Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 4

Riffki membuka mata perlahan-lahan. Jam di mejanya sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi. Dia bingkas bangun. Cahaya dari tirai jendelanya yang sedikit renggang, menerpa masuk. Dia menggeliat malas sebelum menuju ke bilik air.
Sepuluh minit kemudian, dia menjalankan rutin hariannya selama sejam melakukan senaman dalam biliknya yang diubahsuai seperti gim. Dia sudah biasa dengan senaman ringan sejak pulang dari luar negara hampir 5 tahun yang lalu. Sudah terbiasa dengan gaya teman-temannya yang kaki gim
Deringan telefon menganggu suasana sunyi, namun Riffki buat tidak peduli. Dia hanya membiarkan deringan itu terus berkumandang. Tak lama kemudian, terdengar suatu suara wanita meninggalkan pesan di peti simpanan suara.
Beep. Encik Riffki, saya Nurul Hijjaz dari Krafria Galeria. Kita ada bertemu kelmarin. Hari ini saya berminat nak melihat koleksi gambar-gambar itu. Saya akan ke studio Encik Riffki tengahari nanti jika Encik Riffki berkelapangan. Jika tidak, tolong maklumkan semula pada saya ok. Bye. Beep.
Riffki tersenyum mendengar pesanan itu. Nurul Hijjaz! Tiba-tiba sahaja dia teringatkan gadis itu. Entah kenapa raut lembut wajah bujur sirih itu tak lekang dari ingatannya sejak semalam. Dia tahu gadis itu tentu mengingatinya, hanya dia berpura-pura tidak kenal. Timbul keinginan hatinya ingin mempermainkan gadis itu. Dia ingin tahu sejauh mana gadis itu berpura-pura dengannya.
Loceng pintu rumahnya yang dibunyikan berkali-kali mencuri lamunannya. Riffki segera mencapai tuala kecil lalu mengelap muka. Dia berjalan ke arah pintu. Hatinya tertanya-tanya, siapa agaknya gerangan tetamu yang muncul pagi-pagi buta begini di rumahnya!
Sebaik daun pintu dibuka, Riffki tergelak besar melihat Mak Jah berdiri di hadapan pintu apartmentnya dengan wajah muncung sedepa.
“Kenapa lambat sangat buka ni Riff, penat Mak Jah bawa barang banyak ni,” rungut wanita separuh umur itu. Hampir terlepas plastik-plastik yang dibawanya, mujurlah Riffki cepat menyambut. Segera diekorinya wanita itu ke dapur.
“Kenapa Mak Jah susah-susah ni? Riff kan boleh beli sendiri barang-barang ni semua.” ucapnya sambil sibuk membelek barang-barang yang dibawa Mak Jah. Kebanyakannya barang-barang dapur.
“Hah yalah tu, macamlah kamu beli. Tiap-tiap kali Mak Jah datang, kalau tak pizza, ada aje makanan lama dalam peti ais kamu ni. Tengok ni, ya Allah, serabut benar peti ais kamu ni. Baru minggu lepas Mak Jah kemaskan,” leter orang tua itu.
Riffki hanya tersengih. Dia faham, walaupun orang tua itu kuat berleter, tapi hatinya baik. Mak Jah dianggap tak ubah seperti ibu kandungnya sendiri. Sedari kecil, hanya Mak Jah tempatnya menumpang kasih seorang ibu. Dia memeluk bahu Mak Jah dari belakang. Erat. Kasih sayangnya terlalu dalam, tumpah untuk orang tua itu. Mak Jah tersenyum senang.
“Kenapa tak balik makan tempohari? Ayah bising-bising sebab Riff tak balik tau. Kasihan ayah,” sebut Mak Jah tiba-tiba. Dia terdiam seketika. Lagi-lagi soal ayahnya yang menjadi topik mereka bila bertemu. Kadang-kala sampai naik bosan dia mendengar.
“Riff terlupa.” Dia menjawab tenang, meskipun hanya dia yang tahu sebabnya. Waktu itu dia lebih senang menghabiskan masa di pub bersama teman-temannya. Lagipun apa gunanya balik kalau saban waktu terpaksa menghadapi sikap panas baran ayahnya. Ditambah pula dengan kerenah makciknya yang selama ini tidak pernah mengakui kewujudannya di rumah itu.
“Kalau terlupa sekalipun, telefonlah ke rumah minta maaf dengan ayah. Dah lama Riff tak balik rumah, semua orang rindu. Hari-hari Mak Jah kemas bilik Riff,” lembut suara Mak Jah memujuk.
“Nantilah Riff balik Mak Jah. Mak Jah masak untuk Riff hari ni ya, tapi awal sikit sebab Riff nak keluar tengahari nanti. Rindu masakan Mak Jah.” Riffki tertawa kecil.
“Itulah dari dulu Mak Jah suruh Riff kahwin, kan senang. Ada orang tolong jagakan, ada orang tolong masakkan. Jangan asyik dok ingat peristiwa lama tu….” Kata-kata Mak Jah tiba-tiba terhenti sebaik melihat raut wajah Riffki berubah.
“Riff, Mak Jah…Mak Jah minta maaf,” ucap Mak Jah serba salah. Dia tahu dia tersalah kata. Dia tahu Riffki tidak suka diungkit soal lalu.
Setiap kali mengemas rumah itu, hanya foto-foto Nurlaila yang ditemui Mak Jah. Setiap kali dia datang, dia berharap benar foto-foto itu ditukar dengan wajah lain tapi Riffki nampaknya masih belum melupakan gadis itu sepenuhnya. Sebak hati Mak Jah mengenangkan kepulangan Riffki 3 tahun lalu, menyulam derita yang berpanjangan.
Perlahan-lahan Mak Jah menyapu airmata di pipinya dengan hujung lengan baju. “Err...Mak Jah nak masuk kemas bilik Riff dulu. Kalau lapar, makanlah dulu nasi goreng yang Mak Jah buat tu,” ujarnya sebelum berlalu ke bilik anak muda itu. Sampai di muka pintu, langkah Mak Jah terhenti. Dilihatnya Riffki masih berdiam diri di situ.
“Riff?” Mak Jah memanggil perlahan. Riffki berpaling seolah-olah baru tersedar. Bibirnya menguntum senyuman.
“Mak Jah kemas dulu, Riff nak mandi sekejap,” ujarnya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia segera beredar mendahului Mak Jah ke biliknya. Wanita itu hanya mampu menggelengkan kepala.
Selesai mandi dan berpakaian, Riffki keluar ke ruang tamu. Matanya mencari-cari kelibat Mak Jah. Dilihatnya wanita itu sedang membelek-belek pakaian kotornya. Diam-diam dia menghampiri wanita itu.
“Mak Jah?” Riffki memanggil.
Wanita itu berpaling tapi wajahnya jelas berkerut.
“Kenapa Mak Jah?”
“Baju siapa ni Riff?” Mak Jah mengangkat dua helai pakaian wanita di hadapan mukanya. Wajahnya kelihatan curiga. Riffki sedikit gugup. Alamak, apalah malang nasibnya hari ni. Puas otaknya cuba mengarang cerita. Dia tahu Mak Jah tidak akan berhenti menyoal sehingga berpuas hati.
“Err...Riff bawa balik baju tu dari studio.”
“Kenapa?” Mata Mak Jah merenungnya tidak mahu lepas.
“Baju tu milik salah seorang model Riff yang tertinggal kat studio. Jadi sebab studio Riff nak ditutup, jadi Riff bawa balik kalau-kalau dia nak semula baju tu.” Dia berbohong. Lebih baik berbohong daripada membiarkan Mak Jah menyangka yang bukan-bukan.
“Betul?”
Dia menggangguk.
“Cepat pulangkan balik pakaian ni. Tak elok lelaki bujang macam Riff simpan pakaian perempuan. Nanti apa kata orang lain kalau terjumpa,” ujar Mak Jah akhirnya. Riffki menarik nafas lega. Nyaris-nyaris dia terbongkar. Mujurlah Mak Jah tidak bertanya lebih lanjut. Jika tidak, masak dia dikerjakan ayahnya jika lelaki itu tahu.
* * * *
“Cik Nurul Hijjaz?” Seorang lelaki muda berpakaian kasual menegurnya ketika dia sampai di hadapan bangunan sederhana besar itu.
“Ya saya,” Nurul Hijjaz mengiyakan. Matanya asyik melilau mencari kelibat Riffki, namun gagal ditemuinya.
“Encik Riffki pesan, Cik Nurul boleh tunggu dia di dalam. Hari ni mungkin dia lambat sikit sampai,” pesan lelaki itu sambil membuka kunci studio. Nurul Hijjaz hanya mengangguk lalu melangkah masuk. Terlopong mulutnya melihatkan keadaan sekeliling di studio lelaki itu. Studio itu cukup besar dan boleh memuatkan ramai tetamu. Jika dibuat pameran pun, tentu tempatnya cukup sesuai sekali. Aneh, kenapa dia mesti menutup studio ini?
Nurul Hijjaz tidak dapat menahan diri dari berjalan di sekitar studio itu. Beberapa keping foto yang tergantung di dinding serba putih menarik minatnya. Cantik sekali, hati Nurul Hijjaz berdetik. Gambar kanak-kanak kecil di tengah kolam itu nampak benar-benar menyerlah. Begitu juga gambar seorang wanita tua sedang menjemur padi di bawah mentari terik juga cukup unik. Foto-foto itu seolah-olah mempunyai perasaan. Nampak hidup. Betulkah lelaki bernama Riffki Aidan itu yang mengambil gambar-gambar itu semua?
Adakah lelaki yang dingin dan tidak berperasaan seperti dia tahu apa erti kemanusiaan? Tahu erti kasih sayang? Hairannya, dia masih boleh mengambil foto-foto itu dengan baik.
Apabila Nurul Hjjaz sampai di suatu sudut, langkahnya serta-merta terhenti. Terpampang di hadapan matanya, foto seorang wanita cantik berbingkai emas sebesar dinding. Perlahan-lahan Nurul Hijjaz menghampiri foto tersebut. Jelitanya gadis dalam gambar itu. Siapakah dia? Pastinya seorang yang cukup istimewa, jika tidak masakan gambar itu terletak di suatu sudut yang agak terasing dari gambar-gambar lain.
Hati Nurul Hijjaz tiba-tiba dipagut rasa cemburu. Siapa saja akan jatuh cinta dengan gadis secantik itu. Adakah lelaki itu juga begitu? Entah kenapa dia rasa rendah diri. Jauh benar dirinya jika hendak dibandingkan dengan gadis dalam foto itu. Macam langit dengan bumi.
“Apa kau buat di situ?”
Nurul Hijjaz tergaman mendengar satu suara keras menerjah gegendang telinganya. Dia berpaling lalu berpapasan dengan wajah Riffki yang menyala garang. Dia gugup.
“Maaf Encik Riffki, saya cuma…”
“Asyik-asyik maaf saja yang kau sebut. Kau tahu tak aku paling benci dengar perkataan maaf?“
Nurul Hijjaz terdiam. Dia tahu dia salah. Dia tidak sepatutnya memandai-mandai sendiri berjalan di sekitar studio tu. Tapi kenapa dia marah sangat? Ada simpan emas agaknya di studio ni, rungut Nurul Hijjaz sendiri.
“Mari bincang kat depan,” arah Riffki serius. Mahu tak mahu, Nurul Hijjaz terpaksa mengekori lelaki itu ke hadapan bilik studionya.
Dia hanya memerhatikan, tatkala Riffki mengeluarkan portfolio foto-foto yang diambilnya semasa di Bali. Dia terpegun menyaksikan foto-foto keindahan Kota Bali yang dirakam dengan kamera beresolusi tinggi. Tentu bosnya akan suka dengan gambar-gambar ini. Agak lama Nurul Hijjaz menatap foto-foto itu, sehingga tidak menyedari Riffki asyik merenungnya.
“Cantik…” Tanpa sedar dia memuji namun tidak ada ekspresi di wajah Riffki. Reaksi lelaki itu juga biasa-biasa sahaja.
“Encik Riffki kerap ke Bali ke?” Nurul Hijjaz bertanya.
“Kadang-kala,” ringkas jawapan Riffki.
“Kenapa Encik Riffki nak jual gambar-gambar ni? Kenapa tak jual di majalah-majalah saja?”
Riffki merenung Nurul Hijjaz. Dia tidak suka Nurul Hijjaz bertanya banyak soalan. Melihat perubahan pada wajah Riffki, Nurul Hijjaz tidak jadi bertanya lagi.
“Berapa Encik Riffki nak jual?”
“Berapa Krafria tawarkan?”
Nurul Hijjaz berfikir sejenak, empat puluh keping gambar semuanya. Setelah dicongak-congak dan dinilai, Nurul Hijjaz tidak fikir panjang terus menjawab.
“Dua puluh ribu macamana?”
Riffki tertawa kecil mendengar jumlah yang disebut Nurul Hijjaz. Dia menjulurkan kakinya di atas meja sambil merenung gadis itu. Dua puluh ribu? Biar betul!
“Cik Nurul Hijjaz, dua keping foto dari foto-foto itu pernah memenangi anugerah fotografi di Greece. Tahu berapa nilainya? Lebih kurang RM100,000,” ujar Riffki.
Mulut Nurul Hijjaz melopong. Seratus ribu? Biar betul, takkan foto macam ni pun lagi mahal dari satu set berlian untuk perhiasan leher mak datin?
“Encik Riffki, takkan kita tak boleh runding lagi fasal harga? Seratus ribu tu rasanya terlalu mahal untuk galeri kecil kami,” pujuk Nurul Hijjaz.
“Sudahlah, tak payahlah kita bincang lagi. Aku dah tak rasa nak jual lagi. Kau boleh pergi sekarang,” ujar Riffki sambil menyimpan kembali foto-fotonya.
“Please Encik Riffki, tak ada ke cara lain untuk kita capai persetujuan bersama? Lagipun galeri kami memang memerlukan foto-foto macam ni. Bagaimana kalau kami tawarkan RM40,000? Itu saja jumlah yang kami mampu tawarkan,” rayu Nurul Hijjaz.
Riffki terdiam Dia merenung gadis itu dalam-dalam.
“Kau inginkan penyelesaian lain?”
Nurul Hijjaz mengangguk. Dia benar-benar berharap lelaki itu setuju.
“Okey apa kata, kau beli lukisan ni dengan harga RM20,000. Kemudian aku beli semula lukisan ini dengan harga RM100,000 beserta dengan kau sekali macamana?”
Nurul Hijjaz tercengang. Dia benar-benar tidak suka mendengar kata-kata lelaki itu. Kata-kata Riffki bagaikan menyindirnya.
“Macamana, setuju?” Riffki tersenyum sinis.
“Maaf, mungkin saya tersilap perkiraan. Rasanya kami kena pertimbangkan semula soal pembelian foto-foto ini.” Nurul Hijjaz mengetap bibirnya. Sakit hatinya mendengar kata-kata Riffki itu. Dia bingkas bangun lalu mencapai begnya. Namun belum sempat dia mahu mengatur langkah, lelaki itu memaut tangannya agak kasar. Nurul Hijjaz terpana. Wajah Riffki begitu hampir di mukanya.
“Jangan nak berpura-pura naif di depan aku. Aku tahu kau masih ingatkan aku. Bukankah kau dah biasa dibayar? Berapa kau dibayar unuk menginap semalaman di Hotel Istana? Aku boleh bayar kau lebih dari itu,” Bisik Riffki di telinganya.
Nurul Hijjaz terpaku. Panas telinganya mendengar ungkapan kata-kata lelaki itu. Tanpa sedar tangannya naik ke pipi Riffki. Pang! Riffki tergaman. Pipinya terasa berbahang. Dia tersengih sambil memegang wajahnya. Wajah Nurul Hijjaz dipandang tajam. Dia melihat ada air jernih bertakung di kelopak mata yang bening itu.
“Nampaknya Encik Riffki salah anggap tentang saya. Kalau saya membuatkan Encik Riffki salah faham, maafkan saya. Tapi saya bukan pelacur murahan yang saban hari singgah di bilik Encik Riffki. Saya bekerja mencari rezeki yang halal. Saya tak biasa mengutip duit kotor di tangan lelaki macam Encik Riffki,” ujar Nurul Hijjaz sebelum berlalu pergi.
Senyuman sinis di wajah Riffki berganti muram. Dia membisu seribu bahasa. Kata-kata Nurul Hijjaz menerawang di fikirannya. Apakah aku yang salah menilai? Mungkin benar, dia bukannya gadis seperti itu. Riffki memegang pipinya yang terasa perit. Dia sendiri sebenarnya terkejut dengan tindakan Nurul Hijjaz. Tak disangkanya gadis itu akan menamparnya. Inilah pertama kali dia ditampar lebih-lebih lagi oleh seorang gadis. Padan muka aku, Riffki tersenyum. Itulah sebab nak menguji punya fasal, pipi licin yang tak bersalah ini juga menjadi mangsa.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!