Followers

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)

CINTA BUKAN LARANGAN - 2014 ( Limited Edition Only)
Ekslusif dan tidak dijual di kedai buku, hanya di blog dan fb penulis sahaja :untuk memesan : email arr_nita@yahoo.com/ FB : Anita Aruszi

BLURB CINTA BUKAN LARANGAN (New)

Tajuk : Cinta Bukan Larangan
Penulis : Anita Aruszi
Harga : RM32.90
Penerbit : GN Publishing
ISBN : 978-967-10425-3-3
M/s : 803ms
Genre : Cinta dan Kekeluargaan

Tagline
Cinta Ini Terlarang..
Ibarat Buah Khuldi Yang Haram Disentuh Adam…

Diaz dan Dina Azura, dua adik beradik yang membesar bersama tetapi tidak pernah sebulu. Ada sahaja yang tidak kena di hati Diaz yang terang-terangan membenci Dina Azura di dalam hidupnya. Sehingga ke satu tahap, dia cuba merogol gadis itu angkara kemarahan yang terpendam di lubuk hatinya. Namun tindakan itu telah merubah segala-galanya dalam hidup mereka. Kerana kesal dengan tindakannya, dia mengambil keputusan melarikan diri ke luar negara. Namun tindakan itu tidak mampu meluputkan setiap dosa yang dirasakannya terhadap Dina Azura.

Sepuluh tahun kemudian, Diaz pulang ke tanahair dan bekerja dengan Alma Katherine, seorang ahli perniagaan berjaya. Namun dia tidak berani berhadapan dengan Dina Azura angkara malam jahanam itu. Tapi takdir menemukan mereka semula untuk menyusun kepingan-kepingan puzzle dalam hidup mereka. Tapi masihkah ada benci di hatinya atau segala-galanya telah berubah?

Bagi Dina Azura, dia tidak pernah membenci Diaz. Malah takkan mungkin membenci lelaki itu. Sejak kecil dia mengagumi Diaz, sehinga adakala dia terseksa kerana dibenci tanpa sebab. Malah seluruh jiwanya terseksa kerana selama ini dia menyimpan rahsia yang tidak mampu diceritakan kepada sesiapa. Isi hatinya takkan mampu diluahkan lantaran dia sedar betapa besar dosanya mencintai abang sendiri.

Perkenalan Dina Azura dengan Johan telah menyemat cemburu di hati Diaz tanpa disedari. Hubungannya dengan Dina Azura adalah sebuah hubungan yang takkan mungkin. Mereka tidak mungkin bercinta. Tidak mungkin bersama sama. Tidak mungkin untuk segala-galanya. Tidak mungkin untuk selama-lamanya. Kerana itu Diaz menahan diri. Dan bila Johan hadir di antara mereka, segala-galanya yang tidak mungkin itu bukan lagi satu halangan. Diaz nekad mahu membetulkan segala-galanya. Tapi rahsia yang disimpannya selama 15 tahun itu hanya akan melukakan hati ramai orang. Bolehlah dia menjaga hati ramai orang dan membiarkan hatinya sendiri dilukai? Mampukah lagi dia menyimpan rahsia ini dari pengetahuan Dina Azura sedangkan gadis itulah yang paling mahu dilindunginya?


Abang jangan judge orang dengan hanya memandang luaran sahaja. Sekurang-kurangnya
Johan sanggup pertahankan maruah adiknya dari lelaki-lelaki tak guna tu. Dia seorang abang yang baik – DINA AZURA

Johan baik? Jadi abang lelaki jahat? – DIAZ HAFIZI

Saya cuma nak awak pilih antara saya dan Diaz. Dan berhenti menyakiti hati saya seperti ini Dina – JOHAN


Friday, April 4, 2014

Lelaki Itu Syurgaku : Bab 14


BUNYI riuh rendah di pagi hari mengejutkan Idlan yang baru balik dari berjoging bersama-sama Rezal. Kedua-duanya saling berpandangan sesama sendiri. Hairan mendengar kekecohan yang datangnya dari dalam rumah.

            “Apasal tu Id?” Tanya Rezal hairan.

            “Entahlah bang. Jom kita tengok.”

            Kedua-duanya segera melangkah masuk, lalu terserempak dengan Mara yang berwajah gelisah.

            “Kenapa ni sayang?” Tanya Rezal, ingin tahu.

            Mara tidak menjawab. Wajahnya dilarikan ke arah Idlan. “Orked..” Ujar wanita itu.

Idlan tersentak. Kenapa dengan gadis itu?

            “Kenapa Kak Mara? Apa dah jadi dengan Orked?” Tanya Idlan gusar.

            “Dia kat dalam bilik, tengah mengamuk dan marah-marah. Baik kau pergi tengok dia Id.” Suruh Mara tanpa menjelaskan maksudnya dengan lebih lanjut.

            Kata-kata Mara membuatkan Idlan tercengang. Tanpa mempedulikan kedua-dua pasangan suami isteri itu, dia segera meluru ke arah bilik Orked. Tapi sebaik dia berdiri di muka pintu, matanya segera melihat timbunan barang-barang yang berselerakan di atas lantai. Gadis itu berteleku di atas katil dengan wajah merah menyala. Mak Tun pula dilihatnya mengesat airmata yang berderai menuruni cerun pipi. Idlan mengerutkan dahinya. Dia benar-benar tidak mengerti dengan situasi di hadapannya ketika ini.

            Di hujung pintu, Anna salah seorang gadis dari kumpulan pelajar universiti itu dilihatnya sedang cuba memujuk Mak Tun.

            Mak Tun, kenapa ni?’ Idlan menghampiri wanita itu.

Mak Tun menoleh. Wajah wanita itu sembab. Sisa-sisa airmata yang mengalir lesu di wajah itu membuatkan Idlan tambah kebingungan. Dia mengalihkan pandangan ke arah Orked yang duduk di birai katil. Anak gadis itu tunduk sahaja.

            “Orked? Kenapa ni? Dari luar abang dengar bunyi bising. Apahal ni?” Dia menyoal anak gadis itu pula. Namun pertanyaannya seperti angin lalu. Masuk ke telinga kanan dan keluar di telinga kiri. Usah katakan gadis itu bersuara, mengangkat muka pun tidak.

            “Anna, kenapa?” Satu-satunya orang yang belum disoal menjadi sasarannya pula.

Gadis itu tergaman Barangkali tidak menyangka dirinya pula menjadi sasaran.

            Adik abang Id tu marahkan Mak Tun.” Jawab Anna perlahan.

            Dahi Idlan berkerut. Apa maksud Anna tentang Orked yang marahkan Mak Tun? Apa salah orang tua itu?

            “Tapi kenapa?”

            “Ini semua salah Mak Tun. Mak Tun yang gatal tangan nak mengemas bilik ni. Kalau tak sebab Mak Tun, tak rosak barang-barang Orked tu.” Pintas Mak Tun sebelum sempat Anna mahu menyambung ceritanya.

            Idlan memandang wanita itu. Nada suara wanita itu seolah-olah merajuk hati dan tersinggung. Dia merenung Orked dengan wajah penuh tanda tanya.

            “Mak Tun kemaskan bilik ni, lepas tu barang dia jatuh. Bukan teruk pun sikit aje. Tapi dia marah-marah Mak Tun macamlah Mak Tun rosakkan harta benda dia.” Cerita Anna separuh berbisik.

            Barang apa?” Idlan mahu tahu.

            “Ala kotak buruk tu. Bukannya berharga pun barang tu. Sikit aje pecah, kalau beri gantirugi pun tak berbaloi.” Sambung Anna separuh menyindir. Dia menjeling Orked yang sudah mengangkat kepala mendengar kata-kata sinisnya.

            “Apa kau cakap tadi? Barang buruk? Tak berharga?” Orked berang. Dia sudah berdiri meghadap ke arah Anna yang kelihatan selamba.

            “Memang barang buruk pun. Disebabkan barang buruk ni, kau sanggup tengking Mak Tun. Memang melampau!” Balas Anna enggan mengalah.

            Orked mengetap bibir. Tangannya sudah dikepal-kepalkan. Dia meluru pantas ke arah Anna, tapi panggilan Idlan membuatkan langkahnya terhenti.

            “Cukup tu!” Pintas Idlan. Cuba meleraikan bunga-bunga pertengkaran yang seakan mahu bermula. Idlan merapati Orked. Wajah anak gadis itu direnung lama.

            “Cakap dengan abang Orked. Betul Orked tengking Mak Tun tadi?” Soal Idlan mahu tahu. Pertanyaannya kali ini cukup serius.

            Orked memalingkan muka. Enggan memandang Idlan. Tangannya meramas-ramas kotak seramik berwarna pink itu.

            “Betul ke?” Tanya Idlan lagi.

            Kalau diam tu maknanya betullah tu.” Sampuk Anna sambil melemparkan senyuman sinis.

            Darah Orked menyirap ke muka. Berang dengan kata-kata gadis itu. Anna cukup suka menyakitkan hatinya padahal mereka bukannya kenal sangat. Jumpa pun baru beberapa hari. Entah apa dendam gadis itu padanya sehingga kata-kata Anna cukup melukakan perasaannya.

            Melihat Orked diam tidak berkutik, Idlan hampir hilang kesabaran. Dia memaut bahu Orked menghadap ke arahnya. Gadis itu sedikit terkejut, namun dia tidak peduli. Saat ini dan ketika ini dia hanya mahu tahu apakah Orked betul-betul bersikap biadap pada Mak Tun.

            “Sekarang abang nak Orked cakap dengan abang. Betul ke Orked tengking Mak Tun tadi? Jawab!” Soal Idlan. Suaranya masih terkawal.

            Gadis itu memandangnya dengan mata berkaca. Orked seakan mahu mengatakan sesuatu, tapi sejurus kemudian gadis itu mengangguk.

            Wajah Idlan berubah. Pengakuan gadis itu membuatkan anginnya tiba-tiba memuncak. Kelakuan Orked kali ini benar-benar tidak dapat diterima.

            “Kenapa Orked biadap sangat ni? Mak Tun kan orang lebih tua dari kita. Sepatutnya Orked kena hormati Mak Tun, bukannya kurang ajar macam ni!” Dengus Idlan meradang. Wajahnya merah padam menahan marah.

            Abang ingat bila beberapa hari Orked tinggal kat sini, perangai Orked boleh berubah. Tapi abang silap. Orked memang takkan berubah. Agaknya macam ni lah Orked layan mama abang kat rumah tu.” Tuduh Idlan. Entah kenapa perasaannya yang terbakar membuatkan dia dengan mudah menghamburkan kata-kata pedih.

            Orked tersentak. Sakit hatinya mendengar kata-kata Idlan. Bibirnya diketap menahan perit perasaan.

            Aku memang macam ni, dari dulu pun macam ni. Aku tak pernah berpura-pura pun di hadapan kau. Dan aku tak pernah suruh pun kau bawa aku ke tempat bodoh macam ni!” bentak Orked.

            Idlan membulatkan matanya. Kata-kata gadis itu ibarat minyak yang sengaja dituang pada api. Dia terpandang kotak seramik di tangan gadis itu. Kotak yang sama yang dilihatnya dalam pelukan Orked. Tanpa diduga kotak kecil itu dirampas dari tangan Orked. Gadis itu terkejut.

            Hanya sebab kotak ni Orked nak marah-marah? Kalau sebab kotak ni lah Orked sanggup berkelakuan biadap pada Mak Tun, baik abang buang aje benda ni!” Usai berkata demikian, Idlan mencampakkan kotak yang ada di tangannya ke arah dinding bilik. Kotak seramik yang melanggar bucu dinding segera merekah dan pecah berderai. Isinya terhambur ke bawah.

            Tindakan Idlan mengejutkan seisi bilik. Orked terpanar. Pucat lesi wajahnya melihat kotak kesayangannya dibaling begitu. Dia mahu mendapatkan kotak tersebut, tapi Idlan terlebih dahulu menyambar tangannya. Dia cuba meronta melepaskan diri, tapi pegangan tangan Idlan begitu kasar, menyeret tubuh kecilnya ke arah Mak Tun.

            “Sekarang ni minta maaf dengan Mak Tun.” Suruh Idlan.

            “Tak mahu!”

            “Minta maaf!” tengking Idlan dengan wajah merah padam.

Orked tergaman. Sepanjang dia bersama lelaki itu, inilah kali pertama Idlan berkasar dengannya. Namun dia tetap enggan mengalah. Tindakan Idlan merosakkan kotak kesayangannya membuatkan dia membenci lelaki itu kini. Sampai hati lelaki itu.

             “Tak mahu! Bunuh aku pun aku takkan minta maaf dengan perempuan tua ni!” Bentak Orked.

            Idlan tersentak. Mak Tun dan Anna juga terpaku melihat betapa kasarnya tutur kata gadis itu. Melihat kedegilan Orked, Idlan segera menyeret tubuh itu keluar dari bilik. Mara dan Rezal yang sedang menanti di luar bilik tidak mampu berkata apa-apa.

            Lepaslah.” Orked meronta-ronta namun tindak tanduknya tenyata sia-sia sahaja. Tenaganya langsung kalah dengan tenaga Idlan yang sedang berang. Dia dibawa ke sebuah bilik kosong seakan bilik stor. Tubuhnya ditolak ke dalam.

            Orked berpaling dengan wajah marah. “Kau nak buat apa ni?” Jeritnya geram.

            Idlan memandangnya dengan riak wajah bersahaja. Raut wajah lelaki itu benar-benar dingin kini, tidak seperti kali pertama dia bertemu lelaki itu di balai polis tempohari.

            “Selagi Orked tak minta maaf dengan Mak Tun, dengan semua orang dalam rumah ni, jangan harap Orked boleh keluar dari bilik ni.” Ujar Idlan.

            Orked tersentak. “Kau nak kurung aku kat sini? Kau tak ada hak nak buat aku macam ni!” Marahnya.

            “Tempat ni bagus untuk orang yang kurang ajar dan biadap macam Orked. Malam ni cuba guna sikit kepala otak tu dan fikir balik apa kesalahan yang Orked dah buat.” Getus Idlan. Daun pintu ditolak ke arah luar lalu dikunci dengan selak. Jeritan dan herdik marah gadis itu langsung tak diambil kisah.

            Ketika Idlan berpaling, matanya bersapa dengan raut wajah Mak Tun, Anna, Mara dan Rezal. Setiap pasang mata sedang memerhatikannya semacam sahaja.

            Idlan mengatur nafas lalu tersenyum tenang. “Biarkan dia kat sini malam ni.” Ujarnya.

            “Patut ke kita kurung Orked macam tu Id?” Mak Tun jadi serba salah. Jeritan Orked merayu agar dirinya dilepaskan, entah kenapa menimbulkan rasa simpatinya. Memang dia tersinggung dengan sikap Orked yang mengherdiknya hanya kerana dia terjatuhkan kotak milik gadis itu. Tapi kadang-kala timbul juga rasa kasihannya pada Orked yang suka menyendiri sejak datang ke mari.

            “Id nak dia belajar tentang erti hormat-menghormati orang lain Mak Tun.” Idlan beralasan. Dia faham benar sikap Mak Tun yang lembut hati.

            “Bagus tindakan Abang Id tu.” Anna menyokong. Raut wajah Idlan ditenung penuh minat. Dia benar-benar mengagumi lelaki itu saat kali pertama Mak Tun memperkenalkan mereka beberapa hari yang lalu.

            “Tapi bilik stor tu sejuk Id. Takkan Id nak Orked tidur kat situ malam ni.” Bantah Mak Tun lagi. Mara dan Rezal hanya berdiam diri. Kedua-duanya tidak berminat mahu ikut campur hal yang mereka sendiri tidak faham.

            Idlan termenung seketika. Kata-kata Mak Tun masuk jua ke telinganya. Meskipun dia marah, namun dia masih mengambil berat tentang keadaan Orked. Lagipun kehadiran Orked di situ sudah menjadi tanggungjawabnya.

            “Tak apalah Mak Tun, kita biarkan dia tidur kat bilik stor malam ni. Esok saya jenguk dia. Kalau dia dah insaf, baru saya lepaskan dia.” Putus Idlan. Sekurang-kurangnya dia mahu Orked menyesal dahulu dengan kelakuan buruknya.

            Mak Tun tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia hanya mampu memandang pintu bilik yang terkatup rapat di hadapannya.

1 comment:

eija said...

mesti kotak 2 tlalu bharga kn.. peninggalan arwah ibu orked kot..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!