SUDAH satu jam lamanya dia menanti di Old Town White Coffee. Namun orang
yang dinanti tak juga kunjung tiba. Elena menarik nafas panjang. Berkali-kali dia melirik ke arah jam tangannya.
Berkali-kali juga dia melemparkan pandangan ke arah pintu masuk restoran itu,
mengharapkan pengunjung yang masuk ke situ seterusnya ialah Adham Mirza. Tapi
lain yang diharapkan lain pula yang muncul.
Kopi White
Hazelnut yang dihirupnya sudah kian habis. Hatinya menggerutu dalam kekecewaan.
Dia sudah sepatutnya tahu yang Mirza tidak pernah serius dengan kata-katanya.
Jadi tak mungkin lelaki itu akan ingat dengan janji mereka untuk bertemu malam
ini. Bukankah lelaki itu tidak pernah mempedulikan sesiapa selama ini? Lalu apa
yang kau harapkan Lin? Mirza takkan sesekali jatuh cinta pada gadis seperti
kau.
Elena meramas
gelas kopinya sekuat hati. Kelopak matanya terpejam rapat. Hatinya keluh kesah.
Terbuai-buai oleh ingatan lalu yang membuatkan dia jatuh hati pada Adham Mirza
buat kali pertama.
“Ops, maaf.”
Suara itu muncul mendadak.
Dia terpanar
melihat pakaiannya yang habis lencun dibasahi air oren yang dipegangnya. Hampir
hendak menangis dia melihat gaun yang dibeli ayahnya rosak begitu sahaja.
“Maaf, saya
betul-betul minta maaf. Tak sengaja.”
Perlahan-lahan
dia mendongak, lalu terpandang seraut wajah kacak yang cuba membersihkan hujung
kaki gaunnya yang sudah bertukar warna. Melihat lelaki itu dia terkesima. Alam
ini bagaikan pegun. Jarum jam berhenti berputar. Itulah perasaan yang
dirasainya tatkala dia bertemu Adham Mirza buat kali pertama di rumah Tuan
Fahrin sewaktu majlis meraikan anak sulung Tuan Fahrin yang akan ke luar negara
menyambung pelajaran.
“Saya Adham
Mirza.” Lelaki itu menghulurkan tangannya.
“Err....Elena
Rushdan.” Dia tergagap-gagap menyebut namanya.
“Awak kawan
Drew?”
Dia menggeleng.
Malah tidak kenal nama yang disebut lelaki itu. Siapa Drew?
Kerutan di dahi
lelaki itu melebar.
“Habis tu?”
Belum sempat
dia mahu menjawab, namanya diseru. Dia terkedu melihat ayahnya sedang menjeling
tajam ke arahnya. Mahu tak mahu dia segera beredar menuju ke arah lelaki itu.
“Berapa kali
ayah nak pesan pada Lin, jangan bergaul sebarangan dengan budak lelaki dalam
majlis ni terutama dengan budak Mirza tu. Dia anak Tuan Fahrin.” Suara ayahnya
separuh berbisik. Perlahan tetapi beramaran.
“Anak Tuan
Fahrin?” Wajahnya berubah. Serentak bebola matanya mencari-cari kelibat anak
muda itu.
“Tapi kenapa
ayah?” dia tercengang-cengang. Apa yang tidak kena dengan Adham Mirza? Bukankah
ayahnya sendiri yang bilang, lelaki itu anak Tuan Fahrin, majikan ayahnya
merangkap hos majlis ini?
“Ayah tak suka
kamu berkawan dengan dia.”
“Tapi kenapa?”
Mata Encik
Rushdan membuntang tajam ke arah anak gadisnya.
“Dengar sahaja
cakap ayah dan jangan membantah. Ayah dengar budak tu kaki clubbing. Macam-macam hal tak baik ayah dengar. Jadi ayah tak nak Lin
cuba rapat dengan dia. Mengerti?”
Dia menarik
nafas panjang. Mana ayahnya dengar semua gosip-gosip itu? Takkanlah! Hati
kecilnya menolak sangkaan buruk itu. Dia menoleh ke arah lelaki itu yang sedang
berbual-bual dengan beberapa orang gadis di suatu sudut. Memang kalau dilihat
dari jauh, tidak ada sesiapa yang menyangka lelaki itu masih bersekolah
menengah. Mungkin kerana faktor tubuh Adham Mirza yang tinggi lampai dan
tampan, membuatkan lelaki itu kelihatan seperti berusia 20an.
Dia menelan
liur sewaktu melihat tangan anak muda itu menjalar ke pinggang salah seorang
dari gadis-gadis yang bercakap dengannya. Entah mengapa hatinya cemburu bukan
kepalang. Alangkah baiknya kalau dia dapat bertemankan lelaki seperti Mirza.
Mempunyai aura dan karisma memikat.
Mulai saat itu
dia sudah mabuk kepayang dengan lelaki itu. Malah boleh dikatakan obses kerana
dia mengambil tahu semua hal mengenai Adham Mirza. Dari sekecil-kecil info
sehinggalah ke sebesar-besal hal yang melibatkan lelaki itu. Sehinggakan sampai
ke satu peringkat, dia merayu ayahnya untuk bertukar sekolah. Sekolah yang sama
yang Adham Mirza hadiri. Semua yang dilakukannya kerana dia mahu dekat dengan
lelaki itu. Tapi Adham Mirza seperti langsung tidak mengingatinya. Malah ketika
mereka terserempak di sekolah, menonong sahaja lelaki itu pergi tanpa
mempedulikannya.
Elena membuka
matanya. Keluhannya meniti di bibir. Sepertimana dia gagal menarik perhatian
Adham Mirza tempohari, sekarang juga keadaannya tidak jauh berbeza. Lelaki itu
hanya berniat mempermain-mainkannya sewaktu memintanya datang ke situ. Dan dia
yang bodoh ini hanya menurut dan mempercayai lelaki itu.
No comments:
Post a Comment