tetap membesar dengan baik kan? Jika kita tak pernah memandang masalah sebagai halangan, pasti kita akan berjaya harungi hidup ini.” Aliya tersenyum menampakkan lekuk kecil di kedua-dua belah pipi.

Haikal bagai terpaku memandang lesung pipit yang menghiasi pipi gadis itu. Manis! Tiba-tiba dia terkenangkan mamanya yang juga mempunyai lesung pipit seindah itu.

“Haikal!” Tegur Aliya apabila dilihatnya anak muda itu diam sahaja. Haikal hanya tersenyum memandang wajah Aliya yang menampakkan kehairanan.

Selepas selesai makan, mereka berjalan beriringan menuju ke arah kereta yang diparkir di seberang jalan. Entah dari mana datangnya, tiba-tiba sebuah kereta Mitsubishi EVO 7 berwarna kuning terang meluncur laju ke arah mereka.

“Aliya!” Jerit Haikal nyaring.

Aliya tergaman. Dia dapat merasakan tubuh Haikal menghempapnya ke arah jalan raya. Pandangannya dirasakan gelap dan berbalam-balam. Hanya terdengar sayup-sayup suara Haikal memanggil namanya. Selepas itu dia tidak ingat apa-apa lagi!

* * * *

Matanya dibuka perlahan-lahan. Terang cahaya lampu menyilaukan pandangannya. Dia melihat segala-galanya di hadapannya berwarna putih. Di mana aku? Digagahinya untuk bangun namun seorang gadis menahannya.

“Badan cik masih lemah, baik cik baring dulu” Nasihat gadis itu.

“Saya kat mana sekarang ni?”

“Cik ada kat hospital.” Beritahu gadis itu.

“Hospital?” Aliya membuka matanya luas-luas. Dia dapat melihat jururawat itu dengan jelas. Bau ubat menusuk ke hidung. Ada beg air tergantung di sisi katilnya, dimasukkan melalui salur kecil yang dicucuk di lengannya.

Tuhan! Macamana aku boleh ada kat hospital? Aliya masih dihujani perasaan keliru. Dia cuma ingat kereta itu meluncur laju ke arahnya. Dan Haikal? Mata Aliya segera membulat. Dia masih ingat Haikal ada bersamanya ketika itu.

“Nurse, kawan saya mana? Kawan saya, dia….dia tak apa-apa ke?” Bertalu-talu Aliya menyoal jururawat muda itu. Fikirannya kini sarat dengan wajah Haikal. Selamatkah anak muda itu? Cederakah dia?

“Jangan bimbang, kawan cik tak apa-apa. Dia ada menunggu kat luar.”

Mendengar kata-kata jururawat itu, fikiran Aliya beransur tenang. Mujurlah tak ada apa-apa berlaku pada lelaki itu. Tuhan! Syukurlah!

“Nurse, pesakit kita dah sedar?” Tiba-tiba seorang lelaki berpakaian serba putih menjenguk masuk dari muka pintu.

Aliya berpaling. Melihat seorang lelaki separuh umur yang sedang tersenyum memandangnya, lidahnya tiba-tiba kelu. Mukanya berubah warna. Lelaki itu sibuk membelek-belek rekod pesakit yang tergantung di hujung katil sedangkan matanya pula begitu asyik merenung lelaki itu. Perasaannya menjadi tidak keruan.

“Papa...” Haikal tiba-tiba muncul lalu memanggil lelaki itu.

Aliya menoleh ke arah Haikal. Terkejut. Panggilan Haikal pada lelaki itu membuatkan fikirannya bertambah celaru. Papa? Kenapa Haikal memanggil lelaki itu begitu? Apa hubungan mereka berdua?

* * * *

Sukar dia hendak melelapkan mata di tempat yang begitu asing. Lebih-lebih lagi berjumpa dengan seseorang yang pernah menjadi mainan mimpinya. Aliya memandang katil di sebelahnya. Makcik di sebelahnya sudah lama dibuai mimpi. Dia merenung jam di dinding bilik itu. Baru pukul 10.15 malam tapi suasana sudah sunyi sepi. Hanya sesekali kedengaran bunyi tapak kaki jururawat yang membuat pengawasan.

“Aliya jangan bimbang, kecederaan Aliya tak serius, cuma calar-calar sikir aje. Tapi kena tinggal hospital sehari lagi sebab pakcik nak buat pemeriksaan lanjut. Kalau tak ada apa-apa, esok Aliya dah boleh keluar hospital. Nama pakcik Doktor Badrul.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.

Aliya memejam matanya rapat-rapat. Oh tuhan! Kenapa takdir mempermainkan aku begini? Siapakah lelaki itu sebenarnya? Diakah daddy yang aku cari-cari selama ini? Tapi kenapa dia seolah-olah tidak mengenaliku?

“Luka Aliya ni tak serius. Tapi tangan tu mungkin kena pakai pembalut dalam seminggu dua.” Tambah lelaki itu lagi.

“Aliya, inilah papa saya.” Suara Haikal pula singgah.

Papa? Jadi lelaki itu benar-benar ayah Haikal? Dan lelaki itu adalah lelaki yang sama pernah memegang tangannya di tanah perkuburan dulu. Lelaki yang sama berjanji tidak akan meninggalkannya, tapi tidak pernah muncul lagi selepas itu di rumah anak-anak yatim.

Lima belas tahun dia membesar tanpa melihat wajah ayah angkatnya. Hatinya dipenuhi dengan rindu saban waktu. Meskipun YM menjadi penghubung, tapi itu semua tidak cukup untuk meleraikan rindu yang terlakar di hatinya.

Dia sering teringatkan kata-kata arwah ibunya suatu ketika dahulu. Kata ibunya, budi orang mesti dibawa sehingga ke mati. Lebih-lebih lagi budi sebesar yang ditabur untuknya. Dia tidak mahu menjadi orang yang tidak mengenang budi. Budi daddy akan sentiasa diingat dan dikenang sehingga ke akhir hayatnya. Malah dia sudah bertekad untuk berbakti kepada lelaki itu. Tapi apakah Doktor Badrul benar-benar daddy yang dicari-carinya selama ini? Hanya Allah yang mampu menjawabnya!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!