Followers

Wednesday, April 9, 2014

Lelaki Itu Untukku : Bab 15


MAK TUN melangkah masuk ke beranda rumah di tingkat dua sambil menatang sedulang minuman. Di penjuru pintu langkahnya terhenti tatkala melihat Idlan sedang memicit-micit kepalanya di kerusi rehat dengan wajah berkerut.

            “Id, kenapa ni?” Soal Mak Tun separuh gusar. Wajah Idlan kelihatan pucat.

Idlan menoleh. Bibirnya segera mengukir senyuman buat orang tua itu. Mak Tun segera meletakkan dulang yang dipegangnya lantas meletakkan tapak tangannya di dahi Idlan.

            “Panas ni, kamu demam?” Soal Mak Tun.

            Idlan menggeleng. “Tak adalah Mak Tun, malam ni panas agaknya.” Idlan berdalih.

            Mak Tun ketawa kecil. “Mengarut kamu ni Id, Mak Tun dah berkelubung dengan kain ni kamu boleh kata panas?” Tempelak wanita itu.

            Idlan ketawa kecil. Dia segera mencapai cawan teh yang dibawa wanita itu lalu dihirupnya penuh asyik. Mak Tun pula tekun memerhatikan gerak-geri anak muda itu di sampingnya. Entah kenapa, ada sesuatu yang mahu diperkatakannya pada Idlan. Tapi hatinya terbit risau. Bimbang Idlan tidak mahu mendengar kata-katanya kali ini.

            Id..”Panggil Mak Tun perlahan.

            Idlan menoleh. Mengangkat sedikit keningnya.

            “Mak Tun tak sedap hatilah.” Ujar Mak Tun dengan wajah resah.

            “Maksud Mak Tun?” Soal Idlan, hairan.

            “Fasal Orked.”

            Idlan meletakkan cawan tehnya. Kata-kata Mak Tun memancing perhatiannya kini. Dia menanti dengan sabar butir bicara yang mahu diluahkan wanita itu.

            Mak Tun rasa serba salah. Disebabkan Mak Tun, kamu dan Orked bergaduh. Mak Tun kalau boleh nak minta Id lepaskanlah Orked tu. Biar dia tidur kat bilik dia, malam-malam macam ni bilik stor tu sejuk.” Ujar wanita itu, cuba memujuk.

            Idlan mengeluh panjang. Dia tahu dan faham maksud kata-kata wanita itu. Jika diikutkan hatinya, dia juga tidak sampai hati melakukannya. Tapi tindakan dan sikap Orked hari ini benar-benar melampau.

            “Dia dah makan Mak Tun?” Tanya Idlan ingin tahu.

            “Entahlah, tadi Mak Tun dengan Mara ada datang bawakan makanan untuk dia. Tapi dia diam aje. Pandang kami pun tak mahu.” Keluh Mak Tun.

            “Biarlah Mak Tun. Kalau dia lapar nanti, tahulah dia makan makanan tu. Orked tu tak boleh diberi muka sangat, nanti naik lemak dia. Saya tak suka dia biadap dengan Mak Tun.” Ujar Idlan

            “Sebenarnya hal tadi tu salah Mak Tun jugak. Mak Tun yang tak hati-hati jatuhkan barang Orked. Mak Tun tengok dia sayang sangat dengan kotak tu. Tempohari masa Mak Tun masuk bilik dia nak kemaskan cadar, Mak Tun tengok dia dah tertidur sambil peluk kotak tu.” Cerita Mak Tun panjang lebar.

            Idlan terdiam sejenak. Kotak? Tiba-tiba dia teringatkan kotak yang dilihatnya kali pertama di bilik gadis itu. Bagaimana Orked dengan pantas merampas kotak itu dari tangannya beberapa hari yang lalu. Dari gaya dan sikap gadis itu, dia mula mengerti betapa kata-kata Mak Tun ada benarnya. Kotak itu tentunya sangat bererti buat Orked. Jika tidak masakan gadis itu mengamuk kerana barang itu dijatuhkan Mak Tun tanpa sengaja.

            Idlan tiba-tiba bingkas bangun.

            “Id, nak ke mana?” Tanya Mak Tun. Terpinga-pinga sebaik melihat anak muda itu bergegas. Idlan menoleh. Tapi pertanyaan wanita itu tidak disahut. Hatinya meronta-ronta mahu ke bilik Orked. Langkahnya diatur deras ke arah sebuah bilik.     Daun pintu di hadapannya ditolak perlahan. Tangannya meraba-raba suis di tepi pintu pintu. Sebaik bertemu apa yang dicari, dia menarik suis itu ke bawah. Sebentar kemudian, bilik itu sudah terang benderang. Idlan melangkah masuk. Perhatiannya kini tertumpu pada keadaan bilik itu yang agak bersepah. Sengaja dia tidak membenarkan Mak Tun mengemas bilik itu petang tadi kerana terlalu geram dan marah dengan sikap Orked.

            Matanya mendarat pada permukaan lantai. Sisa-sisa pecahan seramik berwarna pink itu dipandang agak lama. Hatinya entah kenapa kesal. Sekalipun dia marah, dia tidak sepatutnya melemparkan barang kesayangan Orked sehingga pecah. Tentu gadis itu sedih dengan tindakannya.

            Idlan melutut lalu mengutip sisa-sisa seramik itu. Setiap pecahan meski sekecil mana pun akan dikutip sehingga tidak meninggalkan sisa. Dia membawa sepihan-serpihan kotak itu ke atas meja kecil di tepi katil. Ketika itu juga dia melihat salah satu pecahan bahagian kotak itu terperosok agak jauh. Idlan tunduk lalu mengutip serpihan terakhir. Saat itu matanya mula perasan akan kertas-kertas kecil pelbagai warna bersepah di atas lantai berdekatannya.

            Dia lantas mengutip sekeping kertas. Lipatan kertas itu dibuka lalu dibaca.

            Semalam harijadi Orked, umi. Tapi seperti biasa ayah tidak pernah ingat. Alangkah baiknya kalau Orked boleh menyambut setiap hari jadi Orked bersama ayah!

            Dahi Idlan berkerut. Sejurus dia mengutip pula kertas-kertas lain lalu membacanya satu persatu.

            Umi, Orked dapat tempat pertama dalam kelas, tapi ayah tak pernah kisah pun dengan keputusan peperiksaan Orked. Kalau begini apa gunanya Orked belajar rajin-rajin?

 Orked nak sangat ayah pandang betul-betul wajah Orked dan katakan yang dia sayangkan Orked. Tapi semua itu seperti terlalu susah untuk ayah buat. Besar sangatkah hasrat Orked ni Umi?

            Idlan terkedu. Catatan-catatan itu membuatkan dia terbayangkan wajah gadis itu. Tulisan berdakwat hitam itu membuatkan dia termenung panjang.

            Umi, hari ni ayah lempang Orked sebab Orked hisap rokok di rumah. Peritnya pipi ni kena lempang. Tapi anehnya buat pertama kali Orked rasa seronok. Sekurang-kurangnya ayah masih ingat yang dia masih ada seorang anak perempuan di rumah ni.

            Ayah kata dia tak mahu ada anak perempuan liar macvam Orked ni. Dia suruh Orked jangan buat benda-benda memalukan dia. Pelikkan umi, selama ini Orked berusaha jadi anak yang baik untuk ayah, tapi dia juga tidak mahukan Orked! Kenapa Orked ni hina sangat ke bagi ayah?

            Betulkah kotak ni boleh menunaikan hasrat Orked, umi? Dah bertahun Orked menyimpan setiap hasrat dan harapan Orked di sini seperti yang umi katakan, tapi kenapa semuanya tidak pernah tertunai? Dari hari ke sehari Orked semakin putus asa.

Kenapa umi pergi tinggalkan Orked sendirian? Bukankah lebih baik kalau umi bawa sahaja Orked pergi. Kalau hidup Orked tidak bererti, mungkin mati lebih baik untuk Orked, umi.

Idlan meramas kertas-kertas di tangannya tanpa disedari. Kerutan di dahinya semakin melebar. Membaca catatan-catatan ringkas itu membuatkan dia lebih memahami rentak sikap Orked selama ini. Ternyata gadis itu bukan sejahat dan seliar seperti yang diberitahu padanya oleh ibunya selama ini. Gadis itu hanya kekurangan kasih sayang dari seorang insan yang dipanggil ayah.

Ya ALLAH! Kasihan Orked! Memang dia tidak pernah faham kenapa hubungan ayah tirinya dengan Orked menjadi seburuk ini. Malah mungkin dia takkan faham sampai bila-bila pun. Meskipun dia tidak pernah melihat sendiri perbuatan Hamdan pada  Orked, namun dari riak wajah lelaki itu ketika menerima panggilan telefon dari balai polis tempohari, hati kecilnya sudah boleh menduga.

Maafkan abang Orked! Abang tak patut layan Orked begini! Bisik Idlan kesal. Dia tidak pernah menduga, gadis yang terlihat keras itu rupa-rupanya sedang menderita. Jiwa yang kelihatan kental itu sebenarnya sedang rapuh di dalam. Kalaulah dia tahu dari awal betapa berertinya kotak seramik itu buat Orked, tak mungkin dia akan sengaja melempar kotak itu ke arah dinding sehingga pecah berderai.

*  *  *  *

DIA memulas tombol pintu di hadapannya perlahan-lahan. Daun pintu dikuak menyerlahkan cahaya terang dari dalam bilik kecil berbentuk segiempat tepat itu. Matanya segera terpandang sesusuk tubuh kecil sedang terbaring di atas lantai dalam keadaan membongkok.

            Idlan mengeluh panjang. Selimut tebal yang ada di tangannya segera menutup tubuh Orked. Matanya tak putus-putus merenung wajah gadis itu yang kelihatan lena. Di pipi gadis itu, masih ada bekas-bekas airmata yang belum kering. Apakah gadis itu menangis sepanjang malam? Hati Idlan diruntun kesal. Dia tahu dirinya tidak sepatutnya mengasari Orked seperti itu.

            Mata Idlan menoleh ke arah dulang makanan yang tidak terusik tidak jauh dari situ. Dia sedikit sebanyak mula mengerti kedegilan Orked. Maafkan abang Orked! Abang sangka abang tahu apa yang ada di dalam hati Orked. Rupa-rupanya abang langsung tidak tahu apa-apa! Keluh Idlan.

            Dia menyeka sisa airmata yang berbekas di wajah gadis itu. Tiba-tiba tindakan Idlan terhenti. Dahinya berkerut. Pantas jari-jemarinya beralih ke dahi gadis itu. Panas! Idlan mulai gelisah. Suhu badan Orked benar-benar berbahang. Tanpa berfikir panjang dia segera mencempung tubuh gadis itu lalu menuju ke suatu arah. Tapi sebaik sampai di hadapan bilik itu, dia berubah fikiran. Bilik gadis itu masih berantakan. Dia lalu membawa Orked ke biliknya. Sesudah meletakkan gadis itu di atas katil, Idlan segera berlari ke bilik Mak Tun dan Pak Man yang hanya bersebelahan dengan biliknya.

            Kenapa Id?” Pak Man yang membuka pintu terpinga-pinga. Mak Tun juga terkedu di samping suaminya.

            “Pak Man, Mak Tun, Orked demam panas.” Ujar Idlan dengan nafas tersekat-sekat.

            “Hah demam? Mana dia?” Mak Tun menyampuk sebelum sempat Pak Man bersuara.

            “Saya dah angkat dia masuk dalam bilik saya.”

            “Hah masuk bilik kamu?” Sekali lagi Mak Tun terkejut.

            Idlan terpisat-pisat serba salah. “Saya tak tahu nak bawa dia ke mana. Bilik dia masih bersepah.” Jelas Idlan berterus terang.

            Pak Man tersengih-sengih seraya menepuk bahu Idlan. “Bagus apa yang kamu buat tu Id. Pak Man sokong.” Ujar orang tua itu, seolah-olah mengusik.

            “Hishh abang ni, ke situ pulak.” Mak Tun sempat mencubit lengan suaminya. Pak Man ketawa besar. Hanya Idlan yang kelihatan termangu-mangu. Di dalam keadaan sekarang dia langsung tidak ada mood untuk bergurau senda.

            “Tak apalah Id, nanti Mak Tun tengok-tengokkan Orked tu. Hari pun dah jauh malam ni, elok kamu tidur kat bilik tetamu. Ada satu lagi bilik kosong kat sebelah bilik Mara dan Rezal.” Cadang Mak Tun.

            “Perlu ke kita bawa dia ke klinik Mak Tun?” Tanya Idlan resah.

            “Nanti Mak Tun tengok dulu.” Ujar Mak Tun lantas melangkah masuk ke bilik Idlan. Di atas katil, Orked terbaring dengan wajah lesu. Idlan dan Pak Man mengekori dari belakang.

            Mak Tun meletakkan tapak tangannya di atas dahi Orked lalu merasa dengan tangannya. “Eh! Panas sangat ni Id, memang betul budak ni demam.” Komen Mak Tun.

            “Nak bawa ke klinik ke Tun?” Giliran Pak Man pula bertanya.

            “Hmm.. tak payahlah, nanti Tun rawat dia. Kita kena turunkan suhu badan dia malam ni. Kalau tak turun-turun jugak baru kita bawa Orked ke hospital.” Ujar Mak Tun. Pak Man dan Idlan mengangguk-angguk tanda mengerti.

            Id, pergi dapur ambil ais dengan kain bersih.” Suruh Mak Tun.

            “Saya Tun?” Pak Man pula bertanya.

            Mak Tun terkelip-kelip memandang suaminya. “Abang pergi tidur ajelah. Kalau abang kat sini nanti, satu apa pun tak jadi.” Jawab Mak Tun tersengih.

            Pak Man ketawa besar. Lucu mendengar bicara isterinya. “Sampai hati awak Tun. Tak apalah, saya duduk luar ajelah. Nanti kalau nak apa-apa panggil saya.” Ujar Pak Man lalu keluar mengekori Idlan yang sudah beredar entah ke mana.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!