MIRZA mengeluh panjang memandang ke arah pintu pagar yang sudah tertutup rapat.
Memang patut tutup pun sebab jarum jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Namun
dia tidak risau langsung. Dia melarikan motorsikalnya mengikut laluan belakang
sekolah. Motorsikalnya diletakkan di sebuah bengkel tidak jauh dari situ.
“Lambat lagi
Mirza?” Haron menggeleng kepala melihat anak muda itu.
“Macam biasa
bang, lambat bangun.” Mirza tersengih menayangkan barisan gigi yang putih
tersusun.
“Kamu ni kalau
sehari tak lewat, memang tak sah. Memanjang lewat dari dulu sampai sekarang.”
Gelak Haron, pemilik bengkel yang terletak hanya 200 meter di belakang sekolah
itu.
“Abang tolong
jaga motorsikal saya ya?” Pinta Mirza seraya menyandang beg sekolahnya. Tanpa
menanti balasan Haron, dia segera memanjat pagar di hadapan bengkel tersebut.
Menggeleng
kepala Haron melihat betapa selambanya anak muda itu. Sejak Mirza masih berada
di tingkatan tiga lagi dia sudah terlalu acapkali melihat Mirza melompat pagar
belakang sekolah itu. Dahulu semasa pagar sekolah itu separas pinggang Mirza, budak
itu sudah mahir melompat merentasinya. Tapi selepas pagar itu ditinggikan
separas dada, belum juga dia melihat anak muda itu gagal melompatnya. Mirza
patut jadi atlit lompat tinggi! Pasti boleh beri sumbangan besar pada sekolah.
Tapi anak muda itu sangat pemalas orangnya, langsung tidak berminat dengan apa
sahaja aktiviti di sekolah. Pergi sekolah ikut suka hati dia, balik pun ikut
suka juga. Cuma satu sahaja yang boleh dipujinya pada Mirza, anak muda itu
tidak sombong orangnya. Jika bertemunya, Mirza akan sentiasa menegur. Jika dia
menegur kelakuan Mirza yang kaki ponteng sekolah, paling-paling kurang anak
muda itu hanya akan ketawa mendengarnya.
Menonong sahaja
Mirza masuk ke kelas tanpa mempedulikan Cikgu Anis yang sedang mengajar subjek
pertama pagi itu iaitu bahasa Inggeris. Terjegil mata wanita itu melihat Mirza.
Namun memikirkan percuma sahaja dia marah pada awal-awal pagi seperti itu,
Cikgu Anis hanya pura-pura tidak nampak anak muda itu. Lagipun ini bukan kali
pertama Mirza berkelakuan seperti itu. Sekalipun dia membebel di hadapan Mirza,
anak muda itu hanya akan membisu sahaja. Buat membazir air liurnya sahaja.
Mirza melangkah
ke arah tempat duduknya yang pastinya tempat duduk paling belakang kelas 5 Merah
itu. Zarul yang duduk di hadapannya menoleh.
“Mirza, malam
ni macamana?” Bisik Zarul galak. Semalam dia dibawa Mirza berhibur di sebuah
kelab malam, memang sampai terigau-igau keseronokan itu di alam mimpi. Kalau
boleh dia memang mahu berseronok lagi seperti malam semalam. Itu pun mereka
dapat masuk kerana Mirza memiliki kad pengenalan dewasa. Lapan belas tahun
adalah usia kebebasan yang dicari-cari mereka!
“Aku ada hal
malam ni.” Ujar Mirza acuh tak acuh.
“Come on Mirza, tak best lah macam ni.” Zarul berbunyi kecewa.
Mirza merenung
anak muda itu agak lama. Kadangkala perangai mendesak Zarul melemaskannya.
Bukannya dia ke kelab malam itu pakai duit Zarul pun. Setiap kali mereka keluar
berseronok, selalunya dia yang membayar semuanya.
“Sorry, aku betul-betul tak dapat malam
ni. Aku benar-benar ada hal lain.” Ujar Mirza seraya melontarkan pandangan ke
luar tingkap. Zarul sudah tidak dilayan. Saat ini dia asyik memikirkan
kata-kata ayahnya yang mahu mencarikannya seorang cikgu tuisyen.
Papa nak cari tutor untuk aku. What a suck!
Dia menghantar whatsapp pada abangnya Drew. Tak lama kemudian Drew membalas. Mereka memang kerap
berhubung melalui whatsapp.
Good for you. Hehe..
Good for me? Kau dah gila ke apa?
At least kau belajar.Kau kan ada perjanjian dengan
papa. Lulus SPM tu dulu bro, kacang sahaja.
Mirza mencebik.
Kacang konon! Kau bolehlah cakap macam tu, kau tak belajar pun otak macam Einstein! Rungutnya.
Please, pujuk papa tu untuk aku.
No way bro. Yang ni, aku tak boleh tolong.
Papa dah warning aku. Aku rasa kau terima ajelah cikgu tu. Mana tahu untung-untung
dia cantik, kau dapat benefit. Sambil menyelam minum air.
Hmm..takde mananya dia cantik. Entah-entah
muka dia macam Wan kat kampung.
Tak baiknya kau kutuk Wan tu. Wan tu nenek kita tahu.
Nenek sangatlah, asyik membebel sahaja 24 jam.
Hehe…
Begitulah bunyi
mesej demi mesej yang dikongsi balas di whatsapp
mereka. Mirza menarik nafas panjang. Bosan! Macam-macam benda berserabut di
kepalanya saat ini. Dia melihat sepintas lalu karangan dalam bahasa Inggeris
yang sedang ditulis oleh Cikgu Anis di whiteboard.
Serentak dia bangun menyebabkan beberapa pasang mata menoleh. Zarul tidak
terkecuali.
“Kau nak ke
mana ni? Jangan..nanti mengamuk Cikgu Anis.” Larang Zarul separuh berbisik.
Kerana dia duduk paling hampir dengan Mirza, maka jika ada apa-apa yang tak kena, Cikgu Anis
pasti membebel dengannya seolah-olah dia pula yang bersalah.
Namun Mirza
langsung tidak mempedulikan larangan Zarul lalu terus keluar ikut pintu
belakang tanpa disedari Cikgu Anis yang sedang asyik menulis. Dia melangkah ke
suatu arah. Destinasinya ialah sebuah bilik kosong di belakang bangunan sekolah
itu berdekatan stor simpanan barang. Bilik muzik itu memang jarang dikunjungi
orang dan dia sering menjadikan bilik itu tempat dia melelapkan matanya sebelum
waktu sekolah berakhir.
Dengan
beralaskan sebuah bangku panjang di situ, Mirza tidak kisah tidur begitu
sahaja. Dia lebih suka berada di situ dari menghadap wajah guru-gurunya.
Belajar baginya memang membosankan. Hendak meninggalkan kawasan sekolah, dia
tidak mahu ada yang melihatnya dan menyampaikannya pada ayahnya. Berita
tentangnya di sekolah memang cepat tersebar ke telinga ayahnya. Entah siapa spy tak bergaji itu, dia sendiri tidak
tahu.
Bunyi beberapa
tapak kaki menghampiri tempat itu, membuatkan mata Mirza terbuka luas. Dahinya
berkerut. Siapa pulak ni? Menganggu betul! Dia nak tidur pun tak senang! Rungutnya.
Dia segera bersembunyi di belakang bangku kayu itu.
Bunyi tapak-tapak
kaki itu semakin menghampiri. Dari sudut tersembunyi, dia dapat melihat
beberapa susuk gadis sedang memasuki bilik itu. Angin Mirza sudah membadai. Sial!
Kenapa mereka datang ke sini? Menganggu betul aku nak tidur!
Melihat
gadis-gadis itu mengeluarkan rokok dan saling menyalakan lighter pada rokok masing-masing, Mirza hanya mampu tersenyum
sinis. Nak merokok rupanya! Gadis zaman sekarang memang semuanya hancur.
Langsung tak boleh pakai! Getus Mirza seraya menggelengkan kepalanya.
“Kau nampak tak
budak baru yang masuk kelas 5 Biru tu? Handsome
kan? Aku dengar dia atlit lompat tinggi kat sekolah lama dia. Wakil Sukma lagi.”
Ujar salah seorang dari gadis-gadis itu.
“Namanya Ryan
kan?”
“Handsome sangat.”
“Mirza lebih handsome.”
Mirza yang
sedang tekun mendengar hampir terbatuk. Aku? Perlahan-lahan dia mengintai dan
terpandang kelibat seorang gadis berambut panjang. Cantik juga orangnya. Dia pernah terserempak gadis itu beberapa
kali, cuma tidak ingat apa nama budak perempuan itu.
“Ya Mirza
memang handsome tapi sombong sangat.
Aku pernah senyum pada dia. Bukannya dia nak balas sebaliknya dia jeling aku
lagi adalah.” Gadis yang bercerita itu ketawa kecil.
Mirza menggaru
kepala yang tidak gatal. Bila masanya pulak aku sombong? Aku cuma berlagak cool sahaja bodoh!
“Mana ada dia
sombong, dia okey ajelah.” Gadis cantik itu masih jua mempertahannya.
“Come on Lin takkanlah kau sukakan Mirza tu.”
Elena terdiam.
Suka? Bukan suka sahaja tapi dia sudah obses. Ke mana-mana sahaja Mirza pergi,
dia akan memandang lelaki itu. Mirza sahaja yang langsung tidak pernah mahu
memandang dirinya. Dia juga pernah ke rumah Mirza sewaktu majlis di rumah Tuan
Fahrin. Lelaki itu majikan ayahnya di Green Global.
“Ada orang tu
gilakan Adham Mirza tu. Mesti kau bersyukur dia tak ambil SPM tahun lepas kan? What kind of idiot yang boleh terlepas
ambil exam penting tu?” Ketawa
gadis-gadis itu membuatkan Mirza menarik nafas panjang. Sabar Mirza, cool down!
Elena seakan
tidak senang mendengar sindiran teman-temannya. Wajahnya mencuka.
“Dia bukan
bodoh Dija. Cakap tu bertapislah
sikit.” Marah Elena.
“Okay, I’m sorry. Ya aku tak patut kutuk
Adham Mirza tu. Tapi tahun ini aku tak rasa dia akan lulus SPM tu. Kawan aku yang
sekelas dengan si Mirza tu cakap Mirza tu memang pemalas dan worthless. Aku pun tak faham kenapa dia
nak bersekolah kat sini lagi sedangkan dia tu anak orang kaya. Kalau aku mesti
malu nak datang ke sekolah hari-hari dan sekadar habiskan masa dengan tidur
dalam kelas, lepas tu balik.” Gumam Kadija lagi seraya menghembus asap rokok
dari hidungnya.
“Kau tak tahu
apa-apa so better kau diam. Untuk
pengetahuan kau, Adham Mirza accident
tahun lepas dan dia cedera. Sebab tu dia tak ambil exam tu. “ Getus Elena dengan wajah mencuka.
“Lin, aku tahu
cerita tu. Semua orang kat sekolah tahu yang Mirza tu pergi mendaki Gunung Tebu
tu dua minggu sebelum exam sebab dia
tak nak ambil peperiksaan tu. Aku rasa dia sengaja cederakan kaki dia at that time supaya dia boleh skip exam.” Gelak Kadija lagi.
Elena mengetap
bibir. Tak guna dia terus melayan Kadija yang memang sudah terang-terangan sengaja
mencari fasal dengannya. Entah apa yang tidak kena dengan gadis itu dia sendiri
tidak tahu.
“Kalau kau
terus mengata yang buruk-buruk tentang Mirza, aku rasa lepas ni kita tak payah
jumpa lagi.” Gumam Elena nekad.
“Hei apa ni?
Takkan sebab Mirza tu korang berdua nak gaduh. Relaks la, benda kecil aje.
Rasanya tadi kita bercakap tentang Ryan, budak baru tu. Kenapa tiba-tiba timbul
nama Mirza pulak?” Lili kelihatan bingung dibuatnya. Dia menjeling Aira yang
hanya menjongketkan bahu, tanda malas mahu masuk campur perang mulut antara Elena
dan Kadija yang bukan sekali ini berlaku. Sudah acap kali. Kedua-duanya kalau
bertemu tidak berperang mulut memang tidak sah.
Elena mendengus
keras lalu segera meninggalkan tempat itu. Kadija hanya ketawa kecil.
“Sensitif
sangat. Langsung tak boleh dengar Mirza kena kutuk sikit.” Komen Kadija.
“Kau pun satu.
Dah kau tahu yang si Lin suka si Mirza tu, yang kau sengaja tambahkan minyak
dalam api tu kenapa?” Rungut Lili seraya menjeling sahabatnya itu.
“Salah ke?
Memang betul apa yang aku cakap.” Kadija tidak mahu mengaku kalah.
“Aku nak
merokok pun tak senang.” Rungut Aira pula yang masih belum sempat mahu menghabiskan
sedutan demi sedutan rokoknya. Lili mengambil rokok dari jepitan tangan Aira
lalu turut menyedutnya dalam-dalam sebelum dihembus keluar.
“See? Dah habis ni, jom kita keluar
sebelum terserempak dengan cikgu.” Ajak Lili lalu segera beredar dari situ
diikuti langkah kawan-kawannya.
Mirza keluar
dari tempat persembunyiannya setelah yakin keempat-empat gadis itu sudah
beredar. Hendak marah pun ada, hendak ketawa pun ada mendengar perbualan
keempat-empatnya. Macamlah aku kisah sangat dengan pendapat diaorang! Getus
Mirza seraya kembali ke bangku kayu itu untuk menyambung tidurnya yang
tergendala. Namun belum sempat dia mahu berbaring di situ, pintu bilik itu
tiba-tiba dikuak dari luar. Mirza tergaman menyedari seraut wajah sedang terpaku
memandang ke arahnya. Elena! Gadis yang bersungguh-sungguh mempertahankannya
sebentar tadi kini berada di hadapannya.
Elena
benar-benar terkejut melihat Mirza berada di bilik itu. Kedatangannya ke situ
kerana menyedari rantai tangannya mungkin tercicir di situ. Tapi tak
disangka-sangka lain pula yang ditemuinya.
“Mir…Mirza?”
Tergagap-gagap dia menyapa Mirza.
Mirza sekadar
merenung wajah anak gadis itu dengan pandangan serius. Sebahagian dirinya
merasa terganggu kerana tidurnya yang asyik tergendala. Sebahagian yang lain
merasa tertarik pada gadis yang konon-kononnya sudah lama meminatinya itu. Elena.
Hmm..boleh tahan orangnya. Cantiklah jugak! Dia menilai gadis itu dari atas ke
bawah.
“Awak...awak
dah dengar ke tadi?” Elena semakin gelisah. Dia pasti, perbualannya dengan
rakan-rakannya mungkin sudah didengari lelaki itu.
“Dari A sampai
Z.” Jawab Mirza selamba.
“Saya minta
maaf Mirza. Mereka tak patut cakap macam tu pada awak.”
“Tak apa, aku
tak kisah pun. Yang kau nak marah-marah tu kenapa?” Mirza ketawa kecil. Dia
melangkah ke muka pintu. Elena terpinga-pinga melihat Mirza sudah mahu angkat
kaki dari situ.
“Err.. Mirza.” Panggil Elena.
Langkah Mirza
terhenti. Perlahan-lahan dia membalikkan tubuh. Wajah anak gadis itu ditatap
lama. Sabar menanti apakah yang mahu diperkatakan anak gadis itu padanya.
“Err…fasal
tadi.”
“Fasal apa?”
Kening Mirza terjongket. Wajah merah padam gadis itu ditatap selamba.
“Awak kata awak
dengar dari A sampai Z. Maksudnya awak dah tahu kan apa yang saya rasakan?” Elena
mencuba nasib dengan dada berdebar-debar.
Mirza menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia menapak
ke arah gadis itu.
Menyedari lelaki muda itu semakin mendekatinya, dada Elena
berdebar-debar tidak keruan. Wajah tampan Mirza menjengah wajahnya agak rapat. Dia
menelan liur. Belum pernah dia berada sehampir ini dengan Mirza. Selalunya dia
hanya mampu melihat kelibat Mirza dari jauh. Setiap kali mereka berselisih jalan,
sepasang mata yang redup bersinar itu langsung tidak sudi memandang ke arahnya.
Tapi apa yang berlaku saat ini bagaikan dalam mimpi.
“Siapa nama kau?” Tak disangka-sangka Mirza bertanya.
“Err..E..Elena.” Jawab Elena tergagap-gagap.
“Kau suka aku?”
Elena tersentak. Sepasang matanya segera mencari wajah
Mirza yang kelihatan serius. Aduh! Pertanyaan apakah itu?
“Kau suka aku ke tidak ni?” Tanya Mirza seakan bosan.
“Su..suka.” Terluah jua perkataan itu dari bibir Elena. Malu
menyelubungi diri saat mulutnya sudah mengakui rasa hati yang sudah lama
terpendam di jiwa.
“Kalau macam tu, aku tunggu kau kat Old Town di
Midvalley jam 8 malam ini. Kita dating. Jangan lupa datang.” Mirza tersengih
seraya berlalu pergi dari situ meninggalkan Elena yang terpisat-pisat, seakan tidak
tidak percaya dengan apa yang baharu didengarnya. Dating? Mirza mahu berdating
dengannya? Is this for real? Elena
mencubit pipinya. Pipi terasa perit, bermakna dia bukan sekadar bermimpi.
No comments:
Post a Comment