Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 5

Nurul Hijjaz termenung sendirian sepanjang pagi itu. Dia rasa serba-salah mahu menemui Syed Hambali di pejabat. Pasti soalan pertama yang akan ditanya adalah soal pembelian foto-foto milik Riffki Aidan. Apa yang patut dikatakannya pada orang tua itu? Perbincangan yang diharap-harapkan tak berjalan seperti yang dirancang. Sukar benar mahu berbicara dengan lelaki gila seperti Riffki Aidan.
Nurul Hijjaz mengeluh. Semalaman dia menahan air mata dari tumpah. Tak guna dia menangis kerana kata-kata lelaki itu tempohari. Membazirkan airmatanya saja. Namun dia tetap tak mampu menahan diri dari memikirkan kata-kata lelaki itu. Apa maksudnya?
“Hijjaz, aku dah siapkan sebut harga yang Mr. Tang mahu tu. Dia suruh kita ke Hotel Istana sebelum dia berangkat pulang ke Singapore petang ni. Aku ada hal di Damansara, so aku jumpa kau kat sana okay?” Pesan Syafinaz yang menyapanya di muka pintu sebelum bergegas pergi. Nurul Hijjaz tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Apabila derap sepatu Syafinaz semakin menghilang, Nurul Hijjaz terpaku. Hotel Istana? “Tengoklah tu, miang betul. Harap muka aje handsome, perangai zero.“ Rungutan Syafinaz kembali menerjah ke dalam kotak fikirannya. Dia? Riffki Aidankah lelaki yang ditemuinya beberapa hari yang lalu? Mana mungkin dia boleh lupa renungan sepasang mata yang redup itu.
“Hijjaz, kenapa lambat sangat ni?” Tegur Tjuk Inn sebaik melihat kelibatnya memasuki ruang pejabat. Nurul Hijjaz terpinga-pinga tidak mengerti. Wajah Tjuk Inn nampak cemas.
“Kenapa Tjuk Inn?”
“Bos cari kau sejak setengah jam tadi.”
Nurul Hijjaz memandang bilik Syed Hambali yang tertutup rapat. Dia menarik nafas panjang. Rungsing dia memikirkan alasan yang patut diberi kepada ketuanya. Tentu lelaki itu akan kecewa mendengar berita ini.
Dia mengetuk daun pintu agak perlahan. Sesaat berlalu, dia mendengar suara Syed Hambali mengarahkannya masuk. Nurul Hijjaz segera menolak daun pintu. Dia memandang Syed Hambali sekilas sebelum melihat sesusuk tubuh sedang membelakanginya. Dia tidak sedar ketuanya mempunyai tetamu.
“Maaf bos, saya datang kemudian saja.”
“That’s okay Hijjaz, memang saya nak jumpa kamu. Masuk,” arah Syed Hambali. Dia melangkah masuk, tapi matanya masih menjeling tetamu ketuanya. Apabila lelaki itu berpaling, Nurul Hijjaz terpana melihat Riffki Aidan berada di situ. Lelaki itu tersenyum memandangnya.
Nurul Hijjaz berdebar-debar. Kenapa dia datang? Hendak mengadu pada Syed Hambalikah kerana dia ditampar semalam?
“Hijjaz, Encik Riffki datang hari ni khas untuk membincangkan soal penjualan foto-fotonya. Dia setuju menjual foto-fotonya pada kita dengan harga RM50,000 tapi dengan syarat, galeri kita menguruskan pameran foto-foto ini selama dua minggu sebelum ia menjadi milik Krafria Galeria. Apa pendapat Hijjaz?”
Nurul Hijjaz tidak menjawab. Terdiam dia mendengar kata-kata Syed Hambali. Fikirannya asyik memikirkan apa sebabnya lelaki itu berubah fikiran. Bukankah dia mahukan harga yang tinggi untuk foto-fotonya? Kenapa kali ini baik pula hatinya, mahu menjual hasil karyanya dengan harga separuh sahaja.
“Hijjaz..?” Mata Syed Hambali bulat memandang Nurul Hijjaz. Dia hairan melihat wajah Nurul Hijjaz kelihatan tidak bermaya.
“Saya ikut saja, bos,” ujarnya dengan wajah muram. Dia tahu pasti lelaki itu sedang galak merenungnya tapi dia malas mahu memandang wajah itu. Sakit hati kerana peristiwa kelmarin masih mengusik tangkai hatinya.
“Tapi ada syaratnya Encik Syed,” lelaki itu bersuara tiba-tiba. Nurul Hijjaz tersenyum sinis. Syarat? Memang dia tak pernah berbuat apa-apa dengan percuma, pasti ada harganya. Kali ini apa pula?
“Syarat apa Encik Riffki?”
Riffki tidak terus menjawab. Dia berpaling ke arah Nurul Hijjaz.
“Saya mahu Cik Hijjaz yang uruskan soal pameran itu. Dan pameran itu mesti diadakan di studio saya.” Ujar Riffki tenang.
Nurul Hijjaz terkejut. Pantas dia merenung lelaki di hadapannya. Apa niat dia sebenarnya? Kenapa aku pula yang menjadi sasaran?
“Maaf Encik Riffki, saya tak dapat tunaikan hasrat Encik Riffki tu. Masih ada banyak urusan lain perlu saya selesaikan. Terima kasih sajalah,” Nurul Hijjaz menolak dengan baik. Dia memandang Syed Hambali meminta persetujuan, tapi wajah lelaki itu dilihatnya berkerut.
“Setuju atau tidak, rasanya itu keputusan Encik Syed bukan? Tapi kalau Krafria tidak setuju, nampaknya deal kita akan dibatalkan.” suara lelaki itu berbaur ugutan. Nurul Hijjaz mengetapkan bibirnya. Geram mendengar kata-kata lelaki itu.
“Nanti dulu Encik Riffki, jangan terburu-buru. Hal ni masih boleh kita rundingkan,” sampuk Syed Hambali. Nurul Hijjaz terpana.
“Bos…,”
“Hijjaz, sementara menunggu proposal kita diluluskan, apakata Hijjaz tolong uruskan pameran Encik Riffki ni. Tak lama, just for two weeks. Bolehkan?” Pinta Syed Hambali.
Nurul Hijjaz mengeluh. Entah kenapa melihat lelaki itu tersenyum kemenangan, dia merasa menyampah. Senyuman lelaki itu benar-benar menyakitkan hatinya.
“Datang ke studio besok,” pesan lelaki itu sebelum beredar. Wajahnya serius sewaktu menuturkannya. Hendak tak hendak, Nurul Hijjaz terpaksa mengangguk. Sebaik Riffki Aidan beredar, dia memandang ke arah Syed Hambali. Lelaki itu tersenyum memandangnya.
“Thanks Hijjaz, I really appreciate this.” Bisik Syed Hambali. Nurul Hijjaz hanya mampu mengangguk dengan perasaan sebal. Apa boleh buat, dia tidak ada kuasa mahu menolak. Lagipun dia hanya pekerja di situ.
* * * * *
Daniel sampai agak awal sebelum disambut seorang pelayan. Sempat matanya melilau meninjau suasana restoran yang dipenuhi pengunjung untuk makan malam. Hidangan satu set makan malam di situ sahaja, mencecah sampai beratus ringgit. Membazir betul, detik hati Daniel. Kalaulah uminya tahu bahawa dia sebenarnya lebih menyukai makanan di gerai-gerai tepi jalan, tentu berleter panjang orang tua itu.
“Encik Daniel? Dato’ dan Datin sudah menunggu di bilik makan utama. Silakan,” Pelayan berbaju kot berskarf merah mengiringinya ke sebuah bilik. Sebaik Daniel melangkah masuk, dia menyapa kedua ibu bapanya yang sedang asyik berbual-bual dengan beberapa tetamu yang tidak dikenalinya.
“Hai dah datang pun anak umi, mari ke sini Daniel,” ujar Datin Arfah seraya mengamitnya menghampirinya.
“Ayah...,” Daniel tunduk hormat pada Dato’ Amiruddin yang memandangnya. Matanya juga singgah pada wajah seorang lelaki dan dua perempuan di sisi Dato’ Amiruddin. Hatinya tertanya-tanya sendiri, siapa gerangan tetamu itu. Semasa uminya menelefon siang tadi, tidak pula dikhabarkan bahawa akan ada tetamu lain menyertai makan malam itu. Siapa agaknya? Salah seorang kawan perniagaan ayahnya barangkali, Daniel meneka dalam kesamaran.
“Daniel, ini Tan Sri Ismail dan isterinya Puan Sri Fatimah. Yang itu pula anak perempuan mereka, Nora Hanis. Tentu kamu masih ingat kan, masa kita di luar negara dulu, kita pernah tinggal berjiran dengan mereka.” Dato’ Amiruddin memperkenalkannya.
Daniel tersenyum sambil bersalam dengan tetamu ayahnya, meskipun dia gagal mengingati siapa mereka. Lagipun semasa mereka berada di luar negara dulu, dia masih kecil lagi. Sukar untuknya mengingati wajah-wajah yang sudah berbelas tahun tidak ditemui.
“Daniel, kenapa tak salam dengan Nora? Masa kecil dulu bukan main mesra lagi,” ujar Datin Arfah sambil tersenyum.
Daniel mengalihkan pandangannya ke arah seorang gadis cantik yang kelihatan malu-malu memandangnya. Dia menghulurkan tangannya. Gadis itu kelihatan ragu-ragu mahu menyambut huluran tangannya. Daniel mengerutkan dahinya.
“Apa saya ni macam barbarian ke? Jangan bimbang saya tak makan orang.“ Daniel cuba mengusik. Nora Hanis hanya tersenyum mendengar kata-kata Daniel.
Tersenyum Datin Arfah melihat Daniel dan Nora Hanis sudah boleh berbual-bual bersama. Dia menjeling temannya Puan Sri Fatimah yang turut melirik senang hati. Apa agaknya pandangan Daniel, jika dia tahu hasrat mereka untuk menyatukannya dengan Nora Hanis? Adakah dia akan setuju?
“Apa pendapat Danny?” Datin Arfah cuba merisik hati si anak selepas mereka pulang ke rumah. Sedikit pun tak dihiraukan Dato’ Amiruddin yang menjeling isterinya dengan ekor mata.
“Pendapat apa umi?”
“Hissh budak ni, umi tanya fasal Nora Hanislah.”
“Kenapa dengan dia? Danny tengok okey aje, cantik….baik, tapi pemalu sangat lah,” ucap Daniel sejujurnya tanpa mengetahui tujuan Datin Arfah.
“Pemalulah bagus, sesuai jadi menantu umi..” Datin Arfah mula memasang angan-angan.
Daniel tercengang. Wajah ibunya dipandang, sebelum matanya beralih ke arah Dato’ Amiruddin yang kusyuk membaca.
“Menantu? Umi sedang mencari calon isteri untuk Riff ke?”
“Untuk dia buat apa, umi pilih untuk Danny. Danny suka tak Nora tu?” Soal Datin Arfah tidak sabar-sabar ingin tahu.
Daniel tersenyum kecil. Seriuskah uminya itu? Apa mimpi orang tua itu agaknya sehingga bersusah payah mencari calon isteri untuknya? Daniel tidak dapat menahan diri dari ketawa panjang. Kelakar rasanya kerana dalam zaman moden ini, uminya masih berfikiran sempit.
“Kenapa Danny ketawa pulak, umi serius ni.” Datin Arfah tercengang melihat si anak tak henti-henti tertawa.
“Sudahlah umi, kita bincang lain kali saja ya. Danny penat, nak masuk tidur dulu. Esok awal-awal pagi ada mesyuarat. Selamat malam umi, ayah.” Terpegun Datin Arfah melihat Daniel berlalu begitu sahaja. Tak setujukah anak itu dengan cadangannya? Lain macam saja gayanya mendengar berita ini. Dia memandang suaminya yang sedang membaca akhbar. Lelaki itu turut memandangnya. Wajah Dato’ Amiruddin kelihatan serius, bagaikan tidak merestui cara isterinya yang agak terburu-buru hendak bermenantu.
* * * *
Daniel membuka kot dan tali lehernya, lalu segera dicampakkan ke atas katil. Butang kemejanya turut dibuka sebelum dia menghempaskan diri ke atas tilam empuk. Lega rasanya dapat melepas penat, setelah sehari suntuk di pejabat.
Dia tergelak lagi mengingatkan kata-kata ibunya sebentar tadi. Patutlah wanita itu beria-ria mengajaknya makan bersama, rupa-rupanya ibunya ada agenda tersendiri. Ibunya memang licik, kalau bersangkut paut dengan hal-hal sebegitu. Ini bukan kali pertama dia dikenalkan dengan anak-anak teman ibunya. Sudah terlalu acap kali. Tapi setiap kali itu jugalah dia akan menolak. Entah kenapa, hatinya masih belum terbuka untuk bercinta dengan mana-mana gadis sewaktu itu.
Dia memejamkan mata, cuba melelapkan mata buat seketika. Bayangan wajah Nurul Hijjaz melintas. Dia membuka matanya. Entah kenapa fragmen wajah Nurul Hijjaz sering bertamu di fikirannya sejak akhir-akhir ini. Apa istimewanya gadis yang baru sekali ditemuinya itu? Kalau dikira cantik, ramai lagi gadis-gadis cantik lain sering ditemuinya saban hari. Tapi wajah Nurul Hijjaz lembut dan bersifat keibuan. Di tambah dengan renungan sepasang mata yang bening cukup memukau sesiapa pun yang memandang. Hampir dia cair mengingatkan senyuman gadis itu tempohari. Entah bila lagi kita akan bertemu? Rindu rasanya dia mahu menatap wajah itu lagi.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!