Followers

Monday, February 1, 2010

Tiada Sepertimu 12

KEIFLI menutup fail sederhana tebal di hadapannya. Dia memandang jam yang sudah menunjukkan pukul 2 petang. Patutlah perutnya berkeroncong, rupa-rupanya sudah lewat tengahari. Dia segera bingkas bangun dari kerusi lalu terus menuju ke arah dapur. Kelibat seseorang yang melintas di hadapannya dipanggil. Ruzaini, salah seorang chef di De’Raya berpaling.



“Ada apa Encik Keifli?” Tanya Ruzaini.



“Kak Jan, apa menu makan tengahari kita hari ni?”



“Macam biasalah. Tapi tadi Kak Jan ada masak lauk tumis asam pedas dengan udang goreng masak merah. Sup cendawan pun ada. Saja nak tukar selera. Encik Keifli nak makan ke?” Ruzaini bertanya.



“Bolehlah, perut pun dah lapar ni.”



“Kak Jan nak bawa makanan ni ke dalam ke, atau Encik Keifli nak makan di luar saja?” Tanya Ruzaini lagi.



“Tak apalah, dekat luar saja. Saya tunggu kat luar ya.” Ujar Keifli seraya melangkah meninggalkan ruang dapur itu.



Hampir lima belas minit kemudian, lauk pauk itu sudah terhidang di hadapan Keifli. “Ada apa-apa lagi Encik Keifli?” Tanya Umie yang membawakan hidangan untuk lelaki itu.



“Tak ada apa-apa Umie. Awak boleh pergi sekarang.” Keifli tersenyum. Namun belum sempat anak muda itu mahu menjamah makanan, dia terpandang kelibat seorang gadis tinggi lampai melangkah ke arahnya. Darah Keifli serta-merta menyirap. Dia segera meletakkan sudu dan garpu lalu memandang gadis itu yang sudah pun tersenyum-senyum dari jauh. Nafasnya ditarik perlahan. Damn it! Dia lagi!



“You buat apa kat sini Mili?” Soal Keifli sebelum sempat si gadis membuka mulutnya.



“I nak jumpa you. Dah lama kita tak jumpa kan?” Gadis itu menarik kerusi di hadapannya seraya duduk. Bersinar-sinar matanya memandang ke arah Keifli.



“I tengah makan ni. Apa-apa hal you nak cakap, you cakap segera. Jangan ganggu I kat sini.” Balas Keifli garang.



“Tak nak pelawa I makan sekali ke?” Gadis itu tersenyum.



“Mili, you nak apa sebenarnya ni? Kalau you nak sakitkan hati I, baik you lupakan saja niat you tu.” Keifli kian bosan dengan kerenah gadis itu. Kemunculan gadis itu sering menghuru-harakan hidupnya. Kali ini apa pula?



“I nak you balik pada I, Kif.”



Keifli memandang gadis itu tidak berkelip. Wajah Camelia serius. “Kita takkan balik macam dulu Mili. Antara kita dah tak ada apa-apa.”



“Itu kata you. Tapi I tak pernah setuju dengan keputusan yang you ambil dulu. Kif, I love you and I really do.” Akui Camelia. Keifli menarik nafas panjang.



“Tapi cinta I pada you dah padam bila you ambil keputusan tinggalkan I kerana lelaki tu. Sekarang bila dia dah tinggalkan you, baru sekarang you datang cari I balik? Dah terlambat Mili.” Ujar Keifli.



“Cinta you pada I padam bukan sebab I keluar dengan lelaki lain, tapi sebab dari dulu you tak pernah dapat lupakan perempuan tu.” Tuduh Camelia separuh geram.



“Jangan nak merepek!” Getus Keifli meradang.



“Bukan I yang merepek. I cuma nyatakan kebenaran yang selama ini tertulis dalam hubungan kita. Dari dulu you tak pernah cintakan I, sebab you asyik kenangkan perempuan tu!” Marah Camelia.



“Jangan sebut fasal Intan lagi, Mili.” Pintas Keifli dengan nada marah.



“Ha tengok, you yang sebut nama dia bukannya I. Ini maknanya you tu masih sayangkan dia kan? Sebab tu you tak sabar-sabar nak putuskan hubungan kita. Come onlah Kif, perempuan tu dah jadi sejarah dalam hidup you. Masih belum lambat untuk you kembali pada I, Kif. Tapi kalau you berdegil tak mahu terima I balik, I akan pastikan semua pekerja-pekerja you tahu siapa you yang sebenarnya.” Getus Camelia geram.



Darah Keifli menyirap. Merah padam mukanya memandang Camelia. Kata-kata gadis itu menambahkan barannya. Bukan sekali ini sahaja Camelia berani mengugutnya, malah sudah terlalu acap kali sejak beberapa bulan yang lalu. Namun sampai sekarang, tidak pula gadis itu melakukan seperti apa yang dikatakannya.



“I akan beritahu mereka siapa you sebenarnya. I akan terangkan pada mereka dari mana datangnya restoran yang menjadi kemegahan Keifli Benjamin ini. Biar mereka tahu cerita sebenar.” Sanggah Camelia tidak berlapik.



“Berani betul you ugut I ya?” Keifli cepat berang. Wajahnya merah padam menahan marah. Camelia hanya tersenyum.



“Tapi itu semua takkan jadi kenyataan kalau you ikut cakap I, Kif. Please, you must come back to me.” Rayu gadis itu lagi. Keifli menggenggam bucu meja sekuat hati. Jika Camelia itu bukan seorang gadis, mahu rasanya dia menampar mulut itu sekarang juga. Namun dia cuba bersabar. Lagipun dia masih ingat di mana dia sedang berada sekarang.



* * * *



DIA mengatur langkah malas memasuki rumah besar dua tingkat itu. Rumah yang sudah lama ditinggalkannya. Sejak dulu dia bagai tidak sudi lagi menjejakkan kakinya ke rumah itu semula. Namun panggilan yang diterimanya tengahari tadi, melembutkan hatinya untuk singgah seketika.



Seorang wanita berusia lewat 40an membuka pintu untuknya. Dia hanya memandang wanita itu tanpa seraut senyuman. Apatah lagi wajah wanita itu juga dingin bila menyambutnya.



“Kenapa balik?” Tanya wanita itu dengan nada sombong.



“Kenapa? Saya tak boleh balik? Ini kan rumah mak ayah saya.” Dia membalas selamba. Wanita itu menjungkit keningnya seraya berlalu pergi dengan wajah masam mencuka.



Keifli melangkah masuk perlahan-lahan. Matanya meneliti setiap ceruk ruang di rumah itu. Masih sama seperti dulu. Hanya beberapa perabot di rumah itu sahaja sudah bertukar baru. Dia menarik nafas panjang. Cuba bertenang meskipun hatinya bergelodak dengan emosi yang pelbagai ketika berada di situ.



Kakinya segera mendaki tangga ke tingkat atas. Sebuah bilik berdekatan tangga dipandang sepi. Dulu bilik itu berpenghuni, tapi kini bunyi ketawa yang sering terdengar dari bilik itu sudah tiada lagi. Semakin hilang ditelan masa.



Keifli meneruskan langkah ke sebuah bilik lain. Tangannya diangkat tinggi-tinggi ke muka pintu. Daun pintu diketuk perlahan. Tanpa menunggu balasan, dia segera menolak daun pintu lebar-lebar. Terpacul di hadapannya kelibat seorang wanita sedang menghadap sebuah jendela. Wanita itu berpaling perlahan-lahan ke arahnya.



Dia tersenyum lalu mengatur langkah mendekati wajah pucat di hadapannya. Tangan wanita itu digapai lalu dikucup.



“Keadaan ibu macamana?’ Pertanyaan itu menyapa dari bibirnya. Wanita itu tidak berkata apa-apa, hanya mengangguk lesu. Keifli memimpin ibunya ke arah sofa yang terletak di suatu sudut.



“Kif dah makan?” Halimah bertanya.



Dia mengangguk. Bulat matanya memandang raut wajah ibunya yang nampak tidak bermaya. Kasihan ibu, detik hati kecil Keifli. “Kenapa baru sekarang ibu beritahu Kif yang ibu tak sihat?”



“Demam sikit aje Kif. Ibu cuma hilang selera makan. Ibu cuma nak bertemu anak ibu. Dah lama kita tak jumpa.”



“Ayah tahu tentang ibu sakit?”



Halimah terdiam. Dia menggelengkan kepala.” Dah dua minggu dia outstation. Ibu tak dapat hubungi dia.”



“Habis siapa yang bawa ibu ke klinik?”



“Faisal.” Jawab wanita itu ringkas.



Keifli terdiam. Dia tahu siapa yang dimaksudkan ibunya. Sedikit sebanyak dia bersyukur kerana sepupunya yang baru menamatkan STPM itu tidak seperti ibunya Qasidah, adik perempuan ayahnya yang sombong dan berlagak tak kena tempat. Sudahlah menumpang, tapi berperangai seperti dialah tuan rumah. Padanlah asyik kahwin cerai kahwin cerai!



“Kenapa Kif diam?”



“Tak ada apa-apa. Kif cuma risaukan ibu.”



“Kalau risau, baliklah ke rumah. Kita tinggal sama-sama. Ibu sunyi kalau tak ada Kif. Ibu dah tak ada siapa-siapa nak tumpang bermanja,” keluh Halimah sayu.



“Bukan Kif tak nak balik ibu, tapi ayah yang halau Kif dari rumah ni.” Suara Keifli selamba ketika menuturkan kata-kata. Halimah terkedu. Dia merenung wajah dingin di hadapannya. Sukarnya dia mahu menyelami hati anak itu. Dia tahu hati Keifli terluka dengan sikap suaminya



“Dia bukannya sengaja. Lagipun dia dah kahwin dengan perempuan tu. Cukuplah Kif, Ibu dah tak sanggup tengok keluarga kita begini.” Rayu Halimah sebak.



Keifli terdiam. Dia terduduk lemah di birai katil. “Lelaki macam ayah memang tak tahu hargai wanita macam ibu. Ibu pula terlalu mengalah, ikutkan saja kerenah dia.”



“Apa nak buat, dia suami ibu.”



“Suami yang baik takkan layan isterinya begini. Ayah yang baik takkan halau anaknya sendiri kerana seorang perempuan murahan.” Sanggah Keifli tidak puas hati. Sudah lama dia menjeruk rasa dengan sikap ayahnya itu. Berbekam jua dengan sikap ibunya yang hanya melihat tanpa membantah. Hanya dia yang sibuk mempertahankan nasib ibunya. Tapi akhirnya dia tewas jua dengan sikap degil dan keras kepala lelaki itu.



Halimah diam-diam merenung anak bujangnya itu. Dia tahu sehingga saat ini, Keifli masih terasa hati dengan sikap suaminya yang kaki perempuan. Tambah lagi anak muda itu marah apabila tahu dia yang menandatangani surat mengizinkan suaminya beristerikan Juliana, setiausahanya sendiri. Tapi dia ada alasannya sendiri. Bukan semata-mata kerana dia mahu mendiami taman firdaus di akhirat nanti, tapi jua kerana tidak mahu suaminya terus hidup bermandikan dosa. Itulah sebab, mengapa dia mengizinkan suaminya bernikah lagi.



Tapi kerana keputusannya itu, dia kehilangan satu-satunya anak lelaki yang dibangga-banggakan selama ini. Kerananya, Keifli bertindak meninggalkan rumah selepas bertengkar dengan ayahnya. Kini sudah hampir lima tahun lebih anak muda itu tinggal bersendirian di luar. Menjenguknya juga jarang-jarang sekali.



Dia sudah buntu mahu memujuk Keifli kembali semula ke rumah itu. Setiap kali diajak berbincang tentang ayahnya, Keifli terus menerus menolak. Halimah tahu, hati Keifli masih diamuk dendam kesumat pada Qadrim, suaminya. Tanpa sedar dia melepaskan keluhan berat. Hatinya terasa pilu mengenangkan perubahan sikap Keifli yang ketara. Dahulu anak itu periang, suka mengusik dan ketawa. Tapi sejak lima tahun yang lalu, dia jarang-jarang melihat gelak tawa Keifli. Senyuman anak itu juga sudah jarang terukir di bibirnya.



“Tunggu makan malam dengan ibu malam ni?” pelawa Halimah.



“Tak bolehlah ibu, Kif ada temujanji malam ni.” Keifli tiba-tiba teringatkan Zara. Datangkah gadis itu bertemunya malam ini?



“Temujanji dengan siapa? Teman wanita?” Duga Halimah seraya tersenyum. Keifli hanya tersenyum dengan serkap jarang ibunya. Dia menggelengkan kepala.



“Bukan dengan teman wanita, dengan seorang kawan yang keras kepala.” Ujarnya. Hish simpang malaikat jika gadis itu menjadi teman wanitanya. Sudahlah garang, ego pula tu! Tapi gadis itu manis dan menarik meskipun sikapnya begitu. Entah mengapa, hati Keifli tiba-tiba terbuai mengingatkan gadis manis yang mencuri perhatiannya sejak akhir-akhir ini.



* * * *



ZARA resah menanti jarum jam yang asyik berputar di hadapan matanya. Mula-mulanya dia pura-pura tidak kisah sambil menonton televisyen bersama ibunya. Namun semakin lama masa berputar, dia semakin cemas. Diam-diam dia mengerling jarum jam yang sudah menunjukkan pukul 8 malam.



Rubiah yang sedang menonton siaran Berita TV3 sedikit sebanyak dapat menghidu sesuatu. Sikap anak gadisnya itu lain benar malam itu. Entah apa yang sedang difikirkan anak itu sebenarnya?



“Zara nak ke mana-mana ke malam ni?” Tanya Rubiah tiba-tiba. Zara tergaman mendengar pertanyaan wanita itu. Matanya memandang ibunya. Dia gugup.



“Kenapa mama tanya?”



“Taklah. Mama tengok Zara sikit-sikit pandang jam tu. Kalau nak ke mana-mana, pergilah sekarang. Nanti taklah balik lewat sangat,” ujar wanita itu lagi.



Zara terdiam. Patutkah dia pergi menemui lelaki itu atau dia singgah saja esok untuk membayar hutang membaiki keretanya tempohari? Bagaimana kalau esok lelaki itu tidak ada? Lagipun hal ini harus diselesaikan secepat mungkin, agar dia tidak perlu lagi bersua muka dengan Keifli.



“Lagipun tak baik biarkan orang ternanti-nanti,” sambung Rubiah lagi. Zara terkedu. Apakah ibunya tahu ke mana dia hendak pergi sebenarnya? Dia menjeling ibunya. Wajah Rubiah selamba sahaja sambil menonton televisyen.

pic source : link

1 comment:

aqilah said...

adus......ni yg lagi tak sabar ni..!!!!

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!